Hari ke 10
Muharram adalah satu hari yang dibesarkan oleh Allah Ta'ala, diraikan oleh
Rasulullah s.a.w. dan diperintahkan supaya umatnya berpuasa. Baginda bersabda
mengenai hari tersebut (maksudnya): "Ia adalah satu hari daripada
hari-hari Allah Ta'ala." Hari ini juga telah dimuliakan semasa jahiliah.
Kaum Yahudi menjadikannya sebagai hari raya. Permulaan difardhukan puasa ke
atas orang Islam sebelum Ramadhan adalah hari 'asyuraa'.
Al-Bukhari dan
Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. datang
(berhijrah) ke Madinah, Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari
'asyuraa'. Lalu baginda bertanya: "Sempena hari apakah kamu berpuasa
ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari yang agung. Padanya Allah
selamatkan Musa dan kaumnya, Allah tenggelamkan Firaun dan kaumnya. Maka Musa
berpuasa sebagai tanda syukur. Lalu kamipun berpuasa." Maka Rasulullah
s.a.w. bersabda (maksudnya): "Kalau begitu, kami lebih berhak dan lebih
utama mengikuti Musa daripada kamu." Maka Rasulullah s.a.w. berpuasa dan
memerintahkan umatnya supaya berpuasa."
Tentang kelebihan
berpuasa pada hari 'asyuraa', telah disebut di dalam sebahagian daripada Hadis
yang panjang di dalam kitab Sahih Muslim, daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi
s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan puasa hari 'asyuraa', aku mengharapkan
daripada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya." Dan di
dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., dia berkata: "Aku
tidak pernah melihat Nabi s.a.w. bersungguh-sungguh dalam mengerjakan puasa
lebih daripada yang lain, melainkan hari 'asyuraa' dan bulan ini, iaitu
Ramadhan."
Rahsia hari ini
diagungkan ialah kerana pertolongan Allah Ta'ala kepada Nabi Musa dan pengikutnya
dan Allah tenggelamkan Firaun serta bala tenteranya. Ia merupakan satu perayaan
sempena pertolongan Allah ke atas golongan beriman yang taat kepada Nabi mereka
dan keluar bersamanya untuk membentuk daulah muslimah (negara Islam) di bumi
yang baru. Ia sebagai menyatakan kegembiraan kerana Allah telah menewaskan
kezaliman dan keganasan yang terjelma pada diri Firaun serta tentera-tenteranya
yang membuat kekacauan di negeri Mesir dan merosakkannya dengan berleluasa.
Dan rahsia kenapa
Yahudi tidak berhak untuk merayakan hari kemenangan ini ialah kerana mereka
telah menggabungkan diri ke dalam qafilah keganasan, kezaliman dan keangkuhan.
Bahkan mereka sekarang telah menjadi pemimpinnya di muka bumi ini. Justeru,
mereka tidak layak untuk menyambut dan
mengingati hari kemenangan yang besar ini. Kitalah (umat Islam) yang lebih
utama dan lebih layak untuk mengikuti Musa berbanding dengan mereka. Kita yang
patut merayakan, malah cara kita berbeza dengan mereka dalam merayakannya. Kita
berpuasa 9 atau 11 bersama dengan 10 Muharram supaya kita benar-benar berbeza
dengan Yahudi penjenayah sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah kita yang
tercinta s.a.w.
URUSAN ALLAH
BERSAMA DENGAN ORANG-ORANG ZALIM
Pihak yang salah,
kadang-kadang Allah membiarkan mereka menjelajah dan meneroka sana dan sini,
membuat zalim, mengacau, memerintah, membunuh, merosakkan tanaman dan
keturunan. Tetapi ini tidak bermakna Allah Ta'ala leka dari memerhati golongan
yang batil ini bermaharajalela di atas bumi milikNya. Sebaliknya itu merupakan
penangguhan dengan santun dan berhikmah sehingga ke suatu masa yang tertentu.
Kadang-kadang setengah golongan yang mahu cepat, atau orang yang lemah imannya
berasa hairan bagaimana Allah memberikan peluang kepada puak-puak yang batil
ini berkuasa bertahun-tahun? Bagaimana Allah membiarkan hamba-hambaNya
menanggung siksa yang teruk? Namun hakikatnya, itulah hikmah Allah dalam
melewatkan (pertolongan). Iaitu supaya orang yang beriman terus berusaha
mengumpul sebab-sebab kemenangan dan keteguhan, supaya kebatilan kian meluas
dan sampai ke kemuncaknya sehingga hampir-hampir membinasakan Rumah Allah Yang
Mulia sebagaimana yang dilakukan oleh Abrahah terkutuk yang terpedaya. Pada
sangkaannya dia akan dapat menghancurkan Kaabah ketika tiada seorangpun yang
bangkit melawannya. Di ketika itu, ketika kesulitan tiba di puncaknya,
terbukalah pintu keselamatan, Tangan Yang Maha Kuasa tiba-tiba muncul
merentapnya. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abi Musa r.a. dia
berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah memberi
tempoh kepada orang yang zalim sehingga apabila Dia membalasnya, Dia tidak
membiarkan seorangpun terlepas." Kemudian Baginda s.a.w. membacakan ayat
al-Quran yang bermaksud; "Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia
menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu
tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.” (Hud:102)
Dan sunnah Allah Ta’ala, Dia melewatkan dan
menangguhkan supaya orang yang zalim itu insaf dan kembali kepada
kematangannya. Namun seandainya dia berterusan melampaui batas dan merasakan
bahawa di dalam genggamannya segala perkara, dia akan dicekup oleh Tangan Yang
Maha Perkasa. Pada masa lampau, media massa menghebahkan keangkuhan Firaun:
“Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya:
Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan
sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya?”
(Az-Zukhruf:51)
Pada masa sekarang juga kita lihat media massa menghebahkan
penguasaan satu pihak, seolah-olah kekuasaan hanya berpusat pada satu individu
di seluruh pelusuk dunia. Dengan nada yang sama lisanul-hal diktator sekarang
berkata: “Tidakkah kami memerintah dunia, kami kuasai keputusan-keputusan semua
Negara? Tidakkah kami memerintah PBB? Tidakkah ia laksana barang permainan di
tangan kami? Tidakkah kami berkuasa untuk menggerakkan dunia seluruhnya di
bawah telunjuk kami sebagaimana yang kami kehendaki? Tidak kami menguasai
seluruh hasil bumi?
Hari
Raya Kemenangan dan Pengajarannya Pada Masa Kini
Kenangan 'asyuraa'
menjenguk kita kembali pada waktu kebatilan sedang mengganas dan menindas. Dia
menyangka bahawa di tangannya segala sesuatu, dia memiliki kekuasaan di seluruh
alam, dia memerintah negeri dan rakyat jelata. Sedangkan hamba-hamba Allah yang
beriman pula yakin bahawa di saat mereka dikepung oleh kezaliman, kenangan
'asyuraa' datang membawa bekalan supaya lebih kental dan teguh pendirian,
membawa harapan kemenangan, kebebasan dari cengkaman diktator walau sekuat
manapun kuasa mereka. Pakatan antara bangsa, ketumbukan tentera dunia,
penguasaan politik, pengaruh ekonomi, perancangan jahat malam dan siang
menyerang tiada henti seperti digambarkan oleh pengikut Musa "Setelah
kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa:
Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” (Asy-Syu’araa’:61). Dan scenario
penipuan, putar pelit dihebahkan secara terang-terangan tanpa malu dan segan.
“Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Di Suria selepas Iraq atau Iran.
Kemudian datang pula giliran Saudi, selepas itu Mesir, kemudian.. kemudian…
Siapakah yang akan menghentikan kezaliman yang terus melanda dan meredah ini?
Perasaan bahawa kita akan “ditawan” atau hampir-hampir
akan tertawan bukan sesuatu yang aib dan memalukan kerana setiap orang yang
berakal wajib mengikuti berita dan perkembangan semasa. Dan bagaimana kita
membuat persediaan untuk berhadapan dengan percubaan yang diatur untuk menawan
kita. Itulah yang diungkapkan oleh anak bangsa kita yang diburu ketakutan, yang
resah gelisah, lalu mereka manyahut seruan pihak atasan mereka dengan anggapan,
mereka sekarang sedang berjuang untuk mengelak daripada “ditawan”. Mereka
membuat alasan di atas apa yang mereka lakukan adalah mengelak daripada
“ditawan” kerana pihak lawan lebih gagah, lebih kuat, lebih hebat. Kita tiada
pilihan kecuali tunduk dan menyerah… Dan apakah kesudahannya? “Sesungguhnya
kita akan dapat ditawan.”
Datangnya ‘asyuraa’ setiap tahun untuk mengajar kita
beberapa pengajaran, membawa kepada kita ibrah dan peringatan daripada kejayaan
Musa dan pengikutnya, kebinasaan penguasa yang zalim yang diserlahkan pada
watak Firaun dan bala tenteranya. Adakah natijah ini terjadi tanpa golongan
manusia yang beriman berbuat sesuatu? Adakah pertolongan Allah dicurahkan ke
atas hambaNya tanpa harga yang dibayar? Adakah kemenangan itu mungkin berlaku
tanpa perseimbangan kekuatan antara kedua-dua pihak? Inilah yang akan kita
pelajari bersama selepas kita melihat episod terakhir pertentangan antara hak
dan batil di dalam al-Quran. “Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama
lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.
Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)!
Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan
pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. Lalu Kami wahyukan kepada
Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka
terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap
bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami
dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta
orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan
golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang
demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam
pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu
(wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”
(Asy-Syu’araa’:61-68)
Undang-undang
Kejayaan dan Kemenangan Ketika Tidak ada Keseimbangan Kekuatan Yang Nyata
(Lahiriah)
1. Taat kepada Allah Ta’ala: Sesungguhnya
pengikut Nabi Musa a.s. telah menyahut seruan Allah supaya mereka keluar dari
Mesir menuju ke negeri yang baru untuk membentuk Negara di mana mereka berupaya
untuk mengabdikan diri kepada Allah di situ. Mereka telah menyahut seruan ini.
2.
Bersikap positif dengan mengikuti Pesuruh
Allah dan bergerak sama-sama ke arah merealisasikan apa yang dituntut di bumi
nyata: Pengikut Nabi Musa
tidak berkata bahawa apa yang dituntut itu suatu khayalan yang mustahil
dilaksanakan kerana kita tidak setara dengan Firaun dan bala tenteranya.
Bagaimana kita boleh keluar dari cengkamannya sebagaimana orang-orang sekarang
berkata bahawa membebaskan bumi kita yang berharga ini dari sungai ke laut
adalah satu mimpi dan khayalan yang tidak mungkin terlaksana kerana kita tidak
setara dengan Amerika dan apa yang dinamakan Israel. Pengikut Musa tidak
berkata seperti itu, sebaliknya mereka berkumpul, mengatur langkah dan
benar-benar bergerak keluar.
3.
Menolak penguasaan puak batil dan tidak
tunduk kepada mereka: Mereka tidak menyerah kalah di bawah
pemerintahan Firaun dengan berkata kita bertolak ansur dengannya, kita
selesaikan urusan ini dengan cara diplomasi. Tidak mengapa kalau kita tidak
pertahankan semua hak kerana kepintaran politik menuntut kita supaya
menggugurkan sebahagian daripada hak-hak kita. Masa untuk berpegang kepada
kebenaran yang nyata telah berlalu. Pengikut Nabi Musa a.s. tidak berbuat
begitu. Bahkan mereka berkata kepada puak batil, sesungguhnya engkau batil.
Tidak cukup sekadar itu, malah mereka mengemas barang-barang mereka dan keluar
mengikuti Nabi mereka.
4.
Merancang dan mengambil sebab serta
langkah-langkah yang sepatutnya sedaya mampu: Sesungguhnya pengikut Nabi Musa a.as. telah
merancang. Mereka menggunakan taktik, keluar pada hari perayaan mereka. Keluar
dari cengkaman pemerintah yang zalim memang sebenarnya nikmat hari raya. Mereka
telah mencurahkan tenaga sedaya mampu mereka. Dan Allah tidak membebankan
hambaNya melainkan sekadar kemampuannya.
5.
Kekuatan jiwa dengan bekalan perasaan Allah
Ta'ala sentiasa bersama (Ma'eiyyatullah): Sesiapa yang berdamping dengan Allah tidak mengukur
kekuatan dengan ukuran zahir, tidak menimbang berasaskan keseimbangan material.
Sebaliknya menimbang berasaskan kelebihan dan kemenangan kekuatan Allah Ta'ala.
"dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang
telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Yusuf:21) Sehinggakan sekalipun neraca kebendaan itu
tidak setara dengannya. Inilah yang dihamburkan oleh Musa di kalangan
pengikutnya ketika mereka berkata: "Sesungguhnya kita akan ditawan." Nabi
Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya
aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya),
Dia akan menunjuk jalan kepadaku.” (Asy-Syu’araa’:62) “Dan Kami selamatkan Nabi
Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami
tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa
yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan
(dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya
Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani.” (Asy-Syu’araa:65-68)
Sesungguhnya apa
yang berlaku itu adalah mukjizat. Tetapi mukjizat tidak diberi oleh Allah
kecuali kepada orang yang berhak menerimanya dan telah membayar cukai melalui
amal mengikut undang-undang yang telah ditentukan Allah Ta'ala kepada
hamba-hambaNya. Dan apakah yang akan diperolehi oleh umat kita kalau mereka
taat kepada perintah Tuhan mereka, mengikuti ajaran Rasul mereka, membuat
persediaan dan merancang sedaya mampu, bergerak di bumi nyata untuk memenangkan
isunya, dan berjalan di jalan yang betul dengan jiwa yang tabah bergantung
kepada Allah Yang Maha Kuat, Maha Kuasa, Maha Gagah, Yang mengalahkan penguasa
yang angkuh? Sudah pasti, demi Allah! Ketika itu akan datang kemenangan yang nyata.
Inilah sunnah Allah di dalam sejarah. Ia sebaik-baik ibrah bagi mereka yang
ingin berjalan di landasan yang sahih.
Sumber:
No comments:
Post a Comment