Ekoran tulisan saya mengenai kelebihan menghadiri majlis
ilmu dua hari lepas, ada yang bertanya: bagaimana kedudukan seseorang yang
tidak hadir tetapi mengikutinya di internet; adakah dia dikira hadir dan
mendapat pahala yang sama dengan orang yang hadir?
Saya teringat kepada sepotong hadis yang diriwayatkan
oleh at-Tirmizi dan Ahmad daripada Abi Kabsyah r.a. bahawa beliau mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini hanyalah untuk
empat orang (golongan):
1.
Seorang yang Allah kurniakannya rezeki harta dan
ilmu, lalu dia bertaqwa kepada Tuhannya dalam menjaga dan mengurus rezekinya itu,
dia menggunakan rezekinya untuk menghubungkan silatul Rahim dan dia mengetahui
Allah mempunyai hak dalam rezekinya. Maka dia adalah hamba yang paling afdhal
darjatnya.
2.
Seorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak
dikurniakan harta. Namun dia mempunyai niat yang benar dengan berkata: “Sekiranya
aku memiliki harta nescaya aku akan lakukan seperti apa yang yang dilakukan
oleh si fulan”. Maka pahala keduanya sama.
3.
Seorang yang Allah kurniakan rezeki harta tetapi
tidak dikurniakan ilmu. Maka dia mensia-siakan hartanya tanpa berlandaskan
ilmu, tidak bertaqwa kepada Allah di dalam urusan hartanya, tidak menghubungkan
silatul Rahim dengannya dan tidak mengetahui hak Allah pada hartanya itu. Dia adalah
hamba yang paling jijik kedudukannya.
4.
Seorang yang tidak dikurniakan rezeki harta dan
juga ilmu. Dia berkata: “Sekiranya aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan
apa yang dilakukan oleh si fulan itu. Maka dengan niatnya itu dosa kedua-duanya
sama.”
Hadis di
atas menunjukkan betapa pentingnya niat yang tertanam di dalam hati.
Maka berbalik
kepada soalan tadi, orang yang tidak hadir ke majlis ilmu kerana halangan
tertentu sedangkan dia berniat untuk hadir sekiranya tiada apa-apa halangan,
maka dia mendapat pahala hadir. Sekiranya dia tidak berniat untuk hadir kerana
baginya cukup hanya mendengar melalui internet, maka dia mendapat pahala mendengar
dan dapat manfaat daripada ilmu yang didengarnya. Tetapi tidak mendapat pahala
hadir.
Namun begitu,
ada perbezaan antara orang yang berniat untuk hadir tetapi tidak dapat hadir
dengan orang yang benar-benar hadir. Kedua-duanya sama-sama mendapat pahala,
tetapi orang yang benar-benar hadir pahalanya 10 kali ganda berbanding dengan
orang yang tidak hadir. Dengan niat untuk hadir dia mendapat satu pahala penuh.
Jika dia hadir, barulah pahalanya digandakan. Hal ini dijelaskan di dalam
firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa
yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh
kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal
kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya;
sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Al-An'aam
6:160)
Begitu juga
hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas r.a.
bermaksud: “Sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak
melakukannya, Allah tuliskan (ganjaran) di sisiNya satu kebaikan yang sempurna.
Dan sekiranya dia berniat lalu dia melakukannya, Allah tuliskan (ganjarannya)
di sisiNya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda dan berganda-ganda lagi … “
No comments:
Post a Comment