Antara doa paling popular adalah doa Nabi Musa a.s.
terutama di kalangan pensyarah dan penceramah. Doa itu terdapat di dalam surah
ToHa yang bermaksud:
“Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku,
lapangkanlah bagiku, dadaku; (25)
Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; (26)
Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (27)
Supaya mereka faham perkataanku; (28)
Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari
keluargaku. (29)
Iaitu Harun saudaraku; (30)
Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31)
Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam
urusanku, (32)
Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (33)
Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
(34) Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.”
(35)
Doa ini dipanjatkan ketika Musa menerima tugasan yang
berat daripada Penciptanya, iaitu menyampaikan seruan tauhid kepada Firaun.
Firaun yang amat dikenalinya. Betapa tidak? Dia
membesar di istana Firaun. Menyaksikan kezaliman, kesombongan serta segala
kejahatannya.
“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah
melampaui batas.” (24)
Sungguh dia telah melampaui batas. Batas paling besar
yang telah dilanggarinya adalah batas sempadan antara Tuhan Maha Pencipta
dengan manusia, makhluk yang hina dina. Batas itupun telah dilangkauinya
sehingga dia mengaku dirinya Tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya!
Sepatutnya dia mengajak rakyatnya bersama-sama dengannya menyembah Tuhan yang
mencipta mereka semua.
Alangkah beratnya tugas yang diamanahkan kepada Musa.
Dan untuk melaksanakan tugas yang berat itu Musa memerlukan persediaan yang
sewajarnya.
Pertama – persediaan diri, iaitu menerima amanah itu
dengan dada yang lapang “lapangkanlah bagiku, dadaku”. Jika diri sendiri berasa
tugas itu berat, berasa tidak padan dengan keupayaan yang ada, menganggap ia
sebagai bebanan yang menyusahkan, tidak mungkin dia akan dapat melaksanakan
tugas dengan baik. Maka dia mesti bersedia menerimanya dengan segala senang
hati, dada yang lapang meskipun sebesar mana rintangan yang mesti ditempuhi,
sehebat mana tentangan yang mendepani dan sekuat mana halangan yang harus
direntasi. Dada yang lapang akan menukar kepayahan menjadi ni’mat, kesulitan
menjadi lazat, cabaran menjadi peluang, kegagalan membina azam yang lebih kental,
tekad yang lebih mantap.
Kedua – memohon supaya urusannya dipermudahkan. Memang
tiada yang mudah kecuali apa yang Dia mudahkan. Dan dengan kehendakNya jua
segala sesuatu akan jadi mudah. Manusia memang lemah. Tidak ada daya dan upaya
kecuali dengan pertolonganNya.
Ketiga – memohon supaya dilepaskan simpulan dari
lidah. Selepas dua doa yang asas, iaitu
lapang dada dan urusan dimudahkan Musa meminta sesuatu yang lebih khusus yang
dapat membantunya melaksanakan tugas dengan baik, kelancaran lidah. Pertuturan
adalah wasilah paling penting dalam menyampaikan risalah. Bahasa yang digunakan
mesti tepat, jelas dan senang difahami. Begitu juga dengan cara dan gaya
penyampaian. Kadang-kadang apa yang disampaikan disalah fahami kerana bahasa
yang kurang tepat atau cara penyampaian yang sukar diterima.
Keempat – memohon supaya Allah sediakan pembantu yang
dapat melengkapkan kelemahan dirinya. Inilah pengajaran yang kita sering lupa
kerana kita sering kali meniru doa Nabi Musa sehingga ayat ke 28 sahaja,
“Supaya mereka faham perkataanku;”. Ayat ke 29 dan seterusnya kita tak baca. Pada
zahirnya ayat itu seperti khusus kepadanya kerana baginda memohon saudaranya
Harun dijadikan pembantunya. Namun pengajaran untuk kita ialah, kita perlukan
pertolongan dan bantuan dari rakan seperjuangan. Kita tak akan mampu
melaksanakan tugas yang berat ini sendirian. Setiap orang daripada kita ada
kelemahan. Kita perlu bekerjasama, saling lengkap melengkapi antara satu sama
lain. “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31)
Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam
urusanku,”
(32)
Perkara ini disedari oleh Musa seawal perlantikannya,
seawal dia diperintahkan menyampaikan dakwah kepada mad’unya. Inilah juga yang
patut kita sedari, betapa perlunya kita bergabung tenaga dalam menyampaikan
risalah Islam yang suci yang penuh rahmah ini. Kekuatan yang ada pada kita biar
menjadi sandaran kepada saudara seperjuangan kita, dan kelemahan kita akan
ditampungi oleh kekuatan yang ada pada mereka. Alangkah indahnya kerana
matalamat kita tidak lain daripada apa yang disebut oleh Nabi Musa:
“Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (33)
Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
(34) Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.”
(35)
Dakwah adalah wasilah untuk kita melaksanakan ibadah
kepadaNya, jalan untuk mengingatiNya, cara untuk meraih redhaNya. Bukan sekadar
untuk menonjolkan kehebatan diri kita, atau mengajak orang berbondong-bondong
datang mengelilingi dan mengangkat kita ….
No comments:
Post a Comment