Tuesday, January 07, 2014

Surat Shaimaa' kepada ayahnya, Presiden Mursi



Surat sempena malam penghakiman

Wahai ayahku yang dikasihi, permata hatiku dan penyejuk mataku,

Adakah engkau masih ingat wahai ayah yang kukasihi, rangkap syair yang aku bisikkan di telingamu sejak lama dahulu dan engkau membalasnya di telingaku. Katakanlah wahai ayah, bahawa engkau masih mengingatinya.

Wahai ayahku, sekiranya aku melukis langit serta bintang-bintang yang memenuhinya, maka engkaulah bintang yang paling besar di langit itu.

Rangkap syair itu sangat simpel. Namun bagimu ia sangat besar ertinya dan engkau menghargainya sehingga aku merasakan bahawa aku adalah ratu para penyair. Sesungguhnya engkau sentiasa menggalakkan kami mengembangkan bakat kami dan sentiasa menambah ilmu dan pengetahuan kami.

Ayahku yang sangat dihargai, pada malam penghakiman yang mereka dakwakan, bayanganmu yang hebat menerjah mataku, lalu hatiku dilimpahi kerinduan untuk melihat dirimu dan mendengar suaramu yang lonak dan menenangkan. Kenang-kenangan berjuraian di hadapan mataku, mengulangi pita rakaman hidupmu yang penuh dengan lembaran-lembaran jihad, tidak akan cukup ruangan untuk dimuatkan kesemuanya.

Tetapi yang paling jelas mengusik hatiku ialah hembusan di malam inqilab, di mana engkau memberitahu kami dengan penuh yakin: "Sesungguhnya Mesir akan menang dengan Kuasa Allah dan KekuatanNya. Dan sesungguhnya Din Allah itulah yang menang. Sesungguhnya khilafah pasti akan tegak, tidak dapat tidak. Sesungguhnya sejarah akan menulis dengan huruf-huruf daripada cahaya tentang jihad dan perjuangan rakyat Mesir."

Aku bersaksi di hadapan Allah, sesungguhnya aku tidak nampak langsung engkau dalam keadaan kelu-kesah. Bahkan sebaliknya engkau begitu tenang, wajahmu sentiasa dihiasi senyuman. Engkau bangkit setiap malam menunaikan ibadah, solat, munajat dan doa. Engkau memberitahu kami dengan penuh izzah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu harganya adalah darah. Dan engkau wajib berada di barisan paling hadapan orang pertama yang wajib berkorban kerana engkau pemimpin yang bertanggungjawan ke atas rakyat. Dan engkau berkata: "Aku bercita-cita dan berharap agar Allah menerima darahku sebagai syahid di jalanNya."

Engkau mengingatkan kami tentang sayyidina Umar bin al-Khattab, sayyidina Uthman bin Affan dan Imam Hasan al-Banaa. Engkau berkata: "Sesungguhnya sayyidina Umar telah mati sebagai syahid, sayyidina Uthman telah mati sebagai syahid. Begitu juga Imam Hasan al-Banna. Aduhai, alangkah indahnya kalau aku ini seurat rambut pada diri salah seorang daripada mereka itu di kala engkau menghayati detik-detik penulisan sejarah sekarang ini. Ini merupakan satu kebaikan yang besar bagi kamu. Aduhai alangkah indahnya sekiranya aku menjadi satu baris dalam kitab sejarah ini."

Aku masih ingat suaramu yang begitu mantap dan penuh yakin ketika engkau berkata kepada kami: "Aku adalah satu lembar daripada lembaran thaurah Mesir yang hebat. Sekiranya aku pergi menemui Allah, maka hendaklah kamu sempurnakan perjalanan thaurah ini. Dan aku yakin terhadap rakyat Mesir. Mereka tidak akan membenarkan sejarah kembali ke belakang. Mereka tidak akan mensia-siakan kebebasan dan kemuliaan mereka walaupun terpaksa berkorban darah."

Aku tidak dapat menyembunyikan rahsia yang berlegar di dalam benakku. Aku benar-benar rasa gelisah dengan ungkapan terakhirmu itu. Aku berkata sendirian di dalam diriku, adakah rakyat Mesir akan membenarkan sangkaanmu itu terhadap mereka, atau mereka akan mengkhianati keyakinanmu terhadap mereka, bangsa yang hidup menderita, kelaparan dan tertekan?

Tetapi selepas enam bulan lima hari, sejak peristiwa di malam itu, aku ingin menegaskan kepadamu wahai ayahku yang disanjungi, sesungguhnya tanahair ini penuh dengan rijal, wira-wira dari kalangan lelaki, pemuda, wanita, gadis, kanak-kanak, orang tua lelaki dan perempuan yang sanggup berpayah. Mereka selama-lamanya tidak akan tunduk kepada aliran yang membawa kerosakan, mereka tidak akan menyerah kalah demi mempertahankan agama, tanahair dan legitimasi kerajaan mereka.

Sesungguhnya kami tetap meneruskan perjuangan wahai ayahku yang dicintai. Kami telah menjual kepada Allah nyawa dan anak-anak. Kami akan teruskan untuk merealisasikan thaurah sepenuhnya tanpa kurang walaupun sedikit sekalipun terpaksa menanggung beban apa saja, sekalipun terpaksa berkorban segala-galanya. Sesungguhnya Allah akan menyempurnakan urusanNya jika Dia Kehendaki.

Akhir risalahku buatmu:

Aku iangat ketika kami masih kecil, engkau selalu dendangkan kami nasyid ini:

Aku akan memikul nyawaku dan lupakan kerehatanku
Sama ada hidup membahagiakan kawan atau mati menjengkelkan lawan
Jiwa yang mulia itu hanya ada dua tujuan, mencapai cita atau mati dalam mengejarnya.

Ya. Engkau benar wahai insan yang paling mulia di sisiku. Sama ada kita hidup membahagiakan kawan kita atau kita mati dalam keadaan musuh membenci kita. Semoga Allah kurniakanmu syahid yang ikhlas di jalanNya dalam keadaan engkau mara tanpa undur. Semoga Allah terima jihadmu dan kami akan isytiharkan setinggi-tingginya: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah redha kepadaMu, maka redhalah kepada kami.

Dan akhirnya, tetapi bukan yang terakhir, marilah sama-sama kita hidupkan syiar kita:
Allah matlamat kami
Ar-Rasul ikutan kami
Al-Quran dustur kami
Al-Jihad jalan kami
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami
Kami tidak redha yang lain sebagai ganti walau apapun yang kami hadapi. Moga kita bertemu di kolam Nabi, wahai ayahku.

Allah Maha Besar. Kemuliaan untuk Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

5 Rabiul Awwal 1435
7 Januari 2014

sumber:


 

No comments: