Friday, November 29, 2013

MOTIVASI


Daripada 'Amru bin Salamah r.a. dia berkata: Pada suatu hari, kami berada berhampiran dengan mata air tempat musafir lalu lalang.  Ketika itu satu robongan singgah di situ. Aku bertanya mereka, "Apa hal mereka ini? Siapa lelaki itu?" Orang ramai berkata: "Dia mendakwa bahawa Allah mengutusnya menjadi Rasul. Allah mewahyukan kepadanya sekian dan sekian (diperdengarkan kepadanya ayat-ayat al-Quran)." Maka aku menghafaz kata-kata itu. Ia bagaikan terpahat di dadaku.
Ketika itu, orang Arab akan dicela jika memeluk Islam. Mereka berkata, "Biarkan dia berhadapan dengan kaumnya. Sekiranya dia menang, maka dia adalah Nabi yang sebenar."

Apabila berlakunya Fathu Makkah, semua kaum berlumba-lumba memeluk Islam. Ayahku merupakan orang pertama dari kalangan kaum kami memeluk Islam. 

Apabila dia pulang ke daerahnya, dia berkata: "Demi Allah, aku benar-benar datang dari menemui seorang Nabi s.a.w. yang benar." Dia juga berkata: "Hendaklah kamu semua menunaikan solat sekian pada waktu sekian, dan solat sekian pada waktu sekian. Apabila tiba waktu solat, maka hendaklah salah seorang daripada kamu azan, dan salah seorang yang tahu membaca al-Quran paling banyak menjadi imam." Mereka memandang sesama sendiri, maka tidak ada yang lebih banyak menghafaz al-Quran selain aku kerana aku pernah mendengar daripada rombongan yang singgah dahulu. Lalu mereka menolak aku ke hadapan mereka. Ketika itu aku baru berusia enam atau tujuh tahun. Aku hanya memakai sehelai kain selendang. Apabila aku sujud, kain itu terlucut. Maka seorang wanita penduduk kampong berkata: "Tidak bolehkah kamu tutup dari pandangan kami punggung qari kamu itu?" Lalu mereka membelikan kain dan membuatkan kemeja untukku. Maka tidak pernah aku rasa gembira seperti gembiranya aku mendapat kemeja itu." Riwayat al-Bukhari.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada secebis kisah yang pendek itu. Saya tinggalkan kepada anda untuk menggali pertama hikmah yang terselit padanya.

No comments: