Di dalam kitab Riadhus-Solihin, bab
Tawakkal, Imam an-Nawawi membawa sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi
daripada Anas bin Malik r.a. dengan sanad yang sahih mengikut syarat Imam
Muslim.
Anas berkata: Pada zaman Nabi s.a.w.
terdapat dua orang saudara. Seorang daripadanya selalu berkunjung ke majlis
ilmu yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. Manakala seorang lagi gigih bekerja
mencari rezeki.
Yang bekerja mencari rezeki berasa terbeban
kerana terpaksa menanggung saudaranya yang dirasakan kurang memberi perhatian
kepada urusan mencari rezeki kerana lebih mengutamakan mencari ilmu. Nabi
s.a.w. menjawab (maksudnya): "Boleh jadi kamu diberi rezeki dengan sebab
dia."
Ma syaa Allah! Jawapan yang sungguh mendalam
maknanya. Mengandungi asas-asas aqidah, mendidik hati dan membina ukhuwwah yang
tulus murni. Sesungguhnya Hadis ini mengandungi pelbagai pengajaran yang sangat
berguna. Antaranya:
Pertama – manusia mempunyai bakat dan
kecenderungan yang berbeza. Kenali dan hargai bakat masing-masing serta gunakannya untuk kebaikan semua pihak
Kedua – kepentingan mencari ilmu. Ia tidak
sepatutnya dilakukan secara sambil lewa atau tunggu ada masa. Ia memerlukan
tumpuan yang serius, istiqamah dan bersungguh-sungguh
Ketiga – mencari rezeki juga pekerjaan yang
mulia, lebih-lebih lagi apabila rezeki yang diperolehi dikongsi bersama dengan
keluarga, saudara mara serta golongan yang memerlukan.
Keempat – yakin bahawa rezeki adalah
anugerah Allah. Dia memberi kepada siapa yang dikehendaki. Usaha yang kita
lakukan hanya sebab sahaja. Dan apa yang kita perolehi bukan semua rezeki kita,
sebaliknya terdapat rezeki orang lain yang Allah mahu salurkan melalui kita
supaya kita dapat pahala. Justeru, sesiapa yang dilimpahkan harta kepadanya
usah berbangga atau berasa diri mempunyai kelebihan ke atas orang lain.
Sebaliknya, insaflah bahawa Allah telah memilih kita untuk berbakti kepada
hambaNya dengan harta yang diamanahkanNya kepada kita
Kelima – menggalakan supaya wujud kerjasama
dan tolong menolong antara satu sama lain dalam perkara kebaikan. Menolong
orang lain melakukan kebaikan akan diberikan ganjaran yang sama dengan orang
yang melakukannya.
Allahu A'lam.
No comments:
Post a Comment