Wednesday, November 28, 2018

Kisah Kewafatan Khalifah ar-Rashid ke 2, Umar bin al-Khattab r.a.


Pada suatu hari Umar dikunjungi oleh Ka’ab al-Ahbar.
Ka’ab berkata kepada Umar: “Wahai Amirul Mu’minin, bersedialah! Sesungguhnya engkau akan mati dalam masa tiga hari lagi.”
Umar bertanya: “Bagaimana mungkin engkau mengetahuinya?”
Ka’ab menjawab: “Aku mendapatinya di dalam Kitab Allah, iaitu Taurat.”
Umar bertanya kehairanan: “Ya Allah! Engkau menemui Umar bin al-Khattab di dalam Taurat?”
Ka’ab menjelaskan: “Bukan. Sebaliknya aku menemui sifatmu dan keindahan akhlakmu. Sesungguhnya ajalmu telah tamat dalam keadaan engkau tidak menderita sakit dan tiada penyakit.”

Keesokannya Ka’ab datang lagi dan berkata kepadanya: “Wahai Amirul Mu’minin, telah berlalu satu hari. Tinggal dua hari lagi.”

Keesokannya Ka’ab datang lagi dan berkata: “Wahai Amirul Mu’minin, telah berlalu dua hari. Hanya tinggal satu hari saja lagi. Peluang untukmu sehingga ke subuhnya.”

Keesokannya, Umar keluar untuk solat subuh. Beliau mewakilkan beberapa orang untuk membetulkan saf. Apabila saf telah lurus, beliau bertakbir. Tiba-tiba Abu Lu’lu’ah meredah masuk di celah-celah makmum. Di tangannya pisau belati yang mempunyai dua kepala, batangnya di tengah. Dia menetak Umar dengan enam tetakan. Satu daripada di bawah pusat. Dan itulah yang menjadi penyebab kewafatannya.

Umar rebah. Dia bertanya, adakah di kalangan makmum itu Abdul Rahman bin Auf? Apabila diberitahu bahawa Abdul Rahman ada, Umar meminta supaya Abdul Rahman mengimami solat. Umar dipapah masuk ke dalam rumahnya.

Dalam keadaan tenat, beliau berkata: “Aku berwasiat kepada khalifah selepasku supaya menjaga orang Arab kerana mereka merupakan kekayaan Islam. Hendaklah diambil zakat daripada mereka yang berhak membayarnya dan disampaikan kepada golongan yang faqir. Aku juga berwasiat kepada khalifah selepasku supaya berpegang kepada apa yang dipertanggungjawabkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka hendaklah menyempurnakan janji sesama mereka. Ya Allah! Adakah aku telah menyampaikan!

Kamudian dia berkata: “Wahai Abdullah, keluar dan lihatlah siapakah yang membunuhku?”
Abdullah menjawab: “Wahai Amirul Mu’minin, anda dibunuh oleh Abu Lu’lu’ah, hamba kepada Mughirah bin Shu’bah.”
Umar berkata: “Alhamdulillah yang tidak menjadikan kematianku di tangan seorang lelaki yang sujud kepada Allah walaupun hanya sekali sujud!
Wahai Abdullah, pergilah ke rumah Aishah. Minta izin dengannya supaya aku ditanam di sisi Rasulullah dan Abu Bakar.
Wahai Abdullah, sekiranya manusia berselisih pendapat, maka hendaklah engkau bersama dengan golongan yang lebih ramai. Jika kedua-dua pihak sama bilangan, maka hendaklah engkau bersama dengan golongan yang ada di dalamnya Abdul Rahman.
Wahai Abdullah, izinkan orang ramai untuk masuk!”

Maka muhajirin dan ansar beramai-ramai masuk menziarahi dan memberi salam kepadanya. Umar berkata kepada mereka: “Adakah ini hasil permesyuaratan kamu?”
Mereka menjawab: “Ma’aza Allah!” (Semoga dilindungi Allah!)
Dalam pada itu, Ka’ab pun masuk. Apabila Umar terpandang Ka’ab, beliau bersyair:

Ka’ab telah berjanji kepadaku tiga hari supaya aku menghitungnya
Dan tidak syak lagi yang benar itu apa yang dikatakan Ka’ab kepadaku
Aku tidak mengelak dari mati kerana aku pasti akan mati
Tetapi aku berhati-hati dari dosa yang diikuri dosa

Kemudian, terbanglah ruhnya menuju destinasi yang dijanjikan untuknya. Semoga Allah rahmatinya di atas jasa dan sumbangannya yang tak ternilai buat umat manusia seluruhnya.


-       Sirah as-Sahabah

Sunday, November 25, 2018

TADABBUR – DOA NABI IBRAHIM ALAIHIS-SALAM


“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Di dalam ayat di atas Allah Ta’ala menyebutkan dua perkara yang diminta oleh Nabi Ibrahim alaihis-salam, iaitu menjadikan Makkah negeri yang aman sentosa dan memberikan rezeki pelbagai jenis buah-buah kepada penduduknya yang beriman.

Kenapa Nabi Ibrahim memohon rezeki hanya untuk orang yang beriman sahaja? Adakah baginda menginginkan orang yang tidak beriman semuanya mati kelaparan? Atau baginda mahu semua manusia mahu tidak mahu terpaksa menjadi orang beriman? Kalau tidak, mereka tidak berhak menikmati rezeki Tuhan!

Para mufassirin telah memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Antaranya, Imam ar-Razi (wafat 606H). Beliau berkata bahawa Nabi Ibrahim mengkhususkan doanya untuk orang beriman adalah mengikut nas dan qias.

Adapun nas, mafhum firman Allah Ta’ala “Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.” (Al-Maaidah 5:68) 

Manakala qias pula, diambil daripada dua sudut.

Pertama: ketika baginda memohon supaya Allah mengurniakan darjat imamah (kepimpinan) kepada zuriat keturunannya, Allah menjawab “janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah 2:124)
Maka dengan itu, baginda beradab dalam berdoa kerana apabila Allah membezakan orang beriman dengan orang kafir dalam bab imamah, baginda beranggapan tidak mengapa permohonan rezeki dikhususkan kepada orang beriman sahaja tanpa orang kafir.

Kemudian Allah mengajarnya dengan firmanNya: “maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),”. Ia bermaksud bahawa ada perbezaan antara kenabian (nubuwah) dengan rezeki di dunia kerana pangkat kenabian dan kepimpinan (imamah) tidak layak bagi orang yang fasiq. Ini disebabkan imamah dan nubuwah memerlukan kekuatan, keazaman dan kesabaran menghadapi pelbagai jenis ujian sehingga dia dapat melaksanakan perintah serta larangan Allah tanpa gentar dan takut kepada celaan orang yang suka mencela juga tekanan pihak berkuasa. Adapun rezeki, tetap disampaikan sama ada kepada orang yang taat, yang ingkar, yang benar, maupun yang munafiq. Mereka hanya berbeza di akhirat kelak. Sesiapa yang beriman, maka baginya syurga. Sesiapa yang kafir maka baginya neraka.

Kedua: kemungkinan Nabi Ibrahim alaihis-salam beranggapan bahawa jika dia berdoa untuk semua (mukmin dan kafir), akan ramailah golongan yang kafir di negeri itu (Makkah). Maka dengan sebab ramai bilangan mereka, merekalah yang akan menguasainya dan ini mungkin akan membawa kerosakan dan kemudaratan kepada manusia yang pergi menunaikan haji. Lantaran itu baginda khususkan doa untuk mukmin sahaja.

Menurut Sheikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (wafat 1419H) pula, Allah membetulkan Nabi Ibrahim alaihis-salam yang mengkhususkan permohonan rezeki untuk mukmin sahaja, bahawa ada perbezaan antara anugerah kepimpinan dan pemberian rezeki. Kepimpinan atau imamah merupakan anugerah uluhiyyan yang diberikan kepada hamba yang layak, manakala rezeki adalah anugerah rububiyyah yang diberikan kepada setiap orang yang Allah telah kurniakan mereka kehidupan. Semuanya ada rezekinya tanpa mengira sama ada dia beriman atau kafir.


Beliau berkata: Selagi mana Allah memberikan kamu peluang hidup di dunia ini, maka Allah jamin rezekimu. Sesungguhnya Allah tidak pernah perintahkan kepada matahari: terbitlah engkau menerangi bumi dan sinarilah cahayamu ke atas orang beriman sahaja. Dia tidak juga perintahkan kepada udara: jangan biarkan orang kafir bernafas denganmu! Sebaliknya Allah beri rezeki dan nikmat kehidupan di dunia ini kepada semua makhlukNya. Namun di akhirat nanti, mereka yang tidak beriman tiada lagi nikmat buat mereka. Mereka tidak lagi diberi pilihan sama ada masuk neraka atau syurga. Mereka hanya diberi pilihan semasa hidup di dunia sahaja.

Wednesday, November 21, 2018

SIKAP RASULULLAH S.A.W. TERHADAP KETUA MUNAFIQIN


Abdullah bin Ubay bin Salul merupakan ketua munafiqin. Sejarahnya penuh dengan tindakan-tindakan menyakiti Nabi s.a.w. dalam setiap sudut. Dia sering merancang untuk mecelakakan umat Islam, termasuk bersekongkol dengan kaum musyrikin.
Dengan kekufuran yang berakar umbi di dalam dirinya serta permusuhan yang amat ketara terhadap Islam dan penganutnya, dia tetap menunjukkan keislamannya di hadapan Nabi s.a.w. dan di kalangan masyarakat Islam.
Justeru, Rasulullah s.a.w. menerima keislaman yang ditunjukkan pada zahirnya. Baginda menyerahkan urusan batin yang terpendam di dalam hatinya kepada Allah SWT.
Rasulullah s.a.w. beberapa kali dituntut agar membunuhnya. Namun baginda enggan sehinggalah Abdullah mati.

Abdullah bin Umar radhia Allahu ‘anhuma berkata: “Manakala Abdullah bin Ubay meninggal dunia, anaknya datang menemui Rasulullah s.a.w. Beliau meminta daripada Rasulullah s.a.w. qamisnya (bajunya) untuk dikafankan ayahnya dengan baju itu dan meminta Rasulullah s.a.w. solat serta memohon ampun untuk ayahnya. Lalu baginda s.a.w. memberikan qamisnya seraya berpesan: “Apabila kamu telah selesai urusan (mandi dan kafan), maklumkan kepadaku”.
Apabila Rasulullah s.a.w. berdiri untuk solat ke atas jenazahnya, Umar r.a. menariknya sambil bertanya: “Bukankah Allah melarang anda solat ke atas jenazah munafiqin?”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bahkan Allah memberi pilihan kepadaku sama ada meminta ampun atau tidak (merujuk firmanNya: (Orang-orang manufiq itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka;) (At-Taubah 9:80) Dan aku akan tambah (istighfar) lebih daripada 70 kali.”

Maka Rasulullah s.a.w. solat ke atas jenazahnya. Lalu Allah SWT turunkan ayat yang bermaksud: “Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).” (At-Taubah 9:84)
(Tafsir at-Tobari, wafat 310H)

Allahu Akbar! Betapa mulianya hati baginda s.a.w.
Betapa mendalam cintanya kepada umat manusia. Seboleh-bolehnya baginda mencari ruang untuk mendapatkan keampunan dan menyampaikan kebaikan kepada manusia hatta manusia yang paling memusuhinya.
Kisah itu juga memaparkan betapa tiada sekelumitpun rasa benci dan dendam di hati baginda terhadap musuh yang sangat membencinya.

صــلى الله عليــه وعلــى آلــه وســلم