Saturday, January 04, 2020

KENAPA KITA WAJIB MENJAGA DAN MENGHARGAI SOLAT?


Mungkin ramai yang menjawab kerana solat adalah rukun Islam yang paling utama selepas syahadah. 
Solat adalah tiang agama. Jika solat diruntuhkan, runtuhlah agama.
Solat adalah sempadan antara iman dengan kufur. Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja bererti dia telah kufur secara terang-terangan.
Dan banyak lagi hujjah-hujjah yang berkaitan dengan hukum solat serta kewajipan menjaganya.

Saya tidak menafikannya. Semua itu memang benar.
Namun kali ini saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk melihatnya dari sudut yang berbeza. Solat sebagai satu anugerah, satu hadiah dari Allah Yang Maha Agung kepada kita, hambaNya yang hina, yang tidak punya apa-apa. Wujudnya kita di dunia sementara ini bergantung sepenuhnya pada iradah(kehendak) dan qudrah(kuasa)Nya semata-mata.

Solat adalah saat paling berharga, saat berlakunya pertemuan antara hamba yang kerdil dengan Tuannya, Rabbnya Yang Maha Tinggi, Maha Mulia, Maha Perkasa.
Pertemuan itu atas panggilanNya, pada waktu yang dipilihNya.
Bandingkan dengan urusan dunia yang biasa-biasa. Kalau seorang rakyat marhaen hendak berjumpa dengan raja, dia terpaksa melalui beberapa prosedur dan protocol tertentu. Mungkin berhari-hari atau berbulan-bulan terpaksa menunggu giliran dan masa yang sesuai.

Tetapi pertemuan dengan Allah, Dia yang panggil kita. Panggil secara langsung. Tiada perantara. Dia Hendak berbicara dengan kita. Dia mahu mendengar luahan kita. Dan Dia berjanji akan menunaikan hajat dan permintaan kita. Lebih daripada itu, Dia mengajar cara untuk berbicara denganNya. Apa yang patut kita kata, apa yang perlu kita minta.
Bayangkan Dia memanggil kita. Lantas kita datang dengan penuh rasa gembira, bahagia, dan berharga.
Maka berlakulah percakapan yang penuh bermakna antara kita sebagai hamba dengan Dia, Pemilik alam semesta. 

Nabi s.a.w. bersabda: “Allah Ta’ala berfirman maksudnya: Aku membahagikan solat (surah al-Fatihah) di antaraKu dan hambaKu separuh, separuh:-
Hamba berkata:ٱلۡحَمۡدُلِلَّهِرَبِّٱلۡعَـٰلَمِينَ
Allah menjawab: hambaKu memuji akan daku
Hamba berkata: ٱلرَّحۡمَـٰنِٱلرَّحِيمِ
Allah menjawab: hambaKu menyanjungiKu 
Hamba berkata:مَـٰلِكِيَوۡمِٱلدِّينِ
Allah menjawab: hambaKu memuja dan mengagungkanKu 
Hamba berkata:إِيَّاكَنَعۡبُدُوَإِيَّاكَنَسۡتَعِينُ
Allah menjawab: Ini adalah pembahagi di antara Aku dengan hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu. 
Hamba berkata:ٱهۡدِنَاٱلصِّرَٲطَٱلۡمُسۡتَقِيمَصِرَٲطَٱلَّذِينَأَنۡعَمۡتَعَلَيۡهِمۡغَيۡرِٱلۡمَغۡضُوبِعَلَيۡهِمۡوَلَاٱلضَّآلِّينَ
Allah menjawab: ini untuk hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu.
(Riwayat Imam Muslim dan lain-lain)

Subhanallah! Tak terbayang indahnya detik itu. 
Bandingkan kalau kita pergi mengadap orang besar di dunia ini, kadang-kadang di hadapan kita mereka berjanji akan menunaikan permintaan kita. Namun akhirnya janji tinggal janji. Jarang kita terus diberi apa yang kita hajati.
Sebaliknya, Allah berjanji. Dan janjiNya adalah janji yang pasti kerana Dia tidak memungkiri janji dan tidak ada apa dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangNya dari menunaikan janjiNya kerana Dia Maha Kuasa, Maha Kaya yang memiliki segala-galanya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, kita duduk bersimpuh mengadapNya dengan sepenuh jiwa dan raga, mengucapkan Tahiyyat penghurmatan dan sanjungan, mempersembahkan penghargaan yang tidak berbelah bagi kepadaNya:التحيات، المباركات، الصلوات، الطيبات لله
Diikuti pula dengan memberi salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.:
 السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته
Seterusnya mengucap salam kepada diri dan seluruh hamba-hamba Allah yang soleh: 
السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Diikuti dengan ucapan dua Kalimah Syahadah sebagai penegasan iltizam yang tidak akan luntur selama-lamanya.

Dan diakhiri dengan selawat ke atas Nabi tercinta s.a.w.

Apakah yang kita dapat daripada semua ini?
1.    Tahiyyat, sanjungan dan penghurmatan yang dirafaqkan kepada Allah, dibalas dengan limpahan rahmat dan barakatNya ke atas kita sebagaimana janjiNya: “sebutlah dan ingatlah kamu kepadaKu, nescaya  Aku sebut dan ingat kepadamu;” (Al-Baqarah 2:152
2.    Memberi salam kepada Rasulullah s.a.w., salam kita terus dijawab oleh baginda. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang memberi salam kepadaku, kecuali Allah kembalikan ruhku kepadaku sehingga aku dapat menjawab salamnya.” Riwayat Abu Daud
Bayangkan kita duduk di atas sejadah, di mana-mana tempat di seluruh penjuru alam ini, kita memberi salam kepada baginda, lantas salam kita itu dijawab oleh baginda di saat itu juga! Subhanallah!
3.    Salam ke atas diri sendiri dan sekelian hamba Allah yang soleh. Bayangkan berapa ramai hamba Allah yang soleh yang terdiri dari manusia, malaikat dan jin sejak permulaan kehidupan sehingga ke akhirnya. Setiap salam, setiap doa yang kita titipkan kepada mereka, Allah balas kebaikan dan kesejahteraan yang sama kepada kita. Bayangkan betapa banyaknya! Allahu Akbar!
4.    Dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid, Kalimah Ikhlas adalah kalimah keramat yang merupakan anak kunci dan pintu masuk ke dalam Islam dan ke dalam syurga. Ia diulang-ulang supaya iman tidak lemah dan layu, iman sentiasa segar, mekar dan bertenaga sepanjang masa.
5.    Selawat ke atas Nabi s.a.w. serta keluarga baginda. Apa yang kita bakal terima? Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, Allah berselawat ke atasnya 10 kali.” Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Allahu Akbar! Bayangkanlah ketika kita berkata, “Allahumma Solli ‘ala Muhammad”, Allah kurniakan rahmatNya kepada kita 10 kali ganda. Ia turun mencurah-curah ke atas kita ketika itu juga kerana Allah maha pantas mengira. Subhanallah! 

Dan sebelum mengakhiri solat, titipkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Doa yang Dia janji tidak akan menolaknya. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abi Umamah r.a., Rasulullah s.a.w. ditanya, “Ya Rasulullah, doa yang manakah paling didengari?” Baginda s.a.w. menjawab, “di akhir malam dan di penghujung solat-solat yang fardhu.” Allahu Akbar!

Maka, dengan segala tawaran yang hebat-hebat itu adakah kita merasakan bahawa solat itu satu tanggungjawab yang berat, satu bebanan yang meletihkan atau satu hadiah yang besar, satu anugerah yang agung khusus untuk kita, hamba-hamba yang Dia amat sayangi dan kasihi yang sewajibnya kita menjaga dan menghargainya? 

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

*UMD*

04012020/08051441

Wednesday, January 01, 2020

SIAPA MUSUH DAKWAH?


Dakwah adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang buruk dan keji. Dan mereka itulah (yang melakukan dakwah) orang-orang yang berjaya.”

Ayat di atas menjelaskan bahawa tujuan dakwah adalah menyeru dan mengajak kepada kebaikan dan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Dan usaha ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab individu, malah ia juga turut menjadi tanggungjawab kerajaan. Hal ini dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Demikianlah, Islam sebagai agama yang diturunkan untuk membawa rahmah kepada alam semesta tidak membiarkan perkara-perkara tidak baik berlaku dan berleluasa di dalam masyarakat kerana ia boleh menjejaskan kesejehteraan dan keharmonian hidup semua pihak. Lantaran itu, Islam menuntut agar umatnya tidak mengabaikan tanggungjawab amar makruf (menyuruh kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kejahatan)
Kini, adakah terdapat kejahatan khususnya di kalangan murid di sekolah-sekolah sehingga mendorong KPM membenarkan YADIM melalui RSY menjalankan aktiviti dakwah di sekolah-sekolah?

Menurut statistic salah laku disiplin pelajar di sekolah pada tahun 2017 adalah seperti berikut:
1.    Ponteng sekolah – 67,053
2.    Kurang sopan – 14,509
3.    Tidak pentingkan masa – 13,415
4.    Kekemasan diri – 10,946
5.    Rokok – 8,514
6.    Berunsur jenayah – 6,917
7.    Kenakalan – 5,825
8.    Buli – 2,795
9.    Berunsur kelucahan – 2,266
10.  Laku musnah – 1,868


Adakah angka-angka yang tertera di dalam statistic di atas menggembirakan kita atau sebaliknya? Kalau ia tidak menggembirakan kita, maka tak dapat tidak usaha dakwah perlu dipergiatkan.

Mereka yang menentang atau cuba menghalang dakwah sama ada dari kalangan muslim atau non muslim mungkin kerana satu daripada dua sebab:

Pertama, tidak faham atau salah faham tentang maksud dan tujuan dakwah. Mungkin pada fahaman mereka dakwah adalah semata-mata usaha mengislamkan mereka yang belum Islam. Lantaran itu mereka sangat takut bila dengar perkataan dakwah. Ini menepati pepatah Arab: “seseorang itu musuh kepada apa yang dia tidak tahu”.

Kedua, (diharap tidak ada mereka yang termasuk di dalam kategori ini) mereka yang suka anak-anak kita terlibat di dalam gejala social yang semakin parah. Mereka tidak bimbang akan masa depan negara dan nasib generasi akan datang. Mereka tidak berfikir dan tidak mengambil berat untuk mendidik dan membentuk generasi pelapis yang akan menjadi pemimpin hari esok, yang mampu memacu umat dan negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan kepada dunia dan seluruh penghuninya.   


Justeru, semua pihak yang cintakan kebaikan dan bencikan kemungkaran mesti bekerjasama, bahu membahu melaksanakan misi dakwah dengan cara yang hikmah dan mau’idzah hasanah (nasihat yang baik) agar gagasan rahmatan lil’alamin dapat dicapai dan dinikmati bersama.

Tuesday, December 31, 2019

DI AMBANG 2020


2019 berinsut-insut mengundur pergi
2020 bersiap sedia untuk mengganti
Ia membawa khabar yang pasti
Bahawasanya usia kita berkurang lagi
Kian menyusut tak mungkin diganti
Entah berapa detik saja yang berbaki
Toleh ke balakang tak mungkin sama sekali
Kebaikan dan kejahatan telah terakam dengan rapi
Oleh pencatat di kanan dan di kiri
Seluruh anggota menjadi saksi
Tiada sekelumitpun bisa disembunyi
Pada hari kebangkitan, balasannya pasti 

Pandang ke depan
Masih adakah kesempatan
Meningkatkan amalan menambahkan bekalan
Di saat tenaga hampir lumpuh dimamah usia
Tulang belulang semakin rapuh diratah masa
Otot dan sendi sakit di sini berdenyut di sana 
Gerak geri semakin longlai tidak bermaya

Demikianlah hakikat penggantian
Detik  menjadi minit
Minit menjadi jam
Jam menjadi hari
Hari menjadi minggu
Minggu menjadi bulan
Bulan menjadi tahun
Tahun menjadi dekat
Hakikatnya ia menggulung usia kita
Dari garis permulaan hingga ke penghujungnya
Sebagaimana yang telah disuratkan 
Oleh Maha Pencipta

MAZNAH BINTI DAUD
31 DISEMBER 2019
00.01 AM

Sunday, December 29, 2019

ABU BAKAR AS-SIDDIQ R.A. MENANGIS KERANA SETANDAN KURMA

Kisah ini berlaku di zaman sebaik-baik kurun. Wataknya adalah dua orang sahabat yang hebat, Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami yang pernah memohon untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. di dalam syurga.

Kisah ini diceritakan sendiri oleh watak utamanya, Rabi’ah r.a. 
“Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepadaku sebidang tanah bersebelahan dengan sebidang yang diberikan kepada Abu Bakar. Kami berselisih faham tentang setandang buah kurma. Datanglah dunia menggoda kami.
Abu bakar berkata, tandan ini berada di dalam kawasanku. 
Aku berkata, bukan. ia berada di dalam kawasanku.
Masing-masing kami tidak mahu mengalah.
Abu Bakar tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang mengguris hatiku dan dia amat menyesal atas keterlanjuran lidahnya itu.
Maka dia berkata: “Wahai Rabi’ah, ucapkanlah kepadaku perkataan yang sama seperti apa yang telah aku ucapkan kepadamu sebagai qisas (balasan) kepadaku!”
Aku menjawab: “Tidak. Demi Allah aku sekali-kali tidak akan mengucapkan perkataan itu kepadamu. Aku tidak akan mengeluarkan kata-kata kepadamu kecuali yang baik!”
Beliau terus mendesak supaya aku ucapkan juga. Namun aku tetap bertegas tidak akan mengucapkannya. Dia berkata bahawa dia akan meminta Rasululla s.a.w. memerintahkan aku supaya mengucapkannya.
Beliau enggan menerima tanah itu dan pergi mengadap Rasulullah s.a.w. 
Aku mengekorinya.

Di tengah jalan, beberapa orang dari qabilahku, Aslam menegur dengan berkata: “Semoga Allah rahmati Abu Bakar. Dia telah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadapmu dan dia akan meminta tolong (Rasulullah) supaya menyuruh engkau membalasnya.”
Aku berkata kepada mereka: “Kamu tahukah siapa Abu Bakar ini? Dia adalah salah seorang daripada dua orang yang berada di dalam gua, dan dia orang yang mempunyai kedudukan di kalangan muslimin. Awas kamu! Jangan nanti dia terpandang kamu membantuku untuk melawannya yang mungkin akan menyebabkan kemarahnnya terhadapmu. Kemudian bila diketahui oleh Rasulullah, baginda akan memarahimu dengan sebab kemarahan Abu Bakar terhadapmu. Lalu Allah turut memarahimu dengan sebab kemarahan mereka berdua. Lantas binasalah Rabi’ah dengan kemurkaan Allah SWT. Oleh itu, beredarlah kamu dari sisiku!”

Aku meneruskan perjalananku mengekori Abu Bakar menemui Rasulullah s.a.w.
Beliau menceritakan apa yang berlaku kepada baginda. Kemudian baginda bertanya kepadaku apa yang sebenarnya berlaku. Dan aku menceritakannya.

Rasulullah s.a.w. memintaku mengucapkan apa yang diminta oleh Abu Bakar tetapi aku tetap enggan. Maka bagindapun berkata: “Baiklah. Jika engkau enggan, ucapkanlah: “Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Bakar.”

Lantas Abu Bakar berpaling meninggalkan kami dalam keadaan menangis.

Riwayat al-Hakim. Dia berkata hadis ini sahih menurut syarat Imam Muslim. 

Ranungkanlah.
Betapa tingginya akhlak mereka. 
Mereka adalah manusia biasa. Ada kelemahan. Kadang-kadang tersilap dan tergelincir diseret hasutan duniawi.
Namun iman mereka tidak membenarkan mereka terus larut dalam kesilapan. 
Redha Allah jua yang dicari. 
Bukan memenangkan nafsu dan kepentingan peribadi.

#fastabiqulkhairat

Wednesday, December 11, 2019

‏TADABBUR – MASULIAH FARDIAH


Di bawah ini beberapa ayat berkaitan dengan masuliah fardiah, iaitu setiap insan bertanggungjawan terhadap diri sendiri. Setiap insan meraih keuntungan daripada amalannya dan memikul beban akibat perbuatannya sendiri.

1. (فمن أبصر فلنفسه💫
“Maka sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri,” 

2. (من عمل صالحًا فلنفسه)💫
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri,” 

3. (ومن شكر فإنما يشكر لنفسه)💫
Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri,” 

4. (ومن تزكى فإنما يتزكى لنفسه)💫
“Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri “ 

5. (ومن جاهد فإنما يجاهد لنفسه)💫
“Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; “

6. (فمن اهتدى فإنما يهتدي لنفسه)💫
“Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, “

7. (ومن يبخل فإنما يبخل عن نفسه)💫
“padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri.” 

8. (فمن نكث فإنما ينكث على نفسه)💫
“Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya;” 

9. (ومن يكسب إثما فإنما يكسبه على نفسه)💫
“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri.” 

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan tentang masuliah fardiah, iaitu setiap orang memikul tanggungjawap ke atas diri sendiri. Dialah yang akan menerima dan menanggung kebaikan atau keburukan amalannya. 

Kejayaanmu di dunia dan di akhirat adalah projek peribadimu.
Jangan mencari dan membuat alasan pada kecuaian manusia lain, atau kerana penyelewengan masyarakat, atau kejahilan orang ramai, atau halangan daripada saudara mara, jauh dan dekat. 

Duniamu adalah ujian bagimu, kamu sendiri. 
Maka beramallah untuk dirimu.  Berusahalah bersungguh-sungguh untuk kejayaanmu sekalipun manusia seluruhnya cuai dan malas.

 🌹Semoga harimu dilimpahi kedamaian dengan zikrullah🌹

Tuesday, December 10, 2019

TADABBUR – JANGAN SOLAT KETIKA MABUK


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan (bacakan)….”

Ibn Kathir rahimahullah merekodkan sebab turun ayat ini sebagaimana yang disebut oleh Ali bin Abi Talib r.a.: “Abdul Rahman bin Auf telah mengadakan kenduri dan menjemput kami makan. Beliau turut menghidangkan kami khamar. Ketika kami sedang menjamu selera, masuklah waktu solat. Lalu salah seorang daripada kami diangkat mengimamkan solat. Maka beliau membaca “Ya ayyuhal kafirun, ma a’budu ma ta’budun, wanahnu na’budu ma ta’budun (wahai orang-orang kafir, aku tidak sembah apa yang kamu sembah dan kami sembah apa yang kamu sembah)”. Lantas Allah SWT menurunkan ayat ini”

Ayat ini diturunkan sebelum turun ayat ke 90 surah al-Maidah yang mengharamkan minum arak secara total.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Berbalik  kepada larangan menunaikan solat ketika sedang mabuk, dinyatakan dengan jelas akan alasannya, iatu “hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan atau apa yang kamu baca di dalam solat kamu”.

Sedia maklum bahawa orang yang sedang mabuk tidak mampu mengendalikan diri dan tutur katanya dengan betul. Dalam keadaan demikian dia juga tidak mampu untuk khusyuk dan tadabbur ayat-ayat yang dibaca. Oleh itu tujuan solat sebagaimana disebut di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.”(Taha 20:14
iaitu untuk mengingati Allah, menghayati keagunganNya serta bermunajat memohon doa kepadaNya tidak tercapai. 

Cuba renungkan, pernahkan kita mendirikan solat dalam keadaan mabuk?
Jawapan kita tentulah tidak kerana kita tidak pernah mabuk dan tidak pernah meminum arak.
Tapi, pernahkah kita solat dalam keadaan kita tidak tahu apa yang kita baca? 

Kadang-kadang selepas memulakan solat dengan takbiratul-ihram dengan mengangkat kedua tangan dan menggerakkan bibir menyebut “Allahu Akbar”, hati dan fikiran terus meluncur laju entah ke mana-mana dan tidak kembali bersama anggota badan yang berdiri, tunduk, sujud dan duduk sehinggalah kepala menoleh ke kanan dan ke kiri memberi salam. Maka tercapaikah tujuan solat kita? Tidakkah solat yang sedemikian tidak jauh beza dengan solat orang yang mabuk?

Mungkin solat seperti itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang itu beredar dari solatnya (selesai mengerjakan solatnya), pada hal tidak dituliskan (pahala) untuknya kecuali 1/10, 1/9, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3, 1/2  daripada solatnya.” Riwayat Abu Daud dan an-Nasae daripada Ammar bin Yasir r.a.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata, “Akan datang satu zaman di mana manusia bersembahyang tetapi hakikatnya mereka tidak sembahyang. Dan sesungguhnya aku takut bahawa inilah zaman itu!”
Beliau hidup pada kurun ke 3 hijrah. 
Bagaimanalah agaknya jika beliau melihat hal keadaan solat umat Islam pada hari ini?

Imam al-Ghazali berkata, “Sesungguhnya seseorang itu melakukan satu sujud. Dia menyangka sujudnya itu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Namun, demi Allah! Sekiranya dibahagikan dosa satu sujudnya itu kepada seluruh penduduk negeri ini nescaya mereka akan binasa semuanya!” 
Beliau ditanya, “Bagaimana boleh jadi demikian?”
Beliau menjawab, “Dia sujud dengan kepalanya di hadapan Tuhannya, sedangkan hatinya sibuk mengingati hiburan, maksiat, syahawat dan cinta dunia. Maka sujud apakah ini?”

Peringatan buat diriku serta seluruh umat yang dikasihi agar sentiasa berusaha mengelakkan diri dari solat seperti orang mabuk.