Artis merupakan antara golongan paling berpengaruh.
Mereka diminati, disanjungi dan diikuti oleh ribuan malah jutaan peminat. Apa
yang dilakukan para artis menjadi ikutan para peminat. Kadang-kadang para
peminat hanya mengikut apa saja yang dilakukan oleh artis pujaan mereka tanpa
memikirkan betul atau salah, baik atau betul.
Al-Quran menyebut bahawa terdapat dua golongan artis:
golongan yang diikuti oleh mereka yang sesat dan golongan beriman yang bangkit
menentang kezaliman dan penindasan. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Dan ahli-ahli syair itu,
diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.
Tidakkah
engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam
tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
Dan
bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
Kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu),
dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri
sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang
kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” [Asy-Syu’araa’:224-227]
Golongan pertama adalah artis
(ahli-ahli syair) yang hanyut dalam angan-angan kosong, mengheret para peminat
mereka ke lembah kesesatan yang merugikan. Allah menyifatkan mereka sebagai
golongan yang “memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya”. Betapa tidak?
Kadang-kadang kita saksikan mereka mendendangkan dengan suara merdu mendayu
memuji kebesaran Tuhan, namun realitynya mereka tidak mentaati perintah Tuhan
dengan sepenuhnya. Kadang-kadang kita saksikan mereka berlakon membawa watak
insan paling suci lagi soleh, namun hakikatnya kehidupan mereka bergelumang dengan
kemaksiatan.
Sungguhpun begitu, tidak
semua golongan artis seperti itu. Al-Quran mengiktiraf ada di kalangan mereka
yang baik.
Golongan yang baik dan
dipuji oleh Allah ialah yang terdapat pada diri mereka ciri-ciri berikut:
- beriman
- beramal dengan amalan-amalan yang baik dan bermanfaat
kepada diri sendiri, kepada umat manusia dan alam seluruhnya
- banyak mengingati Allah dengan mentaatiNya dan mempertahankan
agamaNya
- membela diri dari kezaliman, tidak bersikap lemah
tunduk menyerah kepada orang-orang yang zalim dan menindas.
Dan menariknya, dihujung
ayat itu (227) Allah mengingatkan mereka yang zalim bahawa suatu hari nanti
mereka akan mengetahui ke mana tempat kembali mereka dan akan menerima
pembalasan yang setimpal di atas kezaliman mereka. Secara tidak langsung dapat
difahami bahawa apabila golongan yang ditindas dan dizalimi bangkit membela
diri mereka, Allah pasti akan menolong mereka dan orang-orang yang zalim pasti
menerima akibatnya.