HALF AL-FUDHUL
Ketika Rasulullah s.a.w. berusia 15 tahun,
berlaku satu perjanjian di kalangan pemimpin-pemimpin Quraisy yang dikenali
sebagai half al-fudhul, satu detik sejarah yang menjadi kenangan manis baginda
walaupun selepas diangkat menjadi Rasul. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan
baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama
dengan paman-pamanku satu perjanjian sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an.
Perjanjian yang lebih aku gemari daripada aku mendapat unta merah."
Latar belakang perjanjian itu sebagaimana
diceritakan oleh al-Bukhari di dalam Adab Mufrad, bahawa seorang lelaki peniaga
dari Zubaid, suatu tempat di Yaman datang ke Mekah membawa barang dagangannya.
Semua barang-barang itu dibeli oleh al-Aas bin Wael tanpa membayar harganya.
Lelaki dari Zubaid (Zubaidi) itu meminta pertolongan ketua-ketua Quraisy.
Mereka tidak berbuat apa-apa memandangkan al-Aas merupakan orang yang
berpengaruh di kalangan mereka. Maka dia berdiri di sisi Kaabah merayu bantuan
dari keluarga Fahar dan keluarga yang mempunyai maruah. Mendengar rayuan itu,
Zubair bin Abdul Muttalib bangkit dan berkata: "Perkara seperti ini tidak
boleh dibiarkan!"
Maka berkumpullah pembesar-pembesar dari
kalangan Bani Hasyim, Zuhrah, dan Bani Taym bin Murrah di rumah Abdullah bin
Jad'an. Abdullah menghidangkan makanan kepada para tetamu. Mereka semua sepakat
membuat perjanjin dan sumpah setia dengan Nama Allah bahawa mereka akan
bersama-sama bersatu tenaga membela orang yang dizalimi dalam menghadapi orang
yang zalim sehingga hak orang yang dizalimi dipulangkan. Perjanjian ini berlaku
di dalam bulan haram, iaitu bulan Zulqaedah.
Selepas perjanjian dimaterai, mereka pergi
menemui al-Aas bin Wael, lalu merampas barang-barang kepunyaan Zubaidi daripadanya
dan menyerahkannya kembali kepada Zubaidi.
Perjanjian ini dinamakan Half al-Fudhul
kerana sebahagian daripada pihak yang menandatangani perjanjian itu bernama
Fadhl. Antaranya Fadhl bin Harith, Fadhl bin Wada'ah dan Fadhl bin Fudhalah.
Sesungguhnya Half al-Fudhul merupakan suatu
perjanjian yang terbit dari sifat kemanusiaan sejati demi membela manusia yang
dizalimi dan mempertahankan kebenaran. Ia dianggap sebagai satu kemegahan
bangsa Arab sebelum Islam. Rasulullah s.a.w. sangat suka, redha dan berpuas
hati dengan perjanjian ini. Hal ini tergambar dengan jelas di sebalik
kata-katanya yang bermaksud: "Aku tidak suka sekiranya perjanjian itu
ditukarkan dengan unta merah untukku. Sekiranya aku diajak kepada perjanjian
seperti itu di masa Islam, aku akan menerimanya."
Kenapa baginda s.a.w. begitu menyukai
perjanjian ini?
Baginda menyukainya kerana cintakan
kebenaran dan keadilan, bersungguh-sungguh dalam mempertahankan keduanya merupakan
intipati ajaran yang dibawanya. Dan baginda s.a.w. adalah pendokong kebenaran
dan keadilan yang paling utama. Antara ucapan baginda s.a.w. yang paling
masyhur dalam hal ini: "Wahai sekelian manusia, sesungguhnya yang menjadi
punca binasanya umat sebelum kamu, apabila orang atasan mencuri mereka biarkan.
Apabila orang bawahan mencuri mereka jalankan hukuman. Demi Allah, sekiranya
Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti akan ku potong tangannya." Riwayat
al-Bukhari.