Monday, May 30, 2016

TAZKIRAH 2


Ketika menghadiri PATWA (Perhimpunan Ahli Teras Wanita, Pertubuhan IKRAM) hari sabtu lepas, petugas Rayuan Ramadhan sempat menahan saya supaya memberi tazkirah ringkas sebagai sokongan kepada usaha mereka mengajak umat Islam memperbanyakkan sedekah sempena bulan Ramadhan yang mulia. Dalam keadaan bergegas untuk masuk dewan, saya lontarkan tazkirah seperti di bawah. Mudah-mudahan bermanfaat untuk diri dan semua yang mengikutinya.

Assalamualaikum wrwb. Tahniah kepada seluruh umat Islam yang terpilih memasuki Ramadhan sekali lagi pada tahun ini. Ramadhan sangat besar kelebihan dan keistimewaannya. Antara yang paling besar, Allah anugerahkan satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kita tidak harus melepaskan peluang merebut satu malam yang cukup hebat ini. Walaupun dirahsiakan, tetapi cluenya diberikan, iaitu dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Ertinya kita tidak disuruh mencari satu daripada 30, tetapi satu daripada 10.
10 malam terakhir inilah yang mesti kita rebut, berusaha bersungguh-sungguh untuk menemuinya. Pastikan kita merancang amalan-amalan yang terbaik pada malam-malam tersebut. Antaranya:

1.    Solat. Mungkin kita tidak mampu untuk solat sepanjang malam. Namun kita boleh mendapat pahala seperti solat sepanjang malam jika kita solat isya dan subuh berjamaah kerana Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat isya berjamaah, maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia solat malam sepenuhnya.” Riwayat Muslim. Jika kita lakukan setiap malam pada 10 terakhir itu, salah satunya adalah Lailatul-Qadar. insyaaAllah kita akan memperolehi ganjaran qiam selama 1000 bulan. Selain solat isya dan subuh berjamaah, cuba sedaya upaya melakukan solat tarawih berjamaah. Diriwayatkan bahawa baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam bersama imam sehingga dia beredar, ditulis untuknya qiam satu malam penuh.” Abu Daud drpd Abu Dzar r.a.

2.   Tilawah al-Quran. Siapa di antara kita yang mampu untuk khatam al-Quran dalam satu malam? Kalau tidak mampu, tidak bermakna kita tidak boleh merebut ganjarannya. Caranya, pastikan baca surah:
i-               al-Zalzalah sebanayak dua kali,
ii-             al-Kafirun sebanyak empat kali, dan
iii-            al-ikhlas sebanyak tiga kali.
Maka kita seolah-olah khatam al-Quran tiga kali pada malam tersebut.

Daripada Anas bin Malik r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca “Idza zulzilat” diimbang untuknya separuh al-Quran.” Riwayat at-Tirmizi.
Daripada Ibn Abbas r.a., surah al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran. (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim).

Dan daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bertanya para sahabat r.a. “Adakah kamu rasa lemah untuk membaca satu pertiga al-Quran pada setiap malam?” Maka mereka berkata: “Siapalah di antara kami yang mampu berbuat demikian wahai Rasulullah?” Maka Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Surah al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran.” Riwayat al-Bukhari.

3.   Sedekah. Sedia maklum bahawa sedekah adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ganjarannya tidak ternilai banyaknya. Oleh itu, jangan terlepas untuk mengeluarkan sedekah setiap malam sepanjang 10 terakhir Ramadhan. Umpamanya kita mempunyai wang sebanyak RM30. Bahagikan kepada 10. Setiap malam, bagi sedekah RM3. Salah satu malam adalah Lailatul-Qadar. Maka RM3 daripada RM30 itu ganjarannya seperti kita bersedekah selama 1000 bulan.

Semoga kita semua terpilih dan termasuk di dalam senarai mereka yang menerima anugerah istimewa bulan Ramadhan, anugerah rahmah, maghfirah, syurga, keredhaanNya serta terselamat dari siksa kubur dan siksa neraka. Aamiin.



No comments: