Monday, January 27, 2014

Dr Abdul Karim Zaidan (1921-2014) dalam kenangan



Isnin 27 Januari 2014 bersamaan 25 Rabiul Awwal 1435 dunia kehilangan seorang tokoh, seorang alim, pemikir Islam yang hebat, Dr Abdul Karim Zaidan, Muraqib Aam bagi jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran, tarbiah, pengajaran dan penulisan.

Al-Marhum menetap di Yaman sejak beberapa tahun lalu sebagai tenaga pengajar di universiti al-Iman yang diasaskan oleh Shaikh Abdul Majid az-Zindani.

Ringkasan sejarah al-Marhum, dipetik daripada tulisan murid beliau Dr Sami al-Janabi:

Dilahirkan pada tahun 1921 di Baghdad daripada keluarga al-Muhamadah, satu cabang daripada qabilah ad-Dulaym. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun.

Menyempurnakan persekolahan rendah di Baghdad. Memasuki pusat pengajian Dar al-Mu'allimin al-Ibtida'iyyah. Selepas tamat pengajian di situ, beliau menjadi guru di sekolah rendah. Kemudian memasuki kuliah undang-undang di Baghdad. Setelah tamat, dilantik sebagai mudir di sekolah menengah agama an-Najibiyyah. Memasuki Maahad asy-Syariah al-Islamiyyah Universiti Cairo dan meraih sarjana dengan darjah mumtaz. Dan mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti yang sama pada tahun 1962 dengan darjah asy-syaraf al-uula.

Antara jawatan yang pernah disandang:

Professor Syari'ah Islamiyyah dan Ketua Bahagian Syari'ah di Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad

Professor Syari'ah dan ketua bahagian agama fakulti sastera di Universiti Baghdad

Professor Syari'ah di fakulti pengajian Islam serta dekannya. Ia merupakan gelaran yang tidak pernah diperolehi oleh sesiapapun di Universiti Baghdad selain beliau.

Telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku yang sangat bermanfaat. Antaranya:
1.     Al-Madkhal lidirasat asy-Syari'at al-Islamiyyah
2.     Usul ad-Dakwah
3.     Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah wa Bait al-Muslim fi asy-syari'at al-Islamiyyah 11 jilid
4.     Al-Wajiz fi Syarh al-Qawaed al-Fiqhiyyah fi asy-Syari'at al-Islamiyyah
5.     Asy-Syarh al-'Iraqi lil-Usul al-'Isyrin
Dan banyak lagi.
Menerima anugerah al-Malik Faisal al-Alamiyyah dalam pengajian Islam pada tahun 1997/1417

Baliau dianugerahi ingatan yang sangat kuat bak besi berani. Baliau mengingati makna dan kata-kata berkaitan hukum fiqh walaupun telah bertahun-tahun berlalu. Saya masih ingat, al-marhum pernah membacakan beberapa ungkapan supaya saya tulis di bahagian muqaddimah tesis saya. Kemudian selepas diedit, saya ubah suai ayatnya mengikut ijtihad saya sendiri. Selepas tempoh masa yang lama, saya membacakan tesis saya di hadapannya. Dia bertanya, mana ayat yang dia bacakan dulu? Saya berkata, saya sudah ubah suai dengan bahasa sendiri. Dia berkata, jangan. Lalu dibacanya semula sama seperti apa yang telah dibacakan sebelum ini tanpa tambah dan kurang walaupun satu perkataan.

Al-marhum sangat mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu haripun beliau tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal keadaan mereka.

Al-Marhum merupakan insan yang paling zuhud. Tidak mementingkan pangkat dan jawatan. Tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah dan ketua-ketua negara. Jauh daripada sifat ria' dan mengada-ngada.

Waktu-waktunya dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuan dan mengajar. Tidak berlalu satu saatpun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.

Al-Marhum sangat mengkagumi Shaikhul-Islam Ibn Taimiah. Kajian dan tulisan beliau banyak dipengaruhi tokoh tersebut.

Baliau telah mengasaskan Kuliah Dirasat Islamiyyah pada akhir tahun 60an untuk membuka ruang pengajian ilmu syara' mengikut manhaj salaf. Dan kuliah yang diasaskannya itu telah berjaya mengeluarkan puluhan graduan. Namun , datang parti Ba'ath, kuliah itu telah ditutup, orang-orang yang condong kepada Islam ditangkap dan sekolah-sekolah agama dihapuskan.

Semoga Allah terima baliau dengan rahmat dan redhaNya.

Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=1&News_ID=41014 

Tuesday, January 07, 2014

Surat Shaimaa' kepada ayahnya, Presiden Mursi



Surat sempena malam penghakiman

Wahai ayahku yang dikasihi, permata hatiku dan penyejuk mataku,

Adakah engkau masih ingat wahai ayah yang kukasihi, rangkap syair yang aku bisikkan di telingamu sejak lama dahulu dan engkau membalasnya di telingaku. Katakanlah wahai ayah, bahawa engkau masih mengingatinya.

Wahai ayahku, sekiranya aku melukis langit serta bintang-bintang yang memenuhinya, maka engkaulah bintang yang paling besar di langit itu.

Rangkap syair itu sangat simpel. Namun bagimu ia sangat besar ertinya dan engkau menghargainya sehingga aku merasakan bahawa aku adalah ratu para penyair. Sesungguhnya engkau sentiasa menggalakkan kami mengembangkan bakat kami dan sentiasa menambah ilmu dan pengetahuan kami.

Ayahku yang sangat dihargai, pada malam penghakiman yang mereka dakwakan, bayanganmu yang hebat menerjah mataku, lalu hatiku dilimpahi kerinduan untuk melihat dirimu dan mendengar suaramu yang lonak dan menenangkan. Kenang-kenangan berjuraian di hadapan mataku, mengulangi pita rakaman hidupmu yang penuh dengan lembaran-lembaran jihad, tidak akan cukup ruangan untuk dimuatkan kesemuanya.

Tetapi yang paling jelas mengusik hatiku ialah hembusan di malam inqilab, di mana engkau memberitahu kami dengan penuh yakin: "Sesungguhnya Mesir akan menang dengan Kuasa Allah dan KekuatanNya. Dan sesungguhnya Din Allah itulah yang menang. Sesungguhnya khilafah pasti akan tegak, tidak dapat tidak. Sesungguhnya sejarah akan menulis dengan huruf-huruf daripada cahaya tentang jihad dan perjuangan rakyat Mesir."

Aku bersaksi di hadapan Allah, sesungguhnya aku tidak nampak langsung engkau dalam keadaan kelu-kesah. Bahkan sebaliknya engkau begitu tenang, wajahmu sentiasa dihiasi senyuman. Engkau bangkit setiap malam menunaikan ibadah, solat, munajat dan doa. Engkau memberitahu kami dengan penuh izzah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu harganya adalah darah. Dan engkau wajib berada di barisan paling hadapan orang pertama yang wajib berkorban kerana engkau pemimpin yang bertanggungjawan ke atas rakyat. Dan engkau berkata: "Aku bercita-cita dan berharap agar Allah menerima darahku sebagai syahid di jalanNya."

Engkau mengingatkan kami tentang sayyidina Umar bin al-Khattab, sayyidina Uthman bin Affan dan Imam Hasan al-Banaa. Engkau berkata: "Sesungguhnya sayyidina Umar telah mati sebagai syahid, sayyidina Uthman telah mati sebagai syahid. Begitu juga Imam Hasan al-Banna. Aduhai, alangkah indahnya kalau aku ini seurat rambut pada diri salah seorang daripada mereka itu di kala engkau menghayati detik-detik penulisan sejarah sekarang ini. Ini merupakan satu kebaikan yang besar bagi kamu. Aduhai alangkah indahnya sekiranya aku menjadi satu baris dalam kitab sejarah ini."

Aku masih ingat suaramu yang begitu mantap dan penuh yakin ketika engkau berkata kepada kami: "Aku adalah satu lembar daripada lembaran thaurah Mesir yang hebat. Sekiranya aku pergi menemui Allah, maka hendaklah kamu sempurnakan perjalanan thaurah ini. Dan aku yakin terhadap rakyat Mesir. Mereka tidak akan membenarkan sejarah kembali ke belakang. Mereka tidak akan mensia-siakan kebebasan dan kemuliaan mereka walaupun terpaksa berkorban darah."

Aku tidak dapat menyembunyikan rahsia yang berlegar di dalam benakku. Aku benar-benar rasa gelisah dengan ungkapan terakhirmu itu. Aku berkata sendirian di dalam diriku, adakah rakyat Mesir akan membenarkan sangkaanmu itu terhadap mereka, atau mereka akan mengkhianati keyakinanmu terhadap mereka, bangsa yang hidup menderita, kelaparan dan tertekan?

Tetapi selepas enam bulan lima hari, sejak peristiwa di malam itu, aku ingin menegaskan kepadamu wahai ayahku yang disanjungi, sesungguhnya tanahair ini penuh dengan rijal, wira-wira dari kalangan lelaki, pemuda, wanita, gadis, kanak-kanak, orang tua lelaki dan perempuan yang sanggup berpayah. Mereka selama-lamanya tidak akan tunduk kepada aliran yang membawa kerosakan, mereka tidak akan menyerah kalah demi mempertahankan agama, tanahair dan legitimasi kerajaan mereka.

Sesungguhnya kami tetap meneruskan perjuangan wahai ayahku yang dicintai. Kami telah menjual kepada Allah nyawa dan anak-anak. Kami akan teruskan untuk merealisasikan thaurah sepenuhnya tanpa kurang walaupun sedikit sekalipun terpaksa menanggung beban apa saja, sekalipun terpaksa berkorban segala-galanya. Sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusanNya jika Dia Kehendaki.

Akhir risalahku buatmu:

Aku iangat ketika kami masih kecil, engkau selalu dendangkan kami nasyid ini:

Aku akan memikul nyawaku dan lupakan kerehatanku
Sama ada hidup membahagiakan kawan atau mati menjengkelkan lawan
Jiwa yang mulia itu hanya ada dua tujuan, mencapai cita atau mati dalam mengejarnya.

Ya. Engkau benar wahai insan yang paling mulia di sisiku. Sama ada kita hidup membahagiakan kawan kita atau kita mati dalam keadaan musuh membenci kita. Semoga Allah kurniakanmu syahid yang ikhlas di jalanNya dalam keadaan engkau mara tanpa undur. Semoga Allah terima jihadmu dan kami akan isytiharkan setinggi-tingginya: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah redha kepadaMu, maka redhalah kepada kami.

Dan akhirnya, tetapi bukan yang terakhir, marilah sama-sama kita hidupkan syiar kita:
Allah matlamat kami
Ar-Rasul ikutan kami
Al-Quran dustur kami
Al-Jihad jalan kami
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami
Kami tidak redha yang lain sebagai ganti walau apapun yang kami hadapi. Moga kita bertemu di kolam Nabi, wahai ayahku.

Allah Maha Besar. Kemuliaan untuk Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

5 Rabiul Awwal 1435
7 Januari 2014

sumber:


 

Dia hendak bercakap denganku mengikut jadualnya, aku yang akan menentukan waktunya


Shaimaa', puteri kepada Dr Mursi, presiden Mesir yang sah berkata bahawa ayahnya enggan menjawab panggilan terakhir daripada presiden Amerika Obama pada 28 Jun 2013 yang lalu. Alasannya ialah dia sedang bersiap untuk solat Jumaah dan beberapa urusan penting tentang negara.

Shaimaa' berkata, 28 Jum 2013 merupakan hari pertama rakyat mula berhimpun di Rabi'ah al-'Adawiyyah. Setengah jam sebelum solat Jumaat, ayahnya dihubungi oleh setiausahanya bahawa Obama berada di talian dan dia hanya mempunyai masa 10 minit untuk bercakap dengan presiden Musri. Ayahku menjawab: "Beritahunya aku sedang sibuk. Aku sedang bersiap untuk solat Jumaat. Selepas itu aku ada mesyuarat penting. Di hadapanku sepanjang hari sibuk dengan urusan dalaman. Suruh dia berhubung sekali lagi, aku akan peruntukkan 5 minit untuk bercakap dengannya." Dan dia meletakkan gagang telefon.

Aku tergamam seketika sebelum dia memberitahuku bahawa yang menghubungi sebentar tadi adalah Obama.  Ayah berkata kepadaku: "Aku adalah presiden Republik Arab Mesir, Negara Islam terbesar. Dia hendak bercakap denganku mengikut jadualnya. Aku yang menetapkan bila jadualku untuk bercakap dengannya."

Shaimaa' mengulas, tentu sekali aku merasakan bahawa aku berada di hadapan satu lembaran daripada lembaran sejarah yang jauh menjangkau ke masa silam. Aku duduk terpaku di tempatku di selubungi perasaan bangga dan bahagia. Ayah memandang kami dengan senyuman yang tenang lagi nyaman. Dan diapun keluar pergi solat.

Itulah hari ketika kita sedari kita mulia.

http://www.islammemo.cc

Saturday, January 04, 2014

Luahan hati seorang ibu sempena hari lahir puterinya yang telah syahid, Asma' Beltaji




Puteriku tercinta yang syahid dengan izin Allah, pada hari lahirmu yang indah ini, 3 Januari, di bandar Riyadh di daerah Naseem, di hospital Yamamah, lahirlah engkau wahai Asma' puteri paling cantik di Yamamah. Satu jam sebelum aku menunaikan ibadah haji, aku mengetahui bahawa aku telah mengandungkan engkau. Saat itu aku berdoa sebanyak-banyaknya supaya Allah kurniakan aku seorang puteri yang menjadi penyejuk mataku

Puteriku Asma', bila engkau pulang selalunya engkau akan segera menerpa ke bilikmu kerana tugasanmu banyak dan bermacam-macam. Engkau mengambil pelbagai matapelajaran: sastera, ilmu kemasyarakatan, politik, ilmu alam, pengajian al-Quran, pengajian bahasa, di samping menghadiri muktamar, seminar, pengajian khat Arab dan menyiapkan kerja-kerja persekolahan.

Sungguh aku selalu berasa tidak puas bersamamu. Namun aku tinggalkanmu dengan tugasan-tugasanmu kerana aku tahu itu lebih berfaedah untukmu daripada aku duduk bersamamu. Aku berbangga denganmu kerana di peringkat usiamu yang masih muda engkau menumpukan perhatian untuk menguasai dengan baik semua ilmu-ilmu itu.

Engkau seorang gadis peramah, bersahaja dan merendah diri meskipun engkau telah menguasai pelbagai ilmu yang membuatkan aku sendiri berasa cemburu. Aku bercita-cita kalaulah aku memiliki sekelumit sahaja daripada ilmu yang ada padamu. Engaku telah mengajarku banyak perkara. Aku suka mendengar bicaramu dan perbahasanmu yang serius tentang sesuatu perkara. Pengetahuanmu sangat luas. Aku sering kali sengaja berbahas denganmu kerana gembira dapat mencungkil banyak ilmu darpadamu. Dan engkau akan simpulkan perbahasan dengan menyatakan hakikatnya, hukumnya atau hikmahnya.

Aku mendapati diriku amat kecil bila berada di hadapanmu, lebih-lebih lagi ketika ayahmu ada bersama. Ayahmu akan berkata setiap kali kita berbincang, "kamu benar wahai Simsim (Simsim adalah panggilan manja yang comel setiap kali ayahmu memanggilmu).

Satu-satunya yang meringankan perasaanku dalam perpisahan denganmu ialah keyakinanku bahawa engkau sedang menikmati kebahagiaan di syurga, engkau sedang menikmati kepuasan menatap Wajah Tuhanmu yang Maha Mulia.

Aku juga tahu bahawa betapa cintanya engkau kepada rumahmu, dua ibu bapamu dan adik beradikmu. Engkau selalu merindui mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka. Lantaran itu aku selalu berdoa kepada Allah supaya menggantikanmu rumah yang lebih baik daripada rumahmu, keluarga dan adik beradik yang lebih baik daripada keluarga dan adik beradikmu, malah ibu yang lebih baik daripada ibumu. Namun aku tidak mampu untuk berkata ayah yang lebih baik daripada ayahmu kerana aku melihat pada ayahmu segala kebaikan. Engkau wahai puteriku antara faktor utama kami thabat. Engkau membuatkan kami: ayahmu, ibumu, adik beradikmu thabat. Engkau mengajar kami erti ketabahan, supaya kami hidup mulia. Kalimah  yang sering engkau ucapkan, "Wahai ibu, sama ada kita akan menukarkan tanah air kita ini menjadi syurga atau kita yang akan pergi ke syurga!" Maka sekarang rupanya engkau yang pergi ke sana wahai Asma'. 

Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?News_ID=39699

Wednesday, January 01, 2014

Baitul-Maqdis mengucapkan selamat jalan kepada tahun kesedihan dan menanti kehadiran tahun kesedihan seterusnya


Beberapa pertubuhan dan individu Palestin menegaskan bahawa bandar al-Quds telah membayar harga yang sangat mahal pada tahun 2013 natijah daripada polisi penjajah untuk meyahudikannya dan pencerobohan yang berterusan ke atas Masjid Aqsa.

Di samping pencerobohan yang berterusan ke atas Masjid Aqsa dan kawasan sekitarnya serta pembinaan penempatan haram secara intensif di semua kawasan al-Quds, penjajah berusaha menggubal undang-undang untuk menambahkan lagi cengkaman meyahudikan bandar dan memadamkan ciri-ciri keislaman dan Kristian.

Para pakar dan pemerhati juga menegaskan bahawa tahun baru yang pahit sedang menanti al-Quds dan al-Aqsa. Pertubuhan Islam-Kristian demi Baitul-Maqdis dan tempat-tempat suci berkata bahawa tahun 2013 menyaksikan langkah-langkah dan projek-projek Israel yang banyak untuk menyempurnakan proses tahwid (meyahudikan) bandar suci dan memadamkan ciri-ciri kearabannya serta mencorakkannya dengan corak Yahudi yang asing baginya.

Tahun dukacita

Seorang pensyarah di Universiti Birzeit dan pengkaji hal ehwal al-Quds, Dr Jamal Amru menyifatkan, tahun 2013 merupakan "Aamul-Ahzan" (Tahun kesedihan) bagi al-Quds. Beliau menjelaskan bahawa buat pertama kalinya penjajah bangkit dengan segala makanismanya dan mengisytiharkan secara terang-terangan peperangannya ke atas al-Quds.

Beliau menambah, penjajah dengan semua institusinya yang rasmi, pasukan keselamatan, diplomatik, ketenteraan dan kehakiman mengisytiharkan peperangan terhadap al-Quds. Beliau juga menerangkan bahawa lujnah yang rasmi, buat pertama kalinya membahaskan langkah-langkah membahagikan Masjid Aqsa dan mengeluarkan resolusi supaya memasukkan pendatang Yahudi ke dalamnya.

Beliau menyebut di dalam percakapannya dengan al-Jazeera.net bahawa penggalian sepanjang tahun 2013 tidak lagi tinggal rahsia sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Sebaliknya penjajah mengisytiharkan setiap terowong atau projek yang dilaksanakan di bawah al-Quds atau di atasnya.

Setiausaha agung pertubuhan, Hana Isa, dalam kenyataannya kepada al-Jazeera.net menyatakan bahawa pencerobohan ke atas al-Aqsa secara harian merupakan keluar biasaan yang dilakukan oleh penjajah sepanjang tahun 2013. Mereka mengangkat bendera Israel, pendatang mengambil gambar berlatar belakangkan qubah sakhrah, menunaikan sembahyang dan upacara-upacara keagamaan talmud di laman-laman al-Aqsa.

Beliau berkata, pada tahun lepas penjajah telah membuka muzium Yahudi di bawah al-Aqsa dan menganjurkan siri perayaan atau sambutan meyahudikan bandar al-Quds. Isa juga mengingatkan bahawa pihak berkuasa tempatan sedang berusaha untuk menerbitkan siri-siri dan filem dari tengah-tengah bandar yang suci mengikut riwayat Israeliyah dan puak pelampau Yahudi

Beliau mengisyaratkan kerja-kerja pembinaan penempatan Yahudi di al-Quds yang dilakukan secara berterusan sekalipun usaha damai dimulakan kembali. Polisi meruntuhkan rumah-rumah tidak pernah berhenti.

Tambah beliau lagi, ketika bercakap kepada al-Jazeera.net, tahun 2013 adalah tahun unik dengan banyaknya serangan-serangan ke atas tempat suci Islam dan Kristian. Beliau memberi peringatan akan berlakunya penguasaan yang hampir sepenuhnya ke atas Masjid Aqsa dan persekitarannya pada tahun 2014, khususnya di bawah dokongan yang rasmi dan secara terang-terangan oleh puak-puak Yahudi dan kerjasama anggota Knesset serta para menteri dalam usaha pencerobohan ke atas al-Aqsa.

Ceroboh dan runtuh

Dalam hubungan berkaitan, penemuan yang diperolehi oleh al-Jazeera.net daripada Muassasah Imarah al-Aqsa wal-Muqaddasat, sekumpulan Yahudi yang menceroboh Masjid Aqsa sejak permulaan tahun 2013 sehingga akhir November adalah seramai 7830 Yahudi Pelampau dan pendatang. Pada bulan September lepas mencatatkan peratus pencerobohan paling tinggi, iaitu seramai 1513 orang Yahudi.

Mengikut dapatan itu juga, hampir 3300 tentera dan askar zionis menceroboh Masjid Aqsa pada masa tersebut di samping 243,000 pelancong.

Pemerhati hak asasi manusia dan penduduk di markaz kajian tanah-tanah, Ya'kub 'Audah berkata, pada masa dahulu penjajah melaksanakan pada tahun semasa 100 kerja perobohan di al-Quds. Mereka mengancam akan merobohkan 400 bangunan-bangunan lain, iaitu berganda daripada bilangan tahun lepas.

Sumber:
http://aljazeera.net/portal