Thursday, January 28, 2010

ANTARA DUA PINTU




Tahun itu, adik perempuanku meminta aku temankan dia menunaikan umrah. Sebagai mahramnya aku penuhi juga permintaannya dengan perasaan yang agak berat. Namun setelah berada di sekitar Baitillah, aku tidak dapat menafikan ketenangan dan kedamaian memenuhi setiap sudut hatiku.

Selepas menunaikan solat Isya’ di Masjidil-Haram, mataku terpandang seorang pemuda berkulit putih kemerahan, badannya tinggi lampai dan bermata biru. Dengan sekali pandang saja kita dapat pastikan bahawa dia seorang lelaki Eropah. Dengan lilitan kain ihram berwarna putih, jelas menampakkan suatu pemandangan yang agak berlainan kerana jarang sekali kita bertemu dengan muslim berbangsa Eropah yang mengunjungi Rumah Allah yang mulia ini. Inilah sebahagian petanda Allah qabulkan doa Nabi Ibrahim ‘alaihis-salam supaya menjadikan hati-hati sebahagian manusia cenderung kepada rumah ini.

Dia tersenyum memandangku dan aku membalas senyumannya dengan senyuman yang lebih manis. Ketika aku berkira-kira hendak menegurnya dengan bahasa Inggeri Amerika, dia terlebih dahulu menegurku dengan bahasa Arab fusha pelat Inggerinya:
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته يا أخي
وعليكم السلام يا أخي

- Anta dari negeri Allah yang mana, ya akhi?

- Ana dari Kuwait. Anta tahu tentang Kuwait? Dan anta pula dari mana?

Aku rasa seolah-olah sedang berlakun dalam satu siri kartun bila aku cuba bercakap fusha buat pertama kalinya dalam hidupku. Terus terang aku katakan, memang aku tidak pernah bercakap bahasa Arab fusha. Sekali sekala aku cuba tiru lahjah Iraq, Mesir, Lubnan dan lain-lain. Namun bahasa fusha, tidak pernah sama sekali.

- Ana dari Belanda. Ana tidak tahu tentang Kuwait kecuali apa yang terlukis di atas peta. Tetapi antum sangat bertuah kerana antum dari Negara Arab dan muslim.

- Antum juga bertuah tinggal di Belanda, sebuah Negara bebas di mana dadah dan candu dijual di kedai-kedai kopi di bawah pengawasan polis!

Dia tersenyum sambil membalas gurauanku dengan bahasa Arab fushanya:

- Antumlah yang bertuah kerana antum berhubung langsung dengan rahsia abadi, candu kebahagiaan yang mengeluarkan antum dari lingkaran!

- Lingkaran apa yang anta maksudkan?

- Lingkaran kehidupan manusia: lahir, masuk sekolah, bekerja, berkahwin kemudian mati!!

سبحان الله ! Orang putih kemerahan ini, yang datang dari kejauhan Eropah sana bercakap dengan bahasa yang sama dengan apa yang ada dalam fikiranku! Dia juga mengetahui tentang lingkaran kehidupan!

Aku menganggukkan kepala seraya berkata:

- Apa caranya untuk kita keluar dari lingkaran ini? Semua kita telah di tentukan begitu!

- Rahsia untuk keluar dari lingkaran itu, antumlah yang memilikinya! Keluarnya antum dari lingkaran itu mestilah dalam lingkungan lingkaran itu juga!

- Ana tidak faham sedikitpun falsafah yang anta cuba kemukakan itu! Bagaimana mungkin ana keluar dari lingkaran sedangkan ana berjalan di dalam lingkungannya?

- Beza antara kami dengan antum adalah, kami terpaksa mengkaji, membaca, membuat perbandingan antara pelbagai falsafah dan pelbagai agama sehingga akhirnya barulah kami sampai kepada kebenaran. Adapun antum, sangat bertuah kerana antum telah mewarisi kebenaran itu, telah tersedia dengan mudah! Mungkin kerana warisan itulah yang menghalang antum daripada berfikir dengan mendalam mengenainya.

- Ana masih bingung dan tidak faham apa yang anta maksudkan?

- Bayangkan anta sekarang berada di atas satu jalan yang panjang dan gelap. Nun jauh di hujung jalan terdapat dua pintu yang tertutup rapat. Setiap manusia pasti akan melalui jalan itu hingga ke penghujungnya. Apabila dia sampai ke penghujung, akan dibukakan untuknya salah satu daripada dua pintu itu untuk dimasukinya…

- Pemandangan yang anih…

- Bayangkan manusia yang melalui jalan itu terdiri daripada dua golongan. Satu golongan mengetahui apa yang ada di balik setiap pintu itu dan satu golongan lagi dalam kebingungan, tidak tahu dan tidak boleh menggambarkan apa yang ada di belakang pintu itu? Kedua-dua golongan itu berjalan menuju ke situ, ke arah dua pintu itu. Jadi pada pandangan anta, golongan manakah yang beruntung?

- Hemmm … mungkin golongan yang mengetahui apa yang ada di belakang pintu itu merasai nikmatnya perjalanan dan mengatahui sebab kenapa dia berjalan. Adapun golongan yang tidak mengetahui tidak akan mengecapi apa-apa kenikmatan bagi setiap langkahnya. Jiwa mereka berada dalam keadaan resah sepanjang jalan…

- Itulah perbandingan antara kami dengan antum. Islam telah menerangkan kepada antum kesudahan perjalanan hidup di dunia ini. Sedangkan kami, kami tidak mengetahui kenapa kami melalui jalan ini? Kami tidak tahu kenapa kami hidup di dalam lingkaran ini? Hati dan minda kami terpinga-pinga mencari makna perjalanan hidup ini. Lantaran itu kami cuba mengaup segala kenikmatan yang kami temui di jalan yang gelap ini. Tetapi malangnya kami tidak mengetahui apa kesudahannya perjalanan ini?

- Bukankah agama Masihi telah menunjukkan kesudahan hidup antum?

- Maaf! Mungkin ana tersilap dalam penjelasan ana tadi. Mengetahui itu satu perkara, dan iman itu satu perkara yang lain. Kebanyakan kami memang mengetahui kesudahan, namun sedikit daripada kalangan kami yang beriman dan yakin dengan apa yang menanti di belakang pintu! Iman dan yakin inilah yang tidak diketahui kecuali mereka yang merasai kelazatannya!

- Bagaimana anta merasai kelazatannya?

- Bagi ana, ana telah hidup di dalam kegelapan bertahun-tahun lamanya. Lantaran itu ketika nampak cahaya, ana tahu perbezaannya, ana tahu kelazatannya…

Aku sedar bahawa lelaki Eropah ini telah menikmati kelazatan beragama yang aku sendiri tidak dapat menikmatinya. Aku dihambat kebingungan! Dia meneruskan bicaranya tanpa diminta…

- Tujuh tahun yang lalu, ketika ana berada di awal usia 20an, ana telah melawat Kahirah. Perkara yang menarik bagi orang Eropah ialah pyramid-pyramid yang cantik, muzium-muzium yang bernilai. Tetapi bagi ana, perkara yang paling menakjubkan adalah ketika melawat sebuah masjid lama yang penuh sejarah. Ketika itu waktu solat Asar. Ana berdiri di pintu masjid menyaksikan satu pemandangan yang biasa bagi antum. Ana melihat orang ramai keluar dari masjid selepas menunaikan solat. Yang menarik perhatian ana ialah wajah-wajah yang kelihatan tenang dan ceria dilimpahi cahaya keimanan, disimbahi ketenangan dan kebahagiaan jiwa yang sukar digambarkan. Ana melihat wajah-wajah yang berbeza daripada apa yang pernah ana saksikan sepanjang hidup ana. Ana melihat senyuman yang paling manis, paling suci yang tidak pernah ana lihat sebelum ini. Ana tidak dapat mengawal diri, lantas menghampiri salah seorang daripada mereka. Ana bertanya dalam bahasa Inggeris, tetapi dia tidak faham apa yang ana tanya. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dada, dan mereka begitu bersimpati dan mencari-cari siapa di kalangan mereka yang tahu bahasa Inggeris. Akhirnya mereka memanggil salah seorang daripada mereka. Apabila dia menghampiri, ana berkata kepadanya, saya nak buat apa yang kamu semua buat. Saya nak solat! Lelaki itu tersenyum. Dia meminta ana hadir dua jam lagi, iaitu ketika waktu Maghrib. Dia menerangkan sedikit sebanyak tentang waktu solat jamaah diadakan di masjid. Kemudian lelaki miskin yang sederhana itu membawa ana minum syai Mesir yang pekat. Sambil itu dia menerangkan kepada ana tentang solat dengan bahasa Inggerisnya yang tidak lancar. Ana pula bertanya itu dan ini dan dia menjawab dengan segala senang hati dan dada yang lapang sehinggalah berkumandang suara azan dari menara masjid Kahirah yang bergemerlapan. Ana merasakan seolah-olah suara azan mengalir ke seluruh urat nadi ana. Meskipun ana tidak faham langsung maknanya, ana rasakan bahawa itu adalah seruan yang ditujukan khas kepada ana, seruan yang terbit dari atas langit di sebalik celahan bintang-bintang. Kemudian ana mengambil wuduk bersama lelaki tersebut dan solat berjamaah. Ana tidak faham langsung tentang apa yang ana dengar kecuali ‘amin’.

- Lalu anta istiharkan keislaman anta selepas itu?

(panjang pula cerita lelaki Belanda ni, rehat dulu lah! sambung lain kali insya Allah)

No comments: