Wednesday, August 05, 2015

JOM TADABBUR 5

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.
Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.
“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara,” kata SPRM.
“Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata SPRM. (dipetik daripada laporan malaysiakini.com)
Kalau betul RM2.6 bilion itu sumbangan penderma, adakah ia halal bagi PM menerimanya?
Sama-sama kita tadabbur hadis berikut:
Daripada Abi Humaid as-Sa’ediy r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki daripada qabilah al-Asad dikenali sebagai Ibn al-Luthabiyyah sebagai amil sedekah (zakat). Setelah lelaki itu menjalankan tugasnya, dia kembali menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Ini untuk kalian (Baitulmal) dan ini hadiah untukku.” Lantas Rasulullah s.a.w. pun bangkit menaiki mimbar, baginda memuji Allah dan mengagungkanNya dan bersabda (maksudnya): “Apakah gerangannya seorang amil yang aku utus untuk menjalankan satu tugas, lalu (setelah kembali) dia berkata: “Ini untuk kalian dan ini hadiah untukku”? Cuba dia duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya, dan lihat adakah dia diberi hadiah atau tidak? Demi Tuhan Yang nyawa Muhammad di TanganNya, tiada seorangpun dari kalangan kamu yang mengambil sesuatu kecuali dia akan bangkit pada hari qiamat nanti memikul di atas tengkuknya (apa yang dia ambil) sama ada unta atau lembu atau kambing!” Abu Humaid berkata: Kemudian baginda s.a.w. mengangkat kedua tangannya seraya berkata: “Ya Allah, adakah aku telah sampaikan?” sebanyak dua kali. Riwayat al-Bukhari (6578) dan Muslim(1832)
Imam an-Nawawi berkata: Hadis ini menjelaskan bahawa hadiah kepada pekerja adalah haram. Ini kerana di dalam hadis ini disebut balasannya, iaitu apa yang dihadiahkan itu akan ditanggungnya pada hari qiamat. Dan Nabi s.a.w. menerangkan di dalam hadis yang sama bahawa sebab haram adalah lantikan atau tugasan yang diamanahkan. Berlainan dengan hadiah kepada bukan petugas. Ia adalah digalakkan. Dan hukum petugas yang telah mengambil atas nama hadiah hendaklah dipulangkan kepada pemberi. Jika tidak dapat, maka serahkan kepada baitulmal.” (Syarah Muslim.)
Hadis lain, daripada Abdullah bin Buraidah daripada ayahnya daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang kami lantik untuk sesuatu pekerjaan, kami berikannya rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambil selepas atau selain daripada itu, adalah ghulul.” Riwayat Abu Daud (2943) dan diperakui sahih oleh al-Albani.
Ghulul bermaksud khianat. Jadi menurut hadis ini, apa yang perlu PM lakukan ialah kembalikan 2.6 bilion itu kepada insan yang bermurah hari menderma kepadanya, atau masukkanlah ke dalam khazanah negara. Terlalu ramai rakyat yang memerlukannya.

No comments: