Monday, March 19, 2018

ADAB BERBEZA PENDAPAT DI KALANGAN SAHABAT RADHIALLAHU ‘ANHUM


Sedia maklum bahawa telah tercatat di dalam sejarah Islam satu peperangan yang amat memilukan, iaitu peperangan al-Jamal di antara Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. di satu pihak dengan tentera pimpinan Zubair, Talhah dan Aisyah radhiallahu ‘anhum di pihak yang satu lagi. Tidak ada siapa yang menginginkan peperangan itu berlaku. Namun itulah kehendak serta taqdir Yang Maha Esa supaya kita dapat belajar banyak perkara.

Sewaktu pertempuran sedang memuncak, Zubair telah bertindak meninggalkan medan pertempuran. Beliau diekori oleh Amru bin Jurmuz.
Zubair berhenti di satu lembah, Amru membunuhnya semasa beliau sedang tidur. Apabila khabar kematian Zubair sampai ke pengetahuan Ali r.a. beliau berkata:
“Berikanlah khabar gembira kepada pembunuh Ibn Sofiyyah dengan balasan neraka!”

Demikian mulianya akhlak Sayyidina Ali r.a. dan betapa tulusnya kasih sayangnya terhadap saudaranya. Zubair yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah pelaksanaan qisas terhadap pembunuh Uthman bin Affan r.a. sehingga membawa kepada tercetusnya peperangan. Namun perpezaan pendapat itu tidak sedikitpun menjejaskan kasih sayangnya kepada Zubair. Ali bukan sahaja tidak gembira dengan kematian Zubair, malah sebaliknya mengutuk keras pembunuhnya.

Manakala Talhah r.a. meninggal dunia di medan pertempuran akibat terkena panah. Ali duduk di sisi jenazah Talhah sambil menyapu debu-debu di wajahnya yang kaku seraya berkata:
“Rahmat Allah ke atasmu wahai Abu Muhammad. Berat bagiku melihat engkau terbunuh di bawah sinaran bintang-bintang di langit.” Kemudian beliau berkata: “Aku mengadu kepada Allah akan kelemahanku … Demi Allah! Aku bercita-cita kalaulah aku mati sebelum hari ini 20 tahun yang lalu. Aku sungguh-sungguh berharap agar aku, Talhah, Zubair dan Uthman termasuk di dalam kalangan mereka yang disifatkan Allah di dalam firmanNya (bermaksud) “Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing (di dalam syurga).”

Sikap serta layanan Ali r.a. terhadap Ummul-Mukminin Aisyah r.a. pula:
Ketika beliau diberitahu bahawa di pintu rumah tempat Aisyah r.a. menumpang terdapat dua orang lelaki mencela dan mengutuk Aisyah r.a., beliau mengarahkan Qa’qa’ bin Amru agar menyebat kedua-dua lelaki itu 100 kali sebatan setiap seorang dan membuka baju kedua-duanya.
Ketika Aisyah r.a. hendak berangkat meninggalkan Basrah, Ali menyediakan segala kelengkapan dan keperluan perjalanan merangkumi kenderaan, bekalan serta barang-barang. Ali r.a. memilih 40 orang wanita yang terkenal di kalangan penduduk Basrah untuk menemani Aisyah r.a. serta mengarahkan adik Aisyah, Muhammad bin Abu Bakar r.a. (yang memihak kepada Ali dan bersama di dalam pasukannya) berangkat bersama dengan Aisyah r.a.
Ali r.a. sendiri mengucapkan selamat jalan dan berjalan mengiringi rombongan itu berbatu-batu jauhnya.


Aisyah r.a. apabila ditanya tentang kedudukan mereka yang terbunuh di dalam peperangan al-Jamal, sama ada mereka yang berada di pihaknya atau di pihak Ali, beliau berkata: “Semoga Allah mencurahkan rahmat ke atasnya” pada setiap orang yang disebut namanya di hadapannya.

Saturday, March 17, 2018

MENGAJAK KAWAN-KAWAN KE MAJLIS ILMU II


Ekoran tulisan saya mengenai kelebihan menghadiri majlis ilmu dua hari lepas, ada yang bertanya: bagaimana kedudukan seseorang yang tidak hadir tetapi mengikutinya di internet; adakah dia dikira hadir dan mendapat pahala yang sama dengan orang yang hadir?

Saya teringat kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ahmad daripada Abi Kabsyah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini hanyalah untuk empat orang (golongan):
1.         Seorang yang Allah kurniakannya rezeki harta dan ilmu, lalu dia bertaqwa kepada Tuhannya dalam menjaga dan mengurus rezekinya itu, dia menggunakan rezekinya untuk menghubungkan silatul Rahim dan dia mengetahui Allah mempunyai hak dalam rezekinya. Maka dia adalah hamba yang paling afdhal darjatnya.
2.         Seorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta. Namun dia mempunyai niat yang benar dengan berkata: “Sekiranya aku memiliki harta nescaya aku akan lakukan seperti apa yang yang dilakukan oleh si fulan”. Maka pahala keduanya sama.
3.         Seorang yang Allah kurniakan rezeki harta tetapi tidak dikurniakan ilmu. Maka dia mensia-siakan hartanya tanpa berlandaskan ilmu, tidak bertaqwa kepada Allah di dalam urusan hartanya, tidak menghubungkan silatul Rahim dengannya dan tidak mengetahui hak Allah pada hartanya itu. Dia adalah hamba yang paling jijik kedudukannya.
4.         Seorang yang tidak dikurniakan rezeki harta dan juga ilmu. Dia berkata: “Sekiranya aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si fulan itu. Maka dengan niatnya itu dosa kedua-duanya sama.”

Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya niat yang tertanam di dalam hati.
Maka berbalik kepada soalan tadi, orang yang tidak hadir ke majlis ilmu kerana halangan tertentu sedangkan dia berniat untuk hadir sekiranya tiada apa-apa halangan, maka dia mendapat pahala hadir. Sekiranya dia tidak berniat untuk hadir kerana baginya cukup hanya mendengar melalui internet, maka dia mendapat pahala mendengar dan dapat manfaat daripada ilmu yang didengarnya. Tetapi tidak mendapat pahala hadir.

Namun begitu, ada perbezaan antara orang yang berniat untuk hadir tetapi tidak dapat hadir dengan orang yang benar-benar hadir. Kedua-duanya sama-sama mendapat pahala, tetapi orang yang benar-benar hadir pahalanya 10 kali ganda berbanding dengan orang yang tidak hadir. Dengan niat untuk hadir dia mendapat satu pahala penuh. Jika dia hadir, barulah pahalanya digandakan. Hal ini dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Al-An'aam 6:160

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah tuliskan (ganjaran) di sisiNya satu kebaikan yang sempurna. Dan sekiranya dia berniat lalu dia melakukannya, Allah tuliskan (ganjarannya) di sisiNya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda dan berganda-ganda lagi … “

MENGAJAK KAWAN-KAWAN KE MAJLIS ILMU

Di dalam kelas pengajian fiqh di surau pagi tadi, seorang muslimah yang hadir secara consistent sejak saya mengajar di situ selama lebih kurang 10 tahun bertanya bagaimana cara untuk mengajak kawan-kawan datang sama menimba ilmu yang terlalu banyak faedahnya? 
Saya kongsikan jawapan yang saya berikan semoga bermanfaat juga kepada semua yang membacanya.
Setiap orang mempunyai caranya yang tersendiri kerana dia lebih mengenali kawannya. Kawan yang tidak datang itu mungkin tidak tahu kelebihan menghadiri majlis ilmu. Kalau dia tahu pasti dia rasa cemburu kepada orang yang dapat datang dan merasa benar-benar rugi jika tak datang.
Antara kelebihan menghadiri majlis ilmu ialah:
1. Dimudahkan jalan ke syurga. Keluar dari rumah melangkah ke suatu arah dengan tujuan mencari ilmu, Allah mudahkan satu jalan ke syurga sebagaimana dinyatakan di dalam hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
2. “Sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah (fi sabilillah) sehingga dia pulang.” Riwayat at-Tirmizi daripasa Anas bin Malik r.a.
3. Majlis ilmu adalah majlis zikir, majlis mengingati Allah dan memahami syariatNya. Justeru majlis ilmu turut dihadiri oleh para malaikat. Mereka menaungi para pelajar dengan sayap, sambil memohon ampun, memohon dicurahkan rahmat dan ketenangan ke atas pelajar-pelajar yang berada di dalam majlis itu. Dan Allah s.w.t. menyebut nama-nama mereka yang berada di dalam majlis itu di hadapan para malaikat yang ada di sisiNya. (Mafhum daripada hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a.
4. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “SesungguhNya di sisi Allah terdapat malaikat yang tugasnya berjalan merayau di segenap ceruk dan jalan-jalan mencari orang-orang yang berzikir mengingati Allah s.w.t. Apabila mereka menemui satu kumpulan manusia yang sedang menyebut Nama Allah, mereka saling berseru: “Ayuh, marilah penuhi hajat kamu. Di sini terdapat apa yang kamu cari!” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Lalu mereka datang dengan mengembangkan sayap mereka sehingga mencecah ke langit dunia.”
Dan banyak lagi kelebiahan-kelebihan lain yang jika difahami akan mendorong kita sentiasa mencari peluang untuk hadir. 
Sama-sama kita fikirkan.

Thursday, March 15, 2018

TADABBUR SURAH AL-KAHFI – PEMUDA YANG BERIMAN


Kisah utama yang terkandung di dalam surah al-Kahfi adalah kisah sekumpulan pemuda yang beriman. Allah s.w.t. menceritakan perihal mereka di dalam firmanNya yang bermaksud:

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".

Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.


Mereka terdiri dari sekumpulan pemuda yang teguh imannya. Mereka cuba mendakwah kaum mereka kepada agama benar yang mereka anuti, iaitu agama Islam, agama yang mentauhidkan Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya.

Masyarakat tidak boleh terima dakwah mereka.
Masyarakat menentang habisan-habisan. Pemuda beriman dikenakan pelbagai tekanan dan ancaman yang tidak mampu mereka hadapi. Lantas mereka membawa diri demi menyelamatkan aqidah mereka dengan berlindung di dalam gua.   

Selepas memasuki gua, dengan rahmat Allah mereka ditidurkan selama 300 tahun syamsiah bersamaan 309 tahun qamariah dibawah jagaan dan pemerhatian Allah Yang Maha Sempurna (ayat ke 17)

Setelah bangkit dari tidur yang lama itu, yang mereka sendiri tidak pasti berapa lama (ayat ke 19), salah seorang daripada mereka ditugaskan untuk keluar dari gua mencari makanan dengan berbekalkan wang yang mereka bawa.

Apa yang ditemui di luar amat berbeza dengan suasana ketika mereka meninggalkannya dahulu. Masyarakat telah beriman. Mereka telah menganut agama yang didakwahkan oleh pemuda itu dahulu.

Siapakah yang melaksanakan kerja dakwah selepas pemuda itu membawa diri bersembunyi di dalam gua?

Inilah antara pengajaran penting yang dapat difahami daripada kisah ini.
1.        Islam adalah agama Allah. Allah yang menjaga agamaNya
2.        Pendakwah hanya menyampaikan sebagai memenuhi kewajipan yang dipertanggungjawabkan. Pendakwah tidak ada kuasa untuk menentukan usaha dakwahnya diterima atau tidak, berjaya atau sebaliknya
3.        Hilangnya pendakwah dari medan, sama ada mati, berpaling tadah, berhenti dari berdakwah, melarikan diri atau sebagainya, tidak akan memberi kesan kepada dakwah. Oleh kerana agama ini urusan Allah, hilangnya seorang pendakwah, Allah akan gantikan berpuluh atau beratus yang lain. Hal ini ditegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Diaa kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
     (Al-Maaidah 5:54)
4.        Pendakwah jangan rasa keciwa jika dakwahnya tidak diterima masyarakat. Penolakan masyarakat bukan pengukur kepada kejayaan atau kegagalan pendakwah kerana apa yang dinilai di sisi Allah adalah usaha yang dilakukan, bukan hasil yang dicapai.

Allahu A’lam
Shah Allah
16 Mac 2018

28 Jamadil-Akhir 1439