Monday, May 30, 2016

TAZKIRAH 2


Ketika menghadiri PATWA (Perhimpunan Ahli Teras Wanita, Pertubuhan IKRAM) hari sabtu lepas, petugas Rayuan Ramadhan sempat menahan saya supaya memberi tazkirah ringkas sebagai sokongan kepada usaha mereka mengajak umat Islam memperbanyakkan sedekah sempena bulan Ramadhan yang mulia. Dalam keadaan bergegas untuk masuk dewan, saya lontarkan tazkirah seperti di bawah. Mudah-mudahan bermanfaat untuk diri dan semua yang mengikutinya.

Assalamualaikum wrwb. Tahniah kepada seluruh umat Islam yang terpilih memasuki Ramadhan sekali lagi pada tahun ini. Ramadhan sangat besar kelebihan dan keistimewaannya. Antara yang paling besar, Allah anugerahkan satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kita tidak harus melepaskan peluang merebut satu malam yang cukup hebat ini. Walaupun dirahsiakan, tetapi cluenya diberikan, iaitu dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Ertinya kita tidak disuruh mencari satu daripada 30, tetapi satu daripada 10.
10 malam terakhir inilah yang mesti kita rebut, berusaha bersungguh-sungguh untuk menemuinya. Pastikan kita merancang amalan-amalan yang terbaik pada malam-malam tersebut. Antaranya:

1.    Solat. Mungkin kita tidak mampu untuk solat sepanjang malam. Namun kita boleh mendapat pahala seperti solat sepanjang malam jika kita solat isya dan subuh berjamaah kerana Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat isya berjamaah, maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia solat malam sepenuhnya.” Riwayat Muslim. Jika kita lakukan setiap malam pada 10 terakhir itu, salah satunya adalah Lailatul-Qadar. insyaaAllah kita akan memperolehi ganjaran qiam selama 1000 bulan. Selain solat isya dan subuh berjamaah, cuba sedaya upaya melakukan solat tarawih berjamaah. Diriwayatkan bahawa baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam bersama imam sehingga dia beredar, ditulis untuknya qiam satu malam penuh.” Abu Daud drpd Abu Dzar r.a.

2.   Tilawah al-Quran. Siapa di antara kita yang mampu untuk khatam al-Quran dalam satu malam? Kalau tidak mampu, tidak bermakna kita tidak boleh merebut ganjarannya. Caranya, pastikan baca surah:
i-               al-Zalzalah sebanayak dua kali,
ii-             al-Kafirun sebanyak empat kali, dan
iii-            al-ikhlas sebanyak tiga kali.
Maka kita seolah-olah khatam al-Quran tiga kali pada malam tersebut.

Daripada Anas bin Malik r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca “Idza zulzilat” diimbang untuknya separuh al-Quran.” Riwayat at-Tirmizi.
Daripada Ibn Abbas r.a., surah al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran. (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim).

Dan daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bertanya para sahabat r.a. “Adakah kamu rasa lemah untuk membaca satu pertiga al-Quran pada setiap malam?” Maka mereka berkata: “Siapalah di antara kami yang mampu berbuat demikian wahai Rasulullah?” Maka Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Surah al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran.” Riwayat al-Bukhari.

3.   Sedekah. Sedia maklum bahawa sedekah adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ganjarannya tidak ternilai banyaknya. Oleh itu, jangan terlepas untuk mengeluarkan sedekah setiap malam sepanjang 10 terakhir Ramadhan. Umpamanya kita mempunyai wang sebanyak RM30. Bahagikan kepada 10. Setiap malam, bagi sedekah RM3. Salah satu malam adalah Lailatul-Qadar. Maka RM3 daripada RM30 itu ganjarannya seperti kita bersedekah selama 1000 bulan.

Semoga kita semua terpilih dan termasuk di dalam senarai mereka yang menerima anugerah istimewa bulan Ramadhan, anugerah rahmah, maghfirah, syurga, keredhaanNya serta terselamat dari siksa kubur dan siksa neraka. Aamiin.



Sunday, May 22, 2016

TAZKIRAH


Beberapa hari lalu saya hadir majlis tahlil yang diadakan untuk mengingati insan tersayang yang telah berhijrah ke alam baqa.

Selesai tahlil dan doa, secara spontan mereka meminta saya memberi tazkirah.
Di sini, saya ingin kongsi idea spontan saya, mudah-mudahan ianya membantu sahabat-sahabat bila diminta beri tazkirah. Sebagai panduan, cuba kaitkan tazkirah yang hendak diberikan itu dengan majlis atau suasana yang sedang berlaku. Di bawah ini adalah poin-poin yang hadir secara spontan yang sempat saya samapaikan.

Alhamdulillah, kita baru selesai majlis tahlil untuk mengingati orang-orang yang kita sayangi yang telah pergi meninggalkan kita. Hari ini kita mengadakan majlis untuk mereka. Suatu hari nanti, mungkin esok atau lusa orang akan buat untuk kita pula. Namun kita tidak boleh mengharap pada tahlil yang dibuat untuk kita. Kita mesti bersedia selagi hayat masih ada. Melihat kepada diri sendiri serta puan-puan yang hadir petang ini kebanyakannya sudah mencapai usia 50an dan 60an maka tempoh hayat kita pastinya tidak akan lama lagi. Jangka hayat kita pastinya lebih singkat berbanding dengan masa yang telah kita lalui. Dan kalaupun ditakdirkan lebih lama atau sama dengan usia yang telah berlalu, pastinya keadaan tetap tidak sama. Kita tidak sesihat dan tidak secergas dulu.

Puan-puan, hidup kita di dunia ini terlalu singkat berbanding dengan akhirat yang tidak ada hujung penamat. Mampukah kita mempersiapkan bekalan untuk hidup dalam jangka masa yang tidak berpenghujung dalam tempoh hidup yang singkat ini?

Dari segi logik akal yang biasa, mungkin kita rasa tidak mencukupi. Namun Allah Ta'ala yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Pengampun memberi kita ruang yang seluas-luasnya untuk mempersiapkan bekalan yang mencukupi walaupun amalan yang kita lakukan amat sedikit. Bagaimanakah caranya amalan yang sedikit memungkinkan kita mendapat ganjaran yang tidak terkira banyaknya?

Pertama : Allah gandakan pahala, setiap kebaikan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Ertinya apabila kita melakukan satu kebaikan seolah-olah kita melakukan 10 hingga 700 kebaikan. Kalau dalam sehari kita buat 20 kebaikan, maka banyak mana ganjaran yang Allah akan berikan? Subhanallah!

Kedua : Terdapat amalan yang ganjarannya tidak terikat dengan kadar antara 10 hingga 700 kali ganda. Sebaliknya ganjarannya adalah tanpa hisab, iaitu tanpa kadar yang boleh disukat. Allah akan berikan seberapa banyak yang Dia kehendaki.  Apakah amalan itu? Iaitu sabar (az-Zumar:10) dan puasa adalah separuh daripada sabar (maksud hadis riwayat at-Tirmizi). Maka beruntunglah orang yang sabar dan banyak berpuasa.

Ketiga : Dalam setahun Allah kurniakan pula satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitu lailatul-qadar. Sungguhpun lailatul-qadar dirahsiakan waktunya, kita tidak disuruh mencarinya setiap malam dalam setahun (lebih kurang 360 malam), tidak juga setiap malam dalam 30 malam bulan Ramadhan. Kita hanya digalakkan mencarinya dalam masa 10 malam daripada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Mencari satu daripada 10 adalah jauh lebih mudah daripada mencari satu daripada 360 atau satu daripada 30.  Tidak sanggupkah kita untuk bersungguh-sungguhnya mencarinya? Hanaya dalam masa 10 malam sahaja untuk mendapat yang lebih daripada 1000 bulan?

Keempat : Amalan yang boleh menggandakan pahala kita adalah dakwah. Mengajak orang lain mengenal Allah, taat kepada Allah, melakukan kebaikan yang Allah suka dan seumpamanya. Ganjarannya adalah sama dengan apa yang diamalkan oleh orang yang kita ajak, tidak kurang walau sedikitpun (makasud hadis riwayat Muslim). Dan kalau seorang diberi hidayah melalui usaha kita, maka ganjarannya lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Maka jangan kedekut, jangan simpan ilmu yang ada walaupun sedikit. Semakin ramai orang yang mengikuti kebaikan yang kita anjurkan, semakin banyak ganjaran yang Allah beri dengan izinNya.

Kelima : Niat. Allah akan bangkitkan kita di akhirat nanti dalam keadaan bagaimana kita mati (makasud hadis riwayat Muslim). Kalau kita mati dalam keadaan melakukan kebaikan, maka dibangkitkan dalam keadaan itu. Dan jika berniat untuk buat baik kemudian mati sebelum sempat melakukannya, akan diberi pahala melakukannya secara berterusan (al-Hajj:58). Maka sentiasalah menjaga niat yang baik. Jangan sekali-kali membiarkan niat tidak baik bercambah dan bertapak di dalam hati kerana kita tidak mengetahui bila malaikat maut akan mencekup nyawa kita. Kalau tidak berhati-hati, mungkin dia datang ketika kita sedang berkira-kira untuk melakukan maksiat, na’udzu billah.

Mudah-mudahan tazkirah yang ringkas ini bermanfaat untuk diriku dan sahabat-sahabat yang mendengar dan membacanya. Allahu A’lam.






Wednesday, May 11, 2016

KITA dan AL-QURAN


Dengan izin Allah, Ramadhan akan bertandang dalam beberapa hari saja lagi. Apa persiapan kita untuk menyambut kehadirannya?
Semua mengetahui kelebihan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang diturunkan pada al-Quran. Lantaran itu ibadah yang sangat dituntut dalam bulan Ramadhan ialah mendampingi al-Quran: membaca, menghafal, mempelajari, memahami, mentadabbur, mengamal dan menyebarkan.
Firman Allah Ta'ala bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr 15:9)
Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, antara sebab terpelihara al-Quran ialah menghafalnya di dalam dada, menulisnya di mushaf-mushaf, membacanya secara berterusan, mengkaji dan mempelajari tanpa henti, mematuhi adab-adab serta syarat-syaratnya, memelihara amalan-amalan yang batin dan adab-adab yang zahir.

Beliau juga menceritakan bagaimana kesungguhan salaful-soleh membaca al-Quran: sebahagian mereka khatam satu kali dalam sehari semalam, dua kali dan tiga kali. Ada juga yang khatam satu kali dalam sebulan. Katanya, yang paling utama diikuti adalah saranan Nabi s.a.w. di dalam hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang baca al-Quran kurang daripada tiga hari (sekali khatam), dia tidak akan memahaminya." Ashab as-Sunan dan ditashih oleh at-Tirmizi. Di dalam hadis lain, baginda s.a.w. menyuruh Abdullah bin Umar r.a. agar mengkhatam al-Quran setiap minggu (sekali dalam seminggu)." Muttafaq 'alaih. Sebahgian besar sahabat r.a. seperti Usman bin 'Affan, Zaid bin Sabit, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Ka'ab radhiallahu'anhum ajma'ein khatam setiap hari Jumaat.

Maka dapat disimpulkan, tempoh khatam  al-Quran terbahagi kepada empat peringkat:
1.   Satu kali dalam sehari semalam. Ini dianggap makruh oleh kebanyakan ulamak
2.   Satu kali dalam sebulan. Ini dikira terlalu cuai sebagaimana yang pertama tadi terlalu membanyakkan
3.   Satu kali dalam seminggu
4.   Dua kali dalam seminggu. Ketiga dan keempat dianggap paling sederhana.
(Ihya’ Ulumud-Din, jilid 1, halaman 361 dan 366)

Maka, dalam golongan manakah kita? Ingat, khatam sekali sebulan itu terlalu cuai. Kalau beberapa bulan tidak khatam? Dan ini amalan di bulan-bulan selain Ramadhan.


Ramadhan bagaimana? Rancanglah. Kata orang, gagal merancang bererti rancang untuk gagal!

Saturday, May 07, 2016

Mencari BAHAGIA


Imam Hasan al-Banna rahimahullah pernah berkata:

Aku telah banyak membaca dan aku telah banyak mencuba. Aku bergaul dengan ramai manusia dan aku menyaksikan pelbagai peristiwa. Daripada pengembaraanku yang singkat jaraknya, namun panjang tahapannya aku sampai kepada satu kesimpulan yang aku sungguh-sungguh yakini, yang seteguh-teguhnya aku pegangi, yang tidak mungkin dapat digoncang dan digoyang lagi, iaitu KEBAHAGIAAN yang seluruh umat manusia mencarinya, hanya tercurah dari hati dan jiwa mereka, melimpahi dan membanjiri diri mereka. Sesungguhnya KEBAHAGIAAN itu tidak pernah datang dari luar hati mereka selama-lamanya. Hati yang hidup, yang sentiasa berhubung dengan Allah itulah sumber KEBAHAGIAAN yang sebenarnya.
ALLAH Ta'ala berfirman maksudnya: "Sesiapa yang beramal soleh, dari kalangan lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

Lantaran itu, kesedihan, kerisauan dan sempit dada tidak akan menemui jalan selama-lamanya untuk menembusi hati ini, iaitu hati yang berhubung dengan Allah. Ini telah tegaskan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: “…maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".


- At-Toriq ila Ar-Rabbaniyyah, Dr Majdi al-Hilali

Wednesday, May 04, 2016

الإسراء والمعراج

Isra' dan Mi'raj

Tiada keraguan bahawa Isra' dan Mi'raj merupakan peristiwa besar yang amat bermakna kepada umat Islam khususnya dan dunia seluruhnya. Ia suatu mukjizat yang dianugerahkan kepada Rasul yang agung, Nabi Muhammad s.a.w.
Ulamak sepakat bahawa peristiwa itu berlaku di Mekah sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun tarikhnya yang tepat tidak disepakati. Majoriti umat percaya ia berlaku pada malam 27 Rajab. Menurut Syaikh Sofiur-Rahman al-Mubarakfuri di dalam bukunya ar-Rahiq al-Makhtum, terdapat beberapa pendapat tentang tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj. Ada yang berkata, ia berlaku pada:
1.     tahun baginda diangkat menjadi nabi. Ini pendapat yang dipilih oleh at-Tobari
2.     lima tahun selepas baginda diangkat menjadi nabi. Pendapat ini ditarjihkan oleh an-Nawawi dan al-Qurtubi
3.     malam 27 Rajab tahun ke 10 kenabian. Pendapat ini dipilih oleh al-'Allamah al-Mansurfuri
4.     16 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 12 kenabian
5.     bulan Muharram tahun ke 13 kenabian
6.     bulan Rabiul-Awwal satu tahun sebelum hijrah.

Setelah menyebuat pendapat-pendapat itu beliau berkata, pendapat pertama, kedua dan ketiga tertolak kerana Khadijah r.a. wafat pada bulan Ramadhan tahun ke 10 kenabian. Beliau wafat sebelum difardhukan solat lima waktu. Dan tidak ada perselisihan di kalangan ulamak bahawa solat difardhukan pada malam Isra' dan Mi'raj. Pendapat keempat, lima dan enam aku tidak menemui sebarang dalil untuk mentarjihkan satu daripada tiga pendapat itu. Namun surah al-Isra' menggambarkan peristiwa itu berlaku agak lewat.

Meskipun tiada kesepekatan dari segi tarikhnya, yang penting adalah pengajaran daripadanya.
Isra' dan Mi'raj dari satu sudat adalah untuk menyenangkan hati Nabi s.a.w. dan meringankan bebanan yang ditanggung baginda.  Dari sudut yang lain ia menjadi bukti bahawa Rasulullah s.a.w. benar-benar seorang rasul yang diutus oleh Allah, diperkuatkan dengan mukjizat, diangkat mengatasi sunnah alam yang umum, insan yang dimuliakan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan sebagai penguat risalah rahmah yang dibawa oleh baginda.
Maka dalam mengenang peristiwa besar Isra' dan Mi'raj sewajarnya kita muhasabah diri, sejauh mana kita menghayati, menyebar dan mempertahankan apa yang disampaikan oleh baginda s.a.w. tanpa menambah dan mengurangkannya (tanpa ifrat dan tafrit).