Berkaitan
dengan kata-kata Dr Jasem Al-Mutawwa' : “Jangan
hairan sekiranya peristiwa lalu berulang dalam hidupmu untuk memberikan
pengajaran kerana engkau telah enggan belajar pada kali pertama dahulu”, saya teringat
pada sebuah cerita dongeng. Kononnya di dalam hutan terdapat kerajaan haiwan.
Rajanya adalah singa yang gagah perkasa, menteri serta penasihatnya pula musang
yang pintar dan bijaksana.
Pada
suatu hari singa perkata kepada musang,
-
aku
sangat lapar. Aku mahu makan kamu sekarang. Musang menjawab,
- kenapa mahu makan patik, bukankah ada
keldai yang lebih lazat dan lebih berisi?
- Pergi tangkap keladai dan bawa dia ke
mari. Kalau tidak, aku akan makan kamu.
Musang
pergi bertemu dengan keldai. Dia menggunakan tipu helah untuk membawa keldai
kepada raja singa, kononnya singa sedang mencari pengganti untuk ditabalkan
menjadi raja menggantikannya dan dia telah terpilih. Keldai percaya. Dengan
gembiranya dia mengikuti musang ke istana sambil berkhayal dia berada di takhta
memegang kuasa memerintah belantara.
Sampai di
istana sang ‘raja’ terus menerkam kepala keldai dan dengan tindakan pantasnya keldai berjaya melepaskan
kepalanya dari cengkaman singa menyebabkan dua telinganya terputus. Dia berlari
meninggalkan istana.
Raja
sekali lagi merungut kelaparan dan mengancam akan memakan musang jika tidak dibawakan
keldai kepadanya. Musang pergi bertemu dengan keldai dan menyatakan
kekesalannya, kenapa dia lari melepaskan peluang untuk ditabalkan sebagai raja?
Keldai berasa ragu dengan janji itu dan berkata, sebenarnya singa mahu memakannya.
Kalau bukan, kenapa dia menangkap kepalanya sehingga dua telinganya terputus?
Sekali
lagi musang dapat meyakinkan keldai dengan tipu helahnya. Dia berkata, kalau
tak dibuang telinga itu bagaimana hendak dipasangkan mahkota di atas kepala kamu?
Keldai percaya dan sekali lagi dia mengikut musang ke istana. Dan seperti
sebelumnya singa terus menerkam. Kali ini dia menerkam dari belakang. Keldai dengan
pantas berjaya melepaskan diri. Namun ekornya terputus.
Raja
kembali merungut. Musang terpaksa meneruskan misinya. Mulanya keldai tidak lagi
percaya kepada janji manisnya. Namun musang sangat pintar memujuk. Dia berkata,
setelah ditabal menjadi raja, keldai akan diangkat bersemayam di atas takhta.
Dengan ekornya yang panjang bagaimana dia hendak duduk di atas takhta? Sebab
itu ‘raja’ memotong ekor itu supaya senang untuk dia duduk.
Dengan
keyakinan yang tidak berbelah bagi, keldai mengikuti musang ke istana buat kali
ke tiga. Sampai di istana, ‘raja’pun terus membunuhnya. Kemudian dia
menyerahkan bangkai keldai kepada musang dan memerintahkan supaya di keluarkan
organ-organ dalam yang lazat untuk santapannya, iaitu hati, jantung, paru-paru
dan otak.
Musang
melaksanakan tugasnya dan mempersembahkan kepada raja apa yang dimintanya
kecuali otak. Raja bertanya, di manakah otaknya? Musang dengan selambanya
menjawab, otaknya tidak ada, tuanku. Kalau ada, masakan dia boleh datang mengadap
tuanku tiga kali berturut-turut kerana percaya kepada tipu helah patik?
No comments:
Post a Comment