Wednesday, May 11, 2016

KITA dan AL-QURAN


Dengan izin Allah, Ramadhan akan bertandang dalam beberapa hari saja lagi. Apa persiapan kita untuk menyambut kehadirannya?
Semua mengetahui kelebihan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang diturunkan pada al-Quran. Lantaran itu ibadah yang sangat dituntut dalam bulan Ramadhan ialah mendampingi al-Quran: membaca, menghafal, mempelajari, memahami, mentadabbur, mengamal dan menyebarkan.
Firman Allah Ta'ala bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr 15:9)
Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, antara sebab terpelihara al-Quran ialah menghafalnya di dalam dada, menulisnya di mushaf-mushaf, membacanya secara berterusan, mengkaji dan mempelajari tanpa henti, mematuhi adab-adab serta syarat-syaratnya, memelihara amalan-amalan yang batin dan adab-adab yang zahir.

Beliau juga menceritakan bagaimana kesungguhan salaful-soleh membaca al-Quran: sebahagian mereka khatam satu kali dalam sehari semalam, dua kali dan tiga kali. Ada juga yang khatam satu kali dalam sebulan. Katanya, yang paling utama diikuti adalah saranan Nabi s.a.w. di dalam hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang baca al-Quran kurang daripada tiga hari (sekali khatam), dia tidak akan memahaminya." Ashab as-Sunan dan ditashih oleh at-Tirmizi. Di dalam hadis lain, baginda s.a.w. menyuruh Abdullah bin Umar r.a. agar mengkhatam al-Quran setiap minggu (sekali dalam seminggu)." Muttafaq 'alaih. Sebahgian besar sahabat r.a. seperti Usman bin 'Affan, Zaid bin Sabit, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Ka'ab radhiallahu'anhum ajma'ein khatam setiap hari Jumaat.

Maka dapat disimpulkan, tempoh khatam  al-Quran terbahagi kepada empat peringkat:
1.   Satu kali dalam sehari semalam. Ini dianggap makruh oleh kebanyakan ulamak
2.   Satu kali dalam sebulan. Ini dikira terlalu cuai sebagaimana yang pertama tadi terlalu membanyakkan
3.   Satu kali dalam seminggu
4.   Dua kali dalam seminggu. Ketiga dan keempat dianggap paling sederhana.
(Ihya’ Ulumud-Din, jilid 1, halaman 361 dan 366)

Maka, dalam golongan manakah kita? Ingat, khatam sekali sebulan itu terlalu cuai. Kalau beberapa bulan tidak khatam? Dan ini amalan di bulan-bulan selain Ramadhan.


Ramadhan bagaimana? Rancanglah. Kata orang, gagal merancang bererti rancang untuk gagal!

No comments: