Beberapa hari lalu saya hadir majlis tahlil
yang diadakan untuk mengingati insan tersayang yang telah berhijrah ke alam
baqa.
Selesai tahlil dan doa, secara spontan
mereka meminta saya memberi tazkirah.
Di sini, saya ingin kongsi idea spontan saya,
mudah-mudahan ianya membantu sahabat-sahabat bila diminta beri tazkirah. Sebagai
panduan, cuba kaitkan tazkirah yang hendak diberikan itu dengan majlis atau
suasana yang sedang berlaku. Di bawah ini adalah poin-poin yang hadir secara
spontan yang sempat saya samapaikan.
Alhamdulillah, kita baru selesai majlis
tahlil untuk mengingati orang-orang yang kita sayangi yang telah pergi
meninggalkan kita. Hari ini kita mengadakan majlis untuk mereka. Suatu hari
nanti, mungkin esok atau lusa orang akan buat untuk kita pula. Namun kita tidak
boleh mengharap pada tahlil yang dibuat untuk kita. Kita mesti bersedia selagi
hayat masih ada. Melihat kepada diri sendiri serta puan-puan yang hadir petang
ini kebanyakannya sudah mencapai usia 50an dan 60an maka tempoh hayat kita
pastinya tidak akan lama lagi. Jangka hayat kita pastinya lebih singkat
berbanding dengan masa yang telah kita lalui. Dan kalaupun ditakdirkan lebih
lama atau sama dengan usia yang telah berlalu, pastinya keadaan tetap tidak
sama. Kita tidak sesihat dan tidak secergas dulu.
Puan-puan, hidup kita di dunia ini terlalu
singkat berbanding dengan akhirat yang tidak ada hujung penamat. Mampukah kita
mempersiapkan bekalan untuk hidup dalam jangka masa yang tidak berpenghujung
dalam tempoh hidup yang singkat ini?
Dari segi logik akal yang biasa, mungkin
kita rasa tidak mencukupi. Namun Allah Ta'ala yang Maha Pengasih, Maha
Penyayang, Maha Pemurah, Maha Pengampun memberi kita ruang yang seluas-luasnya
untuk mempersiapkan bekalan yang mencukupi walaupun amalan yang kita lakukan
amat sedikit. Bagaimanakah caranya amalan yang sedikit memungkinkan kita
mendapat ganjaran yang tidak terkira banyaknya?
Pertama : Allah gandakan pahala, setiap
kebaikan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Ertinya apabila kita melakukan
satu kebaikan seolah-olah kita melakukan 10 hingga 700 kebaikan. Kalau dalam
sehari kita buat 20 kebaikan, maka banyak mana ganjaran yang Allah akan berikan?
Subhanallah!
Kedua : Terdapat amalan yang ganjarannya tidak
terikat dengan kadar antara 10 hingga 700 kali ganda. Sebaliknya ganjarannya
adalah tanpa hisab, iaitu tanpa kadar yang boleh disukat. Allah akan berikan seberapa
banyak yang Dia kehendaki. Apakah amalan
itu? Iaitu sabar (az-Zumar:10) dan puasa adalah separuh daripada sabar (maksud hadis
riwayat at-Tirmizi). Maka beruntunglah orang yang sabar dan banyak berpuasa.
Ketiga : Dalam setahun Allah kurniakan pula
satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitu lailatul-qadar.
Sungguhpun lailatul-qadar dirahsiakan waktunya, kita tidak disuruh mencarinya
setiap malam dalam setahun (lebih kurang 360 malam), tidak juga setiap malam
dalam 30 malam bulan Ramadhan. Kita hanya digalakkan mencarinya dalam masa 10
malam daripada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Mencari satu daripada 10
adalah jauh lebih mudah daripada mencari satu daripada 360 atau satu daripada
30. Tidak sanggupkah kita untuk
bersungguh-sungguhnya mencarinya? Hanaya dalam masa 10 malam sahaja untuk
mendapat yang lebih daripada 1000 bulan?
Keempat : Amalan yang boleh menggandakan
pahala kita adalah dakwah. Mengajak orang lain mengenal Allah, taat kepada
Allah, melakukan kebaikan yang Allah suka dan seumpamanya. Ganjarannya adalah
sama dengan apa yang diamalkan oleh orang yang kita ajak, tidak kurang walau
sedikitpun (makasud hadis riwayat
Muslim). Dan kalau seorang diberi hidayah melalui usaha kita, maka ganjarannya
lebih baik daripada dunia dan apa
yang ada di dalamnya (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Maka jangan kedekut,
jangan simpan ilmu yang ada walaupun sedikit. Semakin ramai orang yang
mengikuti kebaikan yang kita anjurkan, semakin banyak ganjaran yang Allah beri
dengan izinNya.
Kelima : Niat. Allah akan bangkitkan
kita di akhirat nanti dalam keadaan bagaimana kita mati (makasud hadis riwayat Muslim). Kalau kita mati dalam keadaan melakukan kebaikan,
maka dibangkitkan dalam keadaan itu. Dan jika berniat untuk buat baik kemudian
mati sebelum sempat melakukannya, akan diberi pahala melakukannya secara
berterusan (al-Hajj:58). Maka sentiasalah menjaga niat yang baik. Jangan
sekali-kali membiarkan niat tidak baik bercambah dan bertapak di dalam hati kerana
kita tidak mengetahui bila malaikat maut akan mencekup nyawa kita. Kalau tidak
berhati-hati, mungkin dia datang ketika kita sedang berkira-kira untuk
melakukan maksiat, na’udzu billah.
Mudah-mudahan tazkirah yang ringkas
ini bermanfaat untuk diriku dan sahabat-sahabat yang mendengar dan membacanya.
Allahu A’lam.
No comments:
Post a Comment