Monday, October 04, 2010

KEPENTINGAN AMANAH

Imam Ibn Jarir at-Tobari (224H – 310H bersamaan 838M – 923M) menekankan kepentingan sifat amanah menerusi sebuah cerita yang pernah dialaminya bersama seorang penduduk Mekah bernama Abu Ghayyats dan isterinya Lubabah.
Beliau menceritakan:
Ketika aku berada di dalam musim haji di Mekah, aku terlihat seorang lelaki dari Khurasan sedang menyeru: wahai sekelian hujjaj, wahai penduduk Mekah di kota atau di desa, aku telah kehilangan sebuah beg yang mengandungi wang sebanyak 1000 dinar. Sesiapa yang memulangkannya kepadaku, Allah akan memberinya ganjaran yang baik, membebaskannya dari api neraka dan baginya pahala pada hari perhitungan.
Lalu seorang lelaki tua dari pendudukan Mekah bangun seraya berkata: wahai Khursani (orang Khurasan), negeri kami menghadapi kemelesetan yang teruk, hari haji hanyalah beberapa hari yang boleh dibilang, musim haji pula amat terbatas, pintu-pintu usaha mencari rezeki amat sempit. Mungkin begmu itu ditemui oleh seorang mukmin yang tua dan faqir yang mengharap janjimu sekiranya beg itu dipulangkan engkau akan berikannya sedikit hadiah dan dia mendapat sedikit harta yang halal.
Khursani bertanya: berapa kadar hadiahnya? Berapa yang dia mahu?
Orang tua menjawab: dia mahu 100 dinar, 1/10 daripada 1000 dinar.
Khursani berkata: tidak, saya tidak akan melakukannya. Tetapi saya serahkan urusan saya kepada Allah, saya mengadu kepada-Nya pada hari pertemuan dengan-Nya. Dia adalah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat berserah.
Ibn Jarir berkata: aku terfikir di dalam hati, mungkin orang tua itu adalah lelaki faqir yang dimaksudkan. Dia telah menjumpai beg itu dan sangat berharap untuk mendapat sedikit habuan. Maka aku memerhati dan mengekurinya sampai ke rumahnya. Dan memang benar seperti yang aku sangkakan. Aku dengar dia memanggil istrerinya: wahai Lubabah!
Isterinya menjawab: saya wahai Abu Ghayyats.
Abu Ghayyats: aku telah bertemu dengan tuan beg yang sedang mencari begnya tetapi dia tidak mahu memberi sedikitpun kepada sesiapa yang memulangkannya. Aku mencadangkannya supaya dia memberi 100 dinar, tetapi dia enggan. Sebaliknya dia menyerahkan urusannya kepada Allah. Apa yang harus aku lakukan wahai Lubabah? Aku mesti pulangkannya. Aku takut kepada Tuhanku. Aku takut dosaku akan berlipat ganda lagi.
Lubabah: wahai suamiku, kita telah harungi bersama kefaqiran selama 50 tahun. Engkau menanggung empat orang anak perempuan, dua orang adik perempuan, aku dan ibuku dan dirimu sendiri sebagai orang yang ke Sembilan. Kita tidak punya walau seekur kambing dan tidak ada tempat ternak. Ambillah semua harta itu supaya dapat kita kenyang dengannya. Sesungguhnya kita sedang kelaparan. Kita dapat beli pakaian. Engkau sendiri lebih mengetahui keadaan kita yang amat dhaif. Boleh jadi selepas itu Allah akan kayakan engkau, Dia akan beri engkau harta selepas engkau beri makan kepada keluarga engkau atau Allah akan tunaikan hutangmu pada hari Dialah Raja bagi segala raja.
Abu Ghayyats: wahai Lubabah, adakah aku akan makan harta yang haram selepas usiaku menjangkau 86 tahun, aku akan membakar tubuhku dengan api selepas aku bersabar menanggung kefaqiran begitu lama dan aku akan mengundang kemurkaan Yang Maha Perkasa ketika aku telah hampir dengan kuburku? Tidak! Demi Allah aku tidak akan lakukan!
Ibn Jarir berkata: aku beredar meninggalkan mereka. Aku begitu kagum terhadap orang tua itu dan isterinya.
Keesokan harinya aku mendengar lagi seruan yang sama daripada lelaki yang sama. Dan lelaki tua itu bangun lagi sambil berkata: wahai Khursani, semalam aku telah bagi tahu dan mengemukakan cadanganku. Engkau tahu bahawa negeri kami tidak banyak tanaman dan ternakan. Berilah sedikit hadiah kepada orang yang menemui harta itu supaya dia memperolehinya dengan cara yang tidak melanggar Syara’. Semalam aku cadangkan kepadamu supaya berikannya 100 dinar, tetapi engkau enggan. Hari ini aku ingin mencadangkan sekiranya hartamu itu dipulangkan oleh seseorang yang takut kepada Allah, mahukah kamu berikannya 10 dinar, bukan 100. Moga-moga 10 dinar itu menjadi pelindung baginya dari keaiban, mencukupkannya dan memelihara sifat amanahnya.
Khursani: tidak! Aku tidak akan lakukannya. Aku menyerahkan hartaku kepada Allah, aku akan mengadu kepada-Nya pada hari aku bertemu dengan-Nya kelak. Dia-lah sebaik-baik tempat mengadu dan berserah!
Ibn Jarir berkata: kemudian semua manusia beredar dan pulang ke tempat masing-masing.
Hari ketiga, Khursani itu menyeru lagi dengan seruan yang sama. Aku melihat orang tua itu bangun lagi sambil berkata: wahai Khursani, hari pertama aku cadangkan engkau beri 100 dinar, engkau enggan. Hari kedua aku cadangkan engkau beri 10 dinar, engkau enggan. Hari ini aku ingin mencadangkan engkau beri 1 dinar sahaja supaya dia boleh membeli tali buat mengikat kayu yang dicari dengan setengah dinar, dan setengah dinar lagi dia membeli seekur kambing untuk diperah susunya dan mendapat wang dengan menjual susu itu kepada manusia, dan dapat pula memberi makan anak-anaknya.
Khursani tetap menjawab dengan jawapan yang sama.
Maka orang tua itu menarik Khursani sambil berkata: mari ikut aku dan ambillah hartamu supaya aku dapat tidur malam ini. Sesungguhnya aku tidak berasa tenang langsung semenjak aku menemui harta ini.
Ibn Jarir berkata: Khursani mengikuti lelaki tua itu dan aku mengikuti mereka berdua. Setiba di rumah, orang tua itu memasuki rumahnya dan menggali tanah lalu dikeluarkan beg yang mengandungi wang 1000 dinar. Dia berkata kepada Khursani: ambillah hartamu ini! Aku mohon agar Allah ampunkan dosaku dan mengurniakan aku rezeki dari sisi-Nya.
Khursani mengambil hartanya dan melangkah keluar. Tiba di muka pintu, dia berhenti dan berpaling kepada orang tua sambil berkata: wahai orang tua, sebenarnya ayahku telah meninggal dunia dan dia meninggalkan aku 3000 dinar. Dia telah berwasiat supaya aku keluarkan 1/3 daripadanya dan berikan kepada orang yang paling berhak menurut pandanganku. Lalu aku masukkan 1000 dinar di dalam beg ini dan mengikatnya sehingga aku bertemu dengan orang yang paling layak menerimanya. Demi Allah aku tidak pernah bertemu dengan seseorang yang paling layak sejak aku keluar dari Khurasan sampai sekarang selain dari engkau. Maka ambillah harta ini. Semoga Allah memberkatimu, membalasmu dengan kebaikan di atas amanahmu dan kesabaranmu menanggung kefaqiran.
Kemudian Khursani itu pergi meninggalkan hartanya.
Orang tua bangun sambil menangis dan berdoa kepada Allah: Semoga Allah rahmati tuan harta ini di dalam kuburnya, dan memberkati anaknya.
Ibn Jarir berkata: akupun beredar dari situ mengikuti langkah Khursani. Tiba-tiba Abu Ghayyats mengekuriku dan menarikku ke rumahnya. Dia berkata: silakan duduk. Sesungguhnya aku melihat engkau telah memerhatikanku sejak hari pertama dan engkau mengetahui ceritaku semalam dan hari ini. Aku telah mendengar Ahmad bin Yunus al-Yarbu’ei berkata, aku mendengar Malik berkata, aku mendengar Nafi’ berkata, daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. berkata kepada Umar dan Ali r.a. (maksudnya): apabila datang kepadamu hadiah tanpa kamu meminta dan tanpa mengharap, maka terimalah hadiah itu dan jangan tolak. Jika kamu tolak bererti kamu tolak pemberian Allah. Dan ini adalah hadiah daripada Allah kepada sesiapa yang hadir bersama.
Abu Ghayyats memanggil isteri, anak-anak, adik-adik serta ibu mertuanya. Kami duduk bersama-sama seramai 10 orang.
Beliau berkata: bentangkan kain di atas ribamu! Maka aku membentangkan kain di atas ribaku. Ahli keluarganya tidak ada kain yang boleh dibentang. Maka mereka membentangkan tangan-tangan mereka. Mulalah Abu Ghayyats mengeluarkan satu demi satu wang yang berjumlah 1000 dinar sehingga aku memperolehi 100 dinar.
Ibn Jarir berkata: hatiku sungguh gembira melihat mereka kaya lebih daripada kegembiraanku mendapat 100 dinar. Ketika aku hendak keluar dari rumah itu, Abu Ghayyats berkata: wahai orang muda, sesungguhnya engkau adalah seorang yang diberkati. Sesungguhnya aku tidak pernah melihat harta sebegini dan tidak pernah mengimpikannya. Aku nasihatkan engkau sesungguhnya harta ini adalah halal, maka peliharalah ia. Katahuilah bahawa selama ini aku bangun dari tidur dan solat subuh dengan bajuku yang lusuh ini kamudian aku menanggalkannya untuk dipakai oleh anak-anakku seorang demi seorang. Selepas itu aku keluar bekerja sehingga aku memperoleh beberap biji tamar dan beberapa keping cebisan roti. Aku pulang ke rumah supaya anak-anakku dapat solat zohor dan asar dengan baju ini. Begitu juga dengan maghrib dan isya’. Kami tidak pernah terfikir akan melihat dinar-dinar ini. Moga-moga Allah menjadikannya bermanfaat apa yang mereka ambil, yang aku ambil dan yang engkau ambil. Moga-moga Dia merahmati tuannya di dalam kubur, menggandakan pahala serta pemberian untuk anaknya.
Ibn Jarir berkata: aku ucapkan selamat tinggal kepadanya dan mengambil 100 dinar. Aku gunakannya untuk menulis ilmu selama dua tahun, iaitu untuk belanja makan, beli kertas, musafir (mencari bahan) memberi upah dan tambang.
Selepas 16 tahun, aku pergi ke Mekah sekali lagi. Aku mencari Abu Ghayyats dan bertanya tentangnya. Aku diberitahu bahawa beliau meninggal dunia beberapa bulan sahaja selepas peristiwa itu. Isteri, ibu mertua dan adik-adiknya juga telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah anak-anak perempuannya. Semuanya telah berkahwin dengan orang besar kerana kesolehan keluarga itu tersebar di merata tempat. Aku sering menziarahi anak-anak Abu Ghayyats di rumah suami-suami mereka. Aku disambut dan dilayan dengan sebaik-baiknya sehinggalah mereka semua meninggal dunia.

Firman Allah Ta’al bermaksud: “….Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (at-Talaq: 2-3)

No comments: