Monday, January 27, 2014

Dr Abdul Karim Zaidan (1921-2014) dalam kenangan



Isnin 27 Januari 2014 bersamaan 25 Rabiul Awwal 1435 dunia kehilangan seorang tokoh, seorang alim, pemikir Islam yang hebat, Dr Abdul Karim Zaidan, Muraqib Aam bagi jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran, tarbiah, pengajaran dan penulisan.

Al-Marhum menetap di Yaman sejak beberapa tahun lalu sebagai tenaga pengajar di universiti al-Iman yang diasaskan oleh Shaikh Abdul Majid az-Zindani.

Ringkasan sejarah al-Marhum, dipetik daripada tulisan murid beliau Dr Sami al-Janabi:

Dilahirkan pada tahun 1921 di Baghdad daripada keluarga al-Muhamadah, satu cabang daripada qabilah ad-Dulaym. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun.

Menyempurnakan persekolahan rendah di Baghdad. Memasuki pusat pengajian Dar al-Mu'allimin al-Ibtida'iyyah. Selepas tamat pengajian di situ, beliau menjadi guru di sekolah rendah. Kemudian memasuki kuliah undang-undang di Baghdad. Setelah tamat, dilantik sebagai mudir di sekolah menengah agama an-Najibiyyah. Memasuki Maahad asy-Syariah al-Islamiyyah Universiti Cairo dan meraih sarjana dengan darjah mumtaz. Dan mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti yang sama pada tahun 1962 dengan darjah asy-syaraf al-uula.

Antara jawatan yang pernah disandang:

Professor Syari'ah Islamiyyah dan Ketua Bahagian Syari'ah di Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad

Professor Syari'ah dan ketua bahagian agama fakulti sastera di Universiti Baghdad

Professor Syari'ah di fakulti pengajian Islam serta dekannya. Ia merupakan gelaran yang tidak pernah diperolehi oleh sesiapapun di Universiti Baghdad selain beliau.

Telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku yang sangat bermanfaat. Antaranya:
1.     Al-Madkhal lidirasat asy-Syari'at al-Islamiyyah
2.     Usul ad-Dakwah
3.     Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah wa Bait al-Muslim fi asy-syari'at al-Islamiyyah 11 jilid
4.     Al-Wajiz fi Syarh al-Qawaed al-Fiqhiyyah fi asy-Syari'at al-Islamiyyah
5.     Asy-Syarh al-'Iraqi lil-Usul al-'Isyrin
Dan banyak lagi.
Menerima anugerah al-Malik Faisal al-Alamiyyah dalam pengajian Islam pada tahun 1997/1417

Baliau dianugerahi ingatan yang sangat kuat bak besi berani. Baliau mengingati makna dan kata-kata berkaitan hukum fiqh walaupun telah bertahun-tahun berlalu. Saya masih ingat, al-marhum pernah membacakan beberapa ungkapan supaya saya tulis di bahagian muqaddimah tesis saya. Kemudian selepas diedit, saya ubah suai ayatnya mengikut ijtihad saya sendiri. Selepas tempoh masa yang lama, saya membacakan tesis saya di hadapannya. Dia bertanya, mana ayat yang dia bacakan dulu? Saya berkata, saya sudah ubah suai dengan bahasa sendiri. Dia berkata, jangan. Lalu dibacanya semula sama seperti apa yang telah dibacakan sebelum ini tanpa tambah dan kurang walaupun satu perkataan.

Al-marhum sangat mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu haripun beliau tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal keadaan mereka.

Al-Marhum merupakan insan yang paling zuhud. Tidak mementingkan pangkat dan jawatan. Tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah dan ketua-ketua negara. Jauh daripada sifat ria' dan mengada-ngada.

Waktu-waktunya dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuan dan mengajar. Tidak berlalu satu saatpun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.

Al-Marhum sangat mengkagumi Shaikhul-Islam Ibn Taimiah. Kajian dan tulisan beliau banyak dipengaruhi tokoh tersebut.

Baliau telah mengasaskan Kuliah Dirasat Islamiyyah pada akhir tahun 60an untuk membuka ruang pengajian ilmu syara' mengikut manhaj salaf. Dan kuliah yang diasaskannya itu telah berjaya mengeluarkan puluhan graduan. Namun , datang parti Ba'ath, kuliah itu telah ditutup, orang-orang yang condong kepada Islam ditangkap dan sekolah-sekolah agama dihapuskan.

Semoga Allah terima baliau dengan rahmat dan redhaNya.

Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=1&News_ID=41014 

No comments: