“Wahai sekalian orang-orang yang beriman!
Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu
perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana
sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah 2:153)
Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Masuud
r.a. berkata: "Apabila engkau mendengar Allah Ta'ala berfirman "Ya
Ayyuhal-ladzina Aamanu" maka tumpukan pendengaranmu. Sesungguhnya ia pasti
ada sesuatu yang baik yang Dia hendak perintahkan kamu atau sesuatu yang buruk
yang Dia hendak larang kamu."
Di dalam ayat ini Allah perintahkan mukmin
supaya memohon pertulungan daripadaNya dengan cara bersabar dan menunaikan
solat.
Sedia maklum, solat adalah rukun Islam
kedua selepas syahadah. Rasulullah
s.a.w. menunjukkan contoh terbaik memohon pertulungan dengan bersolat. Apabila menghadapi sesuatu
kesulitan, baginda segera menunaikan solat. Apabila masuk waktu solat, baginda
berkata kepada Bilal: "Rehatkan kami dengannya (solat) wahai Bilal!."
(Abu Daud) Kata-kata ini menggambarkan betapa baginda sangat teruja untuk
mendirikan solat kerana peranannya yang cukup penting dan amat berkesan dalam
meleraikan kekusutan yang melingkari hati dan jiwa manusia.
Sabar bermaksud mengawal diri menghadapi
sesuatu yang tidak digemari. Menurut Ibn Kathir, sabar diperlukan dalam
menghadapi beberapa keadaan:
Pertama: Sabar dalam meninggalkan perkara
yang haram dan dosa.
Kedua: Sabar dalam melakukan kebaikan dan
mentaati Allah s.w.t. Katanya, yang kedua ini lebih besar pahalanya kerana
itulah tujuan sebenar kita diciptakan.
Ketiga: Sabar dalam menanggung kesusahan
dan bencana. Ini juga wajib hukumnya seperti wajibnya beristighfar memohon
ampun dari dosa.
Diriwayatkan daripada Zainal Abidin Ali bin
Husain r.a., dia berkata: "Apabila Allah menghimpunkan semua orang yang
terdahulu dan yang kemudian, terdengar satu seruan berbunyi: "Di manakah
orang-orang yang sabar? Hendaklah mereka masuk ke syurga sebelum hisab!"
Maka bangunlah sekumpulan manusia menyahut seruan itu. Mereka bertembung dengan
malaikat. Lalu malaikat bertanya: "Hendak ke manakah kamu wahai anak
Adam?" Mereka menjawab: "Ke syurga!" Malaikat bertanya: "Sebelum
hisab?" Mereka menjawab: "Ya!" Malaikat bertanya lagi:
"Siapakah kamu?" Mereka menjawab: "Kami adalah orang-orang yang
sabar." Malaikat berkata: "Betullah kamu seperti yang kamu
kata."
Untuk menjelaskan lagi kepentingan sabar
dan solat, Allah Yarham Sayyid Qutub telah menulis di dalam "Fi
Dzilal"nya:
"Sabar banyak kali diulang-ulang di
dalam al-Quran. Ini kerana Allah s.w.t. mengetahui besarnya tenanga yang
diperlukan untuk istiqamah di atas jalan ini berdepan dengan pelbagai tarikan
dan rintangan. Besarnya pengorbanan yang diperlukan untuk melaksanakan dakwah
di muka bumi ini, yang terpaksa berdepan dengan pelbagai tentangan dan
halangan. Ia memerlukan ketahanan yang amat kental, kekuatan yang tidak mudah
tewas, kepekaan terhadap serangan luaran dan dalam. Semua itu pastinya
memerlukan kesabaran. Di samping kesabaran untuk taat, kesabaran untuk menjauhi
maksiat, kesabaran menghadapi penentang-penentang, kesabaran melawan tipu daya
yang datang dalam rupa yang berbagai-bagai, kesabaran menanti pertulungan yang
lambat datang, kesabaran meredahi perjalanan yang panjang, kesabaran melihat
kesombongan musuh yang batil, kesabaran dalam keadaan sedikitnya orang yang
menulung, kesabaran menelusuri jalan yang penuh duri, kesabaran mendepani
godaan nafsu, hati yang sering lalai, hebatnya serangan, kencangnya penolakan.
Dan tika mana perjalanan semakin panjang
meredah kesukaran, kesabaranpun akan menyusut atau lebur sekiranya tidak
dibekalkan dengan penambahan-penambahan baru. Lantaran itu datangnya solat mengiringi
sabar. Solat merupakan mata air yang tidak akan kering, bekalan yang tidak akan
berkurangan, sumber yang dapat menjana tenaga dan kekeuatan secara berterusan."
Ayat ini ditutup dengan satu penegasan
"sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar".
Kebersamaan Allah amat besar nilainya buat
kita.
Manusia yang berjalan seorang diri dengan
memegang sebatang tongkat akan rasa lebih aman berbanding dengan orang yang
berjalan dengan tangan kosong tanpa berpegang kepada apa-apa. Bayangkan dalam
merentasi lautan kehidupan yang bergelora, kita tidak sekadar bergantung harap kepada
sebatang tongkat, sebaliknya, yang ada
bersama dengan orang sabar itu ialah Allah yang maha kuat, maha perkasa, maha
bijaksana dan maha memelihara.
No comments:
Post a Comment