Sunday, September 15, 2013

Kekerasan: antara sistem Islam dan sistem diktator


Risalah mingguan jamaah Ikhwan Muslimin

Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, sebelum dilantik memegang jawatan khalifah merupakan seorang gabenor bagi khalifah al-Walid bin Abdul Malik di al-Madinah al-Munawwarah. Dia memerintah penduduk Madinah dengan cara yang baik, menggunakan polisi yang lunak. Pada masa yang sama, al-Hajjaj bin Yusuf menjadi gabenor di Iraq. Dia pula melayani penduduknya dengan kasar dan layanan yang buruk. Suatu ketika, al-Hajjah datang ke Madinah. Dia bertanya penduduk Madinah tentang Umar. "Bagaimana kehebatan dia di kalangan kamu?" Mereka menjawab: "Kami tidak mampu untuk memandangnya kerana kehebatannya." Dia bertanya lagi: "Bagaimana cinta kamu kepadanya?" Mereka menjawab: "Dia lebih kami cintai daripada ahli keluarga kami." Dia bertanya seterusnya: "Bagaimana adabnya? (maksudnya bagaimana cara dia mendidik rakyat, menghukum orang yang buat salah dan sebagainya)" Mereka menjawab: "Antara tiga hingga sepuluh kali sebatan." Al-Hajjaj berkata: "Ini, kehebatannya, ini cintanya, ini adabnya. Semua itu adalah urusan dari langit."

Sesungguhnya Umar rahimahullah memahami bahawa memimpin manusia adalah dengan menegakkan keadilan di antara mereka dan berlemah lembut dengan mereka. Manakala Hajjaj berpendapat ketegasan dan kekerasan lebih dapat menjaga kehebatan kerajaan dan lebih kuat pengaruhnya. Dengan sebab itu, keadilan Umar dan kebajikannya menjadi faktor negara dilimpahi kemewahan dan kemakmuran. Manakala kebengisan Hajjaj menjadi punca merosotnya barakah dan kurangnya hasil sehingga hasil pengeluaran Iraq menjunam di bawah pemerintahan Hajjaj dari 100 juta dirham ke 25 juta dirham.

Inilah perbezaan yang hakiki antara sistem Islam dengan sistem diktator. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya sejahat-jahat pengembala ialah al-hutomah (yang menghancurkan)." Al-hutomah seperti humazah dan lumazah. Iaitu yang sangat menghancurkan.  Maka dikatakan kepada orang yang banyak menghancurkan dan banyak memaksa itu hutomah. Iaitu orang yang zalim kepada rakyatnya dan tidak mengasihani mereka,  yang menyeret mereka dengan kasar, yang keras tanpa belas, yang menghukum dengan keras. Sesungguhnya adat pemerintah yang zalim, dia seorang yang busuk hati, tabiatnya kejam, mencengkam rakyatnya, tidak kasihan kepada mereka, tidak mengambil berat apa yang menguntungkan mereka, lebih mementingkan kehebatan dan keupayaan mereka untuk memerintah walaupun dengan menzalimi rakyat. Tidak syak lagi, kediktatoran dalam politik menjadikan pemerintah itu sejahat-jahat pemerintah secara tuntas.

Dan ketika mana pemerintah itu bersifat demikian, maka rakyat melihatnya sebagaimana burung melihat kepada pemburu, tidak seperti askar melihat kepada ketua. Lantaran itu pemerintah menjadi orang yang paling ditakuti. Dan pemerintah pula melihat kepada rakyatnya seperti pemburu melihat kepada burung, sentiasa mencari dan mengintai peluang untuk menangkapnya. Inilah kesan psikologi yang terbina di dalam diri rakyat. Hasil daripada kekerasan dan kekasaran yang dialami tidak dapat tidak rakyat akan terbiasa dengan rasa hina dan tidak berguna. Dan ketika pemimpin mewajibkan rakyat agar jangan dengar kecuali daripadanya, jangan berjalan kecuali di belakangnya, jangan berikan pendapat dan buah fikiran, kebebasan dan maruah dirampas sewenang-wenangnya, maka di ketika itu rakyat tidak akan peduli kepada isu-isunya yang besar. Mereka hanya sibuk memendam perasaan iri dan dendam semata-mata.

Ketika rakyat dipaksa menjalani kehidupan dengan cara yang menyakitkan, ketika dia melihat selalu ditekan dan dilayan dengan kekerasan, tidak dapat tidak mereka akan berfikir bagaimana membebaskan diri dari keadaan itu. Maka merabaklah kerosakan, rakyat mengabaikan tanggungjawab mereka yang asasi dan risalah yang seharusnya mereka pikul, tenaga tercurah dengan sia-sia di medan peperangan dalaman yang merugikan dan membawa kemusnahan. Dengan sebab itu umat tidak akan mampu menjayakan projek yang  menguntungkan, atau membangun negara yang maju selagi mana hubungan antara pemimpin dan rakyat awam berada dalam suasana yang tegang dan mencengkam.

Sesungguhnya para sahabat yang mulia telah mempelajari hal ini. Mereka sangat mengambil berat dalam menasihati para pemerintah, khususnya yang zalim. Salah seorang daripada mereka yang bernama 'Aaez bin 'Amru r.a. masuk mengadap seorang gabenor yang zalim bernama Ubaidillah bin Ziyad yang merupakan seorang yang sangat bengis. Maka dia berkata: "Wahai anakku, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya sejahat-jahat pengembala ialah al-hutomah." Maka, jaga-jaga engkau, jangan termasuk dalam golongan itu." Maka Ubaidillah berkata: "Duduklah! Sesungguhnya engkau adalah antara orang yang disaring dari kalangan sahabat Muhammad s.a.w." 'Aaez berkata: "Adakah terdapat di kalangan mereka orang yang disaring? Yang ada hanyalah selepas mereka dan di kalangan orang lain daripada mereka." Di dalam riwayat lain, dia berkata: "Wahai muslimin, adakah terdapat di kalangan sahabat Muhammad s.a.w. orang yang disaring? Bahkan mereka semua adalah saripati!"

Apabila kita melihat kepada peringkat-peringkat kejatuhan dalam sejarah kita, sejarah Islam secara keseluruhan, kita dapati, pada setiap peringkat itu ia melalui zaman pemerintahan penguasa yang hutomah, yang memerintah umat dengan hawa nafsu dan fikiran mereka tanpa memperdulikan rasa simpati kepada rakyat, atau mengambil kita kepentingan rakyat. Dan sebaliknya apabila kita melihat kepada zaman-zaman kegemilangan yang dilalui sepanjang sejarah umat kita yang panjang, kita dapati bahawa Allah s.w.t. melimpahkan rezekiNya ke atas sesebuah negara, apabila ia diperintah oleh pemerintah yang adil, lemah lembut dan penuh kasih sayang. Habuannya adalah kemajuan, kegemilangan dan kecemerlangan.

Di sana terdapat satu gambaran yang tepat mengenai hubungan antara pemimpin (qiadah) dan tentera (junud). Ketika Mu'awiah bin Hudaij r.a. memimpin tentera Islam dalam membuka (menakluk) Afrika, beliau seorang yang senang didampingi, baik tingkah laku terhadap tenteranya sehingga mereka mengasihinya. Ummul-Mukminin Aisyah r.a. memujinya meskipun beliau berbeza pendapat dengannya, juga masalah yang berlaku antara Mu'awiah dengan adik beradik Aishah, Muhammad bin Abu Bakar. Di dalam Sahih Muslim, daripada Abd Rahman bin Syimasah al-Mahriy berkata: "Aku datang berjumpa Aisyah kerana ingin bertanyakan sesuatu. Lalu beliau berkata kepadaku: "Dari manakah kamu?" Aku menjawab: "Seorang lelaki daripada penduduk Mesir." Beliau bertanya lagi: "Bagaimanakah keadaan sahabat kamu (iaitu Mu'awiah) dengan kamu dalam dia menakluk negeri kamu?" Abd Rahman menjawab: "Kami sedikitpun tidak mendendaminya. Jika ada di kalangan kami untanya mati, dia akan berikan orang itu unta. Jika hamba yang mati dia akan berikan hamba. Orang yang berhajat kepada sara hidup, dia berikan sara hidup." Maka Aishah berkata: "Sesungguhnya, apa yang dia lakukan terhadap saudaraku Muhammad, tidak menghalang aku untuk memberitahu kamu apa yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda di rumahku (maksudnya) "Sesiapa yang memegang kuasa dalam satu urusan daripada urusan umat Islam, lalu dia menyulitkan mereka, maka sulitkanlah dia. Dan sesiapa yang memegang kuasa dalam satu urusan daripada urusan umat Islam, lalu dia berlembut dengan mereka, lembutkanlah dengan dia."

Cuba kita lihat kepada mujaddid pertama selepas Rasulullah s.a.w., iaitu Umar bin Abdul Aziz rahimahullah. Beliau melayani rakyat dengan cara yang lembut dan menggesa kakitangannya agar melayani rakyat dengan lembut. Dua orang gabenornya menghantar surat kepadanya. Di dalam surat itu, keduanya menulis: "Pada pandangan kami, manusia ini tidak sesuai untuk membaiki mereka kecuali pedang." Maka beliau menjawab surat mereka berdua: "Kamu adalah dua orang yang buruk daripada perkara yang buruk. Dua orang yang busuk daripada perkara yang busuk. Adakah kamu cuba mendedahkan kepadaku darah orang Islam? Demi Allah, sesungguhnya darah kamu berdua lebih murah di sisiku daripada darah orang Islam." Lantaran itu, tempoh yang begitu singkat baliau memerintah umat Islam (dua tahun, lima bulan dan beberapa hari) sudah cukup untuk mengangkat panji-panji umat, mengembalikan semula kegemilangannya dan merealisasiakan kemewahan dari sudut ekonomi kepada rakyat seluruhnya.

Beliau enggan menghukum orang ramai dengan sebab perbuatan orang tertentu (yang segelintir), atau dengan kata lain dia tidak menghukum rakyat secara borong, atau hukuman jama'ei, mengatasi batasan undang-undang walau dalam keadaan teruk macam manapun. Ini kerana perbuatan sedemikian akan melibatkan orang tidak bersalah terhukum dengan sebab dosa orang yang bersalah dan akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Beliau yakin bahawa keamanan masyarakat tidak akan terpelihara kecuali dengan melaksankan undang-undang dengan betul ke atas orang yang bersalah sahaja. Diriwayatkan bahawa seorang gabenor Umar bernama Yahya al-Ghassani berkata: "Manakala Umar bin Abdul Aziz melantikku sebagai gabenor di al-Musil, aku berangkatlah ke situ. Maka aku dapati negeri itu merupakan negeri yang paling banyak berlaku kecurian dan keganasan. Maka aku menulis surat kepada Umar, memberitahunya hal keadaan negeri ini dan bertanya, bolehkah aku menghukum manusia berdasarkan sangkaan dan mendera mereka dengan tuduhan sahaja? Atau adakah aku mesti menghukum mereka dengan saksi dan keterangan sebagaimana yang tercatat di dalam sunnah?" Baliau menjawab suratku, katanya: "Hendaklah engkau menghukum manusia dengan keterangan sebagaimana yang tercatat di dalam sunnah. Sekiranya mereka tidak jadi baik dengan hak (kebenaran), maka Allah telah tidak jadikan mereka baik!" Yahya berkata, maka aku lakukan apa yang diperintahkan. Hasilnya, aku keluar dari al-Musil  dalam keadaan negeri ini aman, dan ia menjadi negeri yang paling sedikit kes kecurian dan keganasan.

Al-Jarrah bin Abdullah menulis sepucuk surat kepada Umar bin Abdul Aziz. Surat itu bermaksud: "Sesungguhnya penduduk Khurasan, buruk kelakuan mereka. Mereka tidak boleh dibetulkan kecuali dengan pedang dan tongkat. Sekiranya Amirul-Mukminin mengizinkan saya berbuat demikian, saya akan lakukan." Umar menjawab surat tersebut dengan menulis: "Telah sampai kepadaku suratmu mengatakan penduduk Khurasan, buruk kelakuan mereka, dan mereka tidak sesuai diperbetulkan kecuali dengan pedang dan tongkat. Sesungguhnya engkau telah berdusta. Bahkan yang membetulkan mereka ialah kebenaran dan keadilan. Maka bentangkan kebenaran dan keadilan di kalangan mereka. Wassalam."

Semoga Allah merahmati Imam at-Tabi'ein, 'Aamir asy-Sya'bi yang berkata: "Adalah dirrah (tongkat pendek yang selalu dipegang di tangan) Umar, lebih digeruni daripada pedang Hajjaj." Rahsianya ialah apa yang dipegang oleh Umar, menegakkan kebenaran, menyebarkan keadilan, mencegah kezaliman dan penyelewengan, serta tidak pernah mengenakan dirrahnya ke atas orang yang dizalimi. Maka dengan itu, meskipun tongkat itu kecil dan pendek ia dapat merealisasikan keamanan dan menimbulkan kegerunan yang tidak mampu diperolehi oleh pedang yang tajam dan tongkat yang besar lagi panjang. Maka tongkat kecil itu di sisi penjenayah dan orang-orang yang bersalah sangat digeruni, tidak ada yang digeruni lebih daripada itu.

Sebenarnya, keperluan kita kepada keadilan Umar, ketegasannya dalam mempertahankan kebenaran tidak kurang daripada keperluan kita kepada lemah lembutnya dan penghormatan kepada kemuliaan insan dan memelihara hak-hak mereka. Polis dan tenteranya semuanya dari jenisnya yang menghormati hak dan kebebasan manusia serta menyediakan diri untuk berkhidmat kepada rakyat jelata, bukan dari jenis Hajjaj yang berpendapat wajib menundukkan manusia dengan paksaan, kekasaran serta menghalalkan kezaliman dan perbuatan yang melampau batasan.

Kini, kita sangat-sangat berhajat kepada pendekatannya untuk membina negara yang padu, kuat, maju dan ke depan. Inilah yang diijtihadkan oleh presiden Dr Mursi dengan meletakkan asasnya selama setahun pemerintahannya. Dia berusaha sehabis daya untuk berlembut dengan rakyat Mesir dan berdiri di perbatasan undang-undang, tidak melangkahinya dalam mengahadapi musuh dari kalangan individu, pertubuhan atau parti politik meskipun banyak percubaan untuk menghalang dan menggagalkannya. Percubaan untuk menggagalkannya datang dari pelbagai pihak, termasuk dari jentera kerajaan yang masih mendalam kesan pengaruh lamanya serta saki baki siasah yang telah gagal. Percubaan juga datang daripada orang-orang yang terlibat dengan revolusi (thaurah) dari kalangan pemuda yang tidak jelas pendirian mereka atau ijtihad mereka berbeza dengan ijtihad Dr Mursi. Sebahagian orang ramai memandang pendirian Dr Mursi yang tidak mahu membalas dendam atau melayan dengan buruk mereka yang tidak sehaluan dengannya sebagai lemah kerana setengah mereka mengambil kesempatan terhadap toleransi dan sikap berlapang dada beliau serta tidak bertindak ke atas mereka yang menyakiti secara melampau terhadap peribadi dan keluarganya, bahkan ke atas projek yang diusahakannya.

Kemudian puak-puak inqilab bergerak menyediakan suasana ketidak stabilan politik dan menipu umat dengan proses rampasan kuasa secara khianat dengan dakwaan untuk membela majoriti rakyat yang menolak presiden Mursi dan berusaha untuk melakukan pilihanraya presiden secepat mungkin. Institusi ketenteraan yang sepatutnya mendukung legitimasi dan mempertahankan kehendak rakyat turut memberi laluan kepada perselisihan politik untuk melakukan inqilab yang berdarah, supaya dikembalikan kepada pemerintahan diktator dengan cara yang lebih keras daripada sebelumnya. Mereka tidak faham bahawa berdirinya mereka melaksanakan peranan mereka yang hakiki dalam memelihara kedaulatan negara yang sah di sisi undang-undang membolehkan mereka meraih kasih sayang apabila mereka menjalanakan tanggungjawab mereka bersama presiden yang dipilih secara sah dan bersama anak bangsa mereka yang berbagai-bagai puak serta mementingkan pelaksanaan undang-undang dengan cara yang betul. Tetapi, sedihnya mereka mengatur langkah di jalan yang salah. Tidak cukup mereka melakukan dosa besar, menderhaka dan merampas kuasa, bahkan mereka menumpahkan darah, mengancam manusia, mengunci mulut rakyat, menangkap orang yang bebas, memecahbelahkan rakyat, mencetuskan bibit-bibit kebencian, membebaskan samseng-samseng untuk membelasah antara satu sama lain, mendorong penguasa ke arah pemerintahan diktator, meletakkan kita di hadapan pentadbiran yang bencikan rakyat, rakyat bencikannya. Maka natijahnya sangat-sangat buruk, tiada daya upaya untuk mengelak daripadanya kecuali dengan izin Allah. Dan aku ingatkan kamu dengan Hadis yang mulia, diriwayatkan oleh Muslim daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda maksudnya:  "Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu cintakan mereka dan mereka cintakan kamu. Kamu mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka mendoakan kebaikan untuk kamu. Dan sejahat-jahat pemimpin kamu ialah pemimpin yang kamu bencikan mereka dan mereka bencikan kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu."

Maka adakah di sana orang yang berakal lagi matang yang boleh mengingatkan puak-puak perampas dan orang-orang yang mendukung rampasan kuasa dan menggalakkan mereka meneruskan kerosakan mereka, ingatkan mereka bahawa projek inqilab mereka sebenarnya gagal dan kesudahannya menghancurkan umat. Sesungguhnya keditatoran tidak dapat tidak berakhir dengan kerosakan dan kehancuran yang menyeluruh bagi masa depan umat. Dan sesungguhnya tiada jalan  untuk mereka yang inginkan kebaikan untuk dirinya dan umatnya kecuali kembali kepada kebenaran, ikut syar'iyyah, berlembut dengan rakyat awam yang akan menuntut hak mereka sekalipun mengambil masa yang lama kerana kehendak mereka diambil daripada kehendak Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Ya Allah, selawat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga dan sahabat baginda.

Semoga Allah pelihara Masir serta penduduknya dari semua orang yang menghendaki kejahatan kepadanya.

Cairo: 6 DzulQaedah 1434 bersamaan 12 September 2013-09-12
Sumber:

No comments: