“Setiap
amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku
dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafaz dari
riwayat al-Bukhari.
Sesungguhnya
risalah Islam secara keseluruhannya merupakan risalah tarbawiyyah yang
didatangkan untuk membawa kebaikan kepada seluruh umat manuisa, mengeluarkan
mereka dari menghambakan diri kepada makhluk kepada menghambakan diri kepada
Khaliq, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Allah s.w.t.
telah menerangkan dengan jelas tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas Rasul
yang diutuskanNya di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dialah
yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul
dari kalangan bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat
Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan
mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai
hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad)
itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah:2)
Maka
asas risalah Nabi ialah tarbiah dan tazkiatun-nafs. Islam menjadikan tujuan
paling utama ibadah ialah membawa manusia kepada pengislahan dan taqwa. Ibadah
sebenarnya bertujuan untuk membersihkan jiwa, mendidik dan melatihnya.
Justeru,
solat adalah madrasah untuk mentarbiah, melatih (tahzib) dan membetulkan
(taqwim) tingkah laku. “Bacalah
serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran
dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari
perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih
besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.” (Al-‘Ankabut:45)
Zakat
juga madrasah untuk mentarbiah jiwa dan membebaskannya dari belenggu nafsu
sayangkan harta dan hidup mementingkan diri semata-mata. “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka
menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari
dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk
mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan
(ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah:103)
Haji pun madrasah untuk mentarbiah dan membentuk diri berakhlak
mulia. “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan
yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya
(dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri
dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa
mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana
sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta
sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat
memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah:197)
Demikian puasa di bulan Ramadan, tidak terlepas daripada
tujuan serta landasan ini. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)
Maka, tujuan
paling utama disyariatkan puasa adalah untuk mendidik para mukmin mencapai
darjat taqwa. Lebih istimewa lagi, Allah telah jadikan puasa dan bulan Ramadan
penuh dengan elemen-elemen tarbiah yang tidak terdapat pada bulan-bulan serta
ibadah lain daripada puasa. Puasa dan Ramadan adalah madrasah yang mengandungi
manhaj yang lengkap dengan objektifnya, wasilah-wasilahnya, aktiviti-aktivitinya
seperti tilawah al-Quran, qiamullail, i’tikaf, sedekah, berdakwah dan
lain-lain, dilengkapi pula dengan biah dan suasana persekitaran yang membantu
ke arah mencapai objektif yang disasarkan.
“Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci
pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.” Maksud Hadis Sahih riwayat
al-Bukhari dan lain-lain.
Berkenaan
maksud Hadis yang disebutkan di awal tulisan ini, iaitu “puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya”, para
ulamak telah mengemukakan beberapa pandangan dan huraian. antara lain:
i.
Rukun-rukun
selain daripada puasa membawa kerehatan kepada hamba. Misalnya, syahadatain merehatkan
daripada syirik, gangguan para musyrikin serta tarikan manhaj-manhaj yang menyeleweng
dan batil. Solat merehatkan daripada berpaling arah kepada sesuatu yang tidak
memberi manfaat dan mudarat. Zakat merehatkan hati daripada iri hati, dengki
dan benci kepada golongan yang tidak berada. Haji merehatkan diri dari
kongkongan hidup yang sempit, membuka ufuk pemikiran yang amat luas dengan menyaksikan
bukti-bukti nyata keEsaan Allah, kehebatan dan kekuasaanNya yang tiada tara.
Kecuali puasa. Puasa adalah kepenatan hamba semata-mata demi mencapai redha
Allah Ta’ala. Puasa adalah tidak melakukan apa-apa kecuali menahan diri dari
melakukan perkara yang diingini oleh nafsu dan dihajati oleh fitrah. Maka puasa
adalah penyucian dan peningkatan, satu-satunya ibadah yang tidak dilakukan kecuali
kerana Allah.
ii.
Puasa
tidak dilihat dan diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Ibadah lain berupa
perbuatan dan pergerakan yang dapat dilihat dan
disaksikan oleh manusia. Puasa hanyalah niat dan menahan diri dari melakukan
perkara yang membatalkannya. Justeru, unsur ria tidak mudah untuk menyelinap ke
dalamnya.
iii.
Puasa
adalah rahsia paling besar antara hamba dengan
Tuhannya kerana menahan diri daripada syahwah itu, syahwah perut, syahwah seks
tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah. Maka orang yang berpuasa sebenarnya
sedang menghayati maqam ihsan atau mencapainya, iaitu “Kamu beribadah kepada
Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka Dia melihat
kamu.” Maksud Hadis riwayat Muslim
Jadi,
untuk setiap ibadah itu ganjarannya. Untuk setiap kebaikan itu pahalanya. Satu
kebaikan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun puasa, ganjarannya
tidak diketahui melainkan Allah yang di TanganNya tersimpan khazanah langit dan
bumi. Ia tidak dihitung dengan bilangan, tidak ditimbang dengan timbangan,
tidak diukur dengan sukatan. Ia dianugerahi dengan longgokan pahala yang tidak
mampu dianggarkan, anugerah dari Yang Maha Agong. Daripada Abu Hurairah r.a.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan
pahalanya 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa.
Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Riwayat
Muslim
No comments:
Post a Comment