Kisah utama yang
terkandung di dalam surah al-Kahfi adalah kisah sekumpulan pemuda yang beriman.
Allah s.w.t. menceritakan perihal mereka di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan
benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan
mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Dan Kami kuatkan hati
mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan
tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang
lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan
dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
(Mereka berkata pula sesama
sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah;
sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan
makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat
demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta
terhadap Allah.
Dan oleh kerana kamu telah
mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari
Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan
dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk
(menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".
Dan engkau akan melihat
matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia
terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu
lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau
tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan
yang benar) kepadanya.
Mereka terdiri dari
sekumpulan pemuda yang teguh imannya. Mereka cuba mendakwah kaum mereka kepada
agama benar yang mereka anuti, iaitu agama Islam, agama yang mentauhidkan Allah
Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya.
Masyarakat tidak boleh
terima dakwah mereka.
Masyarakat menentang
habisan-habisan. Pemuda beriman dikenakan pelbagai tekanan dan ancaman yang
tidak mampu mereka hadapi. Lantas mereka membawa diri demi menyelamatkan aqidah
mereka dengan berlindung di dalam gua.
Selepas memasuki gua, dengan
rahmat Allah mereka ditidurkan selama 300 tahun syamsiah bersamaan 309 tahun
qamariah dibawah jagaan dan pemerhatian Allah Yang Maha Sempurna (ayat ke 17)
Setelah bangkit dari tidur
yang lama itu, yang mereka sendiri tidak pasti berapa lama (ayat ke 19), salah
seorang daripada mereka ditugaskan untuk keluar dari gua mencari makanan dengan
berbekalkan wang yang mereka bawa.
Apa yang ditemui di luar
amat berbeza dengan suasana ketika mereka meninggalkannya dahulu. Masyarakat telah
beriman. Mereka telah menganut agama yang didakwahkan oleh pemuda itu dahulu.
Siapakah yang melaksanakan
kerja dakwah selepas pemuda itu membawa diri bersembunyi di dalam gua?
Inilah antara pengajaran
penting yang dapat difahami daripada kisah ini.
1.
Islam adalah agama Allah. Allah
yang menjaga agamaNya
2.
Pendakwah hanya
menyampaikan sebagai memenuhi kewajipan yang dipertanggungjawabkan. Pendakwah tidak
ada kuasa untuk menentukan usaha dakwahnya diterima atau tidak, berjaya atau
sebaliknya
3.
Hilangnya pendakwah dari
medan, sama ada mati, berpaling tadah, berhenti dari berdakwah, melarikan diri atau
sebagainya, tidak akan memberi kesan kepada dakwah. Oleh kerana agama ini
urusan Allah, hilangnya seorang pendakwah, Allah akan gantikan berpuluh atau beratus
yang lain. Hal ini ditegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya,
maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Diaa kasihkan mereka dan mereka
juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang
beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang
dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada
celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang
diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah
kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
4.
Pendakwah jangan rasa
keciwa jika dakwahnya tidak diterima masyarakat. Penolakan masyarakat bukan
pengukur kepada kejayaan atau kegagalan pendakwah kerana apa yang dinilai di
sisi Allah adalah usaha yang dilakukan, bukan hasil yang dicapai.
Allahu A’lam
Shah Allah
16 Mac 2018
28 Jamadil-Akhir 1439
No comments:
Post a Comment