Wednesday, November 21, 2018

INDAHNYA ISLAM


Pada suatu hari Khalifah Umar bin al-Khattab radhiaAllahu’anhu bertemu dengan Abbas bin Abdul Muttalib radhiaAllahu’anhu.
Umar berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda sebelum kewafatannya bahawa beliau hendak menambah / membesarkan bangunan masjid ini. Dan rumahmu berhampiran dengan masjid. Berikanlah kami rumahmu supaya kami dapat jadikannya sebagai tambahan kepada bangunan masjid. Dan aku akan gantikanmu sebidang tanah yang lebih luas daripadanya.”
Abbas menjawab: “Tidak. Aku tidak akan melakukannya!”
Umar berkata: “Kalau begitu, aku akan mengambilnya dengan paksaan!”
Abbas menjawab: “Engkau tidak boleh berbuat demikian. Maka lantiklah seseorang sebagai orang tengah yang memutuskan pertikaian antara engkau dan aku.”
Umar bertanya: “Siapakah yang engkau pilih untuk menjadi orang tengah?”
Abbas menjawab: “Aku memilih Huzaifah bin al-Yaman.”

Sebagai khalifah, Umar boleh saja memerintahkan supaya Huzaifah datang mengadap, mendengar dan memutuskan pertikaiannya dengan Abbas. Namun Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau dan Abbas radhiaAllahu’anhuma sama-sama pergi menemui Huzaifah radhiaAllahu’anhu di rumahnya.

Khalifah Umar dan rakyat biasa Abbas duduk di hadapan Huzaifah menceritakan pertiakaian di antara mereka berdua.
Setelah mendengar dan memahami apa yang dipertikaikan, Huzaifahpun berkata: “Aku telah mendengar bahawa Nabi Allah Daud ‘alaihissalam mahu membesarkan Baitil-Maqdis.  Beliau mendapati sebuah rumah berhampiran dengan masjid itu. Rumah itu kepunyaan anak yatim. Nabi Daud memintanya, namun pemilik rumah itu enggan memberikannya. Nabi Daud bercadang untuk mengambilnya dengan kekerasan. Maka Allah Ta’ala mewahyukannya: “Sesungguhnya rumah yang paling suci dari kezaliman adalah rumahKu!”. Maka Nabi Daud membatalkan hasratnya dan meninggalkan rumah itu kepada pemiliknya.”

Mendengar kata-kata Huzaifah itu, Abbas memandang Umar dan berkata: “Adakah engkau masih mahu mengambil rumahku dengan paksaan?”
Umar menjawab: “Tidak!”
Abbas membalas: “Namun aku menyerahkan rumahku kepadamu supaya engkau jadikannya sebagai tambahan kepada masjid Rasulullah s.a.w.”


-       Daripada kitab “Sirah as-Sahabah” Dr. Mustafa Murad

No comments: