Wednesday, July 09, 2014

Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa

“Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafaz dari riwayat al-Bukhari.

Sesungguhnya risalah Islam secara keseluruhannya merupakan risalah tarbawiyyah yang didatangkan untuk membawa kebaikan kepada seluruh umat manuisa, mengeluarkan mereka dari menghambakan diri kepada makhluk kepada menghambakan diri kepada Khaliq, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Allah s.w.t. telah menerangkan dengan jelas tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas Rasul yang diutuskanNya di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah:2)

Maka asas risalah Nabi ialah tarbiah dan tazkiatun-nafs. Islam menjadikan tujuan paling utama ibadah ialah membawa manusia kepada pengislahan dan taqwa. Ibadah sebenarnya bertujuan untuk membersihkan jiwa, mendidik dan melatihnya.

Justeru, solat adalah madrasah untuk mentarbiah, melatih (tahzib) dan membetulkan (taqwim) tingkah laku. “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-‘Ankabut:45)

Zakat juga madrasah untuk mentarbiah jiwa dan membebaskannya dari belenggu nafsu sayangkan harta dan hidup mementingkan diri semata-mata. “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah:103)

Haji pun madrasah untuk mentarbiah dan membentuk diri berakhlak mulia. “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah:197)

Demikian puasa di bulan Ramadan, tidak terlepas daripada tujuan serta landasan ini. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)

Maka, tujuan paling utama disyariatkan puasa adalah untuk mendidik para mukmin mencapai darjat taqwa. Lebih istimewa lagi, Allah telah jadikan puasa dan bulan Ramadan penuh dengan elemen-elemen tarbiah yang tidak terdapat pada bulan-bulan serta ibadah lain daripada puasa. Puasa dan Ramadan adalah madrasah yang mengandungi manhaj yang lengkap dengan objektifnya, wasilah-wasilahnya, aktiviti-aktivitinya seperti tilawah al-Quran, qiamullail, i’tikaf, sedekah, berdakwah dan lain-lain, dilengkapi pula dengan biah dan suasana persekitaran yang membantu ke arah mencapai objektif yang disasarkan.  “Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.” Maksud Hadis Sahih riwayat al-Bukhari dan lain-lain.

Berkenaan maksud Hadis yang disebutkan di awal tulisan ini, iaitu “puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya”, para ulamak telah mengemukakan beberapa pandangan dan huraian. antara lain:
i.               Rukun-rukun selain daripada puasa membawa kerehatan kepada hamba. Misalnya, syahadatain merehatkan daripada syirik, gangguan para musyrikin serta tarikan manhaj-manhaj yang menyeleweng dan batil. Solat merehatkan daripada berpaling arah kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Zakat merehatkan hati daripada iri hati, dengki dan benci kepada golongan yang tidak berada. Haji merehatkan diri dari kongkongan hidup yang sempit, membuka ufuk pemikiran yang amat luas dengan menyaksikan bukti-bukti nyata keEsaan Allah, kehebatan dan kekuasaanNya yang tiada tara. Kecuali puasa. Puasa adalah kepenatan hamba semata-mata demi mencapai redha Allah Ta’ala. Puasa adalah tidak melakukan apa-apa kecuali menahan diri dari melakukan perkara yang diingini oleh nafsu dan dihajati oleh fitrah. Maka puasa adalah penyucian dan peningkatan, satu-satunya ibadah yang tidak dilakukan kecuali kerana Allah.
ii.              Puasa tidak dilihat dan diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Ibadah lain berupa perbuatan dan pergerakan yang dapat dilihat dan disaksikan oleh manusia. Puasa hanyalah niat dan menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkannya. Justeru, unsur ria tidak mudah untuk menyelinap ke dalamnya.
iii.            Puasa adalah rahsia paling besar antara hamba dengan Tuhannya kerana menahan diri daripada syahwah itu, syahwah perut, syahwah seks tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah. Maka orang yang berpuasa sebenarnya sedang menghayati maqam ihsan atau mencapainya, iaitu “Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka Dia melihat kamu.” Maksud Hadis riwayat Muslim


Jadi, untuk setiap ibadah itu ganjarannya. Untuk setiap kebaikan itu pahalanya. Satu kebaikan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun puasa, ganjarannya tidak diketahui melainkan Allah yang di TanganNya tersimpan khazanah langit dan bumi. Ia tidak dihitung dengan bilangan, tidak ditimbang dengan timbangan, tidak diukur dengan sukatan. Ia dianugerahi dengan longgokan pahala yang tidak mampu dianggarkan, anugerah dari Yang Maha Agong. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Riwayat Muslim

Saturday, July 05, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 4


“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 2:178-179)

Ayat ke empat yang dimulakan dengan seruan wahai orang yang beriman adalah mengenai hukuman qisas atau bunuh balas ke atas orang yang membunuh dengan sengaja. Walaupun ayat ini dimulakan dengan seruan wahai orang yang beriman, namun ia kurang diberi perhatian. Malah terdapat di kalangan orang yang "beriman" tidak terfikir dan tidak mengambil sebarang langkah untuk melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam ayat ini.

Apakah sebabnya?

Tanyalah iman kita. Apakah kita tidak terasa seruan ini ditujukan kepada kita?

Sama-samalah kita renungi.

Ayat ini menerangkan bahawa orang yang membunuh dengan sengaja, hukumannya adalah dibunuh balas (qisas), kecuali jika ahli keluarga mangsa memaafkan, maka pembunuh tidak dikenakan qisas. Sebaliknya dia hendaklah membayar diat atau ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Penekanan utama ayat ini adalah keadilan dan persamaan nilai kehidupan semua manusia tanpa mengira jantina atau status sosialnya. Ibn Jarir menyebut bahawa sebahagian ahli tafsir berkata, ayat ini turun untuk membetulkan sikap dan pandangan sesetengah kaum yang membeza-bezakan manusia berdasarkan jantina dan status sosialnya.
Jika seorang hamba dari satu puak membunuh seorang lelaki yang merdeka dari puak yang lain, maka puak yang jadi mangsa tidak rela nyawa lelaki yang dibunuh itu dibayar dengan nyawa seorang hamba. Mereka menuntut agar yang dihukum adalah tuan kepada hamba itu. Barulah dikira sepadan dengan lelaki yang dibunuh dari kalangan mereka.
Dan jika seorang perempuan dari satu puak membunuh seorang lelaki dari puak yang lain, maka puak lelaki yang dibunuh itu tidak rela nyawanya diganti dengan nyawa seorang perempuan walaupun perempuan itu yang membunuh. Sebaliknya mereka mahu nyawa lelaki juga agar sama dengan nyawa lelaki yang dibunuh dari kalangan mereka.

Menerusi ayat ini, Allah s.w.t. menegaskan bahawa nyawa semua manusia itu sama saja nilainya. Jika perempuan yang membunuh, perempuan itulah yang diqisas. Jika hamba yang membunuh, hamba itulah yang diqisas. Tidak boleh diganti dengan orang lain.

Allah juga menyatakan hikmah di sebalik hukuman qisas adalah jaminan kehidupan. Iaitu hukuman itu menjadi pengajaran dan peringatan kepada orang yang berfikir. Bila seseorang mempunyai niat untuk membunuh, dia teringat bahawa dia akan dibunuh balas, tentu dia akan membatalkan niatnya. Dengan itu terselamatlah dua nyawa. Dan memelihara nyawa merupakan satu daripada maqasid syari'ah.
Dengan pelaksanaan qisas ini diharapkan mukmin menjadi orang yang bertaqwa.

Cuba kita imbas kefardhuan puasa dalam ayat 183 surah yang sama. Allah menyatakan tujuannya adalah supaya kamu bertaqwa. Inilah yang ditekankan kepada kita ketika menjelang Ramadhan. Ingat tujuan puasa adalah menjadi insan yang bertaqwa.


Ayat 178 dan 179 ini dengan jelasnya mengajar kita bahawa taqwalah juga matlamat hukuman qisas yang difardhukan Allah ke atas kita. Jadi tidak betul kalau kita bersungguh-sungguh menjalani ibadah puasa untuk mencapai darjat taqwa. Kemudian berhenti di situ saja. Kita mesti juga bersungguh-sungguh untuk merealisasikan qisas ini supaya kita menjadi mukmin yang bertaqwa sebagaimana yang dituntut oleh Allah 'Azza wa Jalla.

Thursday, July 03, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 3



“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik  (at-Toyyibat) yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah 2:172)

Di dalam satu ayat yang ringkas, yang mana kalimat-kalimatnya tidak sampai 20 perkataan, di dalamnya terkandung taujihat yang sangat penting dan sangat besar kesannya kepada kehidupan manusia, khususnya mereka yang beriman.

Ya! Orang-orang yang beriman. Kepada merekalah seruan dalam ayat ini ditujukan.

Antara pengajaran yang dapat dikutip daripada ayat ini:

1.     Hanya Allah Ta'ala sahaja yang berhak menentukan halal dan haram. Allah sahaja sumber hukum bagi orang yang beriman, termasuk yang berkaitan urusan makan dan minum.
2.     Hanya Allah Ta'ala yang memberi rezeki kepada sekelian hambaNya. Dialah ar-Razzaq.
3.     Allah menyebut perkataan "toyyibat" sebagai isyarat bahawa Allah tidak melarang kita mengambil atau makan apa yang baik. Yang Allah larang adalah perkara yang kotor, najis, jijik dan tidak bermanfaat kepada kita. Jelasnya Allah mengharamkan sesuatu bukan bertujuan untuk menyempitkan atau membataskan peluang kita menikmati  perkaran yang baik di dunia ini. Sebaliknya apa yang Allah haramkan tidak lain kerana keburukan perkara itu.
4.     Di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi, Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa makan makanan yang halal merupakan satu daripada sebab doa diqabulakn. Dan sebaliknya makan makanan yang haram merupakan faktor doa tidak diqabulkan.
5.     Di dalam ayat 168, Allah menyeru "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik ..” Seruan yang ditujukan kepada sekelian manusia, Allah suruh makan daripada apa yang ada di bumi. Tetapi seruan yang ditujukan kepada orang yang beriman (ayat 172), Allah suruh makan daripada apa yang Dia kurniakan atau rezeki daripadaNya. Ini mengisyaratkan bahawa makanan manusia sumbernya dari bumi. Sedangkan makanan mukmin adalah rezeki dari Allah secara terus, tidak semestinya dari bumi ini. Contohnya Maryam sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Aali ‘Imran 3:37)

6.     Selepas perintah memilih makanan yang baik-baik, Allah perintahkan mukmin supaya bersyukur. Menurut al-Qurtubi, syukur dari segi bahasa ialah zuhur atau zahir. Jadi bersyukur ertinya menzahirkan nikmat yang diterima dengan menyebut dan memuji-muji Pemberinya. Syukur seorang hamba kepada Tuhannya ialah menyebut-nyebut dengan lidah, mengiktiraf di dalam hati akan nikmat yang Allah beri berserta taat kepada segala perintahNya.

Tuesday, July 01, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 2


“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah 2:153)

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Masuud r.a. berkata: "Apabila engkau mendengar Allah Ta'ala berfirman "Ya Ayyuhal-ladzina Aamanu" maka tumpukan pendengaranmu. Sesungguhnya ia pasti ada sesuatu yang baik yang Dia hendak perintahkan kamu atau sesuatu yang buruk yang Dia hendak larang kamu."

Di dalam ayat ini Allah perintahkan mukmin supaya memohon pertulungan daripadaNya dengan cara bersabar dan menunaikan solat.

Sedia maklum, solat adalah rukun Islam kedua selepas syahadah. Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh terbaik memohon pertulungan dengan bersolat.  Apabila menghadapi sesuatu kesulitan, baginda segera menunaikan solat. Apabila masuk waktu solat, baginda berkata kepada Bilal: "Rehatkan kami dengannya (solat) wahai Bilal!." (Abu Daud) Kata-kata ini menggambarkan betapa baginda sangat teruja untuk mendirikan solat kerana peranannya yang cukup penting dan amat berkesan dalam meleraikan kekusutan yang melingkari hati dan jiwa manusia.

Sabar bermaksud mengawal diri menghadapi sesuatu yang tidak digemari. Menurut Ibn Kathir, sabar diperlukan dalam menghadapi beberapa keadaan:

Pertama: Sabar dalam meninggalkan perkara yang haram dan dosa.
Kedua: Sabar dalam melakukan kebaikan dan mentaati Allah s.w.t. Katanya, yang kedua ini lebih besar pahalanya kerana itulah tujuan sebenar kita diciptakan.
Ketiga: Sabar dalam menanggung kesusahan dan bencana. Ini juga wajib hukumnya seperti wajibnya beristighfar memohon ampun dari dosa.

Diriwayatkan daripada Zainal Abidin Ali bin Husain r.a., dia berkata: "Apabila Allah menghimpunkan semua orang yang terdahulu dan yang kemudian, terdengar satu seruan berbunyi: "Di manakah orang-orang yang sabar? Hendaklah mereka masuk ke syurga sebelum hisab!" Maka bangunlah sekumpulan manusia menyahut seruan itu. Mereka bertembung dengan malaikat. Lalu malaikat bertanya: "Hendak ke manakah kamu wahai anak Adam?" Mereka menjawab: "Ke syurga!" Malaikat bertanya: "Sebelum hisab?" Mereka menjawab: "Ya!" Malaikat bertanya lagi: "Siapakah kamu?" Mereka menjawab: "Kami adalah orang-orang yang sabar." Malaikat berkata: "Betullah kamu seperti yang kamu kata."

Untuk menjelaskan lagi kepentingan sabar dan solat, Allah Yarham Sayyid Qutub telah menulis di dalam "Fi Dzilal"nya:
"Sabar banyak kali diulang-ulang di dalam al-Quran. Ini kerana Allah s.w.t. mengetahui besarnya tenanga yang diperlukan untuk istiqamah di atas jalan ini berdepan dengan pelbagai tarikan dan rintangan. Besarnya pengorbanan yang diperlukan untuk melaksanakan dakwah di muka bumi ini, yang terpaksa berdepan dengan pelbagai tentangan dan halangan. Ia memerlukan ketahanan yang amat kental, kekuatan yang tidak mudah tewas, kepekaan terhadap serangan luaran dan dalam. Semua itu pastinya memerlukan kesabaran. Di samping kesabaran untuk taat, kesabaran untuk menjauhi maksiat, kesabaran menghadapi penentang-penentang, kesabaran melawan tipu daya yang datang dalam rupa yang berbagai-bagai, kesabaran menanti pertulungan yang lambat datang, kesabaran meredahi perjalanan yang panjang, kesabaran melihat kesombongan musuh yang batil, kesabaran dalam keadaan sedikitnya orang yang menulung, kesabaran menelusuri jalan yang penuh duri, kesabaran mendepani godaan nafsu, hati yang sering lalai, hebatnya serangan, kencangnya penolakan.

Dan tika mana perjalanan semakin panjang meredah kesukaran, kesabaranpun akan menyusut atau lebur sekiranya tidak dibekalkan dengan penambahan-penambahan baru. Lantaran itu datangnya solat mengiringi sabar. Solat merupakan mata air yang tidak akan kering, bekalan yang tidak akan berkurangan, sumber yang dapat menjana tenaga dan kekeuatan secara berterusan."

Ayat ini ditutup dengan satu penegasan "sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar". Kebersamaan Allah amat besar nilainya  buat kita.


Manusia yang berjalan seorang diri dengan memegang sebatang tongkat akan rasa lebih aman berbanding dengan orang yang berjalan dengan tangan kosong tanpa berpegang kepada apa-apa. Bayangkan dalam merentasi lautan kehidupan yang bergelora, kita tidak sekadar bergantung harap kepada sebatang tongkat, sebaliknya, yang  ada bersama dengan orang sabar itu ialah Allah yang maha kuat, maha perkasa, maha bijaksana dan maha memelihara.