Thursday, August 27, 2015

JOM TADABBUR 9 - HALF AL-FUDHUL

HALF AL-FUDHUL

Ketika Rasulullah s.a.w. berusia 15 tahun, berlaku satu perjanjian di kalangan pemimpin-pemimpin Quraisy yang dikenali sebagai half al-fudhul, satu detik sejarah yang menjadi kenangan manis baginda walaupun selepas diangkat menjadi Rasul. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama dengan paman-pamanku satu perjanjian sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an. Perjanjian yang lebih aku gemari daripada aku mendapat unta merah."

Latar belakang perjanjian itu sebagaimana diceritakan oleh al-Bukhari di dalam Adab Mufrad, bahawa seorang lelaki peniaga dari Zubaid, suatu tempat di Yaman datang ke Mekah membawa barang dagangannya. Semua barang-barang itu dibeli oleh al-Aas bin Wael tanpa membayar harganya. Lelaki dari Zubaid (Zubaidi) itu meminta pertolongan ketua-ketua Quraisy. Mereka tidak berbuat apa-apa memandangkan al-Aas merupakan orang yang berpengaruh di kalangan mereka. Maka dia berdiri di sisi Kaabah merayu bantuan dari keluarga Fahar dan keluarga yang mempunyai maruah. Mendengar rayuan itu, Zubair bin Abdul Muttalib bangkit dan berkata: "Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan!"
Maka berkumpullah pembesar-pembesar dari kalangan Bani Hasyim, Zuhrah, dan Bani Taym bin Murrah di rumah Abdullah bin Jad'an. Abdullah menghidangkan makanan kepada para tetamu. Mereka semua sepakat membuat perjanjin dan sumpah setia dengan Nama Allah bahawa mereka akan bersama-sama bersatu tenaga membela orang yang dizalimi dalam menghadapi orang yang zalim sehingga hak orang yang dizalimi dipulangkan. Perjanjian ini berlaku di dalam bulan haram, iaitu bulan Zulqaedah.
Selepas perjanjian dimaterai, mereka pergi menemui al-Aas bin Wael, lalu merampas barang-barang kepunyaan Zubaidi daripadanya dan menyerahkannya kembali kepada Zubaidi.
Perjanjian ini dinamakan Half al-Fudhul kerana sebahagian daripada pihak yang menandatangani perjanjian itu bernama Fadhl. Antaranya Fadhl bin Harith, Fadhl bin Wada'ah dan Fadhl bin Fudhalah.

Sesungguhnya Half al-Fudhul merupakan suatu perjanjian yang terbit dari sifat kemanusiaan sejati demi membela manusia yang dizalimi dan mempertahankan kebenaran. Ia dianggap sebagai satu kemegahan bangsa Arab sebelum Islam. Rasulullah s.a.w. sangat suka, redha dan berpuas hati dengan perjanjian ini. Hal ini tergambar dengan jelas di sebalik kata-katanya yang bermaksud: "Aku tidak suka sekiranya perjanjian itu ditukarkan dengan unta merah untukku. Sekiranya aku diajak kepada perjanjian seperti itu di masa Islam, aku akan menerimanya."
Kenapa baginda s.a.w. begitu menyukai perjanjian ini?

Baginda menyukainya kerana cintakan kebenaran dan keadilan, bersungguh-sungguh dalam mempertahankan keduanya merupakan intipati ajaran yang dibawanya. Dan baginda s.a.w. adalah pendokong kebenaran dan keadilan yang paling utama. Antara ucapan baginda s.a.w. yang paling masyhur dalam hal ini: "Wahai sekelian manusia, sesungguhnya yang menjadi punca binasanya umat sebelum kamu, apabila orang atasan mencuri mereka biarkan. Apabila orang bawahan mencuri mereka jalankan hukuman. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti akan ku potong tangannya." Riwayat al-Bukhari.

No comments: