Puteriku tercinta yang syahid dengan izin
Allah, pada hari lahirmu yang indah ini, 3 Januari, di bandar Riyadh di daerah
Naseem, di hospital Yamamah, lahirlah engkau wahai Asma' puteri paling cantik
di Yamamah. Satu jam sebelum aku menunaikan ibadah haji, aku mengetahui bahawa
aku telah mengandungkan engkau. Saat itu aku berdoa sebanyak-banyaknya supaya
Allah kurniakan aku seorang puteri yang menjadi penyejuk mataku
Puteriku Asma', bila engkau pulang
selalunya engkau akan segera menerpa ke bilikmu kerana tugasanmu banyak dan
bermacam-macam. Engkau mengambil pelbagai matapelajaran: sastera, ilmu
kemasyarakatan, politik, ilmu alam, pengajian al-Quran, pengajian bahasa, di
samping menghadiri muktamar, seminar, pengajian khat Arab dan menyiapkan kerja-kerja
persekolahan.
Sungguh aku selalu berasa tidak puas
bersamamu. Namun aku tinggalkanmu dengan tugasan-tugasanmu kerana aku tahu itu
lebih berfaedah untukmu daripada aku duduk bersamamu. Aku berbangga denganmu
kerana di peringkat usiamu yang masih muda engkau menumpukan perhatian untuk
menguasai dengan baik semua ilmu-ilmu itu.
Engkau seorang gadis peramah, bersahaja dan
merendah diri meskipun engkau telah menguasai pelbagai ilmu yang membuatkan aku
sendiri berasa cemburu. Aku bercita-cita kalaulah aku memiliki sekelumit sahaja
daripada ilmu yang ada padamu. Engaku telah mengajarku banyak perkara. Aku suka
mendengar bicaramu dan perbahasanmu yang serius tentang sesuatu perkara. Pengetahuanmu
sangat luas. Aku sering kali sengaja berbahas denganmu kerana gembira dapat
mencungkil banyak ilmu darpadamu. Dan engkau akan simpulkan perbahasan dengan
menyatakan hakikatnya, hukumnya atau hikmahnya.
Aku mendapati diriku amat kecil bila berada
di hadapanmu, lebih-lebih lagi ketika ayahmu ada bersama. Ayahmu akan berkata
setiap kali kita berbincang, "kamu benar wahai Simsim (Simsim adalah
panggilan manja yang comel setiap kali ayahmu memanggilmu).
Satu-satunya yang meringankan perasaanku
dalam perpisahan denganmu ialah keyakinanku bahawa engkau sedang menikmati
kebahagiaan di syurga, engkau sedang menikmati kepuasan menatap Wajah Tuhanmu
yang Maha Mulia.
Aku juga tahu bahawa betapa cintanya engkau
kepada rumahmu, dua ibu bapamu dan adik beradikmu. Engkau selalu merindui
mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka. Lantaran itu aku selalu berdoa
kepada Allah supaya menggantikanmu rumah yang lebih baik daripada rumahmu,
keluarga dan adik beradik yang lebih baik daripada keluarga dan adik beradikmu,
malah ibu yang lebih baik daripada ibumu. Namun aku tidak mampu untuk berkata
ayah yang lebih baik daripada ayahmu kerana aku melihat pada ayahmu segala
kebaikan. Engkau wahai puteriku antara faktor utama kami thabat. Engkau
membuatkan kami: ayahmu, ibumu, adik beradikmu thabat. Engkau mengajar kami
erti ketabahan, supaya kami hidup mulia. Kalimah yang sering engkau ucapkan, "Wahai ibu,
sama ada kita akan menukarkan tanah air kita ini menjadi syurga atau kita yang
akan pergi ke syurga!" Maka sekarang rupanya engkau yang pergi ke sana
wahai Asma'.
Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?News_ID=39699
Sumber:
http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?News_ID=39699
1 comment:
Indah...
Post a Comment