Sunday, November 25, 2018

TADABBUR – DOA NABI IBRAHIM ALAIHIS-SALAM


“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Di dalam ayat di atas Allah Ta’ala menyebutkan dua perkara yang diminta oleh Nabi Ibrahim alaihis-salam, iaitu menjadikan Makkah negeri yang aman sentosa dan memberikan rezeki pelbagai jenis buah-buah kepada penduduknya yang beriman.

Kenapa Nabi Ibrahim memohon rezeki hanya untuk orang yang beriman sahaja? Adakah baginda menginginkan orang yang tidak beriman semuanya mati kelaparan? Atau baginda mahu semua manusia mahu tidak mahu terpaksa menjadi orang beriman? Kalau tidak, mereka tidak berhak menikmati rezeki Tuhan!

Para mufassirin telah memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Antaranya, Imam ar-Razi (wafat 606H). Beliau berkata bahawa Nabi Ibrahim mengkhususkan doanya untuk orang beriman adalah mengikut nas dan qias.

Adapun nas, mafhum firman Allah Ta’ala “Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.” (Al-Maaidah 5:68) 

Manakala qias pula, diambil daripada dua sudut.

Pertama: ketika baginda memohon supaya Allah mengurniakan darjat imamah (kepimpinan) kepada zuriat keturunannya, Allah menjawab “janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah 2:124)
Maka dengan itu, baginda beradab dalam berdoa kerana apabila Allah membezakan orang beriman dengan orang kafir dalam bab imamah, baginda beranggapan tidak mengapa permohonan rezeki dikhususkan kepada orang beriman sahaja tanpa orang kafir.

Kemudian Allah mengajarnya dengan firmanNya: “maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),”. Ia bermaksud bahawa ada perbezaan antara kenabian (nubuwah) dengan rezeki di dunia kerana pangkat kenabian dan kepimpinan (imamah) tidak layak bagi orang yang fasiq. Ini disebabkan imamah dan nubuwah memerlukan kekuatan, keazaman dan kesabaran menghadapi pelbagai jenis ujian sehingga dia dapat melaksanakan perintah serta larangan Allah tanpa gentar dan takut kepada celaan orang yang suka mencela juga tekanan pihak berkuasa. Adapun rezeki, tetap disampaikan sama ada kepada orang yang taat, yang ingkar, yang benar, maupun yang munafiq. Mereka hanya berbeza di akhirat kelak. Sesiapa yang beriman, maka baginya syurga. Sesiapa yang kafir maka baginya neraka.

Kedua: kemungkinan Nabi Ibrahim alaihis-salam beranggapan bahawa jika dia berdoa untuk semua (mukmin dan kafir), akan ramailah golongan yang kafir di negeri itu (Makkah). Maka dengan sebab ramai bilangan mereka, merekalah yang akan menguasainya dan ini mungkin akan membawa kerosakan dan kemudaratan kepada manusia yang pergi menunaikan haji. Lantaran itu baginda khususkan doa untuk mukmin sahaja.

Menurut Sheikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (wafat 1419H) pula, Allah membetulkan Nabi Ibrahim alaihis-salam yang mengkhususkan permohonan rezeki untuk mukmin sahaja, bahawa ada perbezaan antara anugerah kepimpinan dan pemberian rezeki. Kepimpinan atau imamah merupakan anugerah uluhiyyan yang diberikan kepada hamba yang layak, manakala rezeki adalah anugerah rububiyyah yang diberikan kepada setiap orang yang Allah telah kurniakan mereka kehidupan. Semuanya ada rezekinya tanpa mengira sama ada dia beriman atau kafir.


Beliau berkata: Selagi mana Allah memberikan kamu peluang hidup di dunia ini, maka Allah jamin rezekimu. Sesungguhnya Allah tidak pernah perintahkan kepada matahari: terbitlah engkau menerangi bumi dan sinarilah cahayamu ke atas orang beriman sahaja. Dia tidak juga perintahkan kepada udara: jangan biarkan orang kafir bernafas denganmu! Sebaliknya Allah beri rezeki dan nikmat kehidupan di dunia ini kepada semua makhlukNya. Namun di akhirat nanti, mereka yang tidak beriman tiada lagi nikmat buat mereka. Mereka tidak lagi diberi pilihan sama ada masuk neraka atau syurga. Mereka hanya diberi pilihan semasa hidup di dunia sahaja.

No comments: