Saya
menerima satu soalan dari seorang sahabat. Saya nak kongsi di sini sebab saya
rasa soalan yang sama berligar di dalam minda orang lain juga.
“bolehkah
ustazah jelaskan kedudukan isteri dan ibu di mata suami? dari segi layanan dan
keutamaan antara keduanya?
apakah
benar si ibunya sentiasa yang paling
utama dalam SEMUA hal? atau sama sahaja layaknya layanan yg sama dberikan kpd
si isteri sebagaiman dberikan kepada si ibu?
Kerana
apa yang sy tahu, kedudukan isteri dan seorang ibu adalah sama2 istimewa di
mata suami, tiada yang mendahului sesiapa. Makanya layanan terhadap kedua2
insan ini seharusnya sama dan seimbang kecuali apabila si ibu membuat
permintaan atau meminta pertolongan, mmg wajib didahulukan si ibu. Betulkan
saya jika saya silap ustazah.
Saya
mempunyai satu contoh situasi: Si suami
membawa isterinya dan ibunya keluar bjalan2 dengan niat untuk meluangkan masa
bersama ibunya. Tetapi sepanjang perjalanan, si suami hanya melayan si ibunya
tanpa melayan si isteri yang keseorangan yang menyebabkan akhirnya si isteri
terluka kerana tidak diendahkan.
Boleh
ustazah kupaskan isu serta contoh yang dberikan di atas? Jzkk.”
Sebagai
ibu kepada tujuh orang anak dan ibu mertua kepada enam orang menantu (dan
berdoa supaya sempat menyambut menantu ke tujuh sebelum kembali mengadap Ilahi),
terus terang saya katakan bahawa hati saya sangat tersentuh dengan soalan
seperti di atas. Mohon maaf kepada sahabat yang bertanya, saya tidak
menyalahkan anda mengemukakan soalan ini. Saya hanya ingin membetulkan
pandangan dan cara berfikir yang mungkin menjadi punca timbulnya soalan seperti
itu. Dan saya bersyukur serta mengucapkan terima kasih kerana soalan tersebut
menginsafkan saya bahawa masih terdapat salah faham tentang hubungan menantu
dengan mertua. Salah faham tersebut mungkin menjadi penyebab kepada retaknya
sebuah keluarga yang sepatutnya boleh dielakkan.
Soalan di
atas, saya telah jawab begini:
“pada
pendpt saya, tidak timbul melebihkan sesiapa ke atas sesiapa, masing2 ada hak
dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. dlm situasi atau contoh yg diberi,
saya tak nampak kenapa isteri patut rasa terpinggir. sepatutnya isteri itu
sama2 melayan ibu dengan suaminya. malah sepatutnya isteri yg lebih dekat
dengan ibu mertua drpd suaminya. jangan pisahkan diri dari mereka dan biarkan
suami layan ibu dan melihatnya dengan cemburu sambil membandingkan apa yg suami
buat terhadap ibu dan terhadap dirinya. ingat ibu mertua adalah ibu kita.
jangan sampai dia rasa hanya anak dia yg layan dia. menantunya buat apa? maaf
kalau jwpn ini hanya fokus pd contoh itu saja. kerana bg saya utk bahagia dlm
hidup, jangan terlalu fikir apa yg kita patut dpt, tp fikir apa yg kita patut
buat. AllahuA'lam.”
Di sini,
saya ingin tambah beberapa peringatan untuk anak, ibu, ibu mertua dan besan.
Pertama –
anak
Bila anda
telah berkahwin, maka anda mempunyai dua orang ibu. Ibu yang melahirkan anda
dan ibu yang melahirkan pasangan anda, yang dipanggil ibu mertua. Sayangi,
hormati dan bahagiakan ibu mertua sebagaimana anda sayangi, hormati dan
bahagiakan ibu anda kerana jasanya tidak kurang daripada jasa ibu anda juga.
Dia yang melahirkan, membesarkan dan mendidik insan yang sekarang menjadi
pasangan anda yang anda cintai. Tanpanya, manakan ada pasangan anda itu?
Seperkara
lagi yang anak-anak mungkin lupa. Ibu telah lama berkorban untuk kita. Jangan
sekali-kali setelah berkahwin, ibu rasa terpinggir dan rasa seolah-olah kita
lebih mengutamakan pasangan kita daripadanya. Tunjukkan bahawa kita tetapkan
sayangkan dia, pasangan kita juga sayangkan dia selama-lamanya.
Kedua –
ibu
Tidak
diragukan betapa kasihnya ibu kepada anak. Ungkapan yang selalu disebut-sebut
adalah kasih ibu membawa ke syurga. Maka selalulah berpesan kepada anak-anak
supaya mengasihi, menghormati dan membahagikan ibu mertua mereka. Bila mereka
berbuat demikian, mereka akan disayangi oleh ibu mertua mereka. Bila ibu mertua
sayangkan anak anda maka rumahtangganya akan aman dan bahagia. Dan bila anak
anda bahagia pastinya anda akan turut bahagia melihatnya kerana itulah yang
anda harap dan doakan sentiasa.
Ibu wajib
sedar betapa besarnya dosa anak derhaka. Oleh itu bantulah anak anda supaya
tidak jadi anak derhaka. Jangan minta atau suruh sesuatu yang berat untuk dia
laksanakan, atau sesuatu yang dia terpaksa buat pilihan antara ibu dengan
isteri atau ibu mertuanya. Mudahkan dia, bantulah dia untuk jadi anak yang taat
dan berbakti kepada ibu bapanya.
Ketiga –
ibu mertua
Sayangilah
menantu anda kerana kehadirannya telah melengkapkan keinginan fitrah anak anda,
iaitu fitrah mahukan pasangan hidup yang berkongsi suka dan duka bersama
dengannya. Selain itu, menantu anda juga merupakan ibu atau ayah kepada
cucu-cucu penerus zuriat keturunan anda, penyambung generasi yang akan
mendoakan kesejahteraan anda di dunia dan akhirat. Selagi anak anda tidak
menemui pasangannya, manakan ada cucu-cucu anda?
Keempat –
besan
Besan
telah menjadi sebahagian daripada keluarga anda, malah mereka adalah seperti
adik beradik anda. Anda patut berterima kasih kepada mereka kerana menerima anak
anda di dalam keluarga mereka. Anda mesti bekerjasama dengan besan untuk
membantu anak-anak hidup bahagia dan sejahtera. Jangan ada di kalangan anda
yang menganggap diri anda lebih utama daripada besan anda kerana anak anda
lelaki dan anak dia perempuan, dan anak perempuan wajib ikut cakap suami. Kalau
anda sendiri ada anak perempuan bagaimana? Relakah anda diketepikan oleh anak
dan menantu anda?
Maaf
tulisan ini tidak sentuh tentang ayah kerana biasanya yang timbul masalah
adalah menantu dengan ibu mertua sebagaimana yang diutarakan di dalam soalan di
atas.
Kepada Allah
aku berserah. Semoga bermanfaat untuk yang membacanya.
No comments:
Post a Comment