Monday, July 25, 2016

TAK IKUT USRAHPUN BOLEH MASUK SYURGA!!!


Saya telah dikunjungi oleh beberapa orang pelajar yang Allah telah buka hati mereka dan beri peluang untuk mengikuti program tarbiah dan usrah yang dikendalikan oleh IKRAM.

Kami berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam pelbagai topik. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengemukakan satu persoalan:
"Ada kawan yang dulunya ikut usrah bersama kami, tapi sekarang tidak lagi. Alasannya, nak masuk syurga tidak semestinya ikut usrah. Tak ikut usrahpun boleh masuk syurga juga! Macamana nak jawab, Ustazah?"

Memang betul. Ikut usrah atau tidak bukan jaminan boleh masuk syurga. Hatta Rasulullah s.a.w. sendiri tidak dijamin selamat dengan amalannya (Hadis Sahih riwayat Muslim, Kitab Riyadhus-Solihin, bab Istiqamah). Kita masyuk syurga dengan rahmat Allah. Namun Allah berjanji dalam banyak ayat bahawa orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkanNya ke dalam syurga. Kita wajib percaya bahawa Allah tidak memungkiri janji-janjiNya.

Berbalik kepada persoalan ikut atau tidak ikut usrah adakah mempunyai kaitan dengan masuk syurga atau tidak? Jawapannya, kalau Allah hendak bagi masuk dengan rahmatNya kita akan masuk. Kalau tidak, tidaklah. Maka tak perlulah nak bergaduh, tak perlu nak bersusah payah tarik orang sana sini supaya join usrah dan sebagainya! Betulkah begitu?

Pada pendapat saya, kita perlu ikut usrah bukan kerana kalau tak ikut kita tidak dapat masuk syurga, tetapi kita perlua ikut kerana:
Pertama – surah al-'Asr. Allah tegaskan bahawa untuk membebaskan diri dari golongan yang rugi mesti mempunyai empat perkara: iman, amal soleh, pesan berpesan dengan kebenaran, pesan berpesan dengan kesabaran.
Kalau tidak bersama kumpulan usrah, mungkin tidak ada masalah untuk memelihara iman dan amal soleh. Tetapi yang ketiga dan keempat, bagaimana? Senangkah untuk kita pergi memberi nasihat, berpesan kepada semua orang dengan kebenaran dan kesabaran? Dan senangkah semua orang akan datang memberi nasihat dan pesanan kepada kita? Ayat itu menyebut pesan berpesan (tawasau), bermakna ada dua pihak atau lebih yang saling berpesan. Itulah sebenarnya satu daripada agenda usrah. Jika kita tidak berada di dalam kumpulan usrah, dapatkah kita laksanakan pesan berpesan itu dengan berkesan? Jika tidak dapat, maka kita tidak terkeluar dari lingkungan orang yang rugi!

Kedua – nasihat Luqman. Antara ayat yang paling popular dan sering dibaca untuk diambil pengajaran, khususnya dalam bidang pendidikan atau pertarbiahan ialah nasihat Luqman yang terkandung di dalam ayat ke 13, 16, 17, 18 dan 19 surah Luqman. Di dalam nasihatnya itu, Luqman bukan sahaja berpesan agar anaknya menjadi seorang yang baik (soleh) dengan memiliki iman yang kental dan amalan yang mantap. Sebaliknya dia berpesan supaya anaknya juga menjadi seorang musleh (yang membaikkan) "... dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu ..." Untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, tidak mudah jika bersendirian tanpa dukungan dan sokongan teman-teman seperjuangan. Nabi Musa a.s. bila diperintahkan pergi berdakwah kepada Firaun, memohon supaya Allah jadikan saudaranya Harun sebagai pembantu. Maka usrah merupakan persiapan untuk kita melaksanakan tugas sebagai musleh.

Ketiga – surah al-Hajj:77 dan 78. Ayat-ayat ini menjelaskan tanggungjawab yang dituntut ke atas orang-orang beriman bukan hanya menyempurnakan ibadah rukuk sujud kepada Allah semata-mata. Mereka disuruh berbuat baik dalam erti kata yang seluas-luasnya, berjihad menegakkan agama Allah di muka bumi dan menjadi saksi kepada umat manusia seluruhnya. Tanggungjawab yang begitu besar dan berat pastinya tidak mampu kita pikul bersendirian. Kita perlu bergabung tenaga, idea, membuat perancangan, mengatur langkah, menyusun tindakan dan memacu amalan. Oleh itu, menggabungkan diri di dalam usrah adalah permulaan kepada mempersiapkan diri melaksanakan satu misi yang diperintahkan oleh yang maha pencipta lagi maha kuasa.

Keempat – sirah Nabi s.a.w. Cara membina diri dengan pantauan ketua atau naqib bukan sesuatu yang baru. Ketika perjanjian 'Aqabah kedua yang berlaku sebelum hijrah antara Rasulullah s.a.w. dengan 75 orang Yathrib (73 lelaki dan 2 perempuan –ar-Rahiq al-Makhtum), setelah selesai perjanjian Nabi s.a.w. meminta supaya mereka memilih 12 orang ketua sebagai naqib dari kalangan mereka untuk memantau dan mempastikan semua yang telah berbai'ah mematuhi apa yang telah dipersetujui. Baginda s.a.w. tidak membiarkan mereka masing-masing pegang dan laksanakan apa yang telah dijanjikan. Sebaliknya baginda s.a.w. meminta supaya mereka memilih naqib untuk memantau dan memerhatikan kesetiaan mereka.


Itulah pandangan saya. Jika anda bersetuju, marilah sertai kami. Jika tidak bersetuju, saya doakan semoga Allah temukan anda dengan jalan yang terbaik untuk dunia dan akhirat anda.

Sunday, July 17, 2016

ANTARA IBU DAN ISTERI


Saya menerima satu soalan dari seorang sahabat. Saya nak kongsi di sini sebab saya rasa soalan yang sama berligar di dalam minda orang lain juga.

“bolehkah ustazah jelaskan kedudukan isteri dan ibu di mata suami? dari segi layanan dan keutamaan  antara keduanya?
apakah benar  si ibunya sentiasa yang paling utama dalam SEMUA hal? atau sama sahaja layaknya layanan yg sama dberikan kpd si isteri sebagaiman dberikan kepada si ibu?
Kerana apa yang sy tahu, kedudukan isteri dan seorang ibu adalah sama2 istimewa di mata suami, tiada yang mendahului sesiapa. Makanya layanan terhadap kedua2 insan ini seharusnya sama dan seimbang kecuali apabila si ibu membuat permintaan atau meminta pertolongan, mmg wajib didahulukan si ibu. Betulkan saya jika saya silap ustazah.
Saya mempunyai satu contoh situasi:  Si suami membawa isterinya dan ibunya keluar bjalan2 dengan niat untuk meluangkan masa bersama ibunya. Tetapi sepanjang perjalanan, si suami hanya melayan si ibunya tanpa melayan si isteri yang keseorangan yang menyebabkan akhirnya si isteri terluka kerana tidak diendahkan.
Boleh ustazah kupaskan isu serta contoh yang dberikan di atas? Jzkk.”

Sebagai ibu kepada tujuh orang anak dan ibu mertua kepada enam orang menantu (dan berdoa supaya sempat menyambut menantu ke tujuh sebelum kembali mengadap Ilahi), terus terang saya katakan bahawa hati saya sangat tersentuh dengan soalan seperti di atas. Mohon maaf kepada sahabat yang bertanya, saya tidak menyalahkan anda mengemukakan soalan ini. Saya hanya ingin membetulkan pandangan dan cara berfikir yang mungkin menjadi punca timbulnya soalan seperti itu. Dan saya bersyukur serta mengucapkan terima kasih kerana soalan tersebut menginsafkan saya bahawa masih terdapat salah faham tentang hubungan menantu dengan mertua. Salah faham tersebut mungkin menjadi penyebab kepada retaknya sebuah keluarga yang sepatutnya boleh dielakkan.

Soalan di atas, saya telah jawab begini:
“pada pendpt saya, tidak timbul melebihkan sesiapa ke atas sesiapa, masing2 ada hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. dlm situasi atau contoh yg diberi, saya tak nampak kenapa isteri patut rasa terpinggir. sepatutnya isteri itu sama2 melayan ibu dengan suaminya. malah sepatutnya isteri yg lebih dekat dengan ibu mertua drpd suaminya. jangan pisahkan diri dari mereka dan biarkan suami layan ibu dan melihatnya dengan cemburu sambil membandingkan apa yg suami buat terhadap ibu dan terhadap dirinya. ingat ibu mertua adalah ibu kita. jangan sampai dia rasa hanya anak dia yg layan dia. menantunya buat apa? maaf kalau jwpn ini hanya fokus pd contoh itu saja. kerana bg saya utk bahagia dlm hidup, jangan terlalu fikir apa yg kita patut dpt, tp fikir apa yg kita patut buat. AllahuA'lam.”

Di sini, saya ingin tambah beberapa peringatan untuk anak, ibu, ibu mertua dan besan.

Pertama – anak
Bila anda telah berkahwin, maka anda mempunyai dua orang ibu. Ibu yang melahirkan anda dan ibu yang melahirkan pasangan anda, yang dipanggil ibu mertua. Sayangi, hormati dan bahagiakan ibu mertua sebagaimana anda sayangi, hormati dan bahagiakan ibu anda kerana jasanya tidak kurang daripada jasa ibu anda juga. Dia yang melahirkan, membesarkan dan mendidik insan yang sekarang menjadi pasangan anda yang anda cintai. Tanpanya, manakan ada pasangan anda itu?
Seperkara lagi yang anak-anak mungkin lupa. Ibu telah lama berkorban untuk kita. Jangan sekali-kali setelah berkahwin, ibu rasa terpinggir dan rasa seolah-olah kita lebih mengutamakan pasangan kita daripadanya. Tunjukkan bahawa kita tetapkan sayangkan dia, pasangan kita juga sayangkan dia selama-lamanya.

Kedua – ibu
Tidak diragukan betapa kasihnya ibu kepada anak. Ungkapan yang selalu disebut-sebut adalah kasih ibu membawa ke syurga. Maka selalulah berpesan kepada anak-anak supaya mengasihi, menghormati dan membahagikan ibu mertua mereka. Bila mereka berbuat demikian, mereka akan disayangi oleh ibu mertua mereka. Bila ibu mertua sayangkan anak anda maka rumahtangganya akan aman dan bahagia. Dan bila anak anda bahagia pastinya anda akan turut bahagia melihatnya kerana itulah yang anda harap dan doakan sentiasa.
Ibu wajib sedar betapa besarnya dosa anak derhaka. Oleh itu bantulah anak anda supaya tidak jadi anak derhaka. Jangan minta atau suruh sesuatu yang berat untuk dia laksanakan, atau sesuatu yang dia terpaksa buat pilihan antara ibu dengan isteri atau ibu mertuanya. Mudahkan dia, bantulah dia untuk jadi anak yang taat dan berbakti kepada ibu bapanya.

Ketiga – ibu mertua
Sayangilah menantu anda kerana kehadirannya telah melengkapkan keinginan fitrah anak anda, iaitu fitrah mahukan pasangan hidup yang berkongsi suka dan duka bersama dengannya. Selain itu, menantu anda juga merupakan ibu atau ayah kepada cucu-cucu penerus zuriat keturunan anda, penyambung generasi yang akan mendoakan kesejahteraan anda di dunia dan akhirat. Selagi anak anda tidak menemui pasangannya, manakan ada cucu-cucu anda?

Keempat – besan
Besan telah menjadi sebahagian daripada keluarga anda, malah mereka adalah seperti adik beradik anda. Anda patut berterima kasih kepada mereka kerana menerima anak anda di dalam keluarga mereka. Anda mesti bekerjasama dengan besan untuk membantu anak-anak hidup bahagia dan sejahtera. Jangan ada di kalangan anda yang menganggap diri anda lebih utama daripada besan anda kerana anak anda lelaki dan anak dia perempuan, dan anak perempuan wajib ikut cakap suami. Kalau anda sendiri ada anak perempuan bagaimana? Relakah anda diketepikan oleh anak dan menantu anda?

Maaf tulisan ini tidak sentuh tentang ayah kerana biasanya yang timbul masalah adalah menantu dengan ibu mertua sebagaimana yang diutarakan di dalam soalan di atas.


Kepada Allah aku berserah. Semoga bermanfaat untuk yang membacanya.

Thursday, July 14, 2016

DOA NABI MUSA ‘ALAIHIS-SALAM


Antara doa paling popular adalah doa Nabi Musa a.s. terutama di kalangan pensyarah dan penceramah. Doa itu terdapat di dalam surah ToHa yang bermaksud:

“Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (25)
Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; (26)
Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (27)
Supaya mereka faham perkataanku; (28)
Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. (29)
Iaitu Harun saudaraku; (30)
Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31)
Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, (32)
Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (33)
Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; (34) Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.” (35)

Doa ini dipanjatkan ketika Musa menerima tugasan yang berat daripada Penciptanya, iaitu menyampaikan seruan tauhid kepada Firaun.
Firaun yang amat dikenalinya. Betapa tidak? Dia membesar di istana Firaun. Menyaksikan kezaliman, kesombongan serta segala kejahatannya.
“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.” (24)

Sungguh dia telah melampaui batas. Batas paling besar yang telah dilanggarinya adalah batas sempadan antara Tuhan Maha Pencipta dengan manusia, makhluk yang hina dina. Batas itupun telah dilangkauinya sehingga dia mengaku dirinya Tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya! Sepatutnya dia mengajak rakyatnya bersama-sama dengannya menyembah Tuhan yang mencipta mereka semua.

Alangkah beratnya tugas yang diamanahkan kepada Musa. Dan untuk melaksanakan tugas yang berat itu Musa memerlukan persediaan yang sewajarnya.
Pertama – persediaan diri, iaitu menerima amanah itu dengan dada yang lapang “lapangkanlah bagiku, dadaku”. Jika diri sendiri berasa tugas itu berat, berasa tidak padan dengan keupayaan yang ada, menganggap ia sebagai bebanan yang menyusahkan, tidak mungkin dia akan dapat melaksanakan tugas dengan baik. Maka dia mesti bersedia menerimanya dengan segala senang hati, dada yang lapang meskipun sebesar mana rintangan yang mesti ditempuhi, sehebat mana tentangan yang mendepani dan sekuat mana halangan yang harus direntasi. Dada yang lapang akan menukar kepayahan menjadi ni’mat, kesulitan menjadi lazat, cabaran menjadi peluang, kegagalan membina azam yang lebih kental, tekad yang lebih mantap.

Kedua – memohon supaya urusannya dipermudahkan. Memang tiada yang mudah kecuali apa yang Dia mudahkan. Dan dengan kehendakNya jua segala sesuatu akan jadi mudah. Manusia memang lemah. Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolonganNya.

Ketiga – memohon supaya dilepaskan simpulan dari lidah. Selepas dua doa yang  asas, iaitu lapang dada dan urusan dimudahkan Musa meminta sesuatu yang lebih khusus yang dapat membantunya melaksanakan tugas dengan baik, kelancaran lidah. Pertuturan adalah wasilah paling penting dalam menyampaikan risalah. Bahasa yang digunakan mesti tepat, jelas dan senang difahami. Begitu juga dengan cara dan gaya penyampaian. Kadang-kadang apa yang disampaikan disalah fahami kerana bahasa yang kurang tepat atau cara penyampaian yang sukar diterima.

Keempat – memohon supaya Allah sediakan pembantu yang dapat melengkapkan kelemahan dirinya. Inilah pengajaran yang kita sering lupa kerana kita sering kali meniru doa Nabi Musa sehingga ayat ke 28 sahaja, “Supaya mereka faham perkataanku;”. Ayat ke 29 dan seterusnya kita tak baca. Pada zahirnya ayat itu seperti khusus kepadanya kerana baginda memohon saudaranya Harun dijadikan pembantunya. Namun pengajaran untuk kita ialah, kita perlukan pertolongan dan bantuan dari rakan seperjuangan. Kita tak akan mampu melaksanakan tugas yang berat ini sendirian. Setiap orang daripada kita ada kelemahan. Kita perlu bekerjasama, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31)
Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,”
(32)
Perkara ini disedari oleh Musa seawal perlantikannya, seawal dia diperintahkan menyampaikan dakwah kepada mad’unya. Inilah juga yang patut kita sedari, betapa perlunya kita bergabung tenaga dalam menyampaikan risalah Islam yang suci yang penuh rahmah ini. Kekuatan yang ada pada kita biar menjadi sandaran kepada saudara seperjuangan kita, dan kelemahan kita akan ditampungi oleh kekuatan yang ada pada mereka. Alangkah indahnya kerana matalamat kita tidak lain daripada apa yang disebut oleh Nabi Musa:
“Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (33)
Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; (34) Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.” (35)

Dakwah adalah wasilah untuk kita melaksanakan ibadah kepadaNya, jalan untuk mengingatiNya, cara untuk meraih redhaNya. Bukan sekadar untuk menonjolkan kehebatan diri kita, atau mengajak orang berbondong-bondong datang mengelilingi dan mengangkat kita ….


Monday, July 11, 2016

TAWAKKAL



Di dalam kitab Riadhus-Solihin, bab Tawakkal, Imam an-Nawawi membawa sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a. dengan sanad yang sahih mengikut syarat Imam Muslim.
Anas berkata: Pada zaman Nabi s.a.w. terdapat dua orang saudara. Seorang daripadanya selalu berkunjung ke majlis ilmu yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. Manakala seorang lagi gigih bekerja mencari rezeki.
Yang bekerja mencari rezeki berasa terbeban kerana terpaksa menanggung saudaranya yang dirasakan kurang memberi perhatian kepada urusan mencari rezeki kerana lebih mengutamakan mencari ilmu. Nabi s.a.w. menjawab (maksudnya): "Boleh jadi kamu diberi rezeki dengan sebab dia."

Ma syaa Allah! Jawapan yang sungguh mendalam maknanya. Mengandungi asas-asas aqidah, mendidik hati dan membina ukhuwwah yang tulus murni. Sesungguhnya Hadis ini mengandungi pelbagai pengajaran yang sangat berguna. Antaranya:

Pertama – manusia mempunyai bakat dan kecenderungan yang berbeza. Kenali dan hargai bakat masing-masing  serta gunakannya untuk kebaikan semua pihak

Kedua – kepentingan mencari ilmu. Ia tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa atau tunggu ada masa. Ia memerlukan tumpuan yang serius, istiqamah dan bersungguh-sungguh

Ketiga – mencari rezeki juga pekerjaan yang mulia, lebih-lebih lagi apabila rezeki yang diperolehi dikongsi bersama dengan keluarga, saudara mara serta golongan yang memerlukan.

Keempat – yakin bahawa rezeki adalah anugerah Allah. Dia memberi kepada siapa yang dikehendaki. Usaha yang kita lakukan hanya sebab sahaja. Dan apa yang kita perolehi bukan semua rezeki kita, sebaliknya terdapat rezeki orang lain yang Allah mahu salurkan melalui kita supaya kita dapat pahala. Justeru, sesiapa yang dilimpahkan harta kepadanya usah berbangga atau berasa diri mempunyai kelebihan ke atas orang lain. Sebaliknya, insaflah bahawa Allah telah memilih kita untuk berbakti kepada hambaNya dengan harta yang diamanahkanNya kepada kita

Kelima – menggalakan supaya wujud kerjasama dan tolong menolong antara satu sama lain dalam perkara kebaikan. Menolong orang lain melakukan kebaikan akan diberikan ganjaran yang sama dengan orang yang melakukannya.


Allahu A'lam.