Saturday, January 30, 2010

ANTARA DUA PINTU (sambungan)


MASJID KACA DI JERMAN


- Tidak! Namun jiwaku diresapi ketenangan batin yang tidak pernah ana rasai seblumnya. Ana dapat rasakan bahawa alam ini mempunyai Pencipta dan Pemberi rezeki, dan ana dapat berhubung dengan-Nya secara langsung di saat itu. Ana benar-benar merasai bahawa ana bersama dengan-Nya di waktu sujud dan ruku’ yang singkat itu. Ana rasa, buat kali pertamanya bahawa ana sangat dekat dengan-Nya dan ana dapat meminta apa saja yang ana mahu daripada-Nya. Ana meninggalkan Mesir. Tetapi detik-detik yang singkat itu tidak pernah lenyap dari ruh ana walau seketika. Fikiran ana selalu memikirkan tentang solat secara Islam dari masa ke masa.

- Kemudian apa yang berlaku selepas itu?

- Beberapa tahun selepas itu, syarikat tempat ana bekerja menghantar ana bertugas di sebuah kampung kecil di Jerman untuk beberapa tahun. Di kampung tersebut ana melihat suatu pemandangan yang pelik. Itulah yang menjadi sebab ana memeluk Islam.

- Pemandangan yang pelik di Jerman? Apa dia?

- Ana melihat sebuah masjid lut sinar!

- Masjid lut sinar?

- Ya! Ketika para pendatang Islam ingin membina masjid di kampung tersebut, penduduknya menentang keras. Mereka mengatakan kemungkinan masjid itu dijadikan tempat menyimpan senjata secara rahsia, atau tempat mereka merancang aktiviti keganasan serta melatih para pengganas, dan lain-lain tuduhan dan kebimbangan yang tidak berasas. Di kalangan kaum muslimin terdapat seorang jurutera bangunan. Dia mencadangkan sebuah bangunan masjid yang dibuat daripada kaca. Dengan itu semua penduduk kampung boleh melihat apa yang berlaku di dalam masjid. Sungguh benar! Ketika ana melintasi masjid tersebut, ana melihat kaum muslimin sedang berbaris menunaikan solat Maghrib. Menyirap darah ana ditusuk rindu terhadap kelazatan solat yang telah tertanam beberapa tahun lalu ketika bersolat di Kahirah. Ana memberhentikan kereta, mengambil wuduk dan bersolat bersama dengan mereka. Selepas solat, ana keluar dari masjid dengan perasaan yang terbuai-buai diulit ketenangan.

- Lalu anta isytihar masuk Islam?

Dia tersenyum menyambut soalanku yang tidak sabar ingin mengetahui detik perisytiharannya sebagai muslim. Sebentar kemudian dia menyambung dengan nada suara yang lembut.

- Ketika ana berjalan keluar dari masjid, ana terpandang sekeping kertas yang tertulis waktu-waktu solat. Ana tanamkan di dalam ingatan waktu solat fajar. Apabila ana merebahkan badan di pembaringan, ana tidak dapat tidur. Fikiran ana terus diburu ingatan kepada rasa nikmat yang tidak pernah ana kecapi sebelum ini. Telinga ana terngiang-ngiang mendengar bisikan yang menyeru ana agar menyahut seruan Allah. Bisikan itu tidak putus-putus memanggil ana hinggalah tiba waktu solat fajar. Ana segera keluar ke masjid, berwuduk dan solat. Ana rasa amat dekat dengan Pencipta ana. Ana rasa cahaya mennyelinap ke dalam hati dan berenangrenang di dalam darah ana. Dan ketika sujud ana menangis teresak-esak tanpa mengetahui sebabnya. Tetapi tangisan itu sungguh nikmat dan menenangkan. Selepas solat, para jamaah mengerumuni ana. Ana memberitahu mereka bahawa bukan muslim. Seorang guru bangkit dan mengusap dada ana seraya membaca surah To Ha. Maka sekali lagi ana menangis sungguh-sungguh. Semua jamaah di sekeliling ana turut menangis. Selama ini apa yang ana belajar, orang lelaki tidak boleh menangis. Tetapi Islam mengajar ana bahawa menangis itulah kemuncak kelelakian! Lihat, Umar bin al-Khattab! Lelaki yang gagah perkasa, menangis! Harun ar-Rasyid, raja yang memerintah dunia, menangis! Maka ana mengisytiharkan memeluk Islam disahut gema takbir para jamaah di dalam masjid!

Aku meraba titis-titis air yang berguguran dari mataku sedang aku terkedu mendengar kehebatan ceritanya. Aku memandang Kaabah yang tersergam megah di hadapanku sambil bertanya diri sendiri: adakah aku pernah menangis walau satu kali cuma kerana lazatnya ibadah atau khusyuknya doa? Kenapa aku tidak pernah menangis sepanjang hidupku? Pemuda Eropah turut membisu seketika. Kemudian dia menyambung:

- Semenjak ana memeluk Islam, ana benar-benar merasai keindahan dalam mentaati Allah, rasa dekat dengan raja segala raja. Ana rasai wujudnya kekuatan yang maha hebat yang mencipta alam semesta dengan segala cakrawala, bintang-bintang dan manusia. Kekuatan yang maha hebat itu membuka pintu-Nya kepada ana dan mengizinkan ana masuk ke balai mengadap-Nya bila-bila masa yang ana kehendaki. Dan perasaan yang sungguh mengkagumkan apabila manusia kerdil seperti ana diizin masuk ke balai Maha Raja bila-bila masa untuk mengadu apa saja tentang bebanan yang ditanggung dalam hidup ini, tanpa hijab, tanpa perantara! Di dalam Islam terdapat hubungan dengan Allah dalam semua perkara. Ada doa ketika jaga dari tidur, doa ketika hendak tidur, ketika keluar dari rumah, naik kenderaan sehinggakan bersinpun ada doa yang khusus!

- Kata-kata yang sungguh indah. Seolah-olah inilah kali pertama ana mendengar hakikat ini!

- Inilah masalah antum. Antum dilahirkan bersama dengan kebenaran ini! Maka antum tidak merenungi rahsianya. Sekiranya antum tadabbur dan memikirkannya, antum akan dapat rasai makna setiap doa-doa ini, betapa mendalam rahsia-rahsianya.

- Ooo begitu rupanya anta berjalan di dalam lingkaran sambil menikmati keindahannya.

- Ya! Kalau anta hayati rahsia doa-doa dan salami makna ayat-ayat suci, anta wujudkan hubungan rahsia yang khusus dengan Allah, maka anta akan hidup di dalam lingkaran bersama manusia pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya anta hidup bersama dengan Allah.

Sejak daripada hari itu aku hidup di dalam lingkaran ini: makan, minum, ketawa, keluar rumah, tetapi aku mempunyai hubungan yang khusus dengan Allah di dalam solatku, di waktu malam, di waktu fajar, yang menjadikan aku bahagia, redha dan rindu sentiasa untuk menemui-Nya.

Sesungguhnya hidup yang sebenarnya ada pada kelazatan taat kepada-Nya. Cubalah!!

3 comments:

Bintu Aizuddin said...

cerita yg sgt menyentuh hati.

minta izin utk copy & paste di blog ana ya ustazah.

wan_nur said...

salam wbt.
cerita ni membuatkan sy sgt terharu.

sy juga ingin minta izin copy paste di blog saya.

Maznah Daud said...

insya Allah, sesiapa saja boleh copy and paste. syukran jazila kerana sudi panjangkan pahala...