Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang
perempuan yang mencuri maka potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan
sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegahan
dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Maidah:38)
Ayat ini sering menjadi bahan perbahasan yang tidak
berkesudahan sama ada di kalangan umat Islam sendiri, apa lagi di kalangan
mereka yang belum Islam.
Ramai yang berpendapat bahawa hukuman potong tangan
adalah keterlaluan. Ia tidak patut dan tidak adil. Bermacam-macam hujahan
dikemukakan.
Menurut Allah Yarham Ustaz Hasan al-Hudhaibi, mantan
Murshidul-Aam Ikhwan Muslimin yang ke dua, kita tidak akan memahami hukuman
tersebut jika kita melihatnya secara terpisah daripada ayat-ayat yang lain.
Perlu difahami bahawa al-Quran adalah kitab hidayah,
yang membawa mesej dakwah dan tarbiah. Ia mengandungi lebih daripada 6000 ayat.
Dan ayat 38 surah al-Maidah itu adalah satu daripada 6000 ayat itu.
Allah menyebut tentang hukuman ke atas pencuri dalam
satu ayat sahaja. Dan di dalam ratusan ayat-ayat lagi Allah mendidik hambaNya
tentang kedudukan harta, nilainya, jalan-jalan memilikinya serta
membelanjakannya dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Allah juga mendidik hambaNya agar takut kepadaNya dan
mengingati pengawasanNya sepanjang masa, sama ada ketika bersendirian atau di
tempat awam. Ringkasnya, manusia diajar dan dididik dengan beberapa perkara
asas:
1. Yakin bahawa Allah adalah sumber rezeki semua makhluk
2. Allah bersifat maha pengasih, maha penyayang, maha pemurah
3. Allah memerhati, menghisab dan membalas setiap amalan sama ada yang
dilakukan secara terang-terangan atau secara rahsia
4. Setiap orang berhak memiliki hasil usahanya yang halal. Hak pemilikan
ini dilindungi oleh undang-undang.
5. Pemerintah wajib melaksanakan amanah dan berlaku adil ke atas seluruh
rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
6. Pemerintah wajib memberikan pendidikan yang dapat melahirkan insan yang
berakhlak dan bermaruah
7. Pemerintah wajib menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan kebebasan
dalam memilih pekerjaan yang halal
8. Pemerintah mesti tegas melaksanakan tanggungjawab khususnya dalam
menunaikan hak-hak mereka yang memerlukan. Sebagai contoh melaksanakan system
zakat dengan berkesan dari segi kaedah pungutan dan pengagihannya
Pendeknya, Allah memerintahkan agar semua pihak mesti
melaksanakan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab serta mempastikan keperluan
asas setiap warga terjamin dengan sebaik-baiknya. Dengan terlaksana semua ini,
maka sebab untuk seseorang mencuri hampir tiada. Kalau berlaku juga dalam suasana
sedemikian, tentulah ia bukan didorong oleh desakan hidup, tapi besar
kemungkinan didorong oleh nafsu serakah yang tidak ada penawar baginya kecuali
hukuman yang berat.
Dari sudut yang lain, perbuatan mencuri sebenarnya
merupakan satu jenayah yang zalim serta mengancam kesejahteraan masyarakat.
Kita tidak boleh lihat kepada nilai berapa RM yang dicuri. Sebaliknya, lihat
kepada kerugian yang dialamai oleh mangsa. Bayangkan berapa lama mangsa itu
mengumpul wang hasil titik peluhnya untuk memenuhi pelbagai keperluan seperti
membayar yuran persekolahan, kos rawatan, membayar hutang dan lain-lain.
Tiba-tiba dalam sekelip mata wangnya dicuri oleh orang yang tidak
bertanggungjawab!?
Selain kerugian dan kekecewaan yang ditanggung oleh
mangsa, kecurian juga mendatangkan kesan trauma di kalangan masyarakat,
khususnya jiran-jiran yang berdekatan. Kalau pada suatu malam sebuah rumah
daripada deretan rumah di sebatang jalan dimasuki pencuri, pastinya jiran-jiran
sudah tidak dapat menikmati tidur yang lena; hati berdebar-debar, takut siapa
pula akan jadi mangsa seterusnya. Semua mereka akan rasa tertekan, cemas dan bimbang.
Justeru, meringan-ringankan hukuman ke atas pencuri
pada hakikatnya menzalimi mangsa yang tidak berdosa dan masyarakat seluruhnya.
No comments:
Post a Comment