Saya telah dikunjungi oleh beberapa orang
pelajar yang Allah telah buka hati mereka dan beri peluang untuk mengikuti
program tarbiah dan usrah yang dikendalikan oleh IKRAM.
Kami berbincang dan bertukar-tukar fikiran
dalam pelbagai topik. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengemukakan satu
persoalan:
"Ada kawan yang dulunya ikut usrah
bersama kami, tapi sekarang tidak lagi. Alasannya, nak masuk syurga tidak
semestinya ikut usrah. Tak ikut usrahpun boleh masuk syurga juga! Macamana nak
jawab, Ustazah?"
Memang betul. Ikut usrah atau tidak bukan
jaminan boleh masuk syurga. Hatta Rasulullah s.a.w. sendiri tidak dijamin
selamat dengan amalannya (Hadis Sahih riwayat Muslim, Kitab Riyadhus-Solihin,
bab Istiqamah). Kita masyuk syurga dengan rahmat Allah. Namun Allah berjanji
dalam banyak ayat bahawa orang yang beriman dan beramal soleh akan
dimasukkanNya ke dalam syurga. Kita wajib percaya bahawa Allah tidak memungkiri
janji-janjiNya.
Berbalik kepada persoalan ikut atau tidak ikut
usrah adakah mempunyai kaitan dengan masuk syurga atau tidak? Jawapannya, kalau
Allah hendak bagi masuk dengan rahmatNya kita akan masuk. Kalau tidak,
tidaklah. Maka tak perlulah nak bergaduh, tak perlu nak bersusah payah tarik
orang sana sini supaya join usrah dan sebagainya! Betulkah begitu?
Pada pendapat saya, kita perlu ikut usrah bukan
kerana kalau tak ikut kita tidak dapat masuk syurga, tetapi kita perlua ikut kerana:
Pertama – surah al-'Asr. Allah tegaskan
bahawa untuk membebaskan diri dari golongan yang rugi mesti mempunyai empat
perkara: iman, amal soleh, pesan berpesan dengan kebenaran, pesan berpesan
dengan kesabaran.
Kalau tidak bersama kumpulan usrah, mungkin
tidak ada masalah untuk memelihara iman dan amal soleh. Tetapi yang ketiga dan
keempat, bagaimana? Senangkah untuk kita pergi memberi nasihat, berpesan kepada
semua orang dengan kebenaran dan kesabaran? Dan senangkah semua orang akan
datang memberi nasihat dan pesanan kepada kita? Ayat itu menyebut pesan
berpesan (tawasau), bermakna ada dua pihak atau lebih yang saling berpesan.
Itulah sebenarnya satu daripada agenda usrah. Jika kita tidak berada di dalam
kumpulan usrah, dapatkah kita laksanakan pesan berpesan itu dengan berkesan?
Jika tidak dapat, maka kita tidak terkeluar dari lingkungan orang yang rugi!
Kedua – nasihat Luqman. Antara ayat yang
paling popular dan sering dibaca untuk diambil pengajaran, khususnya dalam
bidang pendidikan atau pertarbiahan ialah nasihat Luqman yang terkandung di
dalam ayat ke 13, 16, 17, 18 dan 19 surah Luqman. Di dalam nasihatnya itu,
Luqman bukan sahaja berpesan agar anaknya menjadi seorang yang baik (soleh)
dengan memiliki iman yang kental dan amalan yang mantap. Sebaliknya dia berpesan
supaya anaknya juga menjadi seorang musleh (yang membaikkan) "... dan
suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar dan
bersabarlah terhadap apa yang menimpamu ..." Untuk melaksanakan amar
makruf dan nahi mungkar, tidak mudah jika bersendirian tanpa dukungan dan
sokongan teman-teman seperjuangan. Nabi Musa a.s. bila diperintahkan pergi
berdakwah kepada Firaun, memohon supaya Allah jadikan saudaranya Harun sebagai
pembantu. Maka usrah merupakan persiapan untuk kita melaksanakan tugas sebagai
musleh.
Ketiga – surah al-Hajj:77 dan 78. Ayat-ayat
ini menjelaskan tanggungjawab yang dituntut ke atas orang-orang beriman bukan
hanya menyempurnakan ibadah rukuk sujud kepada Allah semata-mata. Mereka
disuruh berbuat baik dalam erti kata yang seluas-luasnya, berjihad menegakkan
agama Allah di muka bumi dan menjadi saksi kepada umat manusia seluruhnya.
Tanggungjawab yang begitu besar dan berat pastinya tidak mampu kita pikul
bersendirian. Kita perlu bergabung tenaga, idea, membuat perancangan, mengatur
langkah, menyusun tindakan dan memacu amalan. Oleh itu, menggabungkan diri di
dalam usrah adalah permulaan kepada mempersiapkan diri melaksanakan satu misi
yang diperintahkan oleh yang maha pencipta lagi maha kuasa.
Keempat – sirah Nabi s.a.w. Cara membina
diri dengan pantauan ketua atau naqib bukan sesuatu yang baru. Ketika
perjanjian 'Aqabah kedua yang berlaku sebelum hijrah antara Rasulullah s.a.w.
dengan 75 orang Yathrib (73 lelaki dan 2 perempuan –ar-Rahiq al-Makhtum), setelah
selesai perjanjian Nabi s.a.w. meminta supaya mereka memilih 12 orang ketua
sebagai naqib dari kalangan mereka untuk memantau dan mempastikan semua yang
telah berbai'ah mematuhi apa yang telah dipersetujui. Baginda s.a.w. tidak
membiarkan mereka masing-masing pegang dan laksanakan apa yang telah
dijanjikan. Sebaliknya baginda s.a.w. meminta supaya mereka memilih naqib untuk
memantau dan memerhatikan kesetiaan mereka.
Itulah pandangan saya. Jika anda bersetuju,
marilah sertai kami. Jika tidak bersetuju, saya doakan semoga Allah temukan
anda dengan jalan yang terbaik untuk dunia dan akhirat anda.
No comments:
Post a Comment