Saturday, January 04, 2020

KENAPA KITA WAJIB MENJAGA DAN MENGHARGAI SOLAT?


Mungkin ramai yang menjawab kerana solat adalah rukun Islam yang paling utama selepas syahadah. 
Solat adalah tiang agama. Jika solat diruntuhkan, runtuhlah agama.
Solat adalah sempadan antara iman dengan kufur. Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja bererti dia telah kufur secara terang-terangan.
Dan banyak lagi hujjah-hujjah yang berkaitan dengan hukum solat serta kewajipan menjaganya.

Saya tidak menafikannya. Semua itu memang benar.
Namun kali ini saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk melihatnya dari sudut yang berbeza. Solat sebagai satu anugerah, satu hadiah dari Allah Yang Maha Agung kepada kita, hambaNya yang hina, yang tidak punya apa-apa. Wujudnya kita di dunia sementara ini bergantung sepenuhnya pada iradah(kehendak) dan qudrah(kuasa)Nya semata-mata.

Solat adalah saat paling berharga, saat berlakunya pertemuan antara hamba yang kerdil dengan Tuannya, Rabbnya Yang Maha Tinggi, Maha Mulia, Maha Perkasa.
Pertemuan itu atas panggilanNya, pada waktu yang dipilihNya.
Bandingkan dengan urusan dunia yang biasa-biasa. Kalau seorang rakyat marhaen hendak berjumpa dengan raja, dia terpaksa melalui beberapa prosedur dan protocol tertentu. Mungkin berhari-hari atau berbulan-bulan terpaksa menunggu giliran dan masa yang sesuai.

Tetapi pertemuan dengan Allah, Dia yang panggil kita. Panggil secara langsung. Tiada perantara. Dia Hendak berbicara dengan kita. Dia mahu mendengar luahan kita. Dan Dia berjanji akan menunaikan hajat dan permintaan kita. Lebih daripada itu, Dia mengajar cara untuk berbicara denganNya. Apa yang patut kita kata, apa yang perlu kita minta.
Bayangkan Dia memanggil kita. Lantas kita datang dengan penuh rasa gembira, bahagia, dan berharga.
Maka berlakulah percakapan yang penuh bermakna antara kita sebagai hamba dengan Dia, Pemilik alam semesta. 

Nabi s.a.w. bersabda: “Allah Ta’ala berfirman maksudnya: Aku membahagikan solat (surah al-Fatihah) di antaraKu dan hambaKu separuh, separuh:-
Hamba berkata:ٱلۡحَمۡدُلِلَّهِرَبِّٱلۡعَـٰلَمِينَ
Allah menjawab: hambaKu memuji akan daku
Hamba berkata: ٱلرَّحۡمَـٰنِٱلرَّحِيمِ
Allah menjawab: hambaKu menyanjungiKu 
Hamba berkata:مَـٰلِكِيَوۡمِٱلدِّينِ
Allah menjawab: hambaKu memuja dan mengagungkanKu 
Hamba berkata:إِيَّاكَنَعۡبُدُوَإِيَّاكَنَسۡتَعِينُ
Allah menjawab: Ini adalah pembahagi di antara Aku dengan hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu. 
Hamba berkata:ٱهۡدِنَاٱلصِّرَٲطَٱلۡمُسۡتَقِيمَصِرَٲطَٱلَّذِينَأَنۡعَمۡتَعَلَيۡهِمۡغَيۡرِٱلۡمَغۡضُوبِعَلَيۡهِمۡوَلَاٱلضَّآلِّينَ
Allah menjawab: ini untuk hambaKu, untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkannya dariKu.
(Riwayat Imam Muslim dan lain-lain)

Subhanallah! Tak terbayang indahnya detik itu. 
Bandingkan kalau kita pergi mengadap orang besar di dunia ini, kadang-kadang di hadapan kita mereka berjanji akan menunaikan permintaan kita. Namun akhirnya janji tinggal janji. Jarang kita terus diberi apa yang kita hajati.
Sebaliknya, Allah berjanji. Dan janjiNya adalah janji yang pasti kerana Dia tidak memungkiri janji dan tidak ada apa dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangNya dari menunaikan janjiNya kerana Dia Maha Kuasa, Maha Kaya yang memiliki segala-galanya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, kita duduk bersimpuh mengadapNya dengan sepenuh jiwa dan raga, mengucapkan Tahiyyat penghurmatan dan sanjungan, mempersembahkan penghargaan yang tidak berbelah bagi kepadaNya:التحيات، المباركات، الصلوات، الطيبات لله
Diikuti pula dengan memberi salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.:
 السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته
Seterusnya mengucap salam kepada diri dan seluruh hamba-hamba Allah yang soleh: 
السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Diikuti dengan ucapan dua Kalimah Syahadah sebagai penegasan iltizam yang tidak akan luntur selama-lamanya.

Dan diakhiri dengan selawat ke atas Nabi tercinta s.a.w.

Apakah yang kita dapat daripada semua ini?
1.    Tahiyyat, sanjungan dan penghurmatan yang dirafaqkan kepada Allah, dibalas dengan limpahan rahmat dan barakatNya ke atas kita sebagaimana janjiNya: “sebutlah dan ingatlah kamu kepadaKu, nescaya  Aku sebut dan ingat kepadamu;” (Al-Baqarah 2:152
2.    Memberi salam kepada Rasulullah s.a.w., salam kita terus dijawab oleh baginda. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang memberi salam kepadaku, kecuali Allah kembalikan ruhku kepadaku sehingga aku dapat menjawab salamnya.” Riwayat Abu Daud
Bayangkan kita duduk di atas sejadah, di mana-mana tempat di seluruh penjuru alam ini, kita memberi salam kepada baginda, lantas salam kita itu dijawab oleh baginda di saat itu juga! Subhanallah!
3.    Salam ke atas diri sendiri dan sekelian hamba Allah yang soleh. Bayangkan berapa ramai hamba Allah yang soleh yang terdiri dari manusia, malaikat dan jin sejak permulaan kehidupan sehingga ke akhirnya. Setiap salam, setiap doa yang kita titipkan kepada mereka, Allah balas kebaikan dan kesejahteraan yang sama kepada kita. Bayangkan betapa banyaknya! Allahu Akbar!
4.    Dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid, Kalimah Ikhlas adalah kalimah keramat yang merupakan anak kunci dan pintu masuk ke dalam Islam dan ke dalam syurga. Ia diulang-ulang supaya iman tidak lemah dan layu, iman sentiasa segar, mekar dan bertenaga sepanjang masa.
5.    Selawat ke atas Nabi s.a.w. serta keluarga baginda. Apa yang kita bakal terima? Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, Allah berselawat ke atasnya 10 kali.” Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Allahu Akbar! Bayangkanlah ketika kita berkata, “Allahumma Solli ‘ala Muhammad”, Allah kurniakan rahmatNya kepada kita 10 kali ganda. Ia turun mencurah-curah ke atas kita ketika itu juga kerana Allah maha pantas mengira. Subhanallah! 

Dan sebelum mengakhiri solat, titipkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Doa yang Dia janji tidak akan menolaknya. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abi Umamah r.a., Rasulullah s.a.w. ditanya, “Ya Rasulullah, doa yang manakah paling didengari?” Baginda s.a.w. menjawab, “di akhir malam dan di penghujung solat-solat yang fardhu.” Allahu Akbar!

Maka, dengan segala tawaran yang hebat-hebat itu adakah kita merasakan bahawa solat itu satu tanggungjawab yang berat, satu bebanan yang meletihkan atau satu hadiah yang besar, satu anugerah yang agung khusus untuk kita, hamba-hamba yang Dia amat sayangi dan kasihi yang sewajibnya kita menjaga dan menghargainya? 

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

*UMD*

04012020/08051441

No comments: