Riuh dan heboh tentang berita Wedding of the Year yang tersiar
di dalam media-media dua hari lepas.
Menurut
satu sumber (http://www.rotikaya.com/perkahwinan-ditaja-rm13-juta-rozita-che-wan-zain-saidin-nafi-buat-pinjaman-bank/),
Pada
majlis pengumuman tarikh perkahwinan mereka semalam, diumumkan pasangan ini
telah mendapat tajaan dari pelbagai pihak yang bernilai RM13 juta (setakat
ini). TIGA BELAS juta! Bukan TIGA juta. Saya tenung dan baca berulangkali,
takut tersalah pandang atau tersilap baca. Namun, sah! Yang terpapar adalah 13.
Sumber
itu menulis:
Berikut
antara fakta menarik mengenai perkahwinan Rozita Che Wan & Zain Saidin
-
Pasangan ini telah mengadakan sesi fotografi Jumlah kos pra-perkahwinan di
beberapa lokasi menarik di Eropah dan Bali. Kos pra-perkahwinan mereka mencecah
lebih RM30,000.
-
Sewaktu majlis malam berinai nanti turut diadakan tarian joget lambak dan
poco-poco.
-
Sebagai kelainan, dulang hantaran ditukar dengan peti. Pasangan akan bertukar 9
peti berbalas 9. Bagi setiap satu peti akan berisi barang hantaran & semua
hantaran dianggarkan bernilai RM100,000.
-
Wang hantaran daripada Zain kepada Che Ta sebanyak RM23,200 iaitu simbolik
kepada tarikh lahir Zain Saidin sendiri.
-
Sementara untuk pembatalan air sembahyang, Che Ta bakal menerima mas kahwin
bernilai RM9,300 (simbolik tarikh lahir Che Ta) berserta sebentuk cincin
bernilai RM93,000.
-
Tambah istimewa, pihak Habib Jewels akan menaja barang kemas yang bernilai RM10
juta. Barang-barang kemas yang direka eksklusif buat Che Ta itu akan digayakan
oleh aktress tersebut pada hari persandingannya nanti.
-
Busana yang akan dipakai oleh Che Ta pada malam berinai merupakan rekaan dari
Bianco Mirmosa. Busana tersebut bernila RM55,000.
-
Baju nikah (termasuk tajaan tiara) dan kasut bernilai RM150,000, rekaan Man
Kajang. Baju persandingan pula bernilai RM100,000.
-
Majlis ijabkabul akan dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya. Manakala malam resepsi
akan dihoskan oleh Datuk Mahathir Lokman.
Saya
tidak berhajat untuk mempertikaikan perbelanjaan yang mereka curahkan untuk
menyambut hari yang pastinya bersejarah untuk mereka kerana mereka mungkin akan
berkata, “kami punya duit sendiri, kami mampu, kami… kami…”, macam-macam alasan
yang boleh diberikan.
Cumanya
kalau ikut sunnah, ikut ajaran Islam kita diajar supaya bersederhana seperti
kata-kata ahli bijak pandai, “sebaik-baik perkara itu adalah yang pertengahan.”
(Ramai yang menganggap ungkapan itu Hadis, tetapi tidak sahih sanadnya). Di
dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan berikanlah kepada
kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan
janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya
orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu
pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Israa’:26-27)
Urusan
yang boleh disempurnakan dengan belanja puluhan ribu, bukankah membazir namanya
jika dihabiskan berjuta-juta? Nabi s.a.w. memang menganjurkan agar diadakan
walimah untuk meraikan perkahwinan. Tetapi Baginda s.a.w. berkata seekor
kambing pun sudah memadai. “Adakanlah walimah walaupun (dengan menyembelih) seekor
kambing.” Muttafaq ‘alaih.
Anas
bin Malik r.a. melaporkan: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengadakan walimah
semasa perkahwinan Baginda dengan isteri-isterinya sebagaimana walimah semasa
perkahwinannya dengan Zainab. Baginda mengutusku supaya mengundang orang ramai.
Mereka dijamu roti dan daging sehingga mereka kenyang.” Anas berkata lagi: “Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. telah memilih Sofiyyah untuk dirinya. Baginda keluar untuk
menyambut Sofiyyah sehingga Baginda sampai di Thaniyyah as-Sohbaa’. Selepas
bersama malam pertama, disediaka hais
(sejenis makanan campuran tamar, minyak sapi dan tepung gandum), dihidangkan di
atas dulang yang kecil. Kemudian Baginda berkata: “Jemputlah orang-orang di
sekelilingmu.” Maka itulah walimah perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan
Sofiyyah r.a.” Muttafaq ‘alaih. Itulah walimah perkahwinan insan bernama
Muhammad s.a.w., sebaik-baik makhluk, contoh terbaik untuk seluruh bani Adam.
Berkenaan
dengan tajaan. Rasulullah s.a.w. menggalakkan supaya pihak yang berada membantu
pasangan yang ingin berkahwin supaya mereka tidak terjebak di dalam kancah
zina. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiga golongan berhak mendapat
pertolongan Allah; mujahid yang berjuang di jalan Allah, mukatab (hamba) yang
ingin menunaikan bayaran untuk membebaskan diri dari perhambaan dan orang yang
berkahwin kerana hendak memelihara kesucian dirinya.” Riwayat at-Tirmizi,
al-Baihaqi dan Ahmad.
Maksudnya
orang yang hendak berkahwin dengan tujuan mengelakkan diri dari maksiat dan
zina, tetapi mereka tidak mampu. Maka mereka berhak untuk mendapatkan
pertolongan. Pastinya dari orang-orang yang berkemampuan. Jadi, dalam kes Wedding
of the Year ini, mereka
berkemampuan. Sebelum ada tajaan mereka sudah persiapkan RM200,000. Itupun
sudah terlalu besar.
Pihak yang bermurah hati ingin menaja, walaupun
mereka bebas untuk menaja siapa saja yang mereka suka, tentulah lebih besar
faedahnya kalau dihalakan wang tajaan itu kepada golongan yang benar-benar
memerlukan. Ramai pasangan muda mudi kita yang mengikat pertunangan bertahun-tahun
lamanya tidak dapat berkahwin kerana belum cukup belanja. Dan berapa pula di
kalangan mereka yang bercouple sama ada bertunang rasmi atau tidak dan
sudah terlajak. Akhirnya putus begitu saja tanpa sempat ke jinjang
pelamin kerana pelbagai halangan, khususnya masalah kewangan. Golongan inilah
sebenarnya yang lebih berhak mendapat tajaan.
Dinyatakan pihak Habib Jewels akan menaja barang kemas yang
bernilai RM10 juta. Barang-barang kemas yang direka eksklusif buat Che Ta itu
akan digayakan oleh aktress tersebut pada hari persandingannya nanti. Maha Suci
Allah!
Kalau
10 juta itu dibahagikan kepada anak-anak muda yang ingin berkahwin untuk
selamatkan diri dari zina, andaikan setiap pasangan diperuntukkan 100,000 untuk
dijadikan maskahwin, hantaran, kenduri dan pendahuluan untuk beli rumah mampu
milik, maka 10 juta itu boleh dibahagi kepada 100 pasangan. Alangkah besar
faedah dan ganjarannya di sisi Allah. Faedah kepada masyarakat dan Negara
kerana dapat mengurangkan zina, kelahiran anak luar nikah dan bayi-bayi yang
dibuang laksana sampah. Atau tak perlu 100,000, 10,000 sahaja setiap pasangan,
maka 1,000 pasangan akan dapat diselamatkan. Maha Suci Allah! Dan begitulah
dengan 3 juta yang disumbang oleh pihak lain-lain.
Sebagai
peringatan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang dikasihi, mari sama-sama
kita fahami dan hayati Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin
(amalannya) didengari (oleh manusia), Allah akan perdengarkannya. Dan sesiapa
yang ingin (amalannya) dilihat (oleh manuisa), Allah akan perlihatkannya.”
Riwayat al-Bukhari.
1 comment:
Cukup menginsafkan. Jazakallahu khairan kathira.
Post a Comment