Ahli Kitab ialah Yahudi dan
Nasrani sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim. Allah yang
menamakan mereka ahli kitab kerana mereka memiliki kitab yang diturunkan Allah
kepada Bani Israel, iaitu Taurat kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa
‘alaihimas-salam. “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak
manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada
Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. Supaya kamu tidak mengatakan: Bahawa
Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani)
dahulu sebelum kami dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang
dibaca dan dipelajari oleh mereka.” (Al-An’am:155-156)
Ahli Kitab juga termasuk dalam
golongan orang-orang kafir dan musyrik sama dengan penyembah berhala, penyembah
bintang dan cakrawala serta lain-lain. Namun mereka diberikan hukum yang khusus
disebabkan mereka pernah menerima kitab samawi daripada Nabi-nabi mereka yang
terdahulu, iaitu kitab Taurat daripada Nabi Musa dan kitab Injil daripada Nabi
Isa. Antara hukum yang khusus bagi mereka ialah:
a. Halal
memakan sembelihan mereka, iaitu binatang yang mereka sembelih untuk makan,
bukan sembelih untuk selain Allah atau menyebut nama selain Allah ketika
sembelih dan daging itu tidak bercampur dengan bahan-bahan lain yang haram
dimakan oleh umat Islam. Allah berfirman maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan
bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan
(sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan
makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi
makan kepada mereka)…” (Al-Maidah:5)
b. Dihalalkan
atau diharuskan lelaki muslim berkahwin dengan wanita-wanita mereka yang baik,
yang memelihara kesucian diri dan yang merdeka. Ini berdasarkan firman Allah
yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan
yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga
perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang
diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya,
sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula
kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang
ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah
amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari
orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:5)
Menurut Imam an-Nawawi
rahimahullah, ahli kitab yang dihalalkan untuk makan sembelihan mereka dan
berkahwin dengan wanita mereka terdiri dari dua kategori:
Kategori Pertama: Bukan keturunan Bani Israel. Mereka ini boleh
dibahagikan kepada beberapa golongan:
Pertama: Golongan yang diketahui telah memeluk agama Yahudi dan
Kristian sebelum kedua-dua agama itu diselewengkan dan dinasakhkan. Golongan
ini, halal berkahwin dan makan sembelihan mereka.
Kedua: Golongan yang diketahui menganut agama itu selepas
diselewengkan tetapi sebelum di nasakhkan. Sekiranya mereka tetap berpegang
dengan yang benar dan menjauhi apa yang diselewengkan, hukum mereka sama dengan
yang pertama. Sekiranya mereka mengikuti agama yang telah diselewengkan, maka
tidak halal berkahwin dengan mereka.
Ketiga: Golongan yang diketahui menganut kedua-dua agama itu
selepas diselewengkan dan dinasakhkan, maka tidak halal berkahwin dan makan
sembelihan mereka.
Jadi, golongan yang
menganut agama Yahudi dan Kristian selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.
tidak haruslah berkahwin dengan mereka.
Keempat: Golongan yang tidak diketahui bilakah mereka menganut
agama itu, maka tidak halal berkahwin dengan mereka.
Kategori Kedua:
Ahli Kitab dari keturunan Bani Israel. Imam an-Nawawi berkata, ramai di
kalangan fuqahak asy-Syafi’eiyyah berkata harus berkahwin dengan wanita Bani
Isreal tanpa mengira sama ada datuk nenek mereka menganut agama itu sebelum
penyelewengan atau selepasnya. Namun beliau tidak bersetuju dengan pandangan
itu.
Walau bagaimanapun,
wanita Bani Israel yang datuk nenek mereka menganut Yahudi atau Kristian
selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tidak ada beza dengan wanita ahli kitab
yang lain, haram berkahwin dengan mereka.
Kesimpulannya ahli
kitab yang merupakan penganut agama Yahudi dan Nasrani tetap ada sehingga
sekarang. Namun adakah sembelihan mereka halal dimakan dan wanita mereka halal
dinikahi oleh lelaki muslim, bergantung kepada syarat-syarat yang diterangkan
di atas.
Hukum lelaki Muslim berkahwin dengan wanita Ahli Kitab
Allah Ta’ala
mensyari’atkan perkahwinan dan menetapkan golongan yang haram dan halal
dikahwini. Lelaki yang beriman dituntut supaya memilih wanita yang beriman
sebagai isterinya. Wanita yang musyrikah haram dikahwini oleh lelaki muslim
walaupun musyrikah itu mempunyai daya tarikan yang cukup hebat. Begitulah juga
sebaliknya, wanita yang beriman wajib memilih lelaki yang beriman sabagai
suami. Lelaki yang musyrik tidak halal berkahwin dengan wanita muslimah walau
bagaimana kacak sekalipun. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin
dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama
Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik
daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan
janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir
musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang
hamba lelaki
yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya
menarik hati kamu.” (Al-Baqarah:221)
Alasan kenapa lelaki
dan wanita beriman diharamkan berkahwin dengan pasangan yang tidak beriman
ialah: “(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke Neraka
sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan
Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat
manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”
(Al-Baqarah:221)
Walau bagaimanapun,
Allah mengecualikan daripada golongan musyrikah itu, wanita Ahli kitab atau
kitabiyyah. Ini kerana kitabiyyah mempunyai persamaan dengan muslimah dalam
sesetengah kepercayaan atau aqidah seperti beriman kepada Allah, hari akhirat,
adanya perhitungan amal dan lain-lain. Dengan itu adalah diharapkan dapat
memudahkan mereka menerima Islam. Keharusan berkahwin dengan kitabiyyah adalah
dengan syarat mereka terdiri dari wanita yang muhsonat sebagaimana dinyatakan
di dalam firman Allah yang bermaksud: “dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan
perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan
yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari
kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu
beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah
bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan
simpanan…” (Al-Maidah:5).
Perkataan muhsonat dalam ayat itu bermaksud wanita
yang menjaga maruah dan kesucian diri serta tidak berzina. Kitabiyyah yang
tidak menjaga maruah dan kesucian diri, tidak halal berkahwin dengan mereka.
Hal ini ditegaskan oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau melarang para sahabat
r.a. berbuat demikian. Selain daripada syarat muhsonat, menurut Mazhab
asy-Syafi’ei mereka mestilah terdiri dari keturunan yang telah menganut agama
Yahudi dan Nasrani sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. (rujuk pandangan
Imam an-Nawawi yang telah diperincikan di atas) Oleh itu, wanita yang baru
menganut kedua-dua agama itu tidak termasuk di dalam kalangan kitabiyyah yang
halal dikahwini oleh lelaki muslim.
Oleh kerana keharusan
lelaki muslim berkahwin dengan kitabiyyah merupakan pengecualian daripada hukum
asal, iaitu haram berkahwin dengan non muslim, maka pengecualian ini tidak
boleh diberikan kepada muslimah kerana
hukum asal adalah haram. Harus itu satu pengecualian yang Allah beri kepada
lelaki muslim untuk berkahwin dengan kitabiyyah, bukan kepada wanita muslimah
untuk berkahwin dengan lelaki ahli kitab.
3 comments:
salaimualaikum
pengertian ahli kitab sebenarnya adalah simple sahaja, malah umat islam pun boleh di kategorikan sebagai ahli kitab. ahli kitab merujuk kepada mereka yang mengamalkan dengan penuh iman apa yang terkandung dalam kitab mereka.
secara asasnya injil, taurat dan al quran memiliki benda atau perkara yang sama maka dari segi penyembelihan bagi ahli kitab sebenar sudah tentu menyebut nama Allah ketika menyembelih haiwan.
kaum yahudi masih mengamalkan tatacara seperti kitab mereka malah mereka juga tidak memakan babi.(mereka cuma keterlaluan dalam menjalani hukum serta menyeleweng dalam beberapa perkara dalam agama mereka. maka penyembelihan mereka halal dan bersih.
manakala nasrani atau kita lebih kenali sebagai kristian...kebanyakkan mereka kini tidak menyembelih haiwan dengan nama Allah atau merujuk kepada Allah, ada sebahagian mereka ada menyebut tetapi meletakkan nama yesus sebagai tuhan. maka penyembelihan mereka sebenarnya haram bagi kita. namun saya terjumpa juga aliran kristian orthodox serta beberapa aliran kecil yang tidak percaya bahawa yesus sebagai Tuhan malah penyembelihan mereka ada mengunakan nama Allah atau nama lain yang merujuk kepada Allah. maka mereka penyembelihan mereka adalah halal.
bagi perkahwinan,
perempuan islam sudah tentu tidak boleh berkahwin dgn lelaki al kitab kerana dalam keluarga lelki berkuasa dan suami adakala memaksa wanita islam masuk agama mereka secara paksa atau senyap. jika lelaki islam pula di benarkan berkahwin dgn wanita ahli kitab...kerana lelaki muslim tidak menyalah guna kan kuasa untuk memaksa isterinya melainkan dgn kerelaan isterinya itu sendiri jika dia mahu masuk islam. jika tidak maka lelaki islam akan tetap berlaku adil. kenapa wanita alkitab dibenarkan..seperti di jelaskan wanita al kitab adala orang yang memelihara diri mereka malah akan menjaga rahsia kita kerana Allah ( walaupun berbeza agama)
dari sini kita kena faham...orang di gelar yahudi atau nasrani(kristian) tidak semestinya semua adalah al kitab. tetapi kita boleh kena al kitab jika mereka mendakwa dan menunjukkan mereka menjalankan hukum2 dalam kitab mereka dengan sebenar2 tanpa menukar apa2 ayat..
ada satu website yang mana di buat oleh orang kristian yang sedaya upaya cuba menjelaskan hukum Allah dengan benar dan menjalankan hukum tersebut bagi saya golongan ini boleh di katakan hampir menjadi Al kitab seperti di ceritakan dalam Al quran namun sayangnya mereka masih peraya yesus adalah tuhan..maka mereka masih belum di kira al kitab sepenuhnya.
islam pula agama di redhai kerana jika kita mengikuti apa terkandung dalam Al quran maka tiada sebarang ayat2 korupsi yang boleh memesongkan dari mengikuti hukum Allah sebenar berbanding bible. analogi ini bagaikan islam sebuah jambatan yang teguh dan lebar menyeberangi sungai manakala agama lain ada yang boleh menuju kearah Allah tetapi ianya sebuah jambatan yang uzur, rosak dan mudah menyebabkan kita jatuh kebawah,
Info yang sangat berguna...
Salah ni, sebenanrnya mrk tetap dipanggil ahli kitab walaupun mereka telah kufir dan ubah isi kandungan kitab, tgok balik tafsir surah al Bayyinah, Allah bgtau mrk ahli kitab yang kafir, jadi secara teorinya mereka tetap dipanggil ahli kitab
Post a Comment