Friday, September 05, 2014

30% dari kalangan zionis mengkaji untuk hijrah dari "Israel"


Tinjauan yang dilakukan oleh saluran TV2 Ibri menunjukkan bahawa 30% daripada zionis mengkaji dengan serius untuk berhijrah daripada "Israel" jika mereka berpeluang berbuat demikian, selepas tragedi serangan ke atas Gaza.

Saluran tersebut melakukan tinjauan selepas 10 hari gencatan senjata untuk mengetahui reaksi masyarakat terhadapnya. Tinjauan itu menggambarkan bahawa meninggalkan "Israel" tidak lagi dianggap sebagai pengkhianatan terhadap tanah air sebagaimana anggapan terdahulu. Malah penghijrahan dianggap sebagai peluang ke dua untuk hidup.

Saluran TV itu juga mengadakan pertemuan dengan mereka yang telah berhijrah ke negara-negara Eropah di mana mereka menyatakan kebahagiaan mereka selepas berhijrah dari "Israel". Mereka berkata, tidak mungkin mereka akan menanggung rasa takut, tertekan, kesempitan ekonomi buat selama-lamanya. Sebahagian mereka pula sedang berusaha untuk mengatur kempen hijrah secara beramai-ramai.

Kini telah muncul sebuah lagu baru dalam bahasa Ibri bertajuk "Berlin" di mana seni katanya mengandungi seruan agar berhijrah dari "Israel" ke Berlin pada tahun 2014, berlawanan dengan suasana yang berlaku selepas perang dunia ke dua, yang mana kempen pada masa itu hijrah dari Berlin ke "Israel"

Antara senikata yang terdapat di dalam lagu itu menyebut bahawa datuk-datuk mereka berhijrah ke "Israel" bukan kerana cintakan zionis. Sebaliknya kerana takutkan mati di tangan Nazi. Dan hijrah dari "Israel" ke Berlin pada hari ini juga adalah kerana takutkan mati.

Keseluruhannya tinjauan itu mendapati bahawa 64% daripada zionis mengubah pandangan mereka terhadap orang yang ingin berhijrah. Mereka tidak lagi dipandang negatif seperti masa-masa lalu. Hanya 36% yang masih memiliki pandangan yang sama seperti sebelumnya.

Sumber: www.palinfo.com  (5-9-2014)


Sunday, August 17, 2014

Yusuf dan Zulaikha


Kisah Nabi Yusuf 'alaihis-salam telah diceritakan dengan lengkap dan ditil di dalam satu surah, iaitu surah Yusuf.

Terlalu banyak pengajaran dan ibrah yang terselit di sepanjang perjalanan kisah Nabi yang mulia ini.

Namun, cerita paling masyhur mengenai Nabi Yusuf adalah kisah cintanya dengan wanita yang dikenali sebagai Zulaikha.

Siapakah Zulaikha sebenarnya?

Nama Zulaikha pastinya tidak terdapat di dalam al-Quran. Nama itu muncul di dalam beberapa kitab tafsir ketika menghuraikan ayat ke 21 bermaksud: "Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi) dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf:21)

Menurut Allah Yarham Sa'eid Hawwa di dalam kitab al-Asas fi at-Tafsir:
"Taurat yang ada sekarang tidak menyebut nama isteri pembesar yang membeli Yusuf. Namun mufassirin muslimin mengatakan bahawa namanya Zulaikha. Sebahagian mereka mengatakan namanya Ra'eil. Ibn Ishaq mengatakan bahawa Zulaikha adalah adik beradik kepada Raja ar-Rayyan bin al-Walid. Namun di sana tidak ada sumber bagi riwayat-riwayat ini melainkan daripada ahli kitab semasa kepada mufassirin. Dan kebanyakannya tidak sahih untuk dijadikan sebagai sandaran." (Halaman 2650)

Ibn Kathir menyebut daripada Ibn Abbas r.a. bahawa al-Aziz atau pembesar yang membeli Yusuf ialah Qatfir, menteri yang bertanggungjawab ke atas khazanah Mesir. Raja ketika itu bernama ar-Rayyan bin al-Walid. Nama isteri Qatfir ialah Ra'eil. Riwayat lain mengatakan namanya Zulaikha.

At-Tobari juga membawa riwayat Ibn Ishaq yang mengatakan bahawa namanya Ra'eil binti Ra'aeil.

Tasir al-Alusi menyebut  riwayat daripada Mujahid, namanya Ra'eil binti Ra'abil. Manakala riwayat lain menyatakan namanya Zulaikha binti Talmikha. Yang lain pula berkata dia bernama Ra'eil, gelarannya Zulaikha. Ada pula yang berkata sebaliknya, iaitu namanya Zulaikha dan gelarannya Ra'eil.

Kisah seterusnya berkaitan wanita ini dapat diikuti di dalam ayat berikut:

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya tuanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (23)
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji kerana sesungguhnya dia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (24)
Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidaklah ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya". (25)
Yusuf pula berkata: "Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu  tampil memberi pendapatnya dengan berkata: "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta. (26)
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar". (27)
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya. (28)
Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai isteriku), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!" (29)

Jelas sekali apa yang diceritakan di dalam ayat-ayat Allah di atas, bahawa ibu angkatnya berusaha untuk menggoda Yusuf. Namun dengan rahmat dan 'inayah Allah, Yusuf terpelihara dari terjebak ke dalam perbuatan durjana yang dirancang ibu angkatnya.

Setelah kejadian yang sangat memalukan itu tersebar, apakah reaksi rakyat jelata mengenainya? Al-Quran menceritakan:

Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal isteri al-Aziz dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (30)
Maka apabila dia (Isteri al-Aziz) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberikan kepada tiap-tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!" (31)
(Isteri al-Aziz) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan dan akan menjadi dari orang-orang yang hina." (32)
Yusuf (merayu ke hadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (33)
Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (34)
Kemudian timbullah fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. (35)

Walaupun dikecam pada mulanya, akhirnya perempuan itu bukan saja berjaya mempertahankan tindakan jahatnya, malah berjaya membalikkan isu. Orang yang tidak bersalah terhumban ke dalam penjara beberapa tahun lamanya.

Kisah mengenai perempuan itu bersambung lagi di dalam ayat-ayat yang berikut:

Dan (apabila mendengar tafsiran mimpi itu) berkatalah raja Mesir: "Bawalah dia kepadaku! "Maka ketika utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka". (50)
(Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?" Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". Isteri Al-Aziz pun berkata: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak); dan sesungguhnya dia adalah dari orang-orang yang benar. (51)
"(Pengakuanku) yang demikian supaya dia (suamiku) mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa dia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat. (52)
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (53)

Itulah kesudahan kisah perempuan isteri al-Aziz yang cuba menggoda anak angkatnya, Yusuf. Kesudahannya dia mengaku bahawa anak angkatnya itu tidak bersalah. Dan al-Quran tidak lagi menyebut tentang apa yang berlaku ke atasnya selepas pengakuan itu.

Di dalam kitab-kitab tafsir juga tidak ditemui kisah perempuan itu selanjutnya. Allah Yarham Sa'eid Hawwa memetik daripada kitab Taurat yang ada sekarang mengenai kisah Nabi Yusuf 'alaihis-salam. Sebahagian petikan itu:

"Di dalam kitab Taurat Ishah 41 menyebut bahawa raja memanggil Yusuf dengan nama Sofanat Fa'anih. Dia mengahwinkan Yusuf dengan Asnat anak perempuan Futiy Farie Kahin Aun. Ketika itu Yusuf berusia 30 tahun. Beliau menjelajah ke
serata pelusuk Mesir.
Selama 7 tahun berturut-turut bumi mengeluarkan hasil dengan banyaknya. Dalam masa itu Yusuf dikurniakan dua orang anak lelaki dilahirkan oleh isterinya Asnat binti Futiy Farie Kahin Aun. Anak pertama dinamakan Qannasa. Yusuf berkata, ini kerana Allah telah menjadikan aku lupa segala kepenatanku dan apa yang berlaku di rumah ayahku. Anak kedua dinamakan Afraiym kerana katanya, Allah menjadikan aku sebab setiap bumi yang aku pijak subur dan berbuah."

Dalam petikan itu juga tidak menyebut apa-apa kisah berkaitan dengan hubungan Yusuf dengan ibu angkatnya. Jadi dari manakah kisah cinta yang begitu popular di kalangan sebahagian orang Islam sehingga dijadikan sebahagian daripada teks doa di majlis-majlis walimah agar pengantin disatukan sebagai pasangan yang serasi dan intim seperti Yusuf dengan Zulaikha. Walhal nama Zulaikha itu sendiri tidak disebut di dalam Taurat dan tidak sepakat di kalangan mufassirin?



Wednesday, August 06, 2014

Solat Subuh dan Isyaa' Berjamaah


Solat adalah tiang agama. Amalan paling utama dalam kehidupan seorang muslim. Mukmin yang benar sentiasa rindu untuk menunaikan solat. Nabi s.a.w. mendapat ketenangan dan kerehatan di dalam solat.

Berbeza dengan orang munafiq. Bagi mereka solat amat berat dan membebankan. Allah mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa mereka tidak solat kecuali dalam keadaan malas dan hanya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” (An-Nisaa’:142)
"Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya dan (kerana) mereka tidak mengerjakan solat melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.” (At-Taubah:54)

Solat itu sendiri berat bagi mereka, apa lagi solat subuh dan isyaa'? Isyaa' adalah waktu bertenang dan berehat. Manakala subuh adalah waktu tidur. Kedua-duanya boleh dikatakan waktu di kegelapan malam. Tujuan untuk menunjuk-nunjuk sukar terlaksana kerana tidak ramai insan yang menyaksikan. Itulah sebabnya subuh dan isyaa' merupakan solat yang paling berat bagi mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya solat yang paling berat dirasakan oleh munafiqin ialah solat isyaa' dan solat subuh. Andainya mereka mengetahui kelebihan kedua-duanya nescaya mereka pasti datang walaupun dalam keadaan merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita untuk menyuruh seseorang menjadi imam solat bersama orang ramai, kemudian aku pergi ke tempat orang yang tidak datang solat berjamaah bersama beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka seberkas kayu api, lalu aku bakar rumah-rumah mereka." Riwayat Muslim.

Hadis lain yang menunjukkan besarnya pahala kedua-dua solat itu jika dilakukan secara berjamaah, Uthman bin Affan r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang solat isyaa' berjamaah, maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia qiam sepenuh malam." Riwayat Muslim

Menurut riwayat al-Baihaqi: "Kalau aku dapat solat subuh berjamaah, nescaya lebih aku sukai daripada aku solat satu malam penuh. Dan kalau aku dapat solat isyaa' berjamaah, nescaya lebih aku sukai daripada aku solat separuh malam."

"Kalau aku dapat hadir solat isyaa' dan subuh berjamaah, nescaya lebih aku sukai daripada aku menghidupkan waktu-waktu antara keduanya." Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Ibn Umar.

Nabi s.a.w. sering memerhati dan mengambil tahu siapa yang hadir solat subuh berjamaah. Ahmad dan lain-lain meriwayatkan daripada Ubai bin Ka'ab r.a. pada suatu hari di waktu subuh, Nabi s.a.w. bertanya: "Adakah fulan itu hadir solat?" Mereka menjawab: "Tidak!" Baginda bertanya lagi: "Fulan itu?" Mereka menjawab: "Tidak!" Lalu baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya dua solat ini merupakan solat paling berat ke atas munafiqin. Kalaulah mereka mengetahui kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang walaupun dalam keadaan merangkak. Dan saf pertama seperti saf para malaikat. Sekiranya kamu tahu kelebihannya, nescaya kamu akan bersegera mendatanginya. Dan solat seorang lelaki bersama seorang lelaki lain lebih subur daripada solatnya seorang diri. Dan solat seorang lelaki bersama dua orang lelaki lain lebih subur daripada solatnya bersama seorang lelaki. Dan semakin ramai bilangan mereka, maka ia lebih disukai Allah 'Azza wa Jalla."

Bertolak daripada Hadis ini, Ibn Umar r.a. berkata: "Apabila seorang lelaki tidak hadir solat isyaa' dan subuh bersama kami, kami mula bersangka buruk terhadapnya." Riwayat al-Baihaqi. Baliau sendiri (Ibn Umar r.a.) terlepas solat isyaa' berjamaah pada suatu malam, maka beliau solat sepenuhnya pada malam itu untuk menampung apa yang luput daripada solat isyaa' berjamaah.


Wednesday, July 30, 2014

Ramadhan telah berlalu, kita bagaimana?


Bagaikan baru semalam Ramadhan disambut dengan penuh keinsafan mengharap rahmat dan keampunan. Kini dia telahpun pergi membawa bersama kerinduan dan kesedihan hati para mukminin. Hati mukminin disimbah perasaan pilu dan sayu, mungkinkah akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun akan datang?

Apapun, yang pergi tetap pergi. Tidak mungkin akan kembali lagi. Yang penting setiap orang daripada kita mesti memeriksa dan muhasabah diri, apa yang Ramadhan tinggalkan untuk kita sebagai bekalan meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini? Bagaimana keadaan kita sekarang? Adakah bertambah taqwa atau berkurangan? Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ali bin Abi Talib menyeru pada malam terakhir Ramadhan dengan seruan:
"Wahai alangkah beruntungnya kalau aku dapat mengetahui orang yang diterima amalnya, lalu aku mengucapkan tahniah kepadanya. Dan aku mengetahui orang yang tidak diterima amalnya, lalu aku mengucapkan takziah kepadanya."

Kata-kata itu menggambarkan bahawa keadaan manusia selepas menjalani ibadah sepanjang Ramadhan tidak sama. Ada yang diterima amalannya dan ada yang ditolak. Maka kita termasuk dalam golongan mana?

Hal ehwal manusia selepas Ramadhan :

Pertama: Golongan yang sedia berada dalam kebaikan dan ketaatan kepada Allah sepanjang masa. Bila tiba Ramadhan mereka bertambah rajin dan bersungguh-sungguh menambah amal: berpuasa, tilawah al-Quran, solat malam, bersedekah, menjaga silatul-rahim dan lain-lain lagi. Apabila berlalunya Ramadhan, hati mereka cukup terkesan. Sedih dan pilu tidak dapat digambarkan. Amalan yang dilakukan tidak menjadikan mereka puas dan yakin diri akan terselamat dari siksa. Keadaan mereka digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud:  “Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya. (Al-Mukminun:57-61)
Aishah r.a. bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ayat "Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka." Apakah "mereka" yang dimaksudkan di dalam ayat ini orang-orang yang minum arak dan mencuri? Baginda menjawab: "Bukan. Sebaliknya mereka yang dimaksudkan ialah orang-orang yang berpuasa, menunaikan solat dan bersedekah. Dalam pada itu mereka takut amalan-amalan mereka tidak diterima." Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain.
Setengah ahli ibadah berkata: "Orang yang mengenali Allah, kebimbangan mereka selepas melakukan ketaatan lebih daripada kebimbangan mereka selepas melakukan kesilapan kerana kesilapan terhapus dengan taubat, sedangkan ketaatan menuntut keikhlasan di samping pelaksanaan dengan cara yang betul dan menepati syarak."

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ali r.a. sentiasa menangis kerana takut. Dua perkara yang amat ditakutinya: panjang angan-angan dan mengikut nafsu. Beliau berkata: "Adapun orang yang panjang angan-angan, menjadikannya lupa akhirat. Orang yang mengikut nafsu, menghalangnya dari kebenaran. Ingatlah bahawa dunia berpaling ke belakang untuk berlalu pergi dan akhirat pantas melangkah ke mari. Untuk kedua-duanya itu ada anak-anaknya. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat. Janganlah kamu jadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini hari beramal, tiada perhitungan. Dan esok hari perhitungan, tiada lagi amal dapat dilakukan." Dikeluarkan oleh Ahmad

Golongan ini sentiasa dalam ketaatan, memelihara amal kebaikan secara berterusan sebagaimana Hadis yang disampaikan oleh Aishah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Amalan yang paling disukai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kedua: Golongan yang sebelum Ramadhan berada dalam keadaan leka dan lalai. Bila tiba Ramadhan mereka kelihatan begitu rajin dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah: solat, puasa, sedekah, tilawah dan lain-lain. Namun selepas berlalu Ramadhan, mereka kembali kepada cara hidup mereka yang lama. Masjid tidak lagi dikunjungi, al-Quran tersimpan di dalam almari lagi. Mereka seolah-olah telah merungkai kembali tenunan yang mereka kemaskan dengan tangan sendiri seperti yang digambarkan di dalam firman Allah maksudnya:
"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh;” (An-Nahl:91-92)

Basyar al-Hafi ditanya tentang manusia yang rajin beribadah di bulan Ramadhan tetapi tidak begitu pada bulan-bulan yang lain, lantas beliau menjawab: "Seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenali Allah kecuali pada bulan Ramadhan!"

Ketiga: Golongan yang tidak memperdulikan sama ada Ramadhan datang atau tidak. Keadaan mereka tetap sama. Tenggelam dalam maksiat, leka dan alpa dengan dunia. Alangkah ruginya mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Celakalah orang yang namaku disebut di sisinya, namun dia tidak berselawat ke atasku. Celakalah orang yang sempat memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dosanya tidak diampunkan. Celakalah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua, namun dia tidak dapat masuk syurga (kerana tidak berbakti kepada keduanya)." Riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan al-Hakim.


Marilah sama-sama kita muhasabah dan memerhati keadaan diri, di dalam golongan manakah kita berada?