Monday, April 04, 2016

Kalau begitu, aku adalah seburuk-buruk penghafadz al-Quran!!


Di dalam peperangan al-Yamamah, peperangan melawan nabi palsu Musailamah al-Kazzab di mana panglima tertingginya adalah Saifullah Khalid bin al-Walid r.a.
Ramai dari kalangan tenteranya terdiri dari huffadz atau penghafadz al-Quran.
Beliau memilih tentera yang paling layak untuk memegang bendera, tentera yang tidak akan undur atau melepaskan bendera dari tangannya sehingga pertempuran berakhir atau dia syahid.
Di peringkat awal, bendera muhajirin berada di tangan Abdullah bin Hafs bin Ghanim al-Quraisyi r.a.
Beliau teguh di medan sehingga dijemput sebagai syahid.
Selepas Abdullah syahid, panglima Khalid bin al-Walid menyerahkan bendera kepada Salim maula Abi Huzaifah r.a.
Apabila Salim mengambil bendera itu, sebahagian tentera berkata kepadanya:
"Ya Salim, kami bimbang musuh akan dapat menembusi pasukan kita dari arahmu!" Kata-kata itu membawa maksud, mereka kurang yakin dengan keupayaan Salim dan berasa bimbang kalau-kalau Salim menjadi punca tenera Islam tewas di tangan musuh.
Maka apakah reaksi Salim kepada mereka?
"Kalau begitu, (kalau aku menjadi punca kekalahan tentera Islam) maka akulah seburuk-buruk penghafadz (hamil) al-Quran!"
Dan Salim r.a. benar-benar membuktika keteguhan iman dan kekentalan semangat juangnya. Beliau teguh di medan sehingga Allah memilihnya sabagai syahid.

Demikianlah, betapa pentingnya penghafadz al-Quran atau hamil (pembawa) al-Quran di dalam dada mereka.
Mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam menegakkan Islam dan mempertahankannya dari serangan musuh luar dan dalam.
Hamil al-Quran bukan hanya duduk di penjuru masjid mengulang-ulang bacaan membiarkan umat dan masyarakat dilanda pelbagai masalah, membiarkan negara diperintah sewenang-wenangnya oleh penguasa yang zalim, membiarkan khazanah negara dirampok semahu-mahunya oleh golongan yang tidak amanah padahal Nabi s.a.w. telah mengingatkan apabila diserahkan sesuatu kepada seseorang yang tidak mempunyai kelayakan, maka tunggulah kehancurannya.


Ayuh para hafidz, hamil al-Quran! Bangkit menentang kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. Jadikan kata-kata Salim r.a. sebagai obor yang membakar semangatmu sepanjang zaman ......

No comments: