Wednesday, May 04, 2016

الإسراء والمعراج

Isra' dan Mi'raj

Tiada keraguan bahawa Isra' dan Mi'raj merupakan peristiwa besar yang amat bermakna kepada umat Islam khususnya dan dunia seluruhnya. Ia suatu mukjizat yang dianugerahkan kepada Rasul yang agung, Nabi Muhammad s.a.w.
Ulamak sepakat bahawa peristiwa itu berlaku di Mekah sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun tarikhnya yang tepat tidak disepakati. Majoriti umat percaya ia berlaku pada malam 27 Rajab. Menurut Syaikh Sofiur-Rahman al-Mubarakfuri di dalam bukunya ar-Rahiq al-Makhtum, terdapat beberapa pendapat tentang tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj. Ada yang berkata, ia berlaku pada:
1.     tahun baginda diangkat menjadi nabi. Ini pendapat yang dipilih oleh at-Tobari
2.     lima tahun selepas baginda diangkat menjadi nabi. Pendapat ini ditarjihkan oleh an-Nawawi dan al-Qurtubi
3.     malam 27 Rajab tahun ke 10 kenabian. Pendapat ini dipilih oleh al-'Allamah al-Mansurfuri
4.     16 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 12 kenabian
5.     bulan Muharram tahun ke 13 kenabian
6.     bulan Rabiul-Awwal satu tahun sebelum hijrah.

Setelah menyebuat pendapat-pendapat itu beliau berkata, pendapat pertama, kedua dan ketiga tertolak kerana Khadijah r.a. wafat pada bulan Ramadhan tahun ke 10 kenabian. Beliau wafat sebelum difardhukan solat lima waktu. Dan tidak ada perselisihan di kalangan ulamak bahawa solat difardhukan pada malam Isra' dan Mi'raj. Pendapat keempat, lima dan enam aku tidak menemui sebarang dalil untuk mentarjihkan satu daripada tiga pendapat itu. Namun surah al-Isra' menggambarkan peristiwa itu berlaku agak lewat.

Meskipun tiada kesepekatan dari segi tarikhnya, yang penting adalah pengajaran daripadanya.
Isra' dan Mi'raj dari satu sudat adalah untuk menyenangkan hati Nabi s.a.w. dan meringankan bebanan yang ditanggung baginda.  Dari sudut yang lain ia menjadi bukti bahawa Rasulullah s.a.w. benar-benar seorang rasul yang diutus oleh Allah, diperkuatkan dengan mukjizat, diangkat mengatasi sunnah alam yang umum, insan yang dimuliakan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan sebagai penguat risalah rahmah yang dibawa oleh baginda.
Maka dalam mengenang peristiwa besar Isra' dan Mi'raj sewajarnya kita muhasabah diri, sejauh mana kita menghayati, menyebar dan mempertahankan apa yang disampaikan oleh baginda s.a.w. tanpa menambah dan mengurangkannya (tanpa ifrat dan tafrit).






No comments: