Wahai yang dicipta dengan kemuliaan
Terima kasih kerana telah bertandang
Buat seketika di laman usiaku
Kau sapu sebahagian dosa-dosaku
Yang bersepah, menyampah merata-rata
Lalu kau humban di dalam bakul sejarah
Kau hiasi ruang-ruang rohani
Dengan jambangan rahmah dan maghfirah
Kau sirami benih-benih iman
Yang berputik di laman hati
Sehingga ia subur, berbunga dan mewangi
Wahai yang dicipta dengan keberkatan
Tiba masa kau akan berangkat pergi
Menggalas jutaan doa dan harapan bani insan
Diiringi tangisan keinsafan
Serta gema takbir
Bersahutan membelah sunyi malam
Wahai yang dicipta dengan keagungan
Esok kau tiada lagi
Esok Syawal datang sebagai ganti
Esok syaitan mula mengepak-ngepak sayapnya
Sedia untuk terbang bebas menerkam mangsa
Esok pintu-pintu neraka kembali terkuak
Bagai singa kelaparan
Menerkam menelan penderhaka
Wahai yang dicipta dengan kemurahan
Maafkan aku tidak melayanimu
Maafkan aku tidak menghargai kehadiranmu
Maafkan aku tidak mengisi kantung waktumu
Maafkan aku endah tak endah pada sapaanmu
Maafkan aku...
Satu pintaku
Bawalah pergi bersamamu derita sengsara
sahabat-sahabatku
Bungkuslah kezaliman dan penindasan yang
menimpa saudaraku
Di Palestin, di Syria, di Mesir, di
mana-mana jua
Heretlah penjahat penghisap darah itu
Kambuslah mereka di lubang silam
Biar nafas mereka segera terhenti
Dan tidak akan berdenyut lagi
29 Ramadhan 1434
07 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment