Tuesday, November 12, 2013

Kisah 'Asyuraa' (10 Muharram)


 Ibn Abbas r.a. menceritakan, Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah. Di situ Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Maka Baginda bertanya: "Puasa apakah ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari yang baik. Ini adalah hari Allah selamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari ini." Riwayat al-Bukhari. Di dalam riwayat Muslim, terdapat tambahan "Sebagai tanda syukur kepada Allah Ta'ala. Lalu kamipun ikut berpuasa."
Di dalam riwayat al-Bukhari daripada Abi Basyar, "Dan kami berpuasa pada hari ini sebagai membesarkannya." Lalu Baginda bersabda: "Kalau begitu, maka aku lebih berhak daripada kamu untuk mengikuti Musa." Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan umatnya supaya berpuasa pada hari ini." Di dalam riwayat Muslim juga terdapat: "Ini adalah hari yang besar. Allah selamatkan padanya Musa dan kaumnya. Dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya."

Daripada 'Aisyah r.a., beliau berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Apabila  Ramadhan telah difardhukan, jadilah 'asyuraa' suatu pilihan; siapa mahu puasa dia berpuasa dan siapa mahu berbuka dia berbuka (tidak puasa)" Riwayat al-Bukhari.

Imam an-Nawawi berkata: Nabi s.a.w. telah melaksanakan puasa 'Asyuraa' ketika masih berada di Makkah. Manakala Baginda berhijrah ke Madinah, didapati kaum Yahudi berpuasa juga pada hari tersebut. Maka Nabipun berpuasa, sama ada dengan arahan wahyu atau dengan ijtihad Baginda, bukan dengan perkhabaran mereka.

Berkata Ibn Rajab: Kesimpulan daripada beberapa riwayat, terdapat empat keadaan Nabi s.a.w. berkaitan dengan 'Asyuraa':
Pertama: Baginda berpuasa ketika di Makkah tetapi tidak menyuruh sahabat supaya berpuasa.
Kedua: Setelah berhijrah ke Madinah, didapati Ahli Kitab berpuasa dan membesarkannya. Dan Baginda suka mensepakati mereka dalam perkara yang belum diperintahkan tentangnya. Maka Baginda s.a.w. berpuasa dan menyuruh para sahabat berpuasa dan memberi penekanan agar dilaksanakan.
Ketiga: Apabila Ramadhan telah diferdhukan, Baginda tidak lagi memberi penekanan agar dilakukan puasa 'Asyuraa'.
Keempat: Pada akhir usia, Baginda berazam untuk menggabungkan 'Asyuraa' dengan satu hari lagi supaya kita berbeza dengan Ahli Kitab. Dan ia tidak difardhukan sama sekali. Baginda bersabda maksudnya: "Sekiranya aku hidup sampai tahun hadapan, aku pasti akan berpuasa tasu'aa' (hari ke 9 Muharram)". Riwayat Muslim
Menurut sebahagian ulamak, kata-kata itu boleh difahami dengan dua maksud. Pertama, Baginda hendak menukar 10 kepada 9. Kedua, Baginda hendak menggabungkan 9 kepada 10. Oleh kerana Baginda wafat dan tidak sempat menerangkan maksudnya  yang sebenar, maka eloklah ditunaikan dua hari (9 dan 10). Ringkasnya, puasa 'Asyuraa' boleh dilakukan dengan tiga cara: 10 sahaja, 9 dan 10, atau 9, 10 dan 11 daripada bulan Muharram.

Berkenaan dengan fadhilat puasa 'Asyuraa', daripada Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w.  telah ditanya tentang puasa hari 'Asyuraa'. Baginda s.a.w. menjawab: "Menghapuskan dosa setahun yang lalu." Riwayat Muslim. Maka pahala puasa hari 'Asyuraa' separuh daripada pahala puasa hari 'Arafah. Ini kerana Hari 'Arafah sunnah Nabi kita s.a.w. Manakala puasa hari 'Asyuraa' sunnah Nabi Musa a.s. Maka sunnah Baginda  dijadikan sekali ganda sunnah Nabi Musa dari segi pahala.

Ikatan sejarah yang tidak pernah putus.

Demikianlah eratnya hubungan persaudaraan iman. Nabi s.a.w. turut menyatakan kegembiraan dengan selamatnya Nabi Musa a.s. meskipun telah berlalu ratusan tahun lamanya. Malah dikatakan juga bahawa 'Asyuraa' adalah hari selamatnya Nabi Nuh a.s. Dan Nabi Musa berpuasa pada hari itu kerana syukur dan gembira dengan kejayaan Nabi Nuh daripada taufan dan banjir. Al-Hafidz Ibn Hajar berkata: "Sesungguhnya Ahmad telah mengeluarkan satu riwayat daripada Ibn Abbas r.a. sebagai tambahan kepada sebab orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Iaitu, bahtera Nabi Nuh mendarat di atas Judi pada hari tersebut. Maka Nuh berpuasa dan Musa ikut berpuasa sebagai tanda syukur.  Disebutkan Musa di sini tanpa menyebut Nabi-nabi lain seolah-olah menunjukkan persamaan antara Musa dengan Nuh dari segi kejayaan mereka daripada musuh di mana musuh kedua-duanya tenggelam lemas di dalam air. Secara tidak langsung mengajar kita, dalam melaksanakan puasa hari 'Asyuraa' bukan hanya mahu mengejar pahala, tetapi turut menghayati suka duka saudara seiman walau di mana dan pada zaman bila wujudnya mereka.

5 comments:

Mizu Koori said...

Rasanya ada typo:
Oleh kerana Baginda wafat dan *BELUM sempat menerangkan maksudnya yang sebenar, ...

Ke bukan typo?

Maznah Daud said...

ya, betul. jzkl. akan diperbetulkan.

Anonymous said...

Jzkk ustazah..:)

humbleServant said...

assalamialaikum ustazah maznah,
kalau berkenaan amalan2 lain di 10 muharam seperti solat as syura.. solat ini ada atau tidak yer ustazah? jzkk

Maznah Daud said...

wa'alaikumus-salam humbleServant, solat sunat asyura, ana tak pernah jumpa dlm kitab fiqh maupun hadis yg ana baca. Allahu A'lam.