Saturday, August 22, 2015

JOM TADABBUR 7


Ibn Ishaq meriwayatkan daripada Sofiah binti Huyaiy bin Akhtob r.a. Dia berkata: aku merupakan anak yang paling disayangi ayahku dan pakcikku Abi Yasir. Setiap kali bertemu mereka akan mendukungku walaupun ada anak mereka yang lain.
Manakala Nabi s.a.w. tiba di Madinah, baginda singgah di Quba’ di perkampungan Bani Amru bin Auf. Ayahku dan pakcikku pergi mengintip baginda s.a.w. sepanjang hari. Mereka  hanya pulang ketika menjelang maghrib dalam keadaan sugul dan lemah. Aku berlari ke arah mereka, namun mereka tidak melayanku sepeti biasa. Bahkan mereka langsung tidak menoleh kepadaku. Aku mendengar pakcik berkata kepada ayah, “adakah itu dia?” jawab ayah, “ya, demi Allah!” “adakah kamu benar-benar pasti?” “ya”. “Maka apa pendirianmu terhadapnya?” “memusuhinya demi Allah selagi aku hidup!”.

Mengulas tentang permusuhan orang Yahudi di Madinah terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam, Dr Raghib as-Sarjani berkata:
“Sesungguhnya orang Yahudi merupakan jiran yang paling dekat dengan kaum muslimin di Madinah. Sekalipun mereka memendam rasa kebencian dan permusuhan terhadap kaum muslimin, mereka tidak menzahirkan sebarang penentangan atau permusuhan pada peringkat awal.
Justeru, Rasulullah s.a.w. mengikat perjanjian dengan mereka, mengiktiraf hak bekerjasama dan saling menasihati dalam perkara kebaikan dengan mereka. Mereka juga diberikan kebebasan mutlak dalam beragama dan pengurusan harta. Rasulullah s.a.w. tidak mengambil pendekatan menyisih dan menjauhkan mereka, merampas hak atau mengisytiharkan permusuhan dengan mereka.”

Pendekatan yang diambil oleh baginda mungkin boleh dijadikan panduan kepada umat Islam masa kini, khususnya dalam menghadapi masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti sekarang.


No comments: