Thursday, July 10, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 5


“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam perdamaian secara menyeluruh dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah:208)

Allah menyeru orang yang beriman agar masuk ke dalam perdamaian secara menyeluruh.

Majority ahli tafsir berpendapat yang dimaksudkan dengan perdamaian (silmi) adalah agama Islam itu sendiri. Ini kerana Islam membawa risalah perdamaian, kesejahteraan, keamananan dan kesalamatan. Malah Islam merupakan rahmat bagi alam semesta seluruhnya.

Kepada siapakah ayat ini ditujukan?

Menurut Ibn Jarir, sebahagian ahli tafsir berpendapat seruan supaya masuk ke dalam Islam keseluruhan ditujukan kepada mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad serta ajaran yang dibawanya supaya mereka beramal dengan semua hukum-hukum serta ajarannya tanpa meninggalkan sebahagian dan mengambil sebahagian yang lain.

Setengah ahli tafsir yang lain pula berpendapat seruan dalam ayat ini ditujukan kepada mereka yanga beriman kepada Nabi-nabi sebelum Muhammad s.a.w. tetapi mendustakan Nabi Muhammad s.a.w.

Ibn Jarir membawakan satu riwayat daripada ‘Ikrimah r.a. bahawa ayat ini turun ialah kerana Tha’labah, Abdullah bin Sallam, Ibn Yamin, Asad dan Usaid bin Ka’ab, Shu’bah bin ‘Amru dan Qais bin Zaid, semua mereka adalah Yahudi. Mereka berkata kepada Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, Sabtu adalah hari yang kami muliakan. Maka biarkanlah kami tetap memuliakannya. Dan Taurat juga kitab Allah. Maka biarkanlah kami melaksanakan hukum Taurat di waktu malam. Maka turunlah ayat ini memerintahkan mereka menerima Islam secara keseluruhannya.

Kepada siapapun ia diturunkan, namun maknanya sangat jelas bahawa, beriman kepada Nabi s.a.w. tidak boleh separuh-separuh atau pilih mana yang kita suka dan tinggal mana yang kita tidak suka. Masuk Islam bermakna menerima segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara total, sama ada kita suka atau sebaliknya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’:65)

Hari ini, berapa ramai yang mengaku beriman namun masih enggan tunduk kepada hukum Allah sepenuhnya dengan bermacam-macam alasan. Allah jualah yang maha mengetahui hakikat iman mereka. Kita bimbang, alasan-alasan itu sebenarnya hanyalah hasil mainan syaitan semata-mata. Sebab itulah pada akhir ayat Allah berpesan supaya kita berhati-hati, jangan terikut jejak langkah syaitan yang merupakan musuh yang amat ketara. Dan tujuan syaitan adalah mengheret pengikutnya ke neraka. “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka.” (Fatir:6)



Wednesday, July 09, 2014

Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa

“Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafaz dari riwayat al-Bukhari.

Sesungguhnya risalah Islam secara keseluruhannya merupakan risalah tarbawiyyah yang didatangkan untuk membawa kebaikan kepada seluruh umat manuisa, mengeluarkan mereka dari menghambakan diri kepada makhluk kepada menghambakan diri kepada Khaliq, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Allah s.w.t. telah menerangkan dengan jelas tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas Rasul yang diutuskanNya di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah:2)

Maka asas risalah Nabi ialah tarbiah dan tazkiatun-nafs. Islam menjadikan tujuan paling utama ibadah ialah membawa manusia kepada pengislahan dan taqwa. Ibadah sebenarnya bertujuan untuk membersihkan jiwa, mendidik dan melatihnya.

Justeru, solat adalah madrasah untuk mentarbiah, melatih (tahzib) dan membetulkan (taqwim) tingkah laku. “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-‘Ankabut:45)

Zakat juga madrasah untuk mentarbiah jiwa dan membebaskannya dari belenggu nafsu sayangkan harta dan hidup mementingkan diri semata-mata. “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah:103)

Haji pun madrasah untuk mentarbiah dan membentuk diri berakhlak mulia. “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah:197)

Demikian puasa di bulan Ramadan, tidak terlepas daripada tujuan serta landasan ini. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)

Maka, tujuan paling utama disyariatkan puasa adalah untuk mendidik para mukmin mencapai darjat taqwa. Lebih istimewa lagi, Allah telah jadikan puasa dan bulan Ramadan penuh dengan elemen-elemen tarbiah yang tidak terdapat pada bulan-bulan serta ibadah lain daripada puasa. Puasa dan Ramadan adalah madrasah yang mengandungi manhaj yang lengkap dengan objektifnya, wasilah-wasilahnya, aktiviti-aktivitinya seperti tilawah al-Quran, qiamullail, i’tikaf, sedekah, berdakwah dan lain-lain, dilengkapi pula dengan biah dan suasana persekitaran yang membantu ke arah mencapai objektif yang disasarkan.  “Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.” Maksud Hadis Sahih riwayat al-Bukhari dan lain-lain.

Berkenaan maksud Hadis yang disebutkan di awal tulisan ini, iaitu “puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya”, para ulamak telah mengemukakan beberapa pandangan dan huraian. antara lain:
i.               Rukun-rukun selain daripada puasa membawa kerehatan kepada hamba. Misalnya, syahadatain merehatkan daripada syirik, gangguan para musyrikin serta tarikan manhaj-manhaj yang menyeleweng dan batil. Solat merehatkan daripada berpaling arah kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Zakat merehatkan hati daripada iri hati, dengki dan benci kepada golongan yang tidak berada. Haji merehatkan diri dari kongkongan hidup yang sempit, membuka ufuk pemikiran yang amat luas dengan menyaksikan bukti-bukti nyata keEsaan Allah, kehebatan dan kekuasaanNya yang tiada tara. Kecuali puasa. Puasa adalah kepenatan hamba semata-mata demi mencapai redha Allah Ta’ala. Puasa adalah tidak melakukan apa-apa kecuali menahan diri dari melakukan perkara yang diingini oleh nafsu dan dihajati oleh fitrah. Maka puasa adalah penyucian dan peningkatan, satu-satunya ibadah yang tidak dilakukan kecuali kerana Allah.
ii.              Puasa tidak dilihat dan diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Ibadah lain berupa perbuatan dan pergerakan yang dapat dilihat dan disaksikan oleh manusia. Puasa hanyalah niat dan menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkannya. Justeru, unsur ria tidak mudah untuk menyelinap ke dalamnya.
iii.            Puasa adalah rahsia paling besar antara hamba dengan Tuhannya kerana menahan diri daripada syahwah itu, syahwah perut, syahwah seks tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah. Maka orang yang berpuasa sebenarnya sedang menghayati maqam ihsan atau mencapainya, iaitu “Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka Dia melihat kamu.” Maksud Hadis riwayat Muslim


Jadi, untuk setiap ibadah itu ganjarannya. Untuk setiap kebaikan itu pahalanya. Satu kebaikan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun puasa, ganjarannya tidak diketahui melainkan Allah yang di TanganNya tersimpan khazanah langit dan bumi. Ia tidak dihitung dengan bilangan, tidak ditimbang dengan timbangan, tidak diukur dengan sukatan. Ia dianugerahi dengan longgokan pahala yang tidak mampu dianggarkan, anugerah dari Yang Maha Agong. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Riwayat Muslim

Saturday, July 05, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 4


“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 2:178-179)

Ayat ke empat yang dimulakan dengan seruan wahai orang yang beriman adalah mengenai hukuman qisas atau bunuh balas ke atas orang yang membunuh dengan sengaja. Walaupun ayat ini dimulakan dengan seruan wahai orang yang beriman, namun ia kurang diberi perhatian. Malah terdapat di kalangan orang yang "beriman" tidak terfikir dan tidak mengambil sebarang langkah untuk melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam ayat ini.

Apakah sebabnya?

Tanyalah iman kita. Apakah kita tidak terasa seruan ini ditujukan kepada kita?

Sama-samalah kita renungi.

Ayat ini menerangkan bahawa orang yang membunuh dengan sengaja, hukumannya adalah dibunuh balas (qisas), kecuali jika ahli keluarga mangsa memaafkan, maka pembunuh tidak dikenakan qisas. Sebaliknya dia hendaklah membayar diat atau ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Penekanan utama ayat ini adalah keadilan dan persamaan nilai kehidupan semua manusia tanpa mengira jantina atau status sosialnya. Ibn Jarir menyebut bahawa sebahagian ahli tafsir berkata, ayat ini turun untuk membetulkan sikap dan pandangan sesetengah kaum yang membeza-bezakan manusia berdasarkan jantina dan status sosialnya.
Jika seorang hamba dari satu puak membunuh seorang lelaki yang merdeka dari puak yang lain, maka puak yang jadi mangsa tidak rela nyawa lelaki yang dibunuh itu dibayar dengan nyawa seorang hamba. Mereka menuntut agar yang dihukum adalah tuan kepada hamba itu. Barulah dikira sepadan dengan lelaki yang dibunuh dari kalangan mereka.
Dan jika seorang perempuan dari satu puak membunuh seorang lelaki dari puak yang lain, maka puak lelaki yang dibunuh itu tidak rela nyawanya diganti dengan nyawa seorang perempuan walaupun perempuan itu yang membunuh. Sebaliknya mereka mahu nyawa lelaki juga agar sama dengan nyawa lelaki yang dibunuh dari kalangan mereka.

Menerusi ayat ini, Allah s.w.t. menegaskan bahawa nyawa semua manusia itu sama saja nilainya. Jika perempuan yang membunuh, perempuan itulah yang diqisas. Jika hamba yang membunuh, hamba itulah yang diqisas. Tidak boleh diganti dengan orang lain.

Allah juga menyatakan hikmah di sebalik hukuman qisas adalah jaminan kehidupan. Iaitu hukuman itu menjadi pengajaran dan peringatan kepada orang yang berfikir. Bila seseorang mempunyai niat untuk membunuh, dia teringat bahawa dia akan dibunuh balas, tentu dia akan membatalkan niatnya. Dengan itu terselamatlah dua nyawa. Dan memelihara nyawa merupakan satu daripada maqasid syari'ah.
Dengan pelaksanaan qisas ini diharapkan mukmin menjadi orang yang bertaqwa.

Cuba kita imbas kefardhuan puasa dalam ayat 183 surah yang sama. Allah menyatakan tujuannya adalah supaya kamu bertaqwa. Inilah yang ditekankan kepada kita ketika menjelang Ramadhan. Ingat tujuan puasa adalah menjadi insan yang bertaqwa.


Ayat 178 dan 179 ini dengan jelasnya mengajar kita bahawa taqwalah juga matlamat hukuman qisas yang difardhukan Allah ke atas kita. Jadi tidak betul kalau kita bersungguh-sungguh menjalani ibadah puasa untuk mencapai darjat taqwa. Kemudian berhenti di situ saja. Kita mesti juga bersungguh-sungguh untuk merealisasikan qisas ini supaya kita menjadi mukmin yang bertaqwa sebagaimana yang dituntut oleh Allah 'Azza wa Jalla.

Thursday, July 03, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 3



“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik  (at-Toyyibat) yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah 2:172)

Di dalam satu ayat yang ringkas, yang mana kalimat-kalimatnya tidak sampai 20 perkataan, di dalamnya terkandung taujihat yang sangat penting dan sangat besar kesannya kepada kehidupan manusia, khususnya mereka yang beriman.

Ya! Orang-orang yang beriman. Kepada merekalah seruan dalam ayat ini ditujukan.

Antara pengajaran yang dapat dikutip daripada ayat ini:

1.     Hanya Allah Ta'ala sahaja yang berhak menentukan halal dan haram. Allah sahaja sumber hukum bagi orang yang beriman, termasuk yang berkaitan urusan makan dan minum.
2.     Hanya Allah Ta'ala yang memberi rezeki kepada sekelian hambaNya. Dialah ar-Razzaq.
3.     Allah menyebut perkataan "toyyibat" sebagai isyarat bahawa Allah tidak melarang kita mengambil atau makan apa yang baik. Yang Allah larang adalah perkara yang kotor, najis, jijik dan tidak bermanfaat kepada kita. Jelasnya Allah mengharamkan sesuatu bukan bertujuan untuk menyempitkan atau membataskan peluang kita menikmati  perkaran yang baik di dunia ini. Sebaliknya apa yang Allah haramkan tidak lain kerana keburukan perkara itu.
4.     Di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi, Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa makan makanan yang halal merupakan satu daripada sebab doa diqabulakn. Dan sebaliknya makan makanan yang haram merupakan faktor doa tidak diqabulkan.
5.     Di dalam ayat 168, Allah menyeru "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik ..” Seruan yang ditujukan kepada sekelian manusia, Allah suruh makan daripada apa yang ada di bumi. Tetapi seruan yang ditujukan kepada orang yang beriman (ayat 172), Allah suruh makan daripada apa yang Dia kurniakan atau rezeki daripadaNya. Ini mengisyaratkan bahawa makanan manusia sumbernya dari bumi. Sedangkan makanan mukmin adalah rezeki dari Allah secara terus, tidak semestinya dari bumi ini. Contohnya Maryam sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Aali ‘Imran 3:37)

6.     Selepas perintah memilih makanan yang baik-baik, Allah perintahkan mukmin supaya bersyukur. Menurut al-Qurtubi, syukur dari segi bahasa ialah zuhur atau zahir. Jadi bersyukur ertinya menzahirkan nikmat yang diterima dengan menyebut dan memuji-muji Pemberinya. Syukur seorang hamba kepada Tuhannya ialah menyebut-nyebut dengan lidah, mengiktiraf di dalam hati akan nikmat yang Allah beri berserta taat kepada segala perintahNya.