“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu
ke dalam perdamaian secara menyeluruh dan janganlah kamu menurut jejak langkah
Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah:208)
Allah menyeru orang yang beriman agar masuk ke
dalam perdamaian secara menyeluruh.
Majority ahli tafsir berpendapat yang
dimaksudkan dengan perdamaian (silmi) adalah agama Islam itu sendiri. Ini
kerana Islam membawa risalah perdamaian, kesejahteraan, keamananan dan
kesalamatan. Malah Islam merupakan rahmat bagi alam semesta seluruhnya.
Kepada siapakah ayat ini ditujukan?
Menurut Ibn Jarir, sebahagian ahli tafsir
berpendapat seruan supaya masuk ke dalam Islam keseluruhan ditujukan kepada
mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad serta ajaran yang dibawanya supaya
mereka beramal dengan semua hukum-hukum serta ajarannya tanpa meninggalkan
sebahagian dan mengambil sebahagian yang lain.
Setengah ahli tafsir yang lain pula berpendapat
seruan dalam ayat ini ditujukan kepada mereka yanga beriman kepada Nabi-nabi
sebelum Muhammad s.a.w. tetapi mendustakan Nabi Muhammad s.a.w.
Ibn Jarir membawakan satu riwayat daripada
‘Ikrimah r.a. bahawa ayat ini turun ialah kerana Tha’labah, Abdullah bin
Sallam, Ibn Yamin, Asad dan Usaid bin Ka’ab, Shu’bah bin ‘Amru dan Qais bin
Zaid, semua mereka adalah Yahudi. Mereka berkata kepada Nabi s.a.w.: “Wahai
Rasulullah, Sabtu adalah hari yang kami muliakan. Maka biarkanlah kami tetap
memuliakannya. Dan Taurat juga kitab Allah. Maka biarkanlah kami melaksanakan
hukum Taurat di waktu malam. Maka turunlah ayat ini memerintahkan mereka
menerima Islam secara keseluruhannya.
Kepada siapapun ia diturunkan, namun maknanya
sangat jelas bahawa, beriman kepada Nabi s.a.w. tidak boleh separuh-separuh
atau pilih mana yang kita suka dan tinggal mana yang kita tidak suka. Masuk Islam
bermakna menerima segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara
total, sama ada kita suka atau sebaliknya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari
apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya.” (An-Nisaa’:65)
Hari ini, berapa ramai yang mengaku beriman
namun masih enggan tunduk kepada hukum Allah sepenuhnya dengan bermacam-macam alasan.
Allah jualah yang maha mengetahui hakikat iman mereka. Kita bimbang,
alasan-alasan itu sebenarnya hanyalah hasil mainan syaitan semata-mata. Sebab
itulah pada akhir ayat Allah berpesan supaya kita berhati-hati, jangan terikut
jejak langkah syaitan yang merupakan musuh yang amat ketara. Dan tujuan syaitan
adalah mengheret pengikutnya ke neraka. “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi
kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya
dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka.”
(Fatir:6)
No comments:
Post a Comment