Segala
puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabatnya
dan mereka yang mengikutinya
Umat
ini telah dimuliakan Allah dengan memberi peluang memikul risalah samawiyyah
yang terakhir, penyempurna akhlak yang mulia untuk seluruh umat manusia dengan mencontohi
model insan terpilih yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan,
iaitu Muhammad khatamul-mursalin wa imamul-anbiaa' ajma'ein s.a.w.
Sesungguhnya
Allah Rabbul-'Izzati telah mengamanahkan kita memikul risalah ini dan
diperkuatkan lagi oleh Habibuna al-Mustafa s.a.w. Dia menyuruh kita membawa
risalah ini dengan segala isi kandungannya untuk kebaikan kita dan kebaikan
umat manusia seluruhnya. Dia juga mengingatkan kita agar berwaspada daripada
segala perkara yang mendatangkan kejahatan kepada kita dan kepada umat manusia
seluruhnya. Nas-nas berkenaan dengannya terang dan jelas: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,” (Aali ‘Imran:110) Ciri pertama
yang menjadikan kita layak bergelar khaira ummah (sebaik-baik umat) ialah,
((kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji)). Inilah satu pendirian positif dan
menyahut seruan yang membezakan umat ini daripada seluruh umat terdahulu;
ketika mana mereka tidak bangkit melaksanakan kewajipan ini, mereka dilaknat
dan dijauhkan dari rahmat Allah sebagaimana disebut di dalam firman Allah yang
bermaksud: “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam
Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam.
Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka
sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar
(derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya
apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maidah:78-79)
Dan dengan menyahut seruan ini, kita harus
menanggung implikasinya. Kita akan berhadapan dengan kesusahan, pendustaan,
serangan dalam bentuk fizikal, mental dan emosi, fitnah, penangkapan, penjara,
malah pembunuhan dan pembakaran hidup-hidup dari musuh-musuh kebenaran dan
golongan yang jahat. Perkara ini telah diperingatkan di dalam firman Allah yang
bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat
kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian
itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”
(Luqman:17) Dan Allah akan melaksanakan qadarNya ke atas kita melalui tangan
para penjahat, pembunuh dan penumpah darah untuk menyempurnakan ujian supaya
Allah mengetahui siapa di antara kita yang benar-benar berjuang, yang
benar-benar sabar, yang munafiq, yang berbolak-balik dan yang kembali kepada
kebenaran. Mereka yang kembali kepada kebenaran merupakan sebaik-baik orang
yang berdosa. Kerana itu, Tuhan Rabbul-‘Izzati berfirman maksudnya: “Demi
sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi
sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab
dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan
cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa
maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Aali ‘Imran:186)
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu
(wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami
tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang
yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat
mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”
(Muhammad:31)
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu
dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan
(dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman
dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang
yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari
Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayatNya.” (Al-Baqarah:155-157)
Dan kemuncak ujian Allah ke atas hambaNya ialah
Dia memilih dari kalangan mereka sebagai syuhada’. Dan untuk mewujudkan
syuhada’ mestilah ada golongan yang membunuh, menumpahkan darah, melakukan
kekejaman terhadap mereka yang berkata “Tuhan kami hanyalah Allah” atau mereka
bangkit berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, khianat, kejam dan melampau
batas, lalu berkata perkataan yang hak, menyuruh mereka berbuat makruf dan
mencegah mereka dari munkar, lalu merekapun dibunuh. Hal ini digambarkan di
dalam sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Dan lelaki yang berdiri di hadapan
pemerintah yang zalim, lalu dia menyuruh dan melarang, maka dia dibunuh.” Ya,
dia cuma menyuruh dan melarang. Maka siapakah yang sebenarnya pengganas di
sini? Siapakah penjenayah dan siapakah penghulu syuhada’? “Apa sudah jadi
kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya
itu)?” (Al-Qalam:36)
Aku ingin berkata kepada keluarga para
syuhada’, tahniah kepada kamu kerana Allah telah memilih keluarga kamu sebagai
syahid dan syahidah dalam perjuangan di Mesir demi menegakkan kemerdekaan,
kebenaran dan kemuliaan. Semoga Allah kurniakan kami dan kamu baitul-hamd di
syurga sebagai balasan di atas keredhaan kamu menerima qadha’ dan qadar Allah,
iaitu ketika kita mengucapkan kalimah pujian (inna lillahi wa inna ilaihi
raji’un). Ketika itu kita berhak menerima anugerah yang maha hebat ini kerana
yang memerintahkan malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kita sayangi adalah
Dia yang berkata kepada malaikat itu: “Adakah engkau mencabur nyawa anak
hambaKu yang beriman (padahal Dia mengetahui apa yang malaikat lakukan)? Engkau
cabut nyawa buah hati hambaKu? Malaikat menjawab: “Ya!” Lalu Allah bertanya:
“Maka apakah reaksi hambaKu? Apakah ucapannya?” Malaikat menjawab: “Mereka
memujiMu dan istirja’ (iaitu berkata:الحمد لله إنا لله وإنا إليه راجعون)
Allah
berkata: "Binalah untuk hambaKu itu sebuah rumah di syurga dan namakan
rumah itu Baitul-Hamd."
Maka
untukMu ya Tuhanku segala puji dan syukur sebanyak-banyaknya. Kami semua adalah
hamba-hambaMu, anak-anak kepada hamba-hambaMu. Ubun-ubun kami di dalam
genggamanMu, terlaksana atas kami ketetapanMu, adil untuk kami keputusanMu.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ikutan kami. Baginda telah mengajar kami supaya
kami berkata seperti mana beliau berkata ketika Engkau mengambil nyawa
puteranya yang satu-satunya, "Sesungguhnya mata ini mengalirkan airmata,
hati ini terasa duka, sungguh kami sedih berpisah denganmu wahai Ibrahim. Namun
kami tidak akan berkata kecuali ucapan yang diredhai oleh Tuhan kami: Ya Allah,
kurniakan kami pahala untuk musibah kami dan gantikan kami yang lebih baik
daripadanya." Amin. Di sini letaknya hakikat Islam yang penting, yang
dipacakkan oleh al-Faruq Umar bin al-Khattab r.a. dalam menghadapi situasi
seperti ini, ketika disampaikan kepadanya berita syahidnya tentera-tentera di
medan perang. Setelah diberitahu beberapa nama yang dikenali, pembawa khabar itu
menyambung, "di sana terdapat beberapa orang syuhada' yang engkau tidak
kenali mereka dan tidak kenali bapa-bapa mereka serta tidak ada orang yang
menyaksikan jenazah mereka." Lalu khalifah yang bersifat tawadhu' itu
berkata: "Apa yang mereka dapat kalau Umar bin Ibu Umar mengenali mereka.
Tuhan yang memuliakan mereka dengan anugerah syahid itu mengenali wajah-wajah
mereka."
Adapun
para pembunuh dan penumpah darah, maka kami memohon kepada Allah agar
menjadikan darah syuhada' yang suci bersih ini, orang yang luka, cedera dan
terbakar sebagai laknat ke atas mereka, ke atas orang yang bersekongkol dengan
mereka dan orang yang membantu mereka walaupun dengan separuh kalimah. Laknat
ke atas mereka hingga ke hari qiamat, sehingga termaktub di antara dua mata mereka
"orang yang putus asa dari rahmat Allah". Kami juga memohon daripada
Allah Tabaraka wa Ta'ala supaya menjadikan segala pengorbanan, pendirian,
ketaatan, ibadah dan doa daripada seluruh muslimin dan muslimat sebagai tebusan
untuk membebaskan umat dari segala cengkaman perhambaan kecuali kepada Allah.
Semoga umat akan memperolehi semua haknya yang sah, iaitu presidennya yang
dipilih melalui pilihanraya yang sah, perlembagaannya yang telah diperakui
melalui pungutan suara majority, dipersetujui oleh mereka yang pakar,
wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Mesir, pembuat keputusan dan
pemimpin tertinggi majlis revolusi.
Ikhwan
Muslimun dan seluruh lapisan rakyat, warganegara Mesir yang ikhlas adalah
tentera-tentera kepada bangsa ini. Mereka tidak akan mensia-siakannya, tidak
akan membelakanginya, tidak akan teragak-agak untuk berkorban apa saja yang
mahal dan berharga demi merrealisasikan kebebasan dan kemuliaannya serta
kebenaran yang mereka telah berjanji setia untuk mempertahankannya sepanjang perjalanan
yang telah memakan masa yang lama dalam menghadapi zionis, penjajah, perampas
serta orang-orang yang zalim. Semua orang yang zalim tidak pernah mengenali
keganasan daripada kita dan tidak pernah dibalas kejahatan mereka melainkan
dengan ihsan. Sejarah kita menyaksikan, umat kita menyaksikan di hadapan
umat-umat lain dan Allah sebaik-baik saksi apa yang kami lakukan terhadap orang
yang menghukum kami di mahkamah tentera yang hukumannya mencecah lebih daripada
15,000 tahun penjara. Bahkan mereka menggantung kami di kayu-kayu gantung,
membunuh kami dengan siksaan yang memeritkan di penjara-penjara dan
kurungan-kurungan. Mereka membunuh kami ketika tunjuk perasaan dan perhimpunan
aman, mereka bakar kami bersama rakyat Mesir yang mulia, mereka bakar harta
milik kami. Dan sebelum itu mereka bunuh kami melalui tangan-tangan samseng
ketika mereka memalsukan pilihanraya. Dan siapakah yang telah memalsukan
pilihanraya yang kami menang. Sebanyak
6000 keputusan mahkamah menyebelahi kami, namun yang dilaksanakan hanya
satu sahaja. "Katakanlah (wahai
Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran)
apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
(Al-Baqarah:111)
Maka siapakah yang menghormati mahkamah dan
siapakah yang menghinanya? Siapakah yang menghormati undang-undang dan siapakah
yang memijak perlembagaan dan undang-undang serta kehendak rakyat Mesir
keseluruhannya sekarang dengan kasutnya dan yang mengikut kehendak Nazisme,
Fasisme dan Pharaonic?
Tetapi Negara kezaliman itu satu saat,
sedangkan Negara kebenaran itu kekal hingga ke hari qiamat. Allah ‘Azza wa
Jalla bersumpah dengan Keagungan dan KebesaranNya akan memaqbulkan doa setiap
orang yang dizalimi “Demi sesungguhnya Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa
ketika.” Akan datang saat dan ketika itu dengan yakin, pasti dan segera dengan
izin Allah kerana Allah, Dialah al-Haq dan Dia akan menghantarkan kebenaran
Rabbani yang tidak akan mampu ditangkis oleh senapang kamu, kapal terbang kamu,
senjata api kamu dan senapang kamu. “Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang
benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta
hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa
yang kamu sifatkan (terhadap Kami).” (Al-Anbiaa’:18)
Adapun kamu wahai orang yang berjiwa merdeka di
seluruh dunia, sama ada individu, kerajaan atau institusi, kami meminta agar
mereka berdiri dengan teguh bersama kebenaran, kebebasan demi seluruh rakyat di
dunia. Sesungguhnya telah berlalu pergi zaman rampasan kuasa tentera, pergi
yang tidak akan kembali lagi. Sesungguhnya kamu telah bangkit menentangnya di
setiap tempat sebagai tanda setia kepada nilai-nilai kebebasan, keadilan dan
hak asasi manusia.
Adapun orang yang memilih untuk berdiri bersama
dengan kezaliman, kekerasan, pembunuhan, penumpahan darah, pembakaran orang
yang tidak berdosa, aku berkata kepada mereka, sama ada mereka terdiri daripada
orang perseorangan, atau pakatan, atau institusi tempatan atau antarabangsa,
kerajaan Arab atau bukan Arab, aku katakan kepada mereka: dekat dan sangat
dekat dengan izin Allah kamu akan menyesal di atas pendirian ini kerana Allah
akan menolong kebenaran. Dia telah berkata, dan kata-kataNya adalah benar:
“Allah berfirman: Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang
menyesal.” (Al-Mu’minun:40)
“dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan
sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan
kembali.” (Asy-Syu’araa’:227)
“Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya
yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.” (Al-Qamar:26)
Dan aku yakin, sesiapa yang ingin mengambil
pengajaran daripada pendirian dan sifat thabat, sabar, keperwiraan, hendaklah
dia melihat kepada penduduk Palestin. Kita tidak mensucikan mereka, tetapi
telah terbukti mereka tidak gentar kepada alat-alat perang zionis yang
mencerobohi kawasan larangan setiap hari. Semua itu tidak sedikitpun dapat
mengurangkan keazaman mereka, ketabahan mereka dan penolakan mereka secara
total terhadap penjajahan. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan
khabar gembira bahawa mereka akan menang. Mereka tidak akan terkesan oleh orang
yang menentang mereka, yang menginjak mereka dan yang membiarkan mereka
dizalimi serta enggan menolong mereka. “dan sesungguhnya Allah akan menolong
sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj:40)
Kita adalah umat yang thabat kerana sesuatu yang dilakukan kerana Allah
akan kekal dan berterusan. Kita adalah umat yang berpuasa enam hari daripada
Syawwal selepas Ramadhan. Kita adalah umat yang berpuasa hari Isnin dan Khamis.
Dan kerana alam ini mempunyai Tuhan yang mentadbir dengan TanganNya semua
perkara: “Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya dan
(ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”
(Hud:123)
Dan bagi kebenaran itu ada Tuhan yang
melindunginya. Bagi kebatilan pula kehinaan, penyesalan dan kerugian kepada
mereka yang berpegang dengannya, di dunia dan akhirat. “Maka mereka akan
menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila
berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!”
(Al-Israa’:51)
“dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara
yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Yusuf:21)
Allahu Maha Besar. Segala puji bagi Allah.
Benarlah janjiNya. Dia memuliakan tenteraNya dan menewaskan tentera bersekutu
sendiri sahaja.
Selawat serta salam ke atas penghulu kita
Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.
Cairo pada: 13 Syawwal 1434 bersamaan 20 Ogos
2013.
Risalah terakhir yang ditulis Mursyid Aam
sebelum beliau ditangkap oleh perampas kuasa berdarah.
Sumber:
No comments:
Post a Comment