Sunday, June 09, 2013

Kehidupan tidak dihitung dengan bilangan tahun



Nukilan asy-Syahid Sayyid Qutub 

Ketika kita hidup untuk diri kita sendiri sahaja, ternyata bagi kita kehidupan ini singkat dan sempit. Ia bermula ketika kita mula sedar kita hidup dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang telah dibataskan. 

Adapun ketika kita hidup untuk orang lain, iaitu ketika kita hidup untuk (memperjuangkan) satu fikrah, maka sesungguhnya kehidupan kita akan jadi panjang dan mendalam. Ia bermula seawal bermulanya kewujudan insan di dunia ini dan memanjang sehingga selepas kita pergi meninggalkan muka bumi ini.

Sesungguhnya dalam hal ini kita akan memperolehi keuntungan berlipat kali ganda daripada usia peribadi kita. Keuntungan yang hakiki, bukan khayalan atau andaian semata-mata. 

Maka tasawwur tentang kehidupan seperti ini mencetuskan dalam diri perasaan lebih menghargai hari-hari kita, jam-jam kita dan detik-detik hidup kita berkali-kali ganda.

Justeru, kehidupan tidak dihitung dengan bilangan tahun, tetapi dihitung dengan apa yang kita rasai dan alami.

Monday, May 27, 2013

Jelajah USA 2013 - I


Hari Khamis 2 May 2013, jam 23.50 dengan berat hati aku melangkah meninggalkan tanah air yang panas membahang dengan pelbagai isu dalam menghadapi PRU 13 yang bakal berlangsung pada 5 May 2013. Aku bagaikan tersepit di antara dua panggilan; panggilan naluri keibuan yang ingin menyaksikan upacara penganugerahan ijazah kepada seorang anak, dan panggilan tanggungjawab sebagai rakyat dalam menentukan kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Namun, aku seolah-olah tidak dapat membuat pilihan kerana visa dan tiket telah pun dibeli beberapa bulan sebelum perisytiharan pembubaran parleman dan penetapan tarikh PRU 13.

Penerbangan dengan American Airlines melalui jalan London, Chicago, Detroit mengambil masa lebih kurang 27 jam. Cuaca masih tidak menentu antara sejuk dan panas musim bunga. Musim sejuk yang baru berlalu meninggalkan pokok-pokok tidak berdaun. Banyak yang masih gondola. Namun pada masa yang sama ada setengah pokok yang telah galak berbunga menyerlahkan aneka warna yang sangat indah dan mempersona.

Dari lapangan terbang Detroit, singgah di sebuah masjid yang didirikan oleh penganut Syi’ah, merupakan antara masjid tertua dan terbesar di Amerika. Solat jamak Zohor dan Asar.

Kemudian menjamu selera di Restoran Arab, Alsaha.

4 May 2013, hari yang dinantikanpun tiba. Majlis Graduasi yang gilang gemilang mengikut tradsi ‘Orang Putih’. Berbeza dengan Majlis Konvokesyen yang pernah aku hadiri di sini. Suatu yang menarik, ketika menyampaikan ijazah, penyampai itu tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pelajar wanita yang memakai tudung. Diapun tahu menghurmati pegangan seorang muslimah. Sekalung tahniah buat anakku, Muhammad 'Aakif dan kawan-kawan seangkatan dengannya.


Pada malamnya, merupakan siang hari 5 haribulan 5 di Malaysia di mana sedang berlangsungnya pengundian di seluruh Negara. Sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata disebabkan mata masih belum dapat disesuaikan dengan perubahan waktu siang dan malam dan sebab kedua pastinya kerana hati dihambat debaran mengikuti pelbagai karenah pengundian di pusat-pusat mengundi yang dilaporkan melalui internet, minit demi minit.

Pagi 5 May di sini aku dijemput mengisi dua slot ceramah kepada sekumpulan pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk bumi USA, lelaki dan perempuan. 

Waktu itu, pengiraan undi dan pengumuman keputusan undian sedang berjalan. Pastinya sedikit sebanyak mengganggu penumpuan terhadap ceramah yang disampaikan. Boleh dikatakan, ceramah diselang seli dengan melihat keputusan setiap kali muncul pengumuman terbaru. Sedih dan hampa tidak dapat dipadam dengan mudah apabila keputusan tidak seperti apa yang diharapkan. Cuma, perasaan bersalah kerana tidak mengundi sedikit terubat apabila mengetahui kawasan tempat mengundiku tidak kalah, Alhamdulillah. Sebaliknya calon yang mengatakan dia yakin 101% akan menang itulah yang tumbang dengan izinNya.  Kalau ditakdirkan dia menang, pastinya aku akan rasa berdosa kerana menjadi sebahagian daripada sebab dia menang.

Urusan graduasi telah selesai, Alhamdulillah. Kini tiba pula urusan jelajah. 6 May, tempat pertama yang dituju ialah Holland, sebuah taman yang dipenuhi bunga tulip yang bermacam-macam bentuk dan warna yang indah.




Bersambung, in syaa’ Allah

Wednesday, May 15, 2013

Tidakkah Sudah Tiba Masanya Bagi Kemanusiaan Yang Tersiksa Untuk Kembali Kepada Fitrah?



رسالة من: أ.د. محمد بديع- المرشد العام للإخوان المسلمين

Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam, selawat dan salam ke atas pemimpin para nabi,  penyudah para rasul, dan ke atas keluarga baginda, para sahabat, tabi’in serta semua yang mengikuti dengan sebaiknya sehingga ke hari pembalasan. Amma ba’du..

Sesungguhnya Islam adalah agama samawi terakhir  yang merupakan penyudahnya. Islam adalah manhaj rabbani yang diturunkan Allah untuk memimpin manusia yang teraba-raba dalam kesesatan. Matlamatnya ialah untuk merealisasikan ubudiyyah yang sempurna untuk Allah semata-mata. Dengan pengabdian yang sempurna kepada Allah Ta’ala semata-mata, wujudlah kebebasan yang sempurna. Manusia memiliki kehendak yang benar-benar bebas. Kebebasan yang tercetak dengan sibghah Allah Ta’ala. Ia menjadi contoh nilai murni, model akhlak terpuji demi kebaikan sekelian makhluk dan kemakmuran sejagat.

Sesungguhnya satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah adalah Islam kerana Islam merupakan agama fitrah yang meliputi semua tuntutan hidup: kemasyarakatan, pendidikan, akhlak, siasah, kesihatan, ekonomi dan lain-lain. “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Rum:30)
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Lalu kedua ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Fitrah ialah sifat yang ada pada setiap yang wujud sejak awal kejadiannya. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah mengakui keesaan Allah ‘Azza wa Jalla. Pengakuan itu merupakan janji setia yang telah diikat dengan Allah sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Al-A’raf:172)

Maka manusia, mengikut  fitrahnya yang suci mengenali Tuhannya, berdamping denganNya, bergantung kepadaNya ketika ditimpa bencana, lebih-lebih lagi ketika tidak ada manusia yang menulungnya, tidak ada apa-apa yang membantunya. Ketika itu fitrahnya akan kembali kepada Allah dan memohon pertulunganNya. “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Israa’:67)

Kaum musyrikin pada masa turunnya al-Quran mengenali Tuhan yang menciptakan mereka. Fitrah mereka berkata benar ketika ditanya. Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Tanyakanlah (wahai Muhammad): Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)? Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar? Mereka akan menjawab: (Semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu bertakwa? Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta dia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui! Mereka akan menjawab: (Segala-galanya) dikuasai Allah. Katakanlah: Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?” (Al-Mu’minun:84-89)

Dan naluri ini tidak terbatas pada manusia sahaja. Bahkan fitrah mengenal Allah ini meliputi semua makhluk; haiwan, burung-burung, batu-batan, kayu-kayuan dan lain-lain. Semuanya diciptakan di atas landasan fitrah yang sama: pengabdian kepada Allah, bertasbih, memuji dan mengagungkanNya. “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Al-Israa’:44)

Kenapakah Islam merupakan agama fitrah?

Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah kerana ia tidak meninggalkan satupun pintu yang menyampaikan manusia kepada kesempurnaan dan kebahagiaan melainkan ditunjukkannya, diperintah supaya memasukinya serta dijanjikan pahala ganjaran yang baik untuknya. Pada masa yang sama, ia tidak meninggalkan satupun pintu yang membawa kepada kebinasaan, kejahatan dan kehancuran kecuali diperingatkan dan dilarang dari mendekatinya serta diancam balasan siksa yang dahsyat dan mengerikan.

Islam agama fitrah kerana ia sejajar dengan sunnatullah di dalam penciptaan insan; ia memberikan kepada jasad haknya dan kepada ruh haknya. Ia berjalan seiring dengan kedua-duanya secara seimbang sehingga mencapai mercu kesempurnaannya.

Islam agama fitrah kerana ia menghormati akal, menjulang tinggi ilmu dan ulamak serta mengangkat darjat mereka. “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” (Al-Mujadilah:11)

Islam agama fitrah kerana ia memacakkan tiang-tiang rahmah. Sesungguhnya risalah yang dibawa oleh Muhammad, tiada lain kecuali rahmah bagi semesta alam. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmah bagi sekalian alam.” (Al-Anbiaa’:107) Dalam konteks ini Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Kamu tidak beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kamu sesuatu yang membuatkan kamu berkasih sayang?” Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Hebahkan salam di kalangan kamu. Maka demi Tuhan yang jiwaku di TanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu sayang menyayangi.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami semua saling sayang menyayangi.” Baginda bersabda: “Bukan rahmah (sayang menyayangi) antara kamu secara khusus, tetapi rahmah yang umum.”

Islam agama fitrah kerana ia merealisasikan keadilan yang sempurna, merangkumi manusia seluruhnya termasuk dengan musuh. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah:8)

Islam agama fitrah kerana ia mengiktiraf prinsip persamaan sesama manusia. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang ‘ajam (bukan Arab) kecuali dengan taqwa. “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Al-Hujurat:13)

Islam agama fitrah kerana ia menegaskan bahawa kebebasan itu sesuatu yang suci sehinggakan manusia diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menganut apa saja agama yang dipilihnya. “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Al-Baqarah:256). Islam menganggap kebebasan lahir bersama kelahiran manusia itu sendiri. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah mengungkapkan kata-kata yang masyhur tentang kebebasan: “Bilakah kamu (diberikan hak untuk) memperhambakan manusia, padahal mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”

Islam agama fitrah kerana ia datang membawa kemuliaan akhlak yang mengangkat darjat manusia dan meninggikan nilai mereka. Bahkan Islam menjadikan  kemuliaan akhlak sebagai matlamat pengutusan risalah yang terakhir. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”

Islam agama fitrah kerana ia bersifat syumul. Ia merangkumi dasar-dasar serta prinsip-prinsip asas yang mengatur semua aspek kehidupan: akhlak, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain. Tidak ada satu bidangpun ditinggalkan. Semuanya diatur rapi. “Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;” (Al-An’am:38)  “Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”  (Al-Israa’:12)

Islam agama fitrah kerana ia agama yang seimbang. Objektifnya kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ia menekankan aspek kesihatan jasmani dan kesucian rohani. Menseimbangkan antara fizikal dan spritual, antara keperluan dan nillai-nilai murni. “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas:77) Terdapat serangkap athar: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah engkau  akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

Sebab-sebab perubahan fitrah

Apabila kita mengatakan bahawa beragama itu satu fitrah di dalam diri manusia, maka apa yang ada di sekitarnya menjadi sebab fitrah yang lurus suci itu terseleweng. Rasulullah s.a.w. menjelaskan hal ini di dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiapa anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Lalu kedua ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Justeru, fitrah akan terseleweng dengan sebab-sebab berikut:

1.   Bisikan syaitan dari kalangan jin. Syaitan telah berjanji pada diri sendiri akan menyesatkan bani Adam sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.” (Sad:82-83) Di dalam sepotong Hadis Qudsi, Allah berfirman maksudnya: “Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hambaKu bersifat lurus murni semuanya. Dan syaitan-syaitan mendatangi mereka lalu memesongkan mereka dari agama mereka. Syaitan-syaitan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan untuk mereka. Syaitan-syaitan menyuruh mereka supaya mempersekutukan Aku dengan perkara yang tidak punya apa-apa kuasa.” Dan segala faktor dan rintangan-rintangan yang berikut semuanya merupakan tentera-tentera syaitan dan talibarutnya. Manusia tidak akan terlepas dari jerat syaitan kecuali dengan memohon perlindungan daripada Allah dan bergantung denganNya.

2.   Apa yang disemai oleh ibu bapa di dalam diri anak-anak mereka. “Lalu kedua ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

3.   Apa yang diajar oleh mereka yang mendakwa berilmu, mengkaji dan menyelidik. Rasulullah s.a.w. mentafsirkan ayat “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (At-Taubah:31) dengan sabdanya yang bermaksud: “Adapun mereka itu tidak menyembah padri dan pendeta mereka. Tetapi mereka ikut apa yang padri itu halalkan dan apa yang padri itu haramkan.”

4.   Kejahilan dan taqlid buta, walaupun dengan bertaqlid itu membuatkan mereka binasa “ Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api Neraka yang marak menjulang?”  (Luqman:21)

5.   Teman-teman jahat yang ada di sekeliling, yang fitrahnya telah rosak dan menganggap kerosakan itulah yang elok. “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” (Al-Furqan:27-29). Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama teman setianya. Maka hendaklah seseorang kamu meneliti siapakah yang jadi teman setianya.”

Gejala-gejala penyelewengan fitrah

Orang yang melihat kepada reality akan nampak dengan jelas gejala-gejala terselewengnya fitrah dari landasannya yang lurus. Antaranya:  lunturnya nilai-nilai akhlak kemanusiaan yang murni seperti tidak ada sifat malu, merebaknya dusta, khianat, pergaduhan, kezaliman, permusuhan yang melampau. Munculnya puak-puak yang mengajak kepada kerosakan dan merosakkan di muka bumi sehingga ke tahap merosakkan tanaman, keturunan, meruntuhkan pembangunan, memusnahkan institusi, menghancurkan apa saja yang boleh dicapai oleh tangan mereka. Mereka menghalalkan harta, darah dan maruah manusia. Ciri-ciri yang ada pada mereka tepat seperti apa yang digambarkan di dalam friman Allah “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Al-Baqarah:204 – 205)

Dan lebih menakjubkan lagi mereka menganggap munkar itu ma’ruf  dan ma’ruf itu munkar. Bukan sekadar itu. Bahkan mereka menyuruh kepada munkar dan mencegah dari ma’ruf. “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang dari perbuatan yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.” (At-Taubah:67)

Dan boleh jadi bencana yang berlaku di kebanyakan negara merupakan balasan dari Allah Ta’ala kerana rosaknya fitrah. Hal ini pernah dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. Baginda  maksudnya: “Bagaimana keadaan kamu apabila wanita-wanita kamu telah melampau batas, pemuda-pemuda kamu telah fasiq dan kamu meninggalkan jihad?” Mereka bertanya: “Adakah perkara sedemikian akan berlaku wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ya. Dan lebih dahsyat daripada itu akan berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu tidak menyuruh yang ma’ruf dan tidak melarang dari yang munkar?” Mereka bertanya: “Dan perkara itupun akan berlaku?” Baginda menjawab: “Ya.  Dan lebih dahsyat daripada itupun akan berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu melihat ma’ruf itu munkar dan munkar itu ma’ruf?” Mereka bertanya: “Dan perkara itupun akan berlaku?” Baginda menjawab: “Ya.  Dan lebih dahsyat daripada itupun akan berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu menyuruh yang munkar dan kamu mencegah dari yang ma’ruf?” Mereka bertanya: “Dan perkara itupun akan berlaku?” Baginda menjawab: “Ya.  Dan lebih dahsyat daripada itupun akan berlaku. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Demi DiriKu Aku bersumpah, Aku akan datangkan kepada mereka ujian sehingga orang yang sabarpun berada dalam kebingungan?”

Rawatan

Wahai umat Islam di semua tempat,

Sesungguhnya rawatan yang paling berkesan dan ubat yang paling mujarab ada pada agama fitrah yang dibawa oleh penutup nabi-nabi dan rasul-rasul. Di situlah ubat dan penawar bagi segala jenis penyakit, penyembuh bagi segala jenis wabak. Apabila kita tegakkan agama itu di dalam hati dan reality, kita laksanakan ajarannya, kita tunaikan haknya dengan sempurna, Tuhan kita redha dan kita akan memperolehi kebaikan akhirat dan dunia. Imam al-Banna berkata: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengutus RasulNya sebagai rahmah kepada alam semesta hingga ke hari qiamat. Dia mengutuskan bersama dengannya kitabNya yang benar sebagai nur, petunjuk sehingga ke hari Qiamat. Sesungguhnya kepimpinan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga kini dengan sunnahnya. Sesungguhnya kekuasaan al-Quran tetap kuat dengan hujjahnya. Dan sesungguhnya manusia akan menuju ke arah keduanya, tidak ada jalan lain lagi untuk mereka sama ada dengan rasa bangga atau hina, pada masa yang singkat atau lambat, sehingga terlaksanalah firmanNya yang bermaksud: “supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain;” (Al-Fath:28)

Maka jadilah kamu orang yang melangkah dahulu dengan nama Rasulullah s.a.w. dengan membawa botol ubat daripada doktor al-Quran demi menyelamatkan dunia yang tersiksa sakit yang tenat.

Sesungguhnya langkah ini merupakan langkah yang berani tetapi dijamin tepat insya Allah. Dan Allah pasti menang di dalam segala urusan. “dan pada ketika berlakunya (kemenangan) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”  (Ar-Rum:4-5)

Pada masa lain, beliau berkata: Dan sesungguhnya antara kewajipan kita, yang mana di tangan kita ada unggun cahaya, ada botol ubat, kewajipan kita ialah melangkah ke hadapan, kita perbaiki diri kita dan kita seru orang lain. Andainya kita berjaya, maka itu harapan kita. Jika tidak, maka cukup sekurang-kurangnya kita telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan menginginkan kebaikan untuk manusia. Kita tidak harus sama sekali memandang rendah kepada diri kita. Orang yang membawa risalah dan memikul tanggungjawab dakwah, cukuplah bagi mereka memiliki faktor-faktor kejayaan yang berikut: Mereka hendaklah beriman dengan risalah yang dibawa, ikhlas kepadanya dan berjihad di jalannya. Biarlah masa yang menantinya, dan dunia tertunggu-tunggu kehadirannya. Maka adakah sesiapa yang menyahut?

Setiap pendakwah di semua masa dan tempat selalu berkata “Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku;” (Hud:51) 
Dan Allah jua matlamat kami. Dialah yang memberi petunjuk ke jalan yang lurus.
والله أكبر ولله الحمد

                                    القاهرة في: الخميس 29 جمادى الآخرة 1434هـ، 9 مايو 2013م. 

Sumber:

Friday, April 19, 2013

Surah al-Kafirun



Surah ke 109, mengandungi 6 ayat.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (al-Kafirun: 1-6)

Hadis-hadis berkaitan dengan surah ini:

1.    Daripada Jabir r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. membaca surah ini dan surah al-Ikhlas di dalam solat sunat tawaf dua rakaat. Riwayat Muslim
2.    Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. membaca surah ini dan surah al-Ikhlas di dalam solat sunat Fajar dua rakaat. Riwayat Muslim
3.    Apabila Rasulullah s.a.w. membaringkan badannya, Baginda membaca surah ini hingga tamat. Riwayat at-Tabraniy
4.    Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Az-Zalzalah menyamai ½ al-Quran, al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran, al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran.” Riwayat at-Tirmizi.
5.    Daripada al-Harith bin Jabalah, dia berkata: saya berkata kepada Nabi s.a.w., “Ya Rasulullah, ajarkan saya sesuatu yang boleh saya baca ketika hendak tidur.” Baginda bersabda (maksudnya): “Apabila engkau mula merebahkan badan di waktu malam, bacalah ‘al-Kafirun’. Sesungguhnya ia merupakan “bara’ah” (pembebasan diri) daripada syirik.” Ibn Kathir

Ibn Jarir at-Tabariy, di dalam kitab tafsirnya memetik kata-kata Ibn ‘Abbas r.a. bahawa sebab turun surah ini ialah: orang-orang Quraisy menawarkan Rasulullahs.a.w. untuk memberinya harta yang banyak agar baginda menjadi lelaki paling kaya di Mekah dan mengahwinkannya dengan mana-mana wanita yang baginda mahu. Mereka berkata kepada baginda: “Ini janji kami kepadamu wahai Muhammad. Dengan ini, kami meminta engkau berhenti daripada mencela tuhan-tuhan sembahan kami. Jangan engkau sebut sesuatu yang tidak elok tentangnya. Jika engkau tidak setuju permintaan ini, maka kami ingin kemukakan satu tawaran yang baik untukmu dan untuk kami.” Baginda berkata: “Apakah tawaran itu?” Mereka menjawab: “Engkau sembah tuhan kami, al-Lata dan al-‘Uzza satu tahun, kami sembahTuhanmu satu tahun.” Baginda menjawab: “Aku akan tunggu apa yang dating dari Tuhanku.” Maka turunlah wahyu “Qul yaayyuhal-kafirun” hingga ke akhir surah.

Ibn Jarir juga memetik apa yang diceritakan oleh Sa’eid bin Maina’: beberapa orang pemimpin Quraisy yang terdiri daripada al-Walid bin al-Mughirah, al-‘Aas bin Waeil, al-Aswad bin al-Muttalib dan Umayyah bin Khalaf telah mengadakan pertemuan dengan Rasulullahs.a.w. Mereka mengemukakan cadangan dengan berkata: “Wahai Muhammad, marilah kita bersepakat; kami sembah apa yang engkau sembah dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi dalam semua perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa lebih baik daripada apa yang ada pada kami, kami dapat berkongsi denganmu kebaikan itu dan mengambil habuan kami daripadanya. Dan sekiranya apa yang ada pada kami lebih baik daripada apa yang ada padamu, engkau pun dapat berkongsi dengan kami kebaikan itu dan engkau boleh mengambil habuanmu daripadanya.” Lalu Allah menurunkan surah ini hingga akhir.

Ibn Kathir berkata, surah ini merupakan surah ‘al-bara’ah’, iaitu pembebasan diri daripada amalan yang dilakukan oleh kaum musyrikin. Meskipun asalnya surah ini ditujukan kepada kafir Quraisy di Mekah yang mengajak Nabis.a.w. berkompromi dengan mereka di dalam penyembahan dan peribadatan, namun perkataan ‘al-kafirun’ itu sebenarnya merangkumi seluruh manusia yang kafir di muka bumi ini.
Allah Ta’al perintah kanRasul-Nya agar membebaskan diri daripada anutan dan pegangan mereka secara total. Tiada tawar menawar dan tiada jalan tengah untuk mencampur adukkan kebenaran dengan  kebatilan. Tidak ada ruang untuk menyatukan antara aqidah tauhid dan syirik.

Surah dimulakan dengan kalimah ‘qul’ yang bermakna ‘katakanlah (wahai Muhammad)’ member gambaran bahawa penegasan ini dating daripada Allah. Agama ini adalah urusan Allah semata-mata. Ia bukan urusan Muhammad s.a.w.

Muhammad s.a.w. hanyalah seorang Rasul yang tidak ada kuasa untuk campurtangan walau sedikitpun. Segala perintah datang daripada Allah. Dia sekali-kali tidak bias menolak atau mengelak.

‘wahai orang-orang kafir!’, mereka diseur dengan sifat dan hakikat diri mereka yang secara terang-terangan menolak iman, mengingkari tauhid dan kerasulan Muhammad s.a.w. Penolakan iman sebenar merupakan sesuatu yang berlawanan dengan fitrah mereka sendiri kerana hakikatnya setiap manusia mempunyai naluri yang tertanam sejak mula dicipta, naluri mengenali dan mengimani Allah Yang Esa. Lantaran itu orang yang tidak beriman dipanggil kafir. Iaitu orang yang menutup fitrah nya sendiri.

‘aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak sembah apa yang aku sembah.’ Penegasan ini diulang sebanyak dua kali, iaitu ayat empat dan lima mengulangi penegasan yang telah dinyatakan di dalam ayat dua dan tiga. Kali pertama (ayat 2 dan 3) dalam bentuk ‘jumlah fi’liyyah’ (menggunakan katakerja a’budu), manakala kali kedua (ayat 4 dan 5) menggunakan ‘jumlah ismiyyah’ (menggunakan kata nama ‘aabidu).

Penegasan kali kedua menggunakan jumlahismiyyah adalah untuk menguatkan penegasan yang pertama. Menurut tatabahasa Arab, jumlah ismiyyah menunjukkan sifat keteguhan dan ketegasan, tidak berganjak dari pendirian dengan lebih mantap dan berterusan sampai bila-bila.

Ibn Kathir berkata, terdapat beberapa tafsiran yang dikemukakan oleh para mufassirin mengenai maksud di sebalik pengulangan ini.

Pertama: semata-mata ta’kid, iaitu bermaksud menguatkan penegasan yang pertama sahaja.

Kedua: menurut riwayat al-Bukhari daripada para mufassirin, penegasan kali pertama di dalam ayat 2 dan 3 bermaksud pada masa lalu, iaitu aku tidak pernah sembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah sembah apa yang aku sembah. Penegasan kali kedua di dalam ayat  4 dan 5 bermaksud pada masa akan datang, iaitu aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak akan sembah apa yang aku sembah.

Ketiga: pandangan yang dikemukan oleh Ibn Taimiyyah, penegasan yang pertama bermaksud menafikan perbuatan kerana ia jumlah fi’liyyah. Penegasan yang kedua menafikan penerimaan tawaran itu secara tuntas kerana penafian itu dibuat dengan menggunakan jumlah ismiyyah.Tafsiran ini membawa maksud “aku tidak pernah sembah apa yang kamu sembah dan sekali-kali tidak mungkin akan menerima untuk melakukannya”. Atau boleh dikatakan “aku tidak pernah dan tidak akan melakukannya” dan perkara itu tidak mungkin diterima di sisiSyara’.

Dan ayat terakhir ‘bagimu agamamu dan bagiku agamaku’ merupakan kata putus yang amat jelas, tegas dan tuntas.Tiada titik pertemuan, tiada jambatan penghubung dan tiada jalan penyambung antara iman dan kufur, antara tauhid dan syirik, antara hak dan batil.

Islam dibina di atas landasan tauhid yang suci murni. Agama selainnya dibina di atas dasar syirik yang batil, yang menyimpang dari landasan kebenaran. Allah adalah satu-satunyaTuhan yang menciptakan. Daripada-Nya kita dating dan kepada-Nya kita dikembalikan, daripada-Nya juga kita menerima syari’ah serta manhaj kehidupan.

Justeru, mukmin wajib membersihkan diri, baik dari sudut aqidah maupun dari sudut amalan dari segala unsur syirik serta saki bakinya. Mukmin mesti jelas apa yang digariskan oleh Allah dalam semua bidang yang merangkumi dasar-dasar aqidah, syari’ah, akhlak dan sebagainya. Allah juga telah menetapkan neraca, nilai dan tasawwur yang benar tentang kehidupan dan hakikat kewujudan seluruhnya yang wajib dipegang dan diimani.

Ini tidak bermakna Islam menyuruh umatnya mengasingkan diri dari manusia. Islam tidak memerintahkan umatnya membina tembok-tembok tebal yang memisahkan mereka dari dunia. Umat Islam mesti bergaul dengan manusia, hidup di tengah-tengah mereka. Namun pada masa yang sama, umat Islam mesti dapat membezakan yang hak dengan yang batil, berfikir dan menilai sesuatu dengan neraca sendiri, berjalan mengikut rentak hukum Allah, bertindak berpandukan hidayah Allah, berinteraksi di dalam batas akhlak yang digariskan Allah.

Terdapat satu athar bermaksud: “Jangan kamu menjadi imma’ah (orang yang tidak tetap pendirian). Kamu berkata: jika manusia baik, kami pun baik. Jika mereka zalim kami pun zalim.Tetapi teguhkan pendirian kamu. Jika manusia baik, kamu hendaklah baik. Dan jika manusia jahat, maka jangan kamu jadi zalim dan jahat.”




Sunday, April 14, 2013

Seruan kepada pemuda


بقلم: د. محمد بديع المرشد العام لجماعة الإخوان المسلمين –
2013-04-11 15:38:05

Putera puteriku yang dimuliakan,

Kamu adalah harapan umat yang dijanjikan, masa depannya yang gemilang, tonggaknya yang segar, pembawa panji-panji kebangkitan dan kemajuannya. Kamu adalah Pembina keagungannya, yang memikul dan meletakkan umat ini di tempat yang sesuai baginya. Kamu adalah kekuatannya yang terpendam, yang menjadi bekalan buat menghadapi cabaran masa hadapan, dalaman dan luaran. Kamu adalah bekalan masa depan, tempat bergantungnya harapan. Itulah nilai kamu, itulah kedudukan kamu dan itulah tanggungjawab kamu serta amanah kamu di hadapan Allah Ta’ala, di hadapan umat kamu dan diri kamu sendiri. Sekadar mana kedudukan kamu, sekadar itulah pengorbanan yang dituntut daripada kamu. Sekadar mana hak-hak kamu, sekadar itulah kewajipan kamu. Dan semakin tinggi matlamat yang ingin dicapai, semakin banyak usaha yang perlu dicurahkan demi mencapainya.

Kamu sekarang berada di tahap usia paling subur di dalam hidup kamu dari segi spiritual, kejiwaan, keilmuan dan amalan. Justeru, wajib ke atas kamu menjaga kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Kekuatan yang aku maksudkan ialah segala jenis kekuatan dan segala unsur-unsurnya: material, spiritual, ruhani, jasmani dan lain-lain. Gunakan segala kekuatan itu untuk mendapatkan redha Allah, membantu umat manusia, menyumbang bakti dan khidmat berguna kepada tanah air kamu.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berpesan supaya memberi perhatian kepada pemuda dan mengutamakan mereka. Daripada Sa’eid al-Khudriy r.a., apabila melihat pemuda, beliau akan berkata: “Marhaban (selamat datang) orang yang diwasiat tentangnya oleh Rasulullah s.a.w.! Baginda berwasiat kepada kami supaya melapangkan majlis untuk kamu dan mengajarkan kamu Hadis dengan mendalam kerana kamu adalah pengganti kami dan ahli Hadis.”
Begitu juga Abdullah bin Ma’ud r.a. apabila melihat pemuda sedang menuntut ilmu, beliau berkata: “Marhaban (selamat datang) kepada kamu. Kamu adalah taman-taman hikmah, lampu-lampu yang menerangi kegelapan, pakaian yang buruk, hati yang baru, penghias rumah dan wangian setiap qabilah.”

Di dalam sejarah kita, sejarah Islam banyak peristiwa yang boleh dijadikan bukti menunjukan pentingnya kedudukan kamu, dan betapa para pemimpin di sepanjang sejarah begitu mengambil berat tentang kamu. Nama-nama seperti Usamah bin Zaid, Mu’ab bin ‘Umayr, Mu’az dan Mu’awwiz bin ‘Afra’, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Anas bin an-Nadhar, Muhammad al-Fatih r.’anhum adalah sebahagian daripada contoh-contoh yang bergemerlapan di dalam sejarah kita. Mereka adalah terjemahan yang hakiki bagi kedudukan kamu serta kejayaan paling cemerlang pernah dicipta oleh pemuda sepanjang hayat sejarah.

Putera puteriku yang dimuliakan,

Pada zaman kita abad ini, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna yarhamuhuLlah, adalah contoh pemuda yang memiliki aqidah yang murni, dakwah yang suci dan hakiki, usaha yang tidak kenal jemu, langkah-langkah yang tiada henti demi mencapai matlamat yang disasarkan. Beliau mengasaskan jamaah Ikhwan Muslimin, meletakkan batu asasnya, strukturnya, garis panduan pemikiran dan pergerakannya. Beliau mengelilingi seluruh bumi Mesir serta sebahagian negara-negara di luar Mesir. Beliau berjaya meyakinkan ribuan manusia dengan fikrahnya dan menyebarkannya dengan bantuan ikhwan yang ikhlas kepada perjuangannya. Dan Allah ‘Azza wa Jalla menganugerahkan syahid di akhir perjalanan jihad dan dakwahnya yang hebat. Semua itu dilakukan di dalam usianya yang tidak melebihi 43 tahun.

Imam asy-Syahid telah mengkhususkan untuk kamu satu risalah “Ila asy-Syabab”. Di dalam risalah itu beliau menggariskan rukun-rukun kejayaan: “Sesungguhnya satu fikrah hanya akan berjaya apabila diimani dengan kuat, diperjuangkan dengan ikhlas, penuh semangat serta bersedia mencurahkan amal dan pengorbanan demi merealisasikannya.” Kita dapati, beliau meletakkan empat rukun kejayaan sesuatu fikrah: iman, ikhlas, hamasah (semangat) dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruhi dan aqidah (iman, ikhlas) di samping amali dan tatbiqi (pelaksanaan) iaitu hamasah dan amal. Ia merupakan gabungan yang cukup serasi antara hamasah asy-Syabab (semangat orang muda) dengan pengarahan yang baik serta kefahaman yang mantap.

Asy-Syahid juga telah menggariskan keperluan-keperluan utama bagi sesuatu bangsa dan umat yang mana pemuda adalah inti atau unsur penting bagi umat; iaitu keperluan untuk bangkit dan kembali membangunkan keagungannya. Beliau berkata: sesungguhnya pembentukan umat, pentarbiahan bangsa, pencapaian harapan, perjuangan menegakkan prinsip, berhajat kepada satu ummah yang cuba melakukannya atau satu golongan yang menyeru kepadanya. Golongan ini sekurang-kurangnya mestilah memiliki kekuatan jiwa yang hebat. Jiwa yang hebat teradun di dalamnya ciri-ciri berikut: kehendak yang kuat yang tidak akan dihinggapi perasaan lemah, kesetiaan yang teguh yang tidak diserang oleh tolak ansur dan tipu daya, pengorbanan yang tinggi yang tidak disekat oleh sifat tamak dan bakhil, memahami prinsip, beriman dengannya dan menghargainya yang menghalang daripada kesilapan, penyelewengan, tawar menawar serta terpedaya dengan yang lain.”

Antara makanah (kedudukan) dan amanah

Sesungguhnya amanah kamu sangat besar. Bebanan kamu sangat berat. Usaha yang dituntut untuk merealisasikan hadaf yang tinggi demi tanah air memerlukan himmah yang tinggi, keazaman yang tidak mungkin disekat. Ibarat kata seorang penyair dahulu kala:

Sesungguhnya engkau telah dicalonkan untuk memikul satu urusan kalaulah engkau memahaminya,
Maka perkemaskan dirimu, peliharalah ia dan jangan engkau cuai.


Maka bangkitlah untuk memikul amanah dengan kuat, jangan lemah. Dengan azam yang kukuh, tidak longgar. Dengan himmah yang tinggi, tidak malas. Dengan ilmu yang benar, bukan agak-agak. Dengan tawakkal kepada Allah, bukan tawakul. Dengan keyakinan kepada pertulungan Allah, dapat memelihara kamu dari terpesong dan tergelincir. Contohilah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua. Mereka berdoa kepada Allah dengan menjadikan amal soleh mereka sebagai wasilah. Mereka taat kepada Allah, meninggalkan dosa dan kejahatan.

Kewajipan-kewajipan

Sesungguhnya kamu mempunyai kewajipan yang besar dalam menghadapi cabaran yang menghalangi kamu dan dalam merealisasikan kemenangan yang diharapkan daripada kamu. Kewajipan yang pertama ialah kewajipan terhadap Tuhan kamu. Maka perelokkanlah hubungan dengan Tuhan kamu, ikhlaskan niat kamu. Awas! Kamu jangan lakukan apa yang menyebabkan Dia murka kepada kamu. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pelindung, Penulung dan Pembantu. Elokkan ibadat kamu dengan menunaikan apa yang difardhukan ke atas kamu. Jauhi apa yang dilarangnya. Berjalanlah mengikut landasan yang disukai dan diredahi-Nya. Jadikan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang dan lapangan sebagai senjata kamu. Mantapkan bidang pengkhususan kamu. Ia meluaskan penguasaan kamu dan penyuluh akal kamu. Ambil manfaat daripada usaha, ilmu, pengalaman orang-orang sebelum kamu. Tidak ada orang tua dalam bidang ilmu dan pembelajaran. Jauhi sifat sombong terhadap ilmu atau ulamak, atau orang yang tua daripada kamu dari segi usia dan pangkat, atau dalam mana-mana bidang dalam kehidupan. Sesungguhnya sombong itu jahat semuanya. Dan ia merupakan satu daripada factor yang membinasakan hati.

Hendaklah kamu benar-benar mengetahui dan memahami dengan mendalam rancangan jahat yang diatur untuk memusnahkan umat kamu dari dalam dan luar. Kamu hendaklah mengikuti peristiwa yang berlaku, mengkaji, memerhati dan menganalisisnya supaya kamu jelas hakikatnya serta mampu membongkar selok belok perancangan musuh yang rumit. Kamu mesti dapat membezakan antara gandum dan sekam, antara tulin dan palsu. “Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d:17)

Sesungguhnya pergaulan kamu dengan orang yang berlainan fikrah, sudut pandangan, ideology, berlainan bangsa, warna kulit dan agama menjadi teras kepada bangunan dan keteguhannya. Maka berhati-hatilah daripada mereka yang cuba memecah belahkan saf kamu dengan menabur benih perselisihan puak dan bangsa. Perselsisihan itu sebenarnya perkara yang sangat jauh dari tabiat mesyarakat kita. Hendaklah kamu hidup bersama secara harmoni dan bekerjasama. Maaf bermaafan sesama kamu dan berlapang dada selalu sebagaimana pesanan orang-orang terdahulu: kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati, dan kita beri keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.

Hiasilah diri kamu dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai yang telah diasaskan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Kamu hendaklah berpegang dengan akhlak dan nilai-nilai amal jama’iy. Bekerja dengan semangat berpasukan, tulung menulung dengan rakan, bertolak ansur, bermaafan, jangan beri tumpuan kepada perkara remeh temeh, lupakan kesilapan yang tidak disengajakan, cari alasan buat mereka. Dengan itu akan tersebar perasaan kasih antara kamu, kemesraan akan berkekalan, lantas tanah air akan bangkit dan bergerak maju dengan izin Allah Ta’ala.
Kamu hendaklah bijak mengurus waktu. Gunakan waktu kamu untuk perkara yang bermanfaat. Pemuda yang ingin membangun ketinggian bangsa dan umatnya tidak mengenal erti membuang masa di dalam kamusnya. Sebaliknya dia sentiasa bekerja bersungguh-sungguh, berikhtiar mencari jalan dan peluang, tabah demi mencapai hadaf. Hingga pada waktu rehatnya dia akan memanfaatkan waktu dengan sebaik-baiknya.

Beramallah dengan ilmu kamu. Curahkan segala tenaga kamu. Tunaikan syukur kamu di atas segala ni’mat yang Allah anugerahkan dengan malakukan amal soleh dan sentiasa rajin melakukan apa saja yang mendatangkan kebaikan kepada tanah air dan warganya. Utamakan kepentingan awan daripada kepentingan khusus. Berhati-hati, jangan kamu dipergunakan untuk menjadi bahan bakar yang mencetuskan pertempuran padahal kamu tidak mempunyai unta jantan dan unta betina untuk ditunggang.

Hendaklah kamu berasa megah dengan berintima’ kepada tanah air kamu. Hendaklah kamu mementingkan kemajuannya daripada kemajuan peribadi kamu. Tingkatkan kemajuan diri kamu seiring dengan kemajuannya. Berkorbanlah demi kebaikannya. Peliharalah tanah air kamu dan segala khazanahnya supaya kamu dapat mewariskannya kepada anak cucu kamu kebaikan yang kamu terima daripada bapa dan datuk kamu. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat kamu, menyelesaikan permasalahannya dan bekerja untuk memajukannya. Talakan segala tenaga kamu untuk membina dan memakmurkannya. Jauhi segala perkara yang sia-sia yang tidak menghasilkan amal. Jadikan percakapan kamu percakapan yang baik. Diam kamu diam berfikir. Amal kamu amal yang berhasil.

Jadilah kamu qudwah (contoh ikutan)dalam tingkah laku dan cara bergaul. Hurmatilah orang tua, kasihilah orang muda. Berilah nasihat dengan cara terbaik, terimalah nasihat walau dari sudut manapun. Bersahabatlah dengan orang yang baik, yang membantu kamu taat kepada Allah. Maralah ke hadapan dalam setiap medan: iman, ilmu dan amal. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat ialah orang yang apabila kamu mengingati Allah dia membantu kamu dan apabila kamu lupa dia mengingatkan kamu. Serlahkan pada diri kamu 10 muwasafat yang diadunkan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna. Jadikan ia sebagai manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu. 10 muwasafat itu ialah: tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, fikiran yang bermaklumat, mampu untuk bekerja, aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah memperbaiki diri, sangat menjaga waktu, urusan tersusun rapi, bermanfaat kepada orang lain. Ciri-ciri tersebut mampu membentuk peribadi yang kamil, peribadi yang mampu memikul bebanan dalam perjalanan, yang mampu menjadi landasan yang di atasnya terbina ummah yang cemerlang dan terbilang.

Awas! Awas!

Putera puteriku yang dimuliakan,

Awasi fitnah dan perancangan jahat yang diatur siang dan malam untuk memerangkap kamu, untuk menyekat kemaraan kamu dan menggagalkan usaha kamu. Hendaklah kamu sentiasa peka terhadap siapa yang mengatur dan membiayainya. Jangan kamu terheret di belakang mereka. Mereka menyembunyikan matlamat yang jahat yang disulami syaitan durjana. Berwaspadalah kamu daripada menyalah gunakan ni’mat Allah, iaitu ni’mat kekuatan dalam pelbagai lapangan: tubuh badan, ilmu dan kebendaan. Maka peliharalah ni’mat itu, semoga ia menjadi simpanan untuk masa depan kamu. Jangan kamu terpedaya dengan panjang umur. Kamu berada di antara dua tempoh lemah, “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Ar-Rum:54)

Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang tempoh masa muda ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seorang hamba pada Hari Qiamat sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang mudanya, untuk apa digunakan.. dan seterusnya”. Kita lihat, meskipun zaman muda itu termasuk di dalam lingkungan usia, Rasulullah s.a.w. menyebutnya secara khusus pula bagi menunjukkan betapa pentingnya zaman itu. Berhati-hatilah daripada salah guna kebebasan dengan mengecam peribadi-peribadi, institusi-institusi atau merosakkan khazanah tanah air. Setiap hak berakhir dengan menyalah gunakannya atau ketika berlawanan dengan kebebasan orang lain. Jangan sempitkan diri kamu apa yang luas. Dan berhati-hati dengan keinginan yang tidak terkawal yang boleh membawa kamu terpesong dari jalan yang benar. Keinginan yang sangat kuat kadang-kadang mendorong tuannya menghalalkan cara yang tidak baik, mengheret tuannya ke jalan yang salah, menjadikan matlamat menghalalkan cara, menjadikan dia sanggup meruntuhkan segala prinsip, nilai dan uruf yang baik.

Berhati-hatilah kamu daripada para pengkritik yang menghancurkan yang berusaha untuk memusnahkan orang lain. Di sana terdapat garis panduan etika yang tidak ada pertikaian tentangnya dalam mengemukakan pandangan dan perbezaan pendapat. Kamu mesti berpegang kepadanya, jangan terpesong walaupun sedikit. Sesungguhnya kita disuruh supaya memberi nasihat kepada pemimpin umat Islam dan orang awam. Itu merupakan kewajipan kita, tetapi mestilah berlandaskan tatacara dan nilai-nilai tertentu yang wajib dipatuhi.

Berhati-hatilah kamu daripada sifat gopoh, mahu memetik buah sebelum ia masak ranum atau memotong jalan, melangkahi marhalah-marhalah. Dengan cara itu sebenarnya kamu mensia-siakan waktu, tenaga, ilmu dan keupayaan umat seluruhnya. Ingatlah nasihat berguna yang ditinggalkan oleh Imam al-Banna: “Kekanglah runtunan perasaan dengan pandangan akal, dan terangilah pandangan akal dengan nyalaan perasaan.” Maka tetapkan hadaf kamu dengan terang dan jelas. Jenguklah masa depan dengan minda terbuka berlandaskan asas-asas ilmiah yang lurus, nescaya kamu akan mencipta kejayaan dengan nisbah paling tinggi dalam waktu yang paling singkat dan tenaga yang paling minimum.

Putera puteriku yang dimuliakan,

Kamu adalah harapan umat, mindanya yang terang benderang, masa depannya yang gemilang, kejayaannya yang dijanjikan, factor kemajuan dan keunggulannya yang paling utama. Itulah dia tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat kamu dan diri kamu. Maka peganglah amanah ini dengan kuat. Ingatlah pesanan seorang penyair:

Apabila kaum itu berkata siapakah pemuda?
Aku merasakan bahawa akulah yang dimaksudkan denganya
Maka aku tidak akan malas dan tidak akan berlagak bodoh.


Sesungguhnya umat kamu menanti daripada kamu banyak dan banyak. Maka jadilah kamu menepati sangka baik mereka terhadap kamu. Elokkanlah amal dan usaha kamu, nescaya kamu akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah:105)

Sumber:
http://www.alamatonline.net/l3.php?id=56621