Wednesday, August 28, 2013

Sajak : Syuhada' Rabi'ah al-'Adawiyyah


Oleh Penulis tak dikenali

Perlahankan langkahmu daripada bumi Rabi'ah
Dan tanggalkan sepatumu
Sesungguhnya engkau kini berada di bumi orang-orang yang sujud
Dan tanyalah darah yang mengalir itu
Adakah sang pembunuh mempunyai agama?
Tanyalah Shaikh-shaikh yang menjual dhamirnya
Kepada kuasa kezaliman dan orang-orang yang membuat kerosakan
Bagaimana mereka datang menyerang sedangkan roh-roh di sini bergantung dengan tauhid
Dan Muhammad utusan ke seluruh alam?
Tanyalah bulan Ramadhan dan puasanya
Dengarlah doa orang-orang yang berzikir
Tanyalah solat fardhu dan sunat
Tentang kekhusyukan orang-orang yang beribadat
Tanyalah imam di dalam tilawahnya
Dan tangisan orang-orang yang khusyu'
Angkat tapak kakimu dari memijak darah yang suci
Sungai yang dilimpahi darah ahli thaurah
Angkatlah tangamu kepada Allah memohon doa
Supaya engkau dapat mendampingin para mujahidin
Sesungguhnya menolong kebenaran itu fardhu
Ke atas setiap orang yang mampu
Tanyalah mereka yang terpedaya dengan kekuatannya
Di manakah Firaun dan orang-orang yang terdahulu
Mereka berada di bawah tanah, ketamakan merekapun telah menyepi
Dan di dalam neraka mereka bermukim
Andainya engkau mahu menangis, maka tangisilah pada zaman
Yang memegang tampuk pemerintahannya para pengkhianat
Seandainya jihad itu ada lambang ada kemegahan
Maka para syuhada' Rabi'ah itulah sebenar-benarnya 'ainul yaqin kemegahan

Monday, August 26, 2013

Perutusan al-Beltagy: Kami bangkit melawan inqilab demi kemuliaan rakyat Mesir



Al-Beltagy, anggota Majlis Tertinggi FJP menegaskan bahawa penyembelihan yang dilakukan oleh puak-puak inqilab ketika menyuraikan demonstran di "Rabi'ah" dan "Nahdhah" serta tindakan selanjutnya membakar mayat, membiarkan mereka yang luka tanpa rawatan, mengepong masjid-masjid lantas membakar serta menceroboh kesuciannya, tidak pernah berlaku seumpamanya di dalam sejarah.

Sesungguhnya jenayah yang dilakukan oleh inqibiyyun, iaitu membunuh serta membakar mereka yang ditangkap, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana puak yang melampau di dalam sejarah. Sesungguhnya inqilabiyyun benar-benar tenggelam di dalam kejahatan dan melakukan jenayah paling kejam sehingga ke tahap membunuh tentera mereka sendiri.

Sesungguhnya kesalahan kita hanyalah, kita segolongan rakyat yang berhimpun selama 48 hari untuk berkata dengan mulut, bukan dengan sesuatu yang lain, berkata : "TIDAK KEPADA INQILAB ASKARIY (rampasan kuasa tentera). Kami selama-lamanya tidak akan terima Mesir beralih kepada negara askar yang berdarah.

Sesungguhnya inqilabiyyun telah terbongkar keburukannya di peringkat dalaman dan antarabangsa. Lantaran itu mereka cuba untuk mengalihkan tajuk kepada isu yang boleh menarik perhatian dunia kepadanya. Mereka menipu negara-negara luar dan bangsa-bangsa tertentu dengan istilah memerangi keganasan.

Sesungguhnya pakatan demonstrasi aman yang berterusan selama 48 hari di kelilingi oleh komplek-komplek ketenteraan seperti bahagian kewangan angkatan bersenjata, ibu pejabat perisikan perang dan lain-lain bangunan milik askar. Selama tempoh itu kami tidak pernah membaling walaupun seketul anak batu ke arah bangunan-bangunan itu, tidak pernah mengunci pintu-pintu atau menyerang seorang tenterapun.

Al-Beltagy juga menafikan sekeras-kerasnya pembohongan kononnya pakatan mempunyai senjata. Kononnya para demonstran dan Ikhwan memiliki berbagai-bagai jenis senjata. Kalau betul, kenapa kami tidak mempertahankan anak-anak kami yang mereka bunuh? Kenapa kami tidak gunakan senjata itu, kalau betul ada  untuk mempertahankan Mursyid kami dan pemimpin Ikhwan lain yang mereka tangkap?

Beliau bertanya, keganasan apakah yang telah dilakukan oleh Ikhwan Muslimun atau ikhwan adalah pasukan bersenjata yang mereka jaja ke seluruh Mesir? Apa guna senjata, padahal orang yang terbunuh dalam kalangan kami beribu-ribu?

Beliau mengutuk tuduhan puak inqilab bahawa Ikhwan adalah pengganas untuk menjadikan alasan bahawa jenayah yang mereka lakukan diistilahkan sebagai memerangi keganasan. Kalau betul Ikhwan pengganas, adakah al-Beblawi hendak berunding dengan kumpulan pengganas seusai dia dilantik sebagai perdana menteri? Sejak bila as-Sisi mengetahui bahawa Jamaah Ikhwan ini pengganas?

As-Sisi adalah ketua perisikan perang. Selama ini dia tidak pernahpun memberitahu sesiapa bahawa Ikhwan adalah pengganas. Bagaimana dia boleh membenarkan kumpulan "pengganas" memasuki pilihanraya parleman, memenangi majoriti yang memimpin parleman?

Bagaimana as-Sisi boleh membenarkan dirinya ikut mencalonkan seorang anggota jamaah "pengganas" sebagai presiden republik, dan calon itu menang, dia berdiri di hadapannya sambil mengangkat sumpah sedangkan dia tahu bahawa jamaah ini "pengganas"?

Sesungguhnya tuduhan-tuduhan palsu itu sebenarnya bertujuan untuk menarik sokongan rakyat Mesir yang bawahan supaya menyokong mereka memerangi penentang inqilab.

Al-Beltagy  menyatakan dengan tegas bahawa Ikhwan tidak keluar dan tidak bangkit menentang inqilab dengan mengorbankan nyawa anak-anak mereka dan nyawa mereka sendiri, mereka tidak lakukan itu semua kerana mengharap apa-apa keuntungan. Sebaliknya apa yang Ikhwan mahu ialah rakyat mendapat hak mereka untuk hidup mulia, membina negara madani, demokrasi yang adil

Beliau berkata kepada rakyat Mesir: jangan biarkan hati kecil kamu berdiam diri terhadap kezaliman. Jangan takut kepada inqilabiyyin. Jangan jadi seperti syaitan bisu. Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa orang yang tidak menolong orang yang dizalimi, Allah akan timpakan ujian ke atasnya dengan yang lebih berat, namun tidak ada siapa yang akan menolongnya.


Sumber:
http://ikhwanonline.net/Article.aspx?ArtID=160929&SecID=250 

Saturday, August 24, 2013

AYAH


Risalah Mus'ab Hamid, seorang wartawan kepada ayahnya yang ditangkap oleh rejim zalim, as-Sisi

Ayahku yang mulia lagi disanjungi
Ayahku, insan yang paling disayangi oleh hatiku
Semoga Allah jadikan engkau thabat wahai madrasah tempat mengajar erti kepahlawalan dan keteguhan
Aku mengenalimu sebagai singa yang garang. Engkau tidak tidak takut kecuali Allah.
Engkau tidak rela kezaliman dan tidak menyerah kalah
Aku berhak untuk berasa bangga denganmu di pentas dunia dan berkata:
Inilah ayahku, Abdullah Hamid!
Maka tunjukkan kepadaku wahai semua, siapa ayahmu!
Semoga Allah bebaskan engkau dari tawanan, wahai ayahku.
Aku tidak pernah mengetahui satu haripun engkau mengharap sesuatu daripada dunia ini kecuali redha Allah.
Manusia menyangka engkau tidak pandai mengumpul harta, pada hal engkau sebenarnya zuhud, tidak tamak kepada harta
Dunia sering melutut di bawah tapak kakimu dengan bermusafir ke sana ke sini
Tetapi engkau berkata, siapakah nanti yang akan membangunkan Mesir?
Sering kali Mesir menyakitimu sedangkan engkau berusaha membinanya
Hampir saban malam engkau habiskan dengan kerisauan memikirkan kesengsaraannya.
Berapa banyak usaha telah engkau curahkan untuk kebaikan manusia tanpa sebarang ganjaran yang engkau terima
Telah sekian kali engkau disumbat ke dalam penjara oleh puak yang zalim dengan senyuman di bibirmu yang tidak mampu difahami oleh penyiksamu erti di sebalik senyuman itu
Engkau mengajar kami bahawa gentelmen itu ada pada keteguhan pendirian
Menjadi kebiasaanmu menanti ujian dengan beberapa rakaat solat sunat
Setiap kali mereka hendak menangkapmu, mereka terpaksa menunggu engkau di musollamu
Kami menyeru engkau supaya turun agar mereka tidak meredah ke tempatmu
Lalu jawapanmu Allahu Akbar, engkau memulakan solat beberapa rakaat
Ya Allah, aku amanahkan ayahku kepadaMu, maka peliharalah dia wahai Tuhan sekelian hamba.

Sumber:


Thursday, August 22, 2013

Perutusan daripada Ikhwan Muslimin


Pendekatan aman kami adalah rahsia kekuatan kami

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya.

Sesungguhnya para perampas kuasa dan pembuat kerosakan telah melampau dalam menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, mencabut roh-roh yang suci tanpa alasan yang benar. Mereka memekakkan telinga dan membutakan mata dari mendengar dan memerhatikan ancaman Allah Ta'al menerusi firmanNya yang bermaksud:
"... bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (Al-Maidah:32)

Mereka tidak menghiraukan janji Allah yang benar di dalam firmnanNya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (An-Nisaa’:93)

Mereka buat-buat lupa arahan dan peringatan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya hancurnya dunia ini lebih enteng di sisi Allah daripada membunuh seorang lelaki beriman tanpa hak (tanpa alasan yang benar).”

Para perampas tidak cukup dengan gugurnya ribuan syuhada’, ribuan mangsa disumbat di dalam penjara, malah mereka melakukan pelbagai jenis siksaan ke atas mangsa-mangsa yang ditangkap. Puluhan daripada mangsa diperlakukan dengan cara yang amat keji, terkeluar dari batas undang-undang, yang menyayat hati setiap makhluk yang hidup dan ada perasaan.

Thaurah secara aman merupakan jihad yang paling besar

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Jihad yang paling besar ialah perkataan yang hak di hadapan pemerintah yang zalim.” Di dalam satu riwayat lagi, Nabi s.a.w. ditanya: “Yang manakah jihad yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”

Maka, manakah kezaliman ke atas umat, penganiayaan ke atas hamba-hamba Allah lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh para perampas dan penumpah darah itu? Kerana itu, mempertahankan kebenaran dalam menghadapi mereka adalah jihad yang paling afdhal sebagaimana dinyatakan di dalam Hadis di atas. Dan itulah yang dilakukan oleh majority rakyat Mesir yang berjiwa merdeka, yang keluar di jalan-jalan dan di medan-medan sambil berkata kepada orang yang zalim: Berambuslah kamu! Kamu memang zalim!

Sekiranya umat mendiamkan diri dan tidak keluar, nescaya ia berdosa. Ia diancam kemusnahan dengan sebab sifatnya yang pengecut dan bacul. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: “Sesungguhnya kamu benar-benar zalim, maka ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka.” Maksudnya, mereka tidak berguna lagi. Ada atau tidak ada mereka sama sahaja.

Adapun serangan berdarah yang dilakukan oleh  perampas ke atas penunjuk perasaan secara aman, maka mereka yang terbunuh mendapat darjat penghulu syuhada’ seperti Hamzah bin Abdul Muttalib r.a. Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah, dan orang yang bangkit di hadapan pemerintah yang zalim dan menasihatinya lalu dia dibunuh.”

Maka hendaklah kita mempertahankan pendekatan aman thaurah kita dan gerakan kita. Kita hendaklah berani menyatakan kebenaran di hadapan perampas. Kita teruskan melaksanakan tanggungjawab kita secara aman sehingga Allah realisasikan harapan kita untuk mencapai kebebasan dan kemuliaan. Sekiranya tangan-tangan perampas membunuh kita, maka kita syahid dan ganjaran kita dijamin oleh Allah. Dialah Pemelihara kita dan Dialah sebaik-baik tempat kita berserah.

Sesungguhnya perampas kini berjalan mengikut jejak langkah Firaun, bahkan lebih teruk lagi. Tujuan mereka ialah untuk menyekat kemaraan para pemuda umumnya dan kebangkitan Islam khususnya. Mereka melakukan provokasi untuk mengheret pemuda melakukan keganasan, meninggalkan cara aman dan terjerumus ke dalam kancah keganasan yang tidak berkesudahan. Lantaran itu, wajib ke atas kita wahai pendukung thaurah yang berjiwa merdeka dari semua golongan dan aliran fahaman kebangsaan, jangan beri muka kepada mereka dengan mengikut apa yang mereka mahu. Kita jangan tinggalkan pendekatan kita yang merupakan rahsia kekuatan kita, iaitu pendekatan aman. Meskipun sebanyak mana pengorbanan yang kita hulurkan, sesungguhnya pendekatan ini lebih afdhal daripada melawan dengan keganasan seperti yang dilakukan oleh perampas yang mabuk darah. Kita yakin, dengan izin Allah, thaurah kita yang aman akan menang mengatasi segala senjata yang mereka gunakan.

Jangan berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal (wira)

Sekiranya ujian bertimpa-timpa, bagi mukmin ujian itu tidak menambah kecuali keyakinan yang lebih utuh, lebih kukuh bahawa dia berada di atas jalan yang benar. “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” (Al-Ahzab:22)

Sesungguhnya orang yang membawa risalah kebenaran memahami bahawa harga yang mahal akan dibayar sebagai bukti iman yang benar. Orang yang membawa risalah kebenaran akan memberikan harta, kerehatan, keselesaan dan dirinya. “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155) Namun dia tidak berputus asa daripada janji Tuhannya. Dia tidak akan menukar aqidah dan pendiriannya. “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya.” (Al-Baqarah:156-157)

Demikianlah, mukmin tidak putus harapannya daripada rahmat Allah. Tidak goncang keyakinannya pada pertoluongan Allah. “dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum:47)

Kerana ayat ini dan lain-lain lagi kita tidak berputus asa wahai saudaraku yang disayangi. Apa sekalipun yang dilakukan oleh mereka yang zalim; sekiranya mereka tangkap atau bunuh para pemimpin, mereka tidak akan dapat menangkap iman kita atau membunuh fikrah kita kerana kita berhimpun atas dasar risalah dan prinsip bukan atas dasar pemimpin atau individu. Sekalipun betapa cintanya kita kepada pemimpin kita, betapa kita menghargai perjuangan mereka, kita sanjungi pengorbanan mereka, maka apakah kita takut risalah kita akan lemah atau tersungkur dengan tertangkapnya setengah pemimpin atau syahidnya mereka? Demi Allah, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dakwah kebenaran tidak akan tersungkur dan tidak akan mati selama-lamanya. Bahkan ia dijanjikan kemenangan yang besar selepas mehnah. Maka berpegang teguhlah wahai saudara-saudara yang merdeka dengan dakwah kamu, dan tetapkan pendirian di atas agama kamu dan prinsip kamu. Pertahankanlah pendekatan aman kamu, dan yakinlah bahawa pendekatan aman kamu itu lebih kuat daripada peluru mereka. Yakinlah bahawa kemenangan dan keabadian adalah milik mereka yang paling baik akhlaknya dan paling kuat iman serta keyakinannya. “Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d:17)

Berusahalah bersungguh-sungguh dalam menguatkan hubungan dengan Allah. “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang…” (Al-Baqarah:45). Peliharalah kesatuan kamu. Tumpukan kepada hadaf yang besar bagi gerakan kamu dan jihad kamu, iaitu membebaskan watan dan rakyatnya dari kehinaan, penindasan dan dictator, serta mengmbalikan thaurah 25 Januari yang agung dengan segala isinya, kemuliaan, kesatuan dan kepuasan. Jangan kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal. Allah bersama kamu dan Dia pasti menolong kamu.

Allahu Akbar. Hidup thaurah kita yang aman. Hidup Mesir, bebas dan stabil.

Ikhwan Muslimun
Cairo
14 Syawaal 1434
21 Ogos 2013

Sumber:

Sunday, August 18, 2013

Kebijaksanaan Mursi dalam memerintah dengan Hubb (kasih sayang)




Nukilan: Sobir Masyhur

Di dalam ucapan-ucapannya, Mursi sering berkata "Aku hendak memerintah kamu dengan hubb". Ia merupakan ungkapan yang tidak pernah menarik perhatianku sama sekali, dan aku tidak pernah peduli langsung.

Dan hari-haripun berlalu sehinggalah samseng yang gila lagi bodoh, as-Sisi menculik Presiden kami yang dipilih secara sah. Maka Muhammad Backus mengeluarkan kenyataan di dalam satu link mempersenda-sendakan orang bodoh dan kenyataan Mursi bahawa dia hendak memerintah dengan hubb.

Aku kembali kepada diriku, dan aku teringat ungkapan Mursi yang diulang-ulangnya lebih daripada satu kali. Aku berkata kepada diriku, ternyata bahawa sesungguhnya dia adalah seorang lelaki yang sungguh-sungguh melimpah ruah dengan sifat kemanusiaan. Tetapi dalam pemerintahan, tidak ada tempat untuk hubb, mesra dan kasihan belas. Dan dia pernah menangis kerana seorang ibu bersetuju membenarkan orang mengupah anaknya sebanyak 50 junaih (paun Mesir) supaya membaling molotov ke arah istana ittihadiyyah. Ibu itu meletakkan di dalam saku baju anaknya secubit kertas yang tertulis alamatnya untuk memudahkannya menemui mayat anaknya sekiranya dia mati dalam pertembungan di situ.

Dan aku terus berbisik kepada diriku: Mursi adalah seorang yang baik dan penyayang lebih dari yang sepatutnya. Dengan sifat kasihnya yang melampau itulah dia telah dipecat, yang mana itu merupakan kehancuran bagi tentera, polis, mahkamah dan rakyat. Sedangkan Mesir selama-lamanya tidak akan tegak berdiri tanpa presiden yang dipilih secara sah.

Hari-hari terus berlalu. Jutaan rakyat telah keluar berhimpun. Mereka mengangkat gambar Mursi di jalan-jalan. Mereka menciumnya dalam keadaan menangis seperti kanak-kanak yang memeluk ibunya yang telah meninggal dunia dan memanggil-manggilnya agar kembali hidup semula.

Kita melihat para demonstran mengangkat gambar-gambar Mursi berjam-jam lamanya tanpa penat dan jemu. Mereka melaungkan namanya. Bahkan dengan menyebut namanya sahaja di hadapan mereka sudah cukup untuk membuatkan airmata mereka mengalir. Mereka rindu untuk melihat wajahnya. Hati mereka terbakar, tidak tenang sehingga mereka mengetahui keadaan dirinya dan kesihatannya. Cinta mereka kepada Mursi mengatasi cinta Antarah kepada Ablah dan cinta Qais kepada Laila.

Para syuhada' yang mara ke depan berhadapan dengan tentera Mesir yang khianat ketika mereka menyerang Rabi'ah al-Adawiyyah, mereka mara dengan mengangkat dua senjata, iaitu Kitab Allah dan gambar Presiden Mursi. Dua senjata itulah yang membuatkan para pengkhianat dari kalangan tentera dan polis tidak lena tidur.
Aku mula memahami betapa mendalamnya ungkapan Mursi "Aku hendak memerintah kamu dengan hubb". Maka sekarang Mursilah yang menjalankan demonstrasi dan menggerakkan dunia dengan hubb sahaja, tanpa berhubung, tanpa menggunakan tentera, tanpa kereta kebal dan tanpa kapal terbang.

Sehinggakan sekarang ramai di kalangan pengikut-pengikut as-Sisi yang dungu muncul di media-media sambil berkata: Mursilah penyebab kepada apa yang berlaku. Mursilah penyebab kepada keluarnya para demonstran. Mereka berkata: kalau Mursi mengalah dan meletakkan jawatan, segalanya akan selesai.

Aku mula berfikir dan memerhati keadaan Mursi. Aku membandingkan gaya pemerintahannya dengan hubb (yang kebanyakan orang menamakannya lemah) dengan gaya as-Sisi yang memerintah dengan membakar penentangnya hidup-hidup (yang orang namakan sebagai tegas).

Maka aku dapati bahawa sesungguhnya Mursi jauh lebih cerdik dan mempunyai pandangan yang jauh lebih ke depan. Dia tidak terikut-ikut seruan kebanyakan orang yang mengangkat slogan memukul dengan tangan daripada besi.

Aku membandingkan antara natijah memerintah dengan hubb sebagaimana yang dilakukan oleh Mursi dengan memerintah dengan besi dan api sebagaimana yang dilakukan oleh pengkhianat as-Sisi.

Aku dapati bahawa Mursi mampu dengan gaya hubbnya menambah ekspot sebanyak 17% sepanjang pemerintahannya, mengurangkan impot sebanyak 11%, meningkatkan pelancongan sebanyak 25%, menambah hasil keluaran gandung, mengeluarkan monitor komputer dan motor bagi kereta pertama Mesir.

Ketika pemerintahannya, tidak ada mana-mana negara asing yang berani masuk campur dalam urusan dalaman negara. Tidak ada mana-mana pihak luar yang berani menjadi orang tengah antara Mursi dengan penentangnya.

Aku berkata kepada diriku: kalaulah Mursi mendengar gesaan setengah pihak supaya memukul dengan tangan besi penentangnya sebagaimana yang dilakukan oleh as-Sisi pengkhianat, nescaya zamannya membawa kita semua memasuki perang saudara, menghancurkan ekonomi dan pelancongan, merebaklah huru-hara sebagaimana telah berlaku sekarang, pemodal-pemodal asing akan lari sebagaimana sekarang ini syarikat-syarikat internasional di Mesir telah ditutup.

Aku baru faham bahawa Mursi adalah seorang lelaki yang pintar, orang yang paling berpandangan jauh dari kalangan kita, paling matang akalnya, paling stabil emosinya. Lebih daripada semua itu, dia merupakan seekur singa yang ditambat, yang mana kereta kebal, senapang, kapal terbang sekalipun tidak mampu untuk menggoncangkan walau sehelai rambut dari kepalanya. Dia akan mencabar semua itu dengan keberanian yang tiada tolok bandingnya.

Sungguh! Kereta kebal, senapang dan kapal terbang tidak mampu untuk menggoncangkan walau seurat rambut dari kepalanya. Cuba kamu semua ingat ucapan terakhirnya. Dia tidak tergagap-gagap atau tersasul-sasul. Dia berucap tanpa teks selama satu jam setengah dengan bahasa Arab Fusha (bahasa baku) sepenuhnya, dalam susunan yang cukup mantap, minda yang penuh sedar sampai ke tahap satu ketika dia menyebut maf'ul dengan baris depan, lalu dia mengulang kembali ayat itu dan membetulkan baris maf'ul, iaitu baris atas.

Sungguh mengkagumkan aku! Ya Allah! Seorang lelaki yang sedang menanti untuk dibunuh pada bila-bila masa, puluhan kereta kebal, kapal terbang dan senjata sedang mengepongnya, pengkhianat di dalam tentera boleh memerah darahnya pada bila-bila masa, dalam keadaan penuh bahaya dan genting itu, dia masih sedar akan kesilapan tata bahasa, lalu membetulkannya!

Betapa pintarnya engkau wahai Mursi sedangkan kami tidak menghargaimu. Kami hanya mengetahui nilai hargamu selepas kami melihat puak-puak yang bodoh dan dungu memerintah Mesir sekarang.

Tuan Mursi, kami wajib meminta maaf daripadamu kerana engkau telah berbuat baik, sedangkan kami sebaliknya, berbuat jahat.

Tunggu artikel berikutnya, kenapa Mursi tidak memecat as-Sisi dan mencabut akar umbi kerosakan menjalar di dalam negara dan di dalam diri sebahagian rakyat Mesir?