Tuesday, April 12, 2016

TA'ADDUD AHZAB


Tidak terdapat halangan atau larangan dari segi syarak tentang kewujudan lebih daripada satu parti politik di dalam sesebuah negara Islam. Kerana larangan syarak memerlukan nas. Yang jelas tiada nas yang melarang.
Bahkan kewujudan beberapa parti kadang-kadang menjadi suatu kemestian pada masa kini. Ia merupakan satu kawalan secara aman daripada berlakunya kediktatoran individu atau golongan tertentu dalam pemerintahan, mengelak penindasan ke atas rakyat jelata, memaksa mereka tunduk kepada pihak berkuasa semata-mata apabila tidak ada pihak yang mampu bersuara dan berkata "tidak" atau "kenapa?"
Ini terbukti melalui pembacaan sejarah dan penelitian terhadap realiti yang berlaku. Apa yang perlu diberi perhatian, semua parti yang ditubuhkan mesti mematuhi dua syarat yang paling asas:
1.     Ia mestilah mengiktiraf Islam sebagai aqidah dan syari'ah, tidak mengingkari atau memusuhinya sekalipun ia mungkin mempunyai ijtihad tertentu dalam mamahami sesuatu isu selagi mana kehafaman itu berlandaskan prinsip-prinsip yang diperakui keabsahannya.
2.     Ia mestilah tidak menjalankan aktiviti yang menguntungkan pihak yang menentang Islam dan umatnya walau atas apa nama serta kedudukan sekalipun.
Justeru, tidak harus menubuhkan parti yang mengajak manusia kepada "ilhad" (mengingkari kewujudan Tuhan), free sex, atau bebas dari sebarang agama, atau mencela agama-agama samawi secara umum atau Islam secara khusus, atau menghina asas-asas yang dianggap suci di sisi Islam seperti aqidahnya, syari'ahnya, kitabnya, atau Nabinya s.a.w.

Selain daripada alasan di atas, menurut ajaran Islam adalah menjadi hak setiap manusia, bahkan wajib ke atas mereka menasihati pemimpin, membertulkan jika mereka menyeleweng, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka dari mungkar. Ini kerana pemimpin juga salah seorang daripada umat Islam. Dia tidaklah lebih besar daripada individu untuk dinasihati dan disuruh (berbuat baik). Dan rakyat pula tidaklah lebih kecil daripada pemimpin untuk memberi nasihat dan menyuruh pemimpin mereka.
Apabila umat Islam mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar, lunturlah keistimewaan mereka, hilanglah ciri kebaikan (khair) yang disifatkan mereka dengannya (khair ummah). Bukan itu sahaja, malah mereka akan dilaknat sebagaimana dilaknat umat-umat sebelum mereka yang disebut di dalam firman Allah yang bermaksud: "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maidah:78-79)
Di dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada si zalim, "wahai si zalim!", maka sesungguhnya wajarlah engkau ucapkan selamat tinggal kepada mereka!"

Ketika Abu Bakar r.a. dilantik menjadi khalifah beliau menyebut di dalam ucapan sulungnya: "Wahai sekelian manusia! Sekiranya aku bagus (dalam urusan pemerintahanku), bantulah aku. Dan sekiranya aku salah, perbetulkanlah aku. Taatlah kepadaku selagi mana aku taat kepada Allah dalam urusan memerintah kamu. Sekiranya aku derhaka kepadaNya, maka tidak wajib ke atas kamu mentaatiku!"

Umar r.a. pula berkata: "Wahai sekelian manusia! Sesiapa di kalangan kamu yang melihat aku telah menyeleweng, perbetulkanlah aku." Lantas seorang lelaki berkata kepadanya: "Demi Allah! Sekiranya kami melihat engkau menyeleweng dalam memerintah kami, akan kami luruskannya dengan pedang-pedang kami yang tajam!" Umar r.a. menyahut: "Alhamdulillah yang telah menjadikan di dalam kalangan umat Islam orang yang sedia memperbetulkan Umar dengan pedang tajamnya."

Namun sejarah mengajar kita, pengalaman bangsa-bangsa di dunia serta realiti umat Islam, bahawa membetulkan penyelewengan pemerintah bukanlah sesuatu yang mudah, tidak boleh dengan hanya berucap beberapa patah. Rakyat jelata tidak memiliki pedang-pedang untuk digunakan bagi membetulkan penyelewengan  kerana pedang-pedang semuanya berada di tangan pemerintah!

Oleh itu, yang wajib dilakukan ialah menyusun urusan ini, urusan membetulkan penyelewengan pemerintah ini dengan cara yang lain daripada menghunus pedang dan mengangkat senjata.

Manusia di zaman kita sekarang, selepas melalui perjuangan yang panjang dan memeritkan telah mampu membentuk kaedah amar makruf dan nahi mungkar, meluruskan pemerintah yang menyimpang tanpa menumpahkan darah, iaitu dengan terbentuknya kekuatan politik. Kekuatan yang tidak mampu dihapuskan oleh pemerintah dengan cara yang mudah. Itulah kekuatan yang dinamakan "ahzab" (kumpulan parti-parti politik)


- Dr Yusuf al-Qaradhawi, daripada artikel berjodol: Ta'addud al-Ahzab fi al-Mujtama' al-Muslim.

No comments: